IKAN BANYAK TULANG BAGAIMANA HENDAK MAKAN?

>> Friday, March 20, 2015




IKAN BANYAK TULANG BAGAIMANA HENDAK MAKAN?



                                     Penghulu Kuala Balah


Ikan ialah jenis makanan yang popular, di samping daging haiwan. Sebagaimana daging haiwan mempunyai aneka jenis, demikian juga dengan ikan ada aneka jenisnya.


Daging ikan ada berbagai-bagai jenis, sebagaimana banyak jenisnya ikan-ikan itu yang diberikan berbagai nama yang khusus.




Antaranya ikan kembung, tenggiri, kikik, selayang, selar, selar kuning, ikan aya atau ikan tonggkol, ikan ayam, cermin, merah, kaloi atau kelah, telepiar, belukur, keli, haruan, juara, patin, bawal,tempuyu, kerai, belida dan mungkin ratusan jenis ikan lagi.


Demikian juga rupa dan besar kecil ikan-ikan itu berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang amat besar seperti ikan paus, tapi ada pula yang kecil seperti ikan sepilar.


Demikian juga dengan rasanya. Ada berbagai-bagai jenis rasa sebagaimana berlainannya jenis ikan itu. Rasa ikan tongkol tidak sama dengan rasa ikan tenggiri, rasa ikan keli tidak sama dengan rasanya ikan patin, rasa ikan kikik tidak sama rasanya dengan ikan bawal.


Kesan memakan ikan tertentu terhadap seseorang mungkin berbeza-beza pula. Ada orang yang alahan dengan ikan-ikan tertentu, tapi ada pula orang yang dapat memakannya tanpa mendapat apa=apa kesan sampingannya yang merimaskan. Umpamanya ada orang naik gatal-gatal, jika makan ikan tongkol, tapi orang lain pula biasa sahaja.


Ada sesetengah ikan mempunyai banyak tulang hampir memenuhi seluruh badannya, dengan tulang-tulang yang halus dalam berbagai-bagai bentuknya. Sebaliknya, ada pula ikan yang tidak mempunyai banyak tulang, dan tulang-tulangnya tidak halus, kerana itu senang untuk dimakan.


Cara memasak ikan-ikan itu pula berbeza-beza antara sejenis ikan dengan sejenis ikan. Bukan semua jenis ikan sesuai untuk dimasak dengan jenis masakan yang sama. Kalau ikan kembung sedap dimasak percik, tapi orang tidak masak percik ikan kerongeng atau ikan kerisi. Ikan tambang sisik biasanya dimasak goreng, atau dibakar, tapi jarang orang memasak gulai.


IKAN BANYAK TULANG


Ada berbagai-bagi jenis ikan yang diketahui mempunyai banyak tulang, terutama ikan-ikan sungai yang menyebabkan ianya tidak mudah untuk menikmatinya dengan selesa ketika makan.

Ikan kelah yang termasyur itupun,.yang harganya mencecah ratusan ringgit sekilo mempunyai banyak tulang-tulang berselarak pada tubuhnya. Peminat-peminat ikan kelah dan juga ikan lain yang banyak tulang terpaksa berhati-hati ketika memakannya, supaya tidak tersangkut tulang-tulang yang halus itu pada lehernya. Ini menyebab mereka mengambil masa yang agak lama untuk selesai memakannya, kerana terpakasa membuang tulang-tulangnya terlebih dahulu sebelum menyuapkannya ke mulut, dan sekali gus menyebabkan banyak isi-isi ikan itu yang terbuang melekat pada tulang-tulang yang dibuang itu, sedangkan harganya tidak pula murah.


Oleh sebab itu, orang-orang yang penakut rela tidak menjamah ikan yang bertulang seperti itu walaupun sedap, kerana takut tulang-tulangnya melekat pada batang leher yang boleh mambawa bencana..


Tapi kelmarin, dalan kembara singkat kami ke Kuala Balah yang nama sebenarnya Kg. Tengku Abdul Rahman, Jeli, Kelantan kami, bersama Ahmad Faris Zaini, telah bertemu dengan seorang penduduk di situ yang mempunyai petua cara-cara untuk makan ikan-ikan yang bertulang, khususnya ikan kelah.


Kami bertemu dengan beliau di rumahnya di pinggir jalan Kuala Balah ke Gua Musang. Beliau adalah Penghulu Kuala Balah,.Mohd Shamsudin  yang mempunyai banyak pengalaman tentang tata cara untuk menangkap ikan-ikan sungai, terutama di kawasan pendalman..


Katanya beliau sering dari masa ke masa, diajak orang yang ingin mencari ikan di Sungai Kelantan, seperti ikan kelah yang istimewa rasa dan harganya itu.

Beliau mempunyai cara yang mudah untuk memakan ikan-ikan yang banyak mengandungi tulang itu supaya tidak tersangkut pada batang tgengkok ketika menelannya.


Katanya, “Caranya mudah sahaja. Ikan itu hendaklah ditelan bersama dengan tulang-tulangnya. Setelah dimamah, ikan itu hendaklah terus ditelan dengan tengok atau leher yang cukup mantap, tidak bergerak sedikit pun baik ke kanan atau ke kiri. Itu sahaja petuanya yang menyebabkan saya dapat memakan ikan bertulang dengan mudah”.


“Cubalah, “ katanya dengan penuh keyakinan.”Tulang-tulang itu tidak akan melekat pada leher”.


Sesiapa yang suka makan ikan bertulang, khususnya ikan-ikan sungai, seperti ikan kelah, bolehlah mencuba petua ini untuk memboleh mereka menikmatinya dengan selesa dan menjimatkan masa dan harganya yang tidak murah pula.


Bagaimana dengan saya, yang selalu takut dengan ikan-ikan bertulang ini? Saya sejak tahun-tahun kebelakangan inii rela tak makan ikan-ikan yang banyak tulang, terutama tulang-tulang yang kecil, walaupun saya menggemarinya?


Sekian.


Bukit Seraya,
Kuala Balah, Jeli, Kel. 






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP