PNAGLIMA BAYU DAN SEJARAHNYA

>> Sunday, October 18, 2015




PANGLIMA BAYU DAN SEJARAHNYA



Panglima Bayu adalah sebuah kampung tradisional yang terletak dalam Daerah Jedok dan dalam Jajahan Tanah Merah. Ia terletak dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Jeli.


                                                 Wan Jaafar


Saya percaya tidak ramai orang yang mengetahui sejarah awal Kampung Panglima Bayu, termasuklah warga tempatan Kampung Panglima Bayu, terutama dari kalangan generasi baru.


Saya bernasib baik kerana kami berkesempatan bertemu dengan seorang yang mengetahui dan dapat mencerita tentang perkara tersebut. Kami bertemu dengan beliau beberapa tahun yang lalu dikediamanya di Pasir Mas, Kelantan.



                                          Tengku Ahmad Panglima Raja


Siapakah orang itu? Beliau adalah bekas Penggawa Jedok, dan bertanggungjawab memberi nama Kampung Panglima Bayu kepada kampung tersebut, dan nama itu terus berkekalan hingga sekarang. Ianya senuah nama yang hebat, gandingan dua perkataan yang mempunyai pengertian yang bertentangan iaitu Panglima yang menujukkan seseorang yang kuat dan gagah berani, sementara bayu ialah angin yang bertiup lembut dan lonak.


Beliau adalah Wan Jaafar bin Wan Mahmud dilantik oleh Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim menjadi Penggawa Jedok pada tahun 1949. Jedok pada masa itu sebuah daerah yang terletak dalam Jajahan Pasir Mas dan Kampung Panglima Bayu pula terletak dalam Daerah Jedok.


Beliau menceritakan pada suatu masa dalam  TM 1915 datang ke kampung  itu seorang lelaki bernama Awang Senik bin Domat, bergelar Tok Ta’ah. Beliau datang bersama dengan tujuh orang rakan-rakannya datang dari Kampung Seluan,  Lemal, Pasir Mas. Awang Senik telah membuka tanah hutan di situ untuk dijadikan tempat kediaman. Beliau berusaha menanam padi huma.


Tanaman padinya subur, dan mereka juga menjalani kehidupan yang senang lenang di kampung tersebut sehingga tahun 1916. Pada musim menanam padi pada tahun 1917 dan 1918 mereka berusaha menanam padi seperti biasa. Padinya tumbuh dengan subur sekali dan mengeluarkan buah-buah yang berwarna kuning keemasan.


Tapi belum lagi sempat hasilnya diketam atau dituai, datanglah sekumpulan gajah dan babi-babi hutan menyerang hasil-hasil tanaman mereka. Segala pokok-pokok dan tanaman padi mereka habis musnah. Mereka tidak dapat menikmati sedikitpun hasil titik peluh merek yang telah tercurah.



                                         Masjid Jedok


 Tok Ta’ah dan rakan-rakannya berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk menghalau musush-musuh tanaman itu tapi tidak berjaya. Mereka gagal kerana mereka tidak mempunyai sebarang senjata yang boleh memusnah dan menakut-nakutkan haiwan-haiwan itu supaya tidak datang menganggu lagi.


Kerana tidak tertahan dengan bencana tersebut, lima orang daripada mereka telah berpindah ke tempat baru, iatu di Ulu Kusial. Justeru yang tinggal di situ hanya tiga orang sahaja lagi.


Kemudian pada tahun 1918 datang pula dua orang lelaki ke kampung tersebut. Mereka ialah Awang bin Hj. Ismail dari  Patani Siam dan seorang lagi Daud bin Hj. Awang dari Kampung Seluan, Lemal Pasir Mas.

Awang bin Hj. Ismail membawa selaras senapang asap [kek]. Mereka berdua, bersama-sama dengan tiga orang lagi yang masih tinggal itu telah bekerjasama erat untuk memburu musuh-musuh tanaman itu. Mereka telah  menjalankan berbagai usaha dan ikhtiar untuk menghalau gajah-gajah dan babi-babi hutan itu. Kedatangan mereka membawa tuah.


Akhirya berkat keberanian dan ketabahan, mereka pun berjaya meghalau musuh-musuh tanaman itu. Keadaan kampung menjadi aman tenteram semula.


Awang bin Hj. Ismail, seorang pawang hutan yang berani, sehingga digelar oleh rakan-rakannya sebagai Tok Panglima Hutan dan kemudiannya dikenali juga dengan panggilan nama Tok Awang Rotan Tawar.


Berkat usaha gigih dan sabar Awang Hj. Ismail dan rakan-rakannya itu dari tahun 1918 hingga tahun 1925 kehidupan di kampung itu bertambah aman dan mewah. Tanaman-tanaman padi sentiasa subur mengeluarkan hasil yang menyenangkan. Berita kemakmuran kampung tersebut cepat tersebar sampai kepada penduduk di kampung-kampung lain, mendorongkan mereka datang untuk ikut membuka tanah-tanah hutan di situ dan membuka tanah-tanah huma bersama dengan mereka.


Namun begitu pada tahun 1925 keadaan telah berubah, menurut perubahan alam ketentuan Allah. Sekali lagi musuh-musuh tanaman datang menyerang. Bukan sahaja gajah dan babi, tapi haiwan-haiwan kecil yang mampu menimpa bencana, iaitu tikus-tikus yang bekerjasama merosakakan padi-padi mereka. Walaupun berbagai-bagai ikhtiar telah mereka lakukan, tapi mereka hanya  berjaya menumpaskan gajah dan babi, tapi mereka gagal untuk menumpas tikus-tikus yang begitu banyak bilangannya itu yang datang membawa bencana walaupun keadaan mereka jauh lebih kecil keadannya.




                                          Jalan Jedok

Akibatnya mereka kekurangan makanan, hidup menderita menanggung kesusahan. Tanah-tanah mereka telah dilelong oleh kerajaan kerana tidak mampu membayar hasil tanah.


Justeru penduduk-penduduk di situ membuat keputusan untuk berpindah meninggalkan kampung tersebut untuk mencari tempat baru yang lebih baik. Tapi Tok Panglima Hutan dengan bantuan Daund Bin Hj. Awang dengan sabar terus berusaha dengan gigihnya membasmi musuh-musuh tanaman itu. Mereka memujuk penduduk-penduduk supaya tidak berhijrah, dan pujukan mereka berjaya menundakan penduduk-penduduk dari segera berpindah.


Pada tahun 1930 Tengku Ahmad Panglima Raja bin Tengku  Abdul Ghaffar memegang jawatan Ketua Jajahan Pasir Mas. Beliau memberi nasihat kepada penduduk-penduduk kampung supaya membatalkan niat mereka untuk berpindah, dan menyeru mereka untuk terus berusaha dengan sabar dan gigih mencari jalan untuk menghapuskan tikus-tikus itu.


Nasihat Tengku Panglima Raja itu diterima baik oleh Tok Panglima Hutan dan penduduk-penduduk kampung lalu mereka berusaha keras membasmi tikus-tikus itu di samping terus bercucuk tanam seperti biasa. Segala usaha mereka itu telah membuahkan hasil, dan kampung menjadi mewah dan makmur semula.


Berdasarkan peristiwa itulah kata Wan Jaafar beliau telah merekakan nama kampung tersebut, Kampung Panglima Bayu. Beliau menegaskan, “ Dari kesimpulan peristiwa inilah  saya telah mengambil kesempatan merekakan nama sebuah kampung untuk menasabah dan sesuai sebagai balasan jasa pengorbanan kedua-dua pengasas ini, mudah-mudahan menjadi ingatan kenangan selama-lamanya. Dari hari ini saya pohonkan limpah kemurahan Yang Mulia Tengku bersetuju mengisytiharkan dengan rasminya kampung ini dengan nama “Kampung Panglima Bayu”.


Demikianlah bermulanya sejarah nama Kampung Panglima Bayu.


Berikutnya Tengku Ahmad Panglima Raja, Ketua Jajahan Pasir telah mengisytiharkan dengan rasminya nama Kampung Panglima Bayu pada 23 Julai 1952.


Kemudian pada pagi 29 Ogos 1958 Pemangku Raja Kelantan, Tengku Yahya Petra telah berangkat melawat Kampung Panglima Bayu.


Fakta-fakta sejarah ini saya perolehi daripada teks  ucapan Wan Jaafar Hj. Mahmud, bekas Penggawa Jedok yang diserahkan kepada saya ketika saya dan isteri, Allahyarahmah Asiah Yaacob menziari beliau di rumahnya, bersama-sama dengan dokumen lain.










Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelatan, Darulnaim.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP