DAUN-DAUN BERGUGURAN

>> Tuesday, March 24, 2015






DAUN-DAUN BERGUGURAN


************
“Dia mengetahui apa yang ada di darat  dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam Kitab yang nyata [Lauh Mahfuzh]. Al-An ‘Am [6]:59.

****************************************

Lumrahnya setiap pokok mempunyai daun. Daun itu ada aneka jenis dan bentuk. Aneka warnanya, walaupun pada umumnya hijau. Daun amat penting kepada pokok. Ia dapat menentukan hayat sesepohon pokok.


Daun adalah salah satu daripada beberapa bahagian yang penting kepada pokok. Lain-lain bahagian yang penting, ialah akar, batang,  bunga, buah dan biji-bijinya.


Daun, batang dan akar adalah bahagian-bahagian penting yang sentiasa berada bersama setiap pokok yang hidup, sedangkan bunga, buah dan biji muncul kemudian dari waktu ke waktu sepanjang kehidupan sesepohon pokok.


Pada sesepohon pokok, daun-daun itu tumbuh pada ranting atau tangkai atau gagangnya. Biasanya keadaan daun itu nipis, datar dan berwarna hijau. Biasanya juga daun-daun itu tumbuh sejajar, dan tugasnya menerima cahaya mata hari sebanyak yang mungkin demi kepentingan pokok.

Daun-daun meluruh lepas banjir







Kalau kita perhatikan akan kita dapati bahawa bahagtian atas daun itu yang menadah embun keadaannya licin sedikit daripada keadaan sebelah  bawahnya.


Daun adalah sebahagian daripada benda hidup yang terdapat pada pokok. Sebagai sesuatu yang hidup, seperti makhluk-makhluk hidup yang lain juga ia memerlukan makanan dan udara untuk bernafas.


Semua bahagian daripada sepohon pokok adalah bernafas, termasuklah daun-daun. Ia bernafas menerusi pori atau lubang pada kulit daun dan sebagainya. Ada begitu banyak pori pada kulit-kulit daun yang hanya dapat dilihat dengan kaca pembesar, tapi tidak kelihatan dengan mata kasar.


Justeru pokok akan mati tanpa udara, sebagaimana manusia akan menemui ajalnya tanpa udara. Manusia dan haiwan bernafas menggunakan paru-parunya tapi pokok bernafas menggunakan pori-pori itu. Sementara itu ikan-ikan pula bernafas dengan menggunakan insangnya dengan mengambil udara daripada air di mana dia hidup. Ikan akan mati jika dalam air tidak mempunyai udara..


Daun yang berwarna hijau amatlah penting kepada setiap pokok, kerana daun hijau inilah yang membina makanan  untuk sesepohon pokok yang diambil daripada karbon dioxida [carbon dioxied] yang terdapat dalam udara dan air yang dibekalkan oleh akar-akarnya dengan bantuan cahaya mata hari.


Mari kita pergi jauh sedikit untuk melihat bagaimana Allah menjadikan daun-daun pokok itu dalam keadaan istimewa sebagaimana makhluk-makhluk yang lain juga.


Pada kebanyakan daun ada tiga bahagian yang penting yang berbeza-beza dari sejenis pokok dengan sejenis pokok yang lain.


Bahagian-bahagian itu ialah tapak, di mana terletaknya di bahagian bawah tangkai dan helai, atau daunnya. Tangkai ini fungsinya menyambung daun kepada ranting. Helai itu adalah bahagian yang paling penting kepada seluruh helaian daun itu.


Kita dapat melihat, pada helaian daun itu terdapat banyak urat-urat yang beraneka jenis, ada yang besar dan sebaliknya ada pula yang halus atau kecil yang kita panggil urat rambut.


Bila sehelai daun diserang penyakit, maka bahagian antara urat-urat itulah yang terlebih dahulu mengalami kerosakan. Kemudian urat-urat daun itu akan rosak yang dimulai oleh urat daun yang besar, dan dikuti oleh urat daun yang kecil.


DAUN-DAUN YANG GUGUR


Daun-daun pokok itu biasanya tidak berkekalan, tapi akan gugur juga dari waktu ke waktu. Sama ada sedikit atau banyak.. Biasanya ada beberapa keadaan daun-daun pokok akan gugur, antaranya di musim panas dan di musim sejuk.


Namun begitu, daun-daun juga akan mati dan gugur berderaian ke bumi tanpa mengira sejuk atas panas. Tapi daun baru akan muncul kembali menggantikan daun yang luruh itu, tumbuh pada ranting-ranting dan batang-patang pokok.selagi pokok itu hidup.



                                     Keadaan pokok musim sejuk di Istambul

  Kecuali daun-daun itu gugur kerana diserang penyakit yang akan membawa maut kepada pokok.. Dalam keadaan kesakitan seperti itulah daun-daun itu akan gugur, sehelai demi helai, sehingga batang pokok itu kering dan mati. Dan akhirnya pokok menjadi gondol seperti kepala yang dibotakkan.


Biasanya di negara kita, dan negara-negara tropikal yang tidak mempunyai musim sejuk, sesetengah pokok gugur daun-daunnya pada musim panas, pokok yang daunnya berguguran hampir seluruhnya ialah pokok getah. Ia dikenali dengan musim daun luruh. Pada masa daun meluruh ini getah yang ditoreh tidak banyak yang keluar dari batangnya, sehinggalah daun-daunnya tumbuh kembali menghijau pada dahan-dahannya beberapa waktu kemudian.


Namun begitu kebanyakan pokok-pokok di negara Tropikal daun-daunnya  tidak gugur dalam masa serentak atau sama atau bermusim seperti di negara-negara sejuk. Tapi daun-daun itu boleh gugur bila-bila masa di sepanjang tahun, Antaranya pokok kelapa yang berpelepah itu daun-daunnya gugur dari masa ke masa di sepanjang tahun.


Tapi di negara-negara yang cuacanya mempunyai musim sejuk,  daun-daun kebanyakan pokok akan luruh dengan sendirinya pada musim gugur yang tiba selepas musim panas untuk menyambut ketibaan musim sejuk yang berlangsung selama beberapa bulan di sepanjagn tahun.


Di antara negara-negara yang mempunyai musim sejuk ialah Amerika, Australia, England dan Russia dan banyk negara-negara di Eropah. Di negara-negara tersebut daun-daun sesetengah pokok akan berguguran sebelum tiba musim sejuk. Justeru ranting-ranting pokok menjadi gondol seperti kepala manusia botak.


Bila musim sejuk berlalu ia disambut oleh musim bunga. Ketika ini pucuk-pucuk daun pokok akan berkembang kembali, dan menumbuhkan daun-daun pada musim panas dan akan gugur kembali pada musim luruh menjelang musim sejuk.


Jika daun-daun itu enggan gugur pada musim sejuk, pokok itu akan terdedah kepada cuaca sejuk yang  boleh menyebabkannya mati kesejukan, sebagaimana manusia yang terdedah kepada kesejukan akan menemui ajal kesejukan.


Oleh itu hanya pokok-pokok yang daunnya halus-halus seumpama jarum sahaja yang boleh hidup tanpa keguguran daunnya di sepanjang msuim sejuk, kerana ianya tidak banyak terdedah kepada cuaca sejuk seperti pokok-pokok yang daun yang lebar. Antara pokok yang mempunyai daun yang halus ialah pokok pine [cemara] yang boleh tahan hidup walaupun terdedah kepada cuaca sejuk yang boleh membekukan manusia.


Demikianlah ia berlaku berulang-ulang tahun selagi bumi ini berkembang, selagi peredaran iklim tidak berubah, musim sejuk menjadi panas dan musim panas menjadi sejuk.


Daun-daun pokok gugur dan tumbuh sebagaimana manusia mati dan hidup silih berganti. Manusia dan usianya seperti daun-daun dan usianya. Daun-daun boleh gugur di segenap peringkat usia, dalam masa berpucuk, ketika daun muda dan juga waktu daun tua, ia boleh gugur bila-bila masa. Demikian jugalah dengan manusia, bayi boleh mati, kanak-kanak boleh mati, orag dewasa boleh mati dan orang tua pun boleh mati, bila tiba ketentuannya.


Berhubung dengan hal ini saya teringat kepada kata-kata Allahyrahman pengarang yang terkenal, Yusof  Zaky Yaacob tentang usianya. Ketika itu beliau sedang menerima rawatan pembedahan. Katanya kepada saya, “


“Pada satu ketika dalam masa tidak sedarkan diri itu, hamba merasa nyawa hamba seperti sehelai daun kering yang bolak-balik, melayang-layang ditiup angin menunggu saat untuk jatuh...Tapi oleh sebab semangat hamba untuk hidup kuat, hamba terus berjuang hingga berjaya mengatasi keadaan yang kritikal itu, dan hamba pun terselamat. Kalau semangat hamba tidak kuat, dan umur tidak panjang, entahlah apa yang akan berlaku.....mungkin......”.


Walau apapun kita haruslah ingat bahawa Allah SWT mengetahui segala-galanya, tidak ada apa pun yang tersembunyi dari-Nya:


“Dia mengetahui apa yang ada di darat  dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam Kitab yang nyata [Lauh Mahfuzh]. Al-An ‘Am [6]:59.


Kg. Parit, Pasir Tumboh,
KB.Kelantan





















Read more...

SEK KEB.KUALA BALAH MENYAKSIKAN PERTEMUAN MUSA AHMAD

>> Sunday, March 22, 2015




SEK. KEB. KUALA BALAH MENYAKSIKAN PERTEMUAN MUSA AHMAD



Bila berada di Masjid Kuala Balah, iaitu Masjid Rahmaniah, di suatu petang tiba-tiba ingatan saya melayang kepada suatu peristiwa yang berlaku kira-kira tiga dekad lebih yang lalu.

 

Hj.Musa Ahmad





Pada suatu petang, saya berada di masjid tersebut yang seingat-ingat saya masa itu masih belum siap sepenuh pembinaannya. Pada masa itu sebahagian besar daripada halaman luar masjid itu masih belum diturap, tapi ditabur dengan dengan bertongkol-tongkol batu.


Saya berada di masjid tersebut petang itu kerana bertugas mengikuti suatu majlis, di mana Haji Musa Ahmad  berucap, di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah yang tidak berapa jauh dari masjid tersebut. Saya berada di masjid itu selepas Hj. Musa memberi ucapanya kepada penduduk-penduduk tempatan di sekolah tersebut.


Tarikh tepatnya saya tidak ingat, tapi tahunnya 1984.


Haji Musa Ahmad adalah bekas salah seorang anggota komunis yang penting dan beliau adalah bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya sejak tahun 1955 lagi. Tapi akhirnya beliau telah kembali ke pangkal jalan meninggalkan perjuangannya yang salah itu.


Dalam ucapannya hari itu beliau antara lain meyeru bekas rakan-rakan seperjuangannya yang masih ada pada waktu itu di dalam hutan supaya kembali ke pangkuan masyarakat. Mereka dipercayai pada waktu masih berada dalam hutan di Thailand Selatan.


Katanya sehingga hari itu sudah lebih daripada 35 tahun lamanya mereka meneruskan perjuangan yang sia-sia, oleh itu sudah sampai masanya kepada  mereka untuk meninggalkan perjuangan itu dan kembali ke pangkal jalan.


Pada masa itu katanya Regimen ke-10 Parti Komunis Malaya beribu pejabat di Betong, Thailand Selatan.


Musa berkata demikian dalam Majlis Dialog Keselamatan, di Sekolah.Kebangsaan Kuala Balah, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan [JKKKN] dengan kerjasama pihak polis.

Kira-kira seramai 2,000 orang penduduk hadir di majlis tersebut yang dikawal ketat oleh Pasukan Keselamatan dan juga pihak polis.


Ini adalah julung-julung kalinya, Haji Musa bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya itu mengadakan pertemuan dengan orang ramai selepas beliau meninggalkan perjuangannya pada tahun 1981. Sebelum itu beliau pernah menetap di Peking selama 25 tahun.



                                          Masjid Rhamaniah, Kuala Balah


Sebelum saya menamatkan tulisan singkat ini yang sengaja saya rakamkan sebagai secebis dari bahan sejarah tanah air yang dikasihi. Saya teringat utuk menulis peristiwa ini ketika malam saya bermalan di di Bukit Seraya, Kuala Balah.


Ketika mengulas perjuangan lalunya yang sia-sia itu Hj. Musa Ahmad pernah menegaskan, “Saya telah sedar dan insaf bahawa perjuangan komunis adalah sia-sia, kerana mereka berjuang dengan jiwa yang kosong, dan tidak akan mencapai kemenangan di negara ini”.

Sekian


Bukit Seraya,
Kuala Balah, Jeli Kelantan.



Read more...

IKAN BANYAK TULANG BAGAIMANA HENDAK MAKAN?

>> Friday, March 20, 2015




IKAN BANYAK TULANG BAGAIMANA HENDAK MAKAN?



                                     Penghulu Kuala Balah


Ikan ialah jenis makanan yang popular, di samping daging haiwan. Sebagaimana daging haiwan mempunyai aneka jenis, demikian juga dengan ikan ada aneka jenisnya.


Daging ikan ada berbagai-bagai jenis, sebagaimana banyak jenisnya ikan-ikan itu yang diberikan berbagai nama yang khusus.




Antaranya ikan kembung, tenggiri, kikik, selayang, selar, selar kuning, ikan aya atau ikan tonggkol, ikan ayam, cermin, merah, kaloi atau kelah, telepiar, belukur, keli, haruan, juara, patin, bawal,tempuyu, kerai, belida dan mungkin ratusan jenis ikan lagi.


Demikian juga rupa dan besar kecil ikan-ikan itu berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang amat besar seperti ikan paus, tapi ada pula yang kecil seperti ikan sepilar.


Demikian juga dengan rasanya. Ada berbagai-bagai jenis rasa sebagaimana berlainannya jenis ikan itu. Rasa ikan tongkol tidak sama dengan rasa ikan tenggiri, rasa ikan keli tidak sama dengan rasanya ikan patin, rasa ikan kikik tidak sama rasanya dengan ikan bawal.


Kesan memakan ikan tertentu terhadap seseorang mungkin berbeza-beza pula. Ada orang yang alahan dengan ikan-ikan tertentu, tapi ada pula orang yang dapat memakannya tanpa mendapat apa=apa kesan sampingannya yang merimaskan. Umpamanya ada orang naik gatal-gatal, jika makan ikan tongkol, tapi orang lain pula biasa sahaja.


Ada sesetengah ikan mempunyai banyak tulang hampir memenuhi seluruh badannya, dengan tulang-tulang yang halus dalam berbagai-bagai bentuknya. Sebaliknya, ada pula ikan yang tidak mempunyai banyak tulang, dan tulang-tulangnya tidak halus, kerana itu senang untuk dimakan.


Cara memasak ikan-ikan itu pula berbeza-beza antara sejenis ikan dengan sejenis ikan. Bukan semua jenis ikan sesuai untuk dimasak dengan jenis masakan yang sama. Kalau ikan kembung sedap dimasak percik, tapi orang tidak masak percik ikan kerongeng atau ikan kerisi. Ikan tambang sisik biasanya dimasak goreng, atau dibakar, tapi jarang orang memasak gulai.


IKAN BANYAK TULANG


Ada berbagai-bagi jenis ikan yang diketahui mempunyai banyak tulang, terutama ikan-ikan sungai yang menyebabkan ianya tidak mudah untuk menikmatinya dengan selesa ketika makan.

Ikan kelah yang termasyur itupun,.yang harganya mencecah ratusan ringgit sekilo mempunyai banyak tulang-tulang berselarak pada tubuhnya. Peminat-peminat ikan kelah dan juga ikan lain yang banyak tulang terpaksa berhati-hati ketika memakannya, supaya tidak tersangkut tulang-tulang yang halus itu pada lehernya. Ini menyebab mereka mengambil masa yang agak lama untuk selesai memakannya, kerana terpakasa membuang tulang-tulangnya terlebih dahulu sebelum menyuapkannya ke mulut, dan sekali gus menyebabkan banyak isi-isi ikan itu yang terbuang melekat pada tulang-tulang yang dibuang itu, sedangkan harganya tidak pula murah.


Oleh sebab itu, orang-orang yang penakut rela tidak menjamah ikan yang bertulang seperti itu walaupun sedap, kerana takut tulang-tulangnya melekat pada batang leher yang boleh mambawa bencana..


Tapi kelmarin, dalan kembara singkat kami ke Kuala Balah yang nama sebenarnya Kg. Tengku Abdul Rahman, Jeli, Kelantan kami, bersama Ahmad Faris Zaini, telah bertemu dengan seorang penduduk di situ yang mempunyai petua cara-cara untuk makan ikan-ikan yang bertulang, khususnya ikan kelah.


Kami bertemu dengan beliau di rumahnya di pinggir jalan Kuala Balah ke Gua Musang. Beliau adalah Penghulu Kuala Balah,.Mohd Shamsudin  yang mempunyai banyak pengalaman tentang tata cara untuk menangkap ikan-ikan sungai, terutama di kawasan pendalman..


Katanya beliau sering dari masa ke masa, diajak orang yang ingin mencari ikan di Sungai Kelantan, seperti ikan kelah yang istimewa rasa dan harganya itu.

Beliau mempunyai cara yang mudah untuk memakan ikan-ikan yang banyak mengandungi tulang itu supaya tidak tersangkut pada batang tgengkok ketika menelannya.


Katanya, “Caranya mudah sahaja. Ikan itu hendaklah ditelan bersama dengan tulang-tulangnya. Setelah dimamah, ikan itu hendaklah terus ditelan dengan tengok atau leher yang cukup mantap, tidak bergerak sedikit pun baik ke kanan atau ke kiri. Itu sahaja petuanya yang menyebabkan saya dapat memakan ikan bertulang dengan mudah”.


“Cubalah, “ katanya dengan penuh keyakinan.”Tulang-tulang itu tidak akan melekat pada leher”.


Sesiapa yang suka makan ikan bertulang, khususnya ikan-ikan sungai, seperti ikan kelah, bolehlah mencuba petua ini untuk memboleh mereka menikmatinya dengan selesa dan menjimatkan masa dan harganya yang tidak murah pula.


Bagaimana dengan saya, yang selalu takut dengan ikan-ikan bertulang ini? Saya sejak tahun-tahun kebelakangan inii rela tak makan ikan-ikan yang banyak tulang, terutama tulang-tulang yang kecil, walaupun saya menggemarinya?


Sekian.


Bukit Seraya,
Kuala Balah, Jeli, Kel. 






Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP