ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM

>> Sunday, September 17, 2017






ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM

[Disaring dari kertaskerja
Oleh Hj.Idris Bin Hj. Yusof’
Pegawai Dakwah, JHEAI Negeri Kelantan.
Tahun:1994].



*Terdapat juga sesetengah peniaga menjual barang dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, sedangkan sikap demikian adalah berdosa. Di Akhirat kelak Allah akan memerintah kepada peniaga yang mengambil untung secara tidak berpatutan itu, supaya membayar balik kepada pelanggan dalam bentuk pahala.**
xxxxxxxxx

ALLAH SWT memperuntukan sebahagian besar  dunia ini untuk keperluan hidup manusia, sebagaimana firman Nya dalam Kitab Suci Al Quran, yang bermaksud: 
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan dalam Kitab Zabur bahawa bumi ini adalah pesaka bagi hamba Ku yang soleh”.
Dalam ayat yang lain Allah berfirman, maksudnya,
 “Dialah yang menjadikan untuk kamu semua perkara yang ada di bumi ini”.

Salah satu daripada punca kemudahan dan kemewahan hidup  manusia di dunia ini ialah sistem perniagaan secara pertukaran barang barang.
Perniagaan Mengikut Peraturan

Allah telah membuat kawalan rapi dalam sistem perniagaan ini untuk mencegah  daripada berlakukan kezaliman dan penganaiyaan terhadap orang orang yang lemah. Dalam hal ini Allah telah menggaris panduan asas  di dalam Kitab Suci alQuran dengan firman Nya yang bermaksud:
“Wahai orang orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang [yang diberi tempoh] hingga ke sesuatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis [hutang dan masa bayarannya] itu. 


Dan hendaklah seseorang penulis di antara kamu menulis dengan adil [benar]  dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan [isi surat hutang itu dengan jelas]. 
Dan hendalah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah ia mengurang sesuatupun dari hutang itu. 
Kemudian jika orang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan [isi surat itu] maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil [benar] dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi  lelaki dan dari kalangan kamu.
Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang orang yang kamu setujui menjadi saksi supaya jika yang seorang lupa dari saksi saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan oleh seorang lagi. Dan janganlah saksi saksi itu enggan apabila mereka dipanggil [menjadi saksi].

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempuh  masa itu. Samada kecil kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu lebih adil  di sisi Allah dan lebih membetulkan [menguatkan] keterangan saksi dan juga lebih hampir  kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai  perniagaan tunai yang kamu izinkan sesama kamu. Maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi saksi  apabila kamu berjual beli.

Dan janganlah mana mana juru tulis  dan  saksi itu disusahkan  [dengan tidak memberi belanja  berpatutan] . Dan kalau kamu melakukan  [apa yang dilarang itu] maka sesungguhnya  yang demikian adalah perbuatan fasiq [durhaka] yang ada pada kamu.

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa  kepada Allah dan [ingatlah] Allah, [dengan keterangan ini] mengajarkan kamu dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap tiap sesuatu”.Al Baqarah [2]: 282.

Dengan ayat ayat tersebut Allah mengajar cara cara berjual beli, berniaga dan berhutang, iaitu di suruh kita menjaga kepentingan pihak yang terlibat supaya tidak teraniaya dan tidak berlaku perselisihan yang berlarutan tanpa dapat diselesaikan, iaitu dengan cara membuat perjanjian bertulis dan disaksi oleh saksi saksi yang adil.

Arahan dan panduan telah dijadikan contoh oleh pentadbir atau pemerintah dalam negeri negeri Melayu dahulu sehingga terkanunnya satu undang undang kontrak bagi negeri negeri Melayu yang diberi nama Ordinan P.T.M. 14 Tahun 1950 yang berkuatkuasa pada 23/5/1950.
Peniaga Mukmin

Semasa mencari kemewahan hidup di dunia ini, tidak wajar orang Mukmin lalai daripada kewajipan terhadap Allah, lalai dengan nikmat nikmat yang terlonggak di hadapan, kerana segala harta kekayaan dunia ini tidak berapa lama akan hilang, dan apa yang tinggal hanya amalan yang soleh.
Allah berfirman di dalam al Quran, maksudnya: 
“Wahai orang orang yang beriman janganlah kamu dilekakan oleh harta kekayaan kamu atau anak pinak kamu daripada mengingati Allah, barangsiapa bersikap demikian, merekalah orang yang rugi”.

Di dalam ayat yang lain Allah mengingatkan bahawa kekayaan dan kemewahan di akhirat lebih mulia dan lebih berharga daripada segala nikmat nikmat dunia ini, samada nikmat melalui harta perniagaan atau nikmat berupa perhiasaan di dunia.

Allah berfirman, maksudnya, 
“Katakanlah wahai Muhammad pahala dan balasan yang ada di sisi Allah  ini lebih mulia daripada hiburan dan barang barang dagangan itu, dan Allah sebaik baik memberi rezeki”. Al Jumaat:11.
Ketika seseorang peniaga sedang menjalankan urusan perniagaan, kadangkala dia merasa terikat dan berat untuk meninggalkan pekerjaannya itu, terutama kalau ramai pelanggan yang menyerbu, walaupun azan telah mulai dikemudangkan. Mereka nampak pendapatan dan keuntungan yang akan mereka perolehi, justeru mereka menjadi lalai dan tidak menghiraukan panggilan azan itu
.
Justeru itu Allah memberi peringataan kepada orang orang Mukmin dengan firman Nya, yang bermaksud:
“Wahai orang orang yang beriman apabila diseru azan [bang] bersegeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan sembahayang Jumaat] dan tinggallah berjualbeli [pada saat itu]  yang demikian itu adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenar].
Dalam perniagaan Allah tidak menegah manusia  memiliki keuntungan yang banyak , asalkan ianya diperolehi dengan cara yang sesuai dan menasabah, tidak melalui jalan curang atau tipu daya atau menindas.

Justeru Allah mengancam dengan azab kepada mereka yang menyeleweng dari garisan garisan yang halal, dengan firman Nya yang bermaksud:
“Kecelakaan besar orang orang yang curang  [dalam timbangan dan sukatan]. [Iaitu] mereka yang apabila menerima sukatan [gantang cupak] dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan [sebaliknya]  apabila mereka mnyukat atau menimbang untuk orang lain mereka kurangi tidaklah mereka meyangka mereka akan dibangkitkan [hidup semula sesudah mati], pada hari kiamat yang amat besar huru haranya. Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam. Tidak sepatutnya [mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari Akhirat, Sesungguhnya kitab suratan amal orang orang yang berdosa itu [didaftar] di dalam Sijjin”. Al Mutafifin: 1 8. 
Orang orang Mukmin yang percayakan pembalasan Allah di Akhirat nanti tidak akan berani melakukan sebarang tipudaya dalam urusan perniagaan, maka dengan itu akan kelihatan keunggulan Islam dan kebenaran yang akan dihormati oleh kawan dan lawan, dan mendorong manusia berurusan dengan orang Mukmin.

Baginda Rasulullah saw mengutarakan  amaran keras Allah SWT  terhadap orang orang Mukmin menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Tiga puak manusia yang Allah tidak bercakap, tidak memandang dan tidak membersih mereka di hari Akhirat kelak, malah akan dibekalkan mereka dengan azab neraka.

“Pertama orang yang mempunyai air di padang belantara tapi dia tidak memberi kepada musafir yang sedang dahaga.

Kedua orang yang berniaga  bila selepas Asar [di waktu petang]  bersumpah dengan nama Allah untuk melariskan barang dagangannya dengan sumpah bertujuan menipu. Sedangkan ramai orang yang percaya dengan sumpahan itu.

Ketiga orang yang menyokong sesuatu imam [pemerintah]  hanya untuk mendapatkan sesuatu, dan sekirangnya dia tidak mendapat apa apa habuan, maka terus tidak dipedulikannya”.

Jika para peniaga itu telah berjaya dalam perniagaannya, Allah mengingatkan mereka supaya bertimbang rasa terhadap pelanggan pelanggan yang miskin, dan memberi tempoh yang sesuai kepada mereka untuk membayar hutang.
Allah berfirman, maksudnya:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang dalam kehidupannya”.al Baqarah:280

Dengan jalan ini dapat melahirkan perasaan kasih mesra golongan misikin terhaap orang kaya, lebih lebih lagi andainya hutang itu tidak begitu banyak, maka si kaya pun melepaskan sahaja hutang hutang itu.

Allah berfirman, maksudnya:
“Dan bahawa kamu sedekahkan sahaja hutang itu alangkah baiknya untuk kamu [di Akhirat kelak]. Al Baqarah: 280.


Permasalahan
Dalam perlumbaan untuk mendapat keuntugan yang berlipat ganda, sering kali terdapat peniaga yang lupa batas sebagai seorang hamba Allah. Kerana itu timbulkan penggunaan pelayan pelayan muda  di kedai makan, dengan pakaian yang tidak senonoh, malah ada yang mendedah aurat. Mereka bergaul mesra dengan pelanggan tanpa batas. Peniaga peniaga ini lupa segala gerak kerja atau lakunannya di dunia ini akan dihitung.

Peniaga peniaga seperti ini  telah lupa bahawa keberkatan atau rezeki itu di tangan Allah  yang boleh menarik dan memberi kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.

Allah berfirman,maksudnya:
“Ia memberi rezeki kepada orang yang Ia kehendaki dengan tidak terhingga”.

Terdapat juga sesetengah peniaga menjual barang dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, sedangkan sikap demikian adalah berdosa. Di Akhirat kelak Allah akan memerintah kepada peniaga yang mengambil untung secara tidak berpatutan itu, supaya membayar balik kepada pelanggan dalam bentuk pahala.

Ada juga pekedai pekedai yang menayangkan gambar gambar lucah, dan kaset yang dimuatkan dengan kata kata lucah, tanpa memperhitungkan keruntuhan akhlak dan keperibadian anak bangsanya sendiri di masa akan datang. Perbuatan seperti ini juga akan disoal oleh Allah di Akhirat nanti.


Tindakan tindakan Yang Perlu Diambil

1.Mengadakan kursus pendek kepada seluruh peniaga seupaya menjadi peniaga yang bertaqwa, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“[Ibadat itu dikerjakan oleh] orang orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjualbeli daripada menyebut serta menngingati Allah, dan mendirikan sembahayang, serta memberikan zakat, mereka takutkan hari [kiamat] yang padanya berbalik balik hati dan pandangan”. AnNur: 38.

2.Para peniaga hendaklah bersedia mengikuti risalah risalah  atau sebarang maklumat berhubung dengan perniagaan, seperti risalah zakat, aurat dalam Islam dan adat adat pergaulan yang telah ditunjukkan oleh Islam semasa berkomunikasi dengan pelanggan.

3. Para peniaga hendaklah sedia menerima tunjuk ajar atau  bimbingan dari pihak pihak yang bertanggungjawab dari masa ke semasa dalam membentuk keperibadian peniaga muslim, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
“Taatlah kamu kepada Allah  dan taatlah kepada Rasul dan kepada pemerintah dari gulungan kamu”.
Sekian.



Lorong Masjid al Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.





                                                                                  

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP