JALAN-JALAN CUCI PERUT DAN CUCI MATA

>> Wednesday, February 7, 2018








JALAN-JALAN ALAS PERUT DAN CUCI MATA
[Kedai Buloh, Rantau Panjang, Wakaf Che Yeh]


HARI JUMAAT yang lalu, [2 Febuari  2018], anak saya, Arham Zani dan seorang sahabatnya dan juga sahabat saya Ahmad Osman. dari Saujana,  Selangor ada bersama kami di rumah kami di Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan. Kunjungan mahabah untuk sehari dua. Mereka sampai kira-kira pukul sembilan pagi selepas bertolak dari TDI pada sebelah malamnya.

Medan Ilmu Tok Guru

Setelah mandi-manda dan bersarapan pagi dengan nasi berlauk Air Dingin, lauk  ikan gulai dan ayam gulai kami keluar dari rumah, di Kampung Parit, Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Tujuan kami ialah untuk meninjau aktiviti-aktiviti perniagaan di Medan Ilmu yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu. Jarak antara Pasir Tumboh dengan Kota Bharu hanya kira-kira sepuluh kilometer sahaja. Perniagaan di sini hanya dijalankan setiap pagi Jumaat sahaja sehingga menjelang waktu solat Jumaat. Kedua-dua mereka masih belum sampai ke situ.





Sewaktu kami sampai itu, tazkirah oleh seorang tokoh agama baru sahaja selesai, dan doa sedang dibacakan di mana seluruh yang hadir, para pengunjung dan penjual, lelaki dan wanita menadah tangan dan mengaminkan doa. Antara permohonan yang dipanjatkan kepada Allah ialah memohonkan Negeri Kelantan Darulnaim ini terus berada di bawah pemerintahan PAS.





Kemudian kami masuk ke kedai Jaafar Rawas yang penuh dengan orang ramai untuk mencari keperluan mereka seperti buku-buku, majalah-majalah, ubat-ubatan, madu dan buah-buah kering import dan sebagainya. Setelah meninjau ejap buku-buku di rag, kemudian  kami membeli sedikit buah kurma Najwa dan senaskah Majalah Pengasuh, terus keluar dari tokoh itu.







Setelah meninjau-ninjau jualaan yang beratur di kiri kanan Jalan Tok Pati, di hadapan Bangunan PAS itu, kami terus beredar ke jalan sebelah belakang di mana ramai juga para peniaga di situ. Sebelum sampai ke situ kami melewati lorong belakang yang tidak ada operasi perniagaan, di mana dinding-dinding bangunan di contengkan dengan berbagai gambar-gambar mural, terutama gambar-gambar  warga Palsetin yang dizalimi oleh Yahudi.  Muda-mudi, kelihatan bergambat berlatarbelakangkan mural di dinding yang terletak di belakang bangunan batu itu.




 
Kami pun berfoto juga, memilih mana-mana pandangan yang kami sukai untuk kenangan, dan diedarkan pada kawan-kawan yang berada di luar Kelantan dan juga di luar negara menerusi WhatApps. Selepas puas berkeliling, dan melihat aktiviti-aktiviti jualan yang sebahagian besarnya  dikendalikan oleh kaum wanita, kami membeli sedikit Buah Zabib Kering [kismis], dan makan aiskrem durian. Berbagai-bagai bahan dijualkan di pasar pagi di situ, terutama barang-barang dari kampung yang terdiri daripada makanan-makanan, minuman-minuman segera, buah-ketuah, ubat-ubatan tradisional, madu, buku-buku dan majalah-majalah, kaset-kaset, peralatan rumahtangga, pakaian yang terdiri dari baju, seluar, kain, kasut, aneka jenis jam, dan nasi belauk, lokceng dan sebagainya ada juga dijual.

Akhirnya kami sampai ke hujung jalan tempat menjual dan kami pun terus  keluar dari kawasan bisness menuju ke kereta yang diparkirkan tidak jauh dari situ dengan memilih jalan singkat melintasi di bahagian tengah kondomiun yang bertangga. Bangunan itu dulunya ialah bangunan Pasar Besar Kota Bharu yang telah diubahsuai oleh Kerajaan PAS sebagai tempat tinggal yang istimewa.

Kami sampai ke rumah pukul dua belas lebih sedikit, dekat waktu Zohor untuk berjumaat.

Balik dari solat Jumaat kamai makan tengah hari di rumah. Resepinya masakan tradisional Kelantan, terdiri dari nasi putih, ikan singgan, ikan bakar sumbat sambal tempoyak, daging goreng garam kunyit, kerabu mentah timun, ulam kacang botol, daun ketereh, ulam raja, dan budu berlada burung [cili api]. Sungguh berselera kami makan.

Alhamdulillah.

Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Sebelah petangnya kami tidak ke mana-mana. Hanya berihat di rumah, lagi pun mereka berdua tidak tidur semalaman kerana memandu kereta dari TDI ke Pasir Tumboh yang menelan masa selama beberapa jam.





Tapi pada sebelah malamnya kami pergi ke Pasar Malam Terbuka Wakaf Che Yeh, iaitu sebuah pasar malam yang terkenal di Daerah Kota Bharu yang terletak kira-kira  7km dari bandar Kota Bharu. Ia juga dikenali dengan panggilan Pasar Minggu atau Pasar Borong Wakaf Che Yeh.

Asalnya sebuah perkampungan, yang dihujung jalan rayanya ada sebuah cabang [sempang] tiga, jalan ke Utara mengahala ke Pasir Mas, melalui Kg. Salor, jalan di sebelah kanan menghala ke Ulu Kelantan, sekarang Gua Musang, dan terus ke Kuala Lumpur, sementara disebelah kirinya menuju ke Pusat Bandar, Kota Bharu dan boleh mengambil jalan terus ke Kuala Terengganu melalui Jerteh untuk terus ke Selatan, Pahang, Johor dan juga Kuala Lumpur.

Wakaf Che Yeh menjadi terkenal dengan mendadak bila Radio Malaysia membina setesen radionya di situ, dan setiap hari mengkemundangkan ke udara kata-kata  “Radio Malaysia Wakaf Che Yeh” untuk pendengar-pendengarnya di mana sahaja mereka berada.




Kemudian Radio Malaysia tidak lagi menggunakan kata-kata Wakaf Che Yeh. Dulunya di Wakaf Che Yeh itu ada sebuah pasar biasa, yang menjual berbagai-bagai barang keperluan, terutama makanan yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli dan pejual, terutama di sekitanya setiap hari.

Kemudian sebuah Pejabat Pos didirikan di Wakaf Che Yeh yang memeriahkan lagi kawasan tersebut.

Dan seterusnya dari pasar biasa ianya telah ditingkatkan menjadi sebuah pasar yang lebih besar, iaitu pasar terbuka diadakan kedua-dua sesi siang dan malam. Pada umumnya waktu siang kebanyakan barang-barang yang dipasarkan ialah terdiri dari barang-barang basah seperti sayur-mayur, lauk-pauk, buah-ketuah, dan juga makanan, kueh-mueh dan juga nasi belauk serta barang-barang keperluan rumahtangga, seperti kain baju dan sebagainya.

Sedangkan pada waktu malam kebanyakannya para penjual menumpukan kepada barang-barang  kering, seperi kain baju, alat-alat elektrik, mainan kanak-kanak, bauan-bauan dan sebagainya.






Kami lihat banyak gerai-gerai sementara didirikan oleh para peniaga untuk menjual aneka jenis barang-barang mereka, terutama sekali pakaian kanak-kanak, pakaian dewasa lelaki dan wanita. Pada hemah kami ia lebih besar perniagaannya daripada perniagaan di Dataran Ilmu yang kami kunjungi sebelah paginya.

Waktu kami sampai itu masih awal malam lagi, para penghujung boleh dikatakan sudah agak ramai, walaupun tidak berasak-asak. Masih selesa untuk berlegar-legar dan melihat-lihat barang dan untuk membeli-belah. Saya hanya membeli sebotol minyak wangi sahaja, Harga barangan tidak mahal, malah berpatutan malah kadang-kadang  boleh dikatakan murah.

Menurut seorang penjaja di situ, sejak kebelakangan ini akibat ekonomi meleset pembeli-pembeli senegeri telah jauh berkurangan jika dibandingkan dengan masa-masa yang lalu. Masa yang ramai sedikit ialah hari-hari cuti atau musim cuti sekolah, di mana ramai pelawat-pelawat dari luar Kelantan datang untuk berbelanja.

Kami tidak lama di Wakaf Che Yeh, kerana saya telah merasa capet dan memberitahu mereka untuk menamatkan kembara malam itu setelah mereka membeli pakaian dan  lalu balik untuk berihat.

Masjid Beijing

Pagi besoknya, hari Sabtu sebagaimana direncanakan kami pergi makan pagi di Restoran Kopitian Kita yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa untuk sarapan pagi, rerstoran yang terkenal dengan roti Tittab,sapu planta dan kaya, dan sebiji telur masak separuh diletak tergolek di tengah-tengah sekeping roti bakar yang berukuran besar dari biasa. Minumannya teh tarik.

Di samping itu kueh-mueh dan nasi bungkus, khususnya nasi bungkus Air Dingin disediakan. Nasi kerabu, nasi dagang bungkus juga ada disediakan, di samping beraneka jenis kueh, seperti karipap, pulut lepa, pulut bakar, pulut pagi, pulut dakap dan berbagai-bagai jenis kueh lagi yang boleh dipilih mana yang hendak dinikmati.

Selesai makan, kami bertolak ke Rantau Panjang, kira-kira 45km daari Kota dan terletak dalam Jajahan Pasir Mas untuk melawat Masjid Beijing. Bila sampai di Rantau Panjang, kami terus ke Pasar Rantau Panjang terlebih dahulu dan membuat rancangan untuk singgah di Masjid Beijing dalam perjalanan pulang nanti. Kerana cara itu lebih praktikal kepada kami. Kami ingin mencari laksa Siam untuk dinikmati oleh sahabat kami itu. Laksa Siam ini bentuknya halus-halus comel, tidak seperti laksa Kelantan yang saiznya lebih besar sedikit.

Kami berada di warung  Cendol yang termasyur itu [maaf saya lupa namanya]. Kami menempah dua pinggan laksa Siam,   sepinggang pulut durian dan sepinggan pulut buah pauh Siam [mempelam], segelas air cendol, dan segelas lagi air buah kabung di kedai cendol.



 



Saya meminta sepinggan nasi goreng yang tidak pedas, dan berdadar telur, dan segelas air kosong dari gerai sebelah. Mula-mulanya saya bermaksud untuk membasuh mulut dengan tepung bokol [talam] ubi kayu yang berada di atas meja di hadapan kami, tapi akhirnya membatalakannya kerana sudah kenyang selepas makan separuh sepinggan nasi goreng.

Selepas makan kami pergi membeli-belah pakaian untuk keluarga di rumah, anak-anak dan isteri mereka. Pakaian ini dijual di bazar  yang baru dibina, bertingkat tiga. Namun begitu pasar lama masih beroperasi setelah bangunannya dibaikpulih semula. Setelah selesai membeli-belah sedikit kami bertolak ke Masjid Beijing yang tidak berapa jauh dari situ, yang terletak dalam kawasan bandar Rantau Panjang juga, dan di pinggir jalan menghala ke Pasir Mas dan ke Kota Bharu.












Kami solat Zohor di Masjid Beijing, kemudian merakam foto di dalam dan diluar masjid untuk dijadikan kenangan. Masjid ini dibina dalam bentuk yang unik mencerminkan bangunan Cina Islam yang menarik, di pandang dari luar atau dari dalamnya.

Masjid ini juga dikenali dengan panggilan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, dan dipanggil juga Masjid China kerana reka bentuknya mencerminkan Cina Muslim.

Pada masa itu pelanggan masih belum begitu ramai lagi, kerana masih belum pukul sepuluh, di mana kaki-kakitangan kerajaan masih belum keluar berihat dan keluar mencari makan. Ada beberapa jenis nasi dijual di sini, iaitu nasi belauk, lauk ayam dan ikan, nasi kerabu, berlauk daging bakar dan kambing bakar dan nasi dagang.







Kami hanya memesan sepinggan nasi belauk gulai ayam, sepinggan nasi belauk gulai ikan. Dan sepinggan lagi nasi belauk ayam gulai tanpa kuah. Kueh-mueh sudah habis dan hanya ada beberapa bungkus  pulut pagi, dan kami mengambilnya dua bungkus kecil.



 
Sebagaimana dimaklumkan kepada kami sebelumnya, nasi di restoran ini berselera untuk memakannya kerana sesuai dengan selera umum. Di samping itu masakannya juga tidak manis dan tidak pedas menyengat seperti kebanyakan tempat.

Kami hanya memesan segelas air teh madu yang berjebak dan dua gelas air suam. Kerana ada di antara kami bertiga yang hendak minum air teh yang sama di Restoran Pak Mat di tepi jalan yang memang terkenal dengan teh tarik madu berjebak. Dalam perjalanan pulang kami singgah di situ dan memesan dua gelas teh tarik madu yang berairskrem. Saya tidak minta apa-apa, hanya meneman mereka makan.





Selepas makan kami bertolak ke Kota Bharu meneruskan mision mencari kueh taradisonal yang kami cari itu. Kami singgah di Kedai Kubang Pasu, yang letaknya tidak jauh dari Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu. Tapi pasar itu tidak seperti dulu lagi, menjual kueh-mueh tradisional yang istimewa bikanan tukang-tukang masak terkenal. Kueh yang kami cari tidak dijual di situ. 

Pada masa dahulu sebahagian besar daripada penjual-penjual dalam pasar itu saya kenal dan baik dengan mereka, tapi hari ini sudah tidak ada lagi, telah betukar tangan.

 

 Justeru kami terpaksa juga pergi ke Pasar Siti Khadijah untuk mencari kueh-kueh yang kami cari itu. Sebenarnya kami cuba mengelak ke Pasr Siti Khadijah untuk meringkaskan masa kami. Seperti biasa juga pasar itu sibuk dengan orang ramai menjual dan membeli-belah, dan kami terus menuju ke bahagian menjual kueh-mueh, dan memang di situ apa yang kami cari memang ada, iaitu jala emas, ketupat dan pulut bakar, serta keropok lekor

Dan dalam perjalanan keluar pasar kami membeli sedikit pauh lemak, dan pisang, sejenis air bau atau minyak wangi yang disukai oleh salah seorang dari kami di gerai wangi-wangian dalam pasar itu.

Selepas itu kamu terus pulang ke rumah. Selepas bersolat Zohor , dan berihat sekejap, jam telah pukul empat petang, mereka berdua pun memulakan perjalan untuk bertolak pulang ke rumah masing-masing, dengan melalui jalan Terengganu. Setelah berhenti makan, yang terdapat di sepanjang jalan ke Kuala Lumpur terdapat  banyak gerai-gerai makan, mereka baru sampai ke rumah di Saujana kira-kira pukul tiga pagi.







Alhamdulillah semuanya selamat.

Banyak tempat-tempat menarik yang belum dilawati dan dikunjungi. Sesungghnya Negeri Kelantan Darulnaim kaya dengan aneka jenis makanan tradisional, tempat-tempat menarik, dan kaya dengan seni dan budaya yang berbagai-bagai ragam dan bentuk.

Harap datang lagi!

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP