Dato' Asri Dalam Lipatan Kenangan

>> Sunday, June 19, 2011


Dato’ Asri Dalam Lipatan Kenangan

Baru-baru ini ketika menghantar anak saya, Ahmad Syaibani Zaini ke kampusnya di UKM di Bangi, dalam keadaan masa yang terdesak itu kami sempat singgah di kedai buku universiti itu. Pada masa itu kami baru selesai menghadiri majlis pertunangan anak saudara di Bangi, sementara anak saya yang memandu kereta itu, Arham Zaini pula ada urusan kerjanya yang penting untuk menghadiri mesyuarat, dengan seseorang dari luar negara.



Dalam masa yang singkat itu, saya sempat meninjau sebahagian daripada buku-buku yang ada dalam toko itu. Kerana masa yang amat terbatas itu, saya hanya sempat membeli sebuah buku yang telah agak lama diterbitkan, berjodol:



MEMOIR POLITIK ASRI MENITI ARUS dengan kata pengantar oleh Wan Hashim Wan Teh



Bila sampai ke rumah di KB, saya membelek-belek buku itu, melihat-lihat tajuk kandungannya dan juga memerhati gambar-gambar yang terdapat dalam buku itu. Seingat-ingat saya, sekeping dua gambar di dalam buku itu sama dengan gambar-gambar yang ada dalam simpanan saya di Maktabah Asiah Zaini.



Kenangan saya melayang jauh beberapa puluh tahun yang lalu ketika saya bekerja di Pustaka Dian, dan bertugas dengan Dian Daiges dan akhbar MINGGUAN KOTA BHARU, di Kota Bharu. Di antara berbagai-bagai tugas yang diserahkan kepada saya ialah menjadi wartawan mingguan tersebut, kerana hanya saya seorang yang bertugas untuk menyiapkan mingguan itu setiap minggu.



Oleh itu, saya sering membuat liputan berita tentang Dato’ Mohd Asri. Saya sering mengikuti majlis-majlis yang dihadiri oleh beliau di mana-mana sahaja yang sempat saya ikuti di seluruh Kelantan. Dalam setiap ucapannya ada unsur berita. Walaupun di majlis kecil, bila melihat ada kaum wartawan, beliau akan menyentuh sesuatu yang menarik dalam ucapannya yang boleh dijadikan berita. Itulah keistimewaan beliau.



Saya masih ingat, pada suatu pagi, saya dan beberapa orang kawan pergi ke kediaman rasmi beliau, di JKR 10, Kampung Sirih. Tujuan kami ke sana ialah untuk menemubual isteri beliau, Datin Sakinah. Berkebetulan pada masa itu Dato’ Asri sedang bersiap-siap untuk turun ke pejabat, beliau sedang menyarung stoking ke kakinya sambil duduk di atas kerusi dekat pintu besar JKR 10.



Selepas mengucap salam dan bersalaman, beliau meminta diri untuk berangkat. Kami merasa kemesraan beliau dengan kami yang tiba di rumah beliau di pagi-pagi hari itu.



Saya lihat sebelum beliau melangkah turun memijak tangga rumah, beliau berdiri di muka pintu, sambil membaca doa, kemudian selepas menyapu tangan ke mukanya barulah beliau melangkah turun.



Selepas beliau pergi, kami pun meneruskanlah tujuan kami datang tersebut. Datin Sakinah pun melayan kami dengan ramah mesra.



Ada satu peristiwa lain yang mengingatkan saya kepada Dato’ Asri. Pada suatu hari beliau sebagai Menteri Besar berangkat meresmikan satu majlis anjuran kerajaan negeri Kelantan di sebuah sekolah di Kampung Kor, tak berapa jauh dari Kedai Ketreh.



Saya pergi bersama dengan seorang kawan setugas, Ustaz Rafie Hj.Taib, wartawan Utusan Melayu di Kelantan. Seperti biasa saya menumpang kereta beliau, pejabat Utusan masa itu terletak di sebelah pejabat saya, di Jalan Tengku Chik,



Semasa dalam perjalanan dari Kota Bharu itu, Ustaz Rafie [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] meminta saya mewakilinya bertemu khusus dengan Dato’ Asri supaya memohon maaf daripada beliau atas kesilapan berita yang telah dilakukannya yang diterbitkan dalam Utusan Melayu.



Berita itu telah menggemparkan negara. Saya telah lupa apakah berita yang menyebabkan Dato’ Asri dan pemimpin-pemimpin PAS marah kepada pemberita tersebut dan juga kepada Utusan Melayu. Beliau dan pemimpin-pemimpin PAS secara terbuka mengecam Utusan dan mengumumkan akan segera mengambil tindakan undang-undang terhadap pemberita dan akhbar tersebut.



Ustaz Rafie meminta saya menyampaikan permintaannya memohon maaf itu dan meminta supaya Dato’ Asri tidak menyamannya dan Utusan Melayu.



Sebaik-baik sahaja majlis tamat, dan Dato’ Asri masih berada di meja di bawah pentas, saya pun segera menuju ke arah beliau, dan meminta kebenaran untuk becakap sedikit denganya.



Beliau membenarkan dan memnta saya duduk di sebuah kerusi yang berkebetulan kosong di hadapannya.



Saya pun menceritakan apa yang diminta oleh sahabat saya itu. Beliau dengan tenang sahaja mendengarnya dan tersenyum-senyum. Tidak pula dia bertanya kenapa kawan saya tidak datang sendiri berjumpa dengannya?



“Tak apalah”, kata beliau, “Beritahu dia [Ustaz Raffie] lain kali kalau nak buat berita, berhati-hatilah sedikit. Jangan ikut suka hati sahaja”.



Setelah mengucap terima kasih dan berbual-bual sedikit, saya pun meminta diri sambil menghulur tangan untuk bersalaman dan lalu meninggalkan majlis tersebut.



“Tak apalah, “katanya lagi, “lupakan sajalah”.



Saya terus berjumpa dengan Ustaz Raffie yang sedia menunggu saya di luar bangunan dan menceritakan perkara tersebut. Saya lihat kegembiraan pada wajahnya..



“Oh mujurlah, kalau begitu”, katanya.



Beberapa tahun kemudian, semasa Dato’ Asri telah berpindah ke Kuala Lumpur kerana dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat, seorang penempah makanan yang sering menyediakan makanan di majlis yang diadakan di JKR 10 semasa Dato’ Asri menjadi MB [beliau baik dengan isteri saya, Asiah Yaacob, semoga Allah limpahkan rahmat ke atas mereka] memberitahu salah satu masakan kegemaran Dato’ Asri ialah isi buntut ayam yang di goreng. Mak Cik Ce Esah, panggilannya memberitahu demikian setelah mengetahui pada waktu itu saya pun menggemari masakan tersebut.



Tan Sri Dato’ [Dr] Mohd Asri Hj. Muda dilahirkan pada 10 Oktober 1923 dan pulang ke rahmatullah pada 28 Ogos 1992. Beliau pernah menyandang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan 1959-1961, Anggota EXCO Dewan Undangan Negeri Kelantan 1961-1964, Menteri Besar Kelantan 1961-1964 dan Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah 1973-1977 semasa PAS menyertai kerajaan campuran Barisan Nasional



Demikianlah secebis memeori terhadap Dato’ Asri yang terdapat dalam lipatan kenangnan saya.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

Rahsia-rahsia Kejayaan

>> Friday, June 17, 2011

RHSIA-RAHSIA KEJAYAAN

Setiap orang yang normal bercita-cita untuk berjaya dalam setiap usaha yang mereka lakukan. Ingin berjaya dalam hidup. Tapi tidak semua orang mengetahui apakah rahsia-rahsia untuk meraih kejayaan itu. Demikian juga tidak ramai orang yang mengetahu apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya itu?



Menurut ahli-ahli psikologi ada beberapa sifat yang penting yang mesti dimiliki oleh setiap orang yang inginkan kejayaan. Kali ini kita utarakan sebahagian daripada sifat-sifat itu untuk renungan kita bersama yang ingin mencapai kejayaan dalam hidup yang penuh dengan ranjau-ranjau di sepanjang perjalanan ini.



Takut Gagal


Kebiasaaannya setiap orang takutkan kegagalan. Setiap orang merasa bimbang dia akan menempuh kekalahan dalam perjuangan. Itu perkara biasa.



Pelajar-pelajar yang mengambil ujian atau peperiksaan merasa bimbang kalau mereka gagal dalam ujian atau peperiksaan itu.



Orang-orang yang mengambil ujian memandu keenderaan, keretakah atau motosikalkah, atau kapalterbangkah, tentu merasa bimbang, andainya gagal dalam ujian untuk mendapat lesen itu.



Para pejuang yang pergi ke medan juang, tentu merasa bimbang, takut-takut kecundang, tak akan pulang lagi menemui keluarga, anak dan isteri yang tercinta.



Kebimbangan seperti itu adalah normal. Ketakutan seperti itu adalah biasa dalam kehidupan ini.



Tapi orang-orang yang berjaya tidak menjadi mangsa kepada ketakutan atau kebimbangan yang mencungkil-cungkil hatinya itu. Ketakutan gagal tidak mengikat kakinya untuk bangkit dan melangkah. Kebimbangan gagal tidak menambat tangannya untuk bertindak. Ketakutan kepada kekecewaan tidak menyekat otaknya daripada berfikir.



Malah segala kebimbangan dan ketakutan itu lebih memperkuatkan azamnya dan cita-citanya, mempertingkatkan usahanya dengan lebih teratur, effisen dan gigih untuk menjamin kejayaan menjadi miliknya.



Sebaliknya orang-orang yang malas menjadikan ketakutan itu sebagai halangan kepada mereka untuk bertindak, mengikat kakinya untuk melangkah, menambat tangannya untuk berbuat sesuatu, menyebabkan dia telah tewas, sebelum kaki melagkah ke medan perjuangan yang memang memerlukan kegigihan untuk berjaya. Justeru itu kegagalan adalah layak menjadi milik mereka yang terlebih dahulu mati kerana ketakutan, sebelum trjun ke medan perjuangan.



Tidak Mudah Kecewa


Orang yang berjaya tidak mudah kecewa. Mereka tidak mudah menyerah kalah. Jika kaki sudah mulai melangkah, dia tidak mudah surut ke belakang- berpatah balik. Malah dia terus melangkah dengan lebih tegap, pasti dan hati-hati.



Sekiranya ada rintangan menghadang perjalanannya, dia tetap bertahan, bersabar sambil berusaha untuk melepasinya. Jika keadaan tidak mengizinkan, dia akan memperlahankan langkah, sambil menyusun perjuangan, dan menunggu keadaan lebih selesa untuk meneruskan perjuangan ke tahap yang semenema-menemanya hingga kejayaan menjadi miliknya.



Menyusun Semula Perjuangan


Orang-orang yang berjaya tidak mestinya bersikap keras seperti besi. Malah dia mempunyai sifat yang melentur atau fleksibel. Kalau perlu menukar tektik perjuangan, dia tidak keberatan melakukannya, asalkan kejayaan dapat dicapainya.


Beginilah sifat orang yang bijaksana. Tidak kebertan menukar langkah, menyusun semula strategi untuk mencapai kemenangan. Dalam keadaan sedemikian, surut kebalakang bukan bererti tewas, tapi mengambil masa untuk mengatur semula perjuangan yang lebih sesuai dengan keadaan dan masa yang mengizinkan.



Berani membabi buta tidak memberi guna. Ia hanya mengancam diri dalam kemelut yang tidak wajar, sedangkan jalan lain yang lebih selamat masih terbuka. Tidak guna mencari jalan sukar yang merbahaya, jika ada jalan lain yang mudah, selamat dan menjamin kejayaan.



Akui Kelemahan Diri


Orang yang berjaya tidak merasa bongkak dan sombong, mendakwa dia seorang yang bijak dan pandai yang serba boleh. Dia sedar, tidak ada manusia biasa yang sempurna. Itulah dikatakan tidak ada gading yang tidak retak, malah yang retak itulah sifat gading.



Dia sedia mengakui hal ini tanpa malu. Dia tidak menyembunyikannya. Namun begitu, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangnnya dalam usahanya untuk mengejar kejayaan.



Dia tidak menjadikan kekurangan dan kelemahan dirinya sebagai alasan untuk tidak berusaha dan tidak berjaya.



Dia yakin dia berjaya, dan dia membina keyakinannya itu dengan usaha gigih untuk mengatasi segala titik-titik kelemahan dan kekurangannya.



Bangkit Kembali Bila Jatuh.


Adat perjuangan dalam hidup ini kita mesti bersedia menerima kejatuhan. Jalan hidup ini tidak selalu mendatar, kadang-kadang mendaki dan kadang-kadang menurun. Itulah sebabnya kadang-kala kita terjatuh bila kaki tesandung atau kaki tersalah langkah. Biasaah begitu.



Itu adalah kebiasan dalam perjuangan. Tapi kepada mereka yang inginkan kemenangan, dia akan segera bangkit kembali bila dia terjatuh. Dia tidak akan membiarkan kejatuhan itu menyebabkan dia terbenam dan terus tidak bangkit-bangkit lagi untuk menyambungkan perjuangan.



Sebaliknya dia akan mengumpulkan segala kekuatan dan daya untuk bangkit kembali dan meneruskan sisa-sisa perjuangan untuk meneguk kejayaan. Dia akan terus melangkah dan mendangki untuk mencapai puncak kejayaan dan kemenagnan yang dikejar oleh setiap orang itu.



Kejayaan yang sebenarnya dalam hidup, bukan kerana tidak pernah jatuh, tapi dalam bangkit kembali setiap kali jatuh. Itulah rahsia kejayan dalam perjuangan hidup ini.



Tidak Manyalahkan Takdir


Orang yang berjaya itu mempunyai sifat yang khusus terhadap keberhasilan usahanya.



Kalau dia berjaya meraih kejayaan dalam usahanya, dia tidak mendakwa bahawa kejayaan itu adalah semata-mata kerana hasil kerja keras dan kerajinan dan kecekapanya menjalankan tugas. Itu bongkak dan takabur namanya. Dia sedar, dia hanya berusaha, bekerja keras untuk memperolehi sesuatu, tapi kejayaannya terletak di tangan Allah semata-mata. Yang Maha Berkuasa itu faktor penentunya yang mutlak.



Namun begitu dia sedar, setiap kejayaan memerlukan usaha yang sungguh-sungguh, tanpanya, kejayaan sukar untuk diraih. Kalau kejayaan itu, ibarat buah kelapa muda, untuk menikmatinya perlu dipetik buhanya, kalau hendak menunggu yang gugur, entah bila, dan yang gugur itu pula mungkin kelapa muda yang telah rosak yang tidak enak atau tidak layak dimakan.



Sebaliknya, andainya dia gagal dalam usahanya, dia juga tidak memerpsalahkan nasibnya yang buruk, kerana nasib tidak menyebelahinya. Berkata demikian samalah ertinya mempersalahkan Tuhan yang mentakdir dia jadi begitu.



Di samping itu dia juga tidak bersedia mempersalahlan orang lain. Tapi dia lebih suka mencari kessalahan pada dirinya sendiri, titik kelemahan, kekurangannya, kecetekan ilmu pengetahuannya, menyebabkan dia gagal dalam usahanya itu. Kemudian dia terus berusaha untuk mengatasi segala kelemehan-kelemahan itu untuk memetik kejayaan di masa hadapan.



Bertanggungjawab


Orang yang berjaya ialah orang yang bertanggungjawab. Dia mengambil sepenuh tanggungjawab setiap tugasannya, dan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tanggungjawab itu. Dia bersedia memikul segala risikonya, baik atau buruk, batu kepalanyalah yang menjadi tanggungannya.



Kerana itu dia berusaha, berharap dan tidak lupa berdoa supaya dikurniakan kejayaannya. Kalau dalam berusaha, dia gagal, maka kegagalan itu adalah datang dari dirinya sendiri. Tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan, tidak juga kepada nasib.



Positif


Orang yang berjaya selalunya bersikap positif. Dia melihat kebaikan dalam semua perkara. Setiap sesuatu yang Allah jadikan mempunyai rahsia-rahsia yang tersendiri, dan dalam rahsia itulah terletak segala kebaikan yang kadang-kadang dapat dilihat dengan mata kasar, dan kadang-kadang hanya dapat dilihat dengan mata batin semata.



Itulah sebabnya setiap sesuatu yang kita anggap buruk itu, ada sesuatu kebaikan di sebaliknya. Baginya tidak ada jahat sangka. Pandangan matanya penuh dengan mahabah dan kasih sayang. Tidak suka mengambil sikap tergesa-gesa untuk melemparkan tuduhan kepada sesiapa sahaja. Di belakang setiap keburukan itu mesti ada kebaikannya.


Hanya orang yang buta mata sahaja yang tidak dapat melihatnya, dan orang telinga tuli sahaja tidak dapat mendengarnya, dan orang yang lidahnya kelu sahaja tidak dapat mengucapkan perkara yang benar, di sbelaik segala keburukan itu ada kebaikannya.



Yakin


Orang yang berjaya itu, bila dia membuat sesuatu keputusan dia yakin dengan ketetapan yang dibuatnya itu. Kerana sebelum membuat sesuatu keputusan penting, dia terlebih memikir dan menimbangkannya dengan teliti segala buruk dan baiknya. Justeru itu bila dia membuat keputusan, maka keputusan itu akan dipertahanknnya, sehingga keputusan itu terbukti sebaliknya.



Selagi perkara itu tidak terbukti salah, dia akan terus berpegang dan tegak di atasnya, walaupun ramai orang mempersalahkanya. Sehinggalah dia berjaya. Justeru itu dia tidak cepat surut dan undur kebelakang bila berdepan dengan teguran dan kritikan yang tidak wajar yang akan merugikan perjuangannya semata-mata.



Sabar


Kesabaran amatlah penting dalam setiap perjuangan. Kesabaran adalah tangga yang akan membawa seseorang ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Setiap perjuangan memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana setiap yang dinamakan kejayaan itu memerlukan perjuangan untuk memperolehinya.



Intan dan berlian lumrahnya tersembunyi dalam bumi, dan memerlukan usaha yang gigih untuk mencarinya. Demikian juga dengan minyak dan emas, hanya terdapat dalam perut bumi, perlu dicari dan digali untuk memperolehinya. Mana ada emas datang bergolek dan minyak datang meleleh di hujung kaki?.



Semuanya memerlukan usaha, dan usaha memerlukan sabar untuk berjaya. Onak dan duri ada di sepanjang jalan, sewaktu-waktu mungkin terpijak dan meraih kaki. Orang yang tak sabar, tak tahan diuji, akan terjatuh dan terhenti di situ sahaja. Hanya orang yang sabar sahaja, akan mampu untuk bangkit, dan meneruskan perjuangan untuk memburu kejayaan yang amat berharga kepadanya.



Percayakan Diri Sendiri


Orang yang berjaya adalah orang yang percayakan diri sendiri. Percayakan kebolehan dan kemampuan diri. Kalau tidak ada kepercayaan pada diri sendiri, bagaiama kejayaan hendak dicapai? Kalau anda percaya anda akan berjaya, bererti anda sudah meraih separuh kejayaan, dan tinggal lagi separuh memerlukan usaha anda yang gigih dan berserah kepada Allah.



Ingatlah, sahabat-sahabat anda, dan rakan-rakan kongsi anda sekalipun hanya boleh membantu, tapi tonggak perjuangan ialah diri anda sendiri. Kalau saling harap mengharapkan, anda mengharapkan dia, dan dia pula mengharapkan anda, siapa pula yang bertanggungjwab untuk melaksanakannya?



Semata-mata mengharapkan orang lain, mungkin akan mengecewakan? Soallah diri anda, berapa ramai orang yang ingin bersusah-susah, berpayah-payah dan bertungkus lumus semata-mata untuk kepentingan dan kejayaan kita?



Namun begitu percayakan diri sendiri bukan bererti melupuskan kepercacyaan kita kepada Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Ialah yang menentukan segala-galanya.



Menyombong diri dengan kepandaian diri sendiri sudah tentu akan membawa bencana- menjadi manusia yang sombong dan angkuh-menjadi kacang lupakan kulit, melupakan asal kejadian manusia yang tidak mempunyai apa-apa sejak dilahirkan ke dunia.



Demikianlah sedikit ciri-ciri keperibadian yang dimiliki orang-orang yang berjaya dalam hidup mereka, atau wira-wira yang mendapat sanjugan dan menjadi pujaan dalam bidang masing-masing. Tanamlah dalam diri anda dengan ciri-ciri tersebut untuk menjadi manusia yang berjaya, orang pertama yang mampu meraih kejayaan dalam kehidupan anda.



InsyaAllah.


xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

Read more...

Kenapa Dengan Penonton Bola?

>> Wednesday, June 15, 2011



Kenapa Dengan Penonton bola?

Ketewasan Pasukan Kelantan di tangan Terengganu dalam Final Piala FA di Stadium Bukit Jalil Sabtu [11 Jun 2011] lalu masih lagi masih menjadi bualan umum. Persoalannya ketewasan The Red Warriors 1-2 di tangan Terenggaanu?



Berbagai-bagai alasan yang mereka berikan sebab-sebab kekalahan itu. Pada umumnya mereka bercakap tentang faktor yang negative. Ini tidk dihairankan kerana harapan mereka untuk Kelantan memperolehi kemenangan tinggi menggunung. Oleh itu bila mereka tewas, bukan muka sahaja yang berkedu, tapi juga Bukit Praksi pun telah turut ranap bersama dengan harapan mereka yang kecewa.



Mereka yang bercakap tentang ketewasan pasukan Kelantan ini meliputi semua peringkat, dari orang dewasa sampai kanak-kanak sekolah rendah, dan kebanyakannya membuat andaian yang sama yang menjadi faktor kekalahannya, yang pada orang-orang berfikiran rasional tak masuk akal sama sekali.



Sejak tahun-tahun kebelakangan ini perlawaan bola sepak telah merupakan sebahagian daripada peristewa-peristewa penting bukan sahaja bagi rakyat Kelantan Darulnaim, tapi juga bagi rakyat seluruh negara Malaysia, terutama bagi negeri-negeri yang terlibat dalam perlawanan akhir.



Selain daripada orang-orang dewasa, termasuk orang-orang yang telah lanjut usia, kanak-kanak sekolah rendah pun menjadi peminat bola. Bila sampai ke sekolah di waktu pagi, mereka akan bercakap pasal bola dan bertanya guru perempuan, adakah gurunya tengok perlawanan bola semalam? Kemudian mereka pun membuat beberapa komen yang mungkin didengarnya daripada komen-komen orang dewasa?



Salah seorang cucu saya, masih di sekolah rendah di tahun tiga, Nik Muhammad Syafiq Zaini bin Safyi adalah seorang peminat bola. Dia tahu bila sesuatu pelawanan bola akan diadakan di antara pasukan Kelantan dengan pasukan-pasukan lain, malah dia juga tahu tarikh perlawan-perlawanan bola di Eropah, serta mengetahui nama pemain-pamiannya sekali. Dan dia juga mempunyai pasukan yang diminatinya dan membeli baju dan lambang pasukan Eropah tersebut.



Namun begitu dia tidaklah sampai pergi ke padang bola seperti sesetengah kanak-kanak peminat bola yang lain, tapi dia hanya menonton bola di hadapan telivisyin sahaja bersama dengn ayahnya.



Mungkin salah satu daripada perbelanjaan tersebesar yang dihabiskan oleh rakyat Kelantan setiap tahun ialah berhujung dengan bola-harga teket bola, teket tambang, harga minyak, makan minum dalam perjalanan, tempat penginapan kalau pergi awal ataupun balik lewat bagi menonton perlawanan yang diadakan di luar Kelantan, dan sebagainya berhubung dengan perlawananan bola?



Berapakah agaknya perbelanjaan yang digunakan oleh rakyat Kelantan setiap tahun untuk mengikuti perlawanan bola, terutama sekali bila pasukan Kelantan mampu memasuki peringkat suku akhir, separauh akhir atau peringkat akhir?



Kita percaya bukan semua peminat-peminat dan penyokong-penyokong pasukan Kelantan terdiri dari orang-orang yang berada, atau pegawai-pegawai kerajaan yang berpendapatan tetap setiap bulan, malah sebahagian daripadanya terdiri daripada orang-orang kampong, para petani dan orang yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.



Kebanyakan mereka pergi keluar Kelantan, ikut jalan darat, naik bas atau membawa kenderaan sendiri yang dikongsi bersama tambang minyaknya untuk pergi dan balik. Dan mana-mana mereka yang mampu pula pergi ikut jalan atas, naik kapal tebang pergi balik, lagi ringkas dan cepat urusannya



Yang penting untuk diingati oleh para peminat bolat ialah menjaga keselamatan diri dan harta mereka semasa dalam perjalanan, dan tidak mempermudahkan kewajipan bersolat. Kita harap tidak ada yang terlepas solatnya kerana bola.



Walau bagaimanapun setiap kali ada perlawanan bola, ahli jemaah madrasah akan renggeh atau berkurangan ahli jemaahnya, kerana sebahagian daripada mereka berangakat ke stadium untuk menonton bola, dan sebahagian lagi pula menunggu di hadapan kaca tv awal-awal lagi kerana tidak mahu ketinggalan walau pun sedikit perlawanan itu.



Untuk mendapat perbelanjaan untuk menonton perlawanan di Bukit Jalil, hari Sabtu baru-baru ini ada di antara mereka yang terpaksa menjual harta benda mereka. Kami dimaklumkan ada di antaranya terpaksa menjual ayam dan kambing ternakan mereka untuk memperolehi wang perbelanjaan ke Bukit Jalil.



Mungkinkah mereka sanggup menjualnya untuk keperluan-keperluan persekolahan anak-anak mereka? Atau untuk keperluan perawatan anak-anak dan isteri-isteri mereka yang sakit?



Ada pula berbagai-bagai kesah lucu yang berlaku di kalangan penyokong-penokong Kelantan yang pergi ke Bukit Jalil itu. Sekumpulan peminat dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang berhenti di sebuah restoran untuk mengisi perut yang terasa lapar.



Bila nasi dihidangkan, salah seorang daripada mereka kelihatan amat sukar untuk memamah makanan. Bila ditanya kenapa, dia menjelaskan sebaris dari gigi palsunya yang di sebelah atas telah terjatuh.



Katanya perkara itu berlaku bila dia melaung kegembiraan sewaktu pasukan Kelantan menyumbat gol yang pertama, gigi palsunya itu terjatuh, puas dia mencarinya di bawah tempat duduk tapi sampai selesai perlawanan gigi itu tidak ditemuinya.



Oleh itu dia pulang dengan sebelah gigi palsu di bahagian bawah, sementara gigi di sebelah atasnya telah berkubur di Stadium Bukit Jalil. Itulah yang menyebabkan dia kelihatan sukar untuk mengonyah makanan.



Bila mendengar penjelasasn itu, bukan sahaja rakan-rakan sekereta dengannya yang ketawa, malah pelanggan lain yang berada berhampiran dan mendengar kesah itu turut sama ketawa tergelak-gelak.



Psikologi Penonton Bola


Berhubung deng persoalan tersebut, saya petik apa yang pernah saya ketengahkan dalam Pondok Rahmat ini tentang sifat peminat bola sepak untuk perhatian pembaca yang dihormati.


Perlawanan bola sepak selalunya mendapat sambutan yang hangat di mana-mana sahaja di pertandingkan di seluruh dunia. Adalah perkara yang biasa, seramai ribuan orang menonton satu-satu pertandingan bola sepak berteket yang bukan murah sekalipun.

Kenapa perlawanan bola sepak mendapat sambutan yang begitu hangat di mana-mana sahaja? Kenapa pula mereka bertingkah laku yang luar biasa ketika menonton perlawanan itu? Adakah mereka telah gila semuanya pada waktu itu?



Penonton-penonton bola sepak boleh menjadi hangat dan panas bila pasukan yang diminatinya tewas di tangan lawan, ini membuat darah mereka mendidih dan mungkin akan memuntahkan caci-maki, dan kata-kata kesat.



Sebaliknya kalau pasukan yang diminatinya itu mencapai kemenangan, mereka akan merasa gembira yang melimpah-limpah, sehingga mendorongkan mereka menjerit-jerit dan memekek-mekek sampai tidak sedarkan diri.



Untuk menonton sesuatu perlawanan mereka bukan sahaja mengeluarkan duit, malah sanggp menanggung kesusahan, berasak-asak, berpanas dan berhujan, walaupun tempat duduknya tidak selesa, hanya di atas simen bertigkat-tingkat yang dibina sebelah dalam sekeliling stadium sebagai tempat duduk. Dalam musim panas di negeri-negeri tropika, lantai simin itu terus panas bahangnya walaupun matahari telah terbenam di kaki langit. Malah mereka bersedia berdiri dalam hujan yang turun mencurah-curah, walaupun kadang-kadang tanpa payung atau baju hujan untuk berteduh.



Kebanyakan penonton bola sepak lebih suka berdiri daripada duduk, kerana dengan berdiri mereka dapat bergerak secara bebas, terutama di waktu keghairahan bila pasukan yang diminatinya mencapai kemenangan.



Malah peminat-peminat yang sebenarnya tidak dapat berdiam diri atau berpeluk tubuh ketika menonton perlawanan yang sedang rancak. Semangat mereka terletak di tengah-tengah padang bersama-sama pemain yang sedang berlari dan menendang bola dengan lincah, mereka juga seolah-olah turut menendang, membawa dan menanduk seperti pemain-pemain di tengah padang.



Kadang-kadang berlaku kekacauan antara penonton sesama penonton atau antara penonton dengan pemain di tengah padang. Pergaduhan juga pernah berlaku sampai mengorbankan jiwa. Kadang-kadang pergaduhan itu berlaku di tengah-tengah jalanraya antara peminat-peminat selepas perlawanan selesai. Bukanlah satu perkara yang luar biasa, bas-bas dan kenderaan peminat-peminat diserang oleh peminat-peminat pasukan lain dengan batu dan kayu. Bila berlaku pergaduhan pehak polis terpaksa campurtangan untuk menenangkan keadaan.



Sebabnya, emosi berkumpulan lebih mudah melorongkan kepada kekerasaan dan lebih mudah membuat mereka kehilangan perimbangan. Memanglah satu perkara yang sukar terjadi kepada penonton sebagai individu untuk mencuri masuk ke dalam rumah seseorang, kemudian memecah pintu bilik dan memanjat ke atas bumbung untuk menonton perlawanan bola sepak di tengah padang. Tapi bagi sekumpulan penonton yang begitu ghairah untuk menonton, sedangkan teket telah kehabisan, perkara yang lebih buruk dari itu pun mungkin terjadi.



Kekerasaan di tempat perlawanan bukanlah satu perkara yang luar biasa lagi. Pemain-pemain dan pegawai-pegawai pernah dihujani dengan batu-batu, botol, cawan, kayu, mercun dan sebagainya. Peminat-peminat yang keberangan, pernah menyakiti pemain-pemain dan pengadil, malah kadang-kadang pernah memukul mereka sampai pengsan.



Peminat-peminat bukan sahaja merasa diri mereka sebagai sebahagian dari orang ramai yang menonton itu, tapi juga benar-benar merasa diri mereka sebagai salah seorang daripada pemainnya.



Faktor ini jugalah mendorongkan peminat-peminat yang keghairahan berlari-lari ke tengah-tengah padang.



Selain daripada itu, menurut ahli-ahli psaikologi, ada satu macam kenikmatan dalam menanggung kesukaran untuk menonton perlawanan bola sepak. Malah mereka mungkin merasa bangga menanggung kesukaran-kesukaran tersebut.



Pemnat-peminat bola sepak juga merasa kepuasaan kerana kegemarannya dapat memenuhi keperluannya yang asasi sebagai manusia, iaitu perasaan dimiliki. Di bandar-bandar terkemuka, pasukan bola sepak menjadi bahan pembicaraan dari mulut ke mlut, malah kadang-kadang menjdi berita radio, akhbar dan tv. Itulah sebabnya pasukan bola sepak yang baik dapat menimbulkan kebanggaan di kalangan orang ramai yang meminatinya dan menjadi kebangaan negerinya.



Peminat-peminat juga mempunyai hubungan emosi yang kukuh dengan pemain-pemain pasukan yang diminati, Justeru itu kemenangan atau kekalahan sesuatu pasukan itu mempunyai kesan terhadap seluruh peminat-pemantnya. Ini boleh diperhatikan pada wajah dan air muka mereka. Dan inilah juga yang mendorongkan seseorang peminat tulin mengikuti ke mana sahaja pasukannya bermain, walaupun ratusan batu.



Yang lebih menghairahkan lagi, ialah sewaktu berada dalam kumpulan itu mereka boleh berbuat sesuatu yang tidak tergamak mereka melakukannya secara individu, kerana akan dicaci dan dicela oleh orang ramai. Tapi dalam kumpulan penonton yang ramai itu mereka memekek sekuat hati mereka suka, mengutuk pengadil, menyakiti hati pegawai-pegawai lain, mempersalahkan lawan secara terang-terangan, merangsangkan pasukan yang diminatinya, membaling barang-barang, menolak orang ramai, pendeknya mencurahkan segala emosinya yang terkurung.



Inilah suasana-suasana bola sepak yang menarik ramai orang menontonnya dan itulah sebabnya tayangan bola sepak semenrusi tv tidak begitu menarik hati peminat-peminat bola sepak yang sebenarnya dan mampu pergi ke padang perlawanan. Menonton tv tidak ada suasana kebisingan dan kemeriahan seperti berada di stadium bola. Itu jugalah sebabnya peminat-pemiant kriket atau bolatangkis tidak sehebat peminat-pemiant bola sepak.



xxxxxxxxxxx



Biasik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP