Bukit Marak Dalam Lembaran Sejarah Kelantan Darulnaim

>> Monday, June 10, 2013






BUKIT MARAK DALAM LEMBARAN SEJARAH KELANTAN DARULNAIM



BUKIT MARAK ialah sebuah bukit yang terletak dalam Jajahan Bachok, letaknya kira-kira 24 kilometer dari Kota Bharu, ibu negeri Kelantan Darulnaim. Dari segi bahasanya Bukit Marak bererti Bukit Menyala, mempunyai tempat yang tersendiri dalam sejarah negeri Kelantan, khususnya dalam sejarah Kesultanannya. Kampung yang terletak di sekitar Bukit Marak itu dipanggil Kampung Bukit Marak mengambil sempena nama bukit itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap bulan kami melalui sebatang jalan hadapan Bukit Marak dan dapat melihat bukit itu dari jarak yang lebih dekat. Setiap bulan saya mengikuti keluarga, menjemput cucu kami, N. Noor Syafiqah Zaini yang belajar di MRSM Kota Petra, Besut Terengganu untuk balik ke rumah kerana diberi kelepasan sebulan sekali oleh pehak maktab. Kemudian menghantarnya pula balik sehari kemudiannya ke maktab melalui jalan yang sama juga.

Setiap kali melalui jalan Bukit Marak dan terpandangkan bukit itu saya biasanya terkenang bahawa saya dan Allahyarahamah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] pernah mendaki bukit itu pada suatu pagi pada masa yang lalu. Waktu itu saya sedang menyusun buku KELUARGA DIRAJA KELANTAN DARULNAIM” pada tahun 1987 kerana saya ingin melihat dan memijak kaki sendiri bukit yang dikaitkan dengan sejarah negeri Kelantan Darulnaim itu. Saya juga telah merakam gambar-gambar ketika berada di puncak bukit itu.

Ketika kami sampai berhampiran bukit itu pada pagi tersebut, ada beberapa orang kanak-kanak sedang bermain-main, maka kami pun mengajak mereka menaiki Bukit Marak untuk menunjukkan jalan dan tempat-tempat bersejarah itu. Pada hari ini kanak-kanak itu telah menjadi dewasa. Saya sedang mengesan gambar-gambar yang telah saya rakamkan itu, dan sehingga ini hanya berjaya mengesan beberapa keping gambar sahaja yang letaknya tidak tersusun dalam simpanan saya.

Bukit Marak adalah sebuah bukit yang terkenal di negeri Kelantan, kerana mempunyai pertalian dengan sejarah Kesultanan negeri Kelantan Darulnaim. Bila menyebut nama Puteri Saadong sudah tentu Bukit Marak menjadi sebahagian daripada legendanya yang termasyur hingga ke hari ini.

Untuk mengingatinya, ada baiknya kita menyelusuri sedikit sejarah kesultanan negeri Kelantan Darulnaim sebagai latar belakang sejarahnya. Sejarah pemerintahan beraja di negeri Kelantan yang pemerintahnya beragama Islam lahir kira-kira pertengahan abad ke-15, iaitu di sekitar tahun 1411 M. Rajanya bernama Raja Kumar. Tapi dari mana asal usul Raja Kumar itu masih belum dapat dipastikan hingga sekarang. Sejauh yang diketahui Raja Kumar mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Cina.

Selepas pemerintahan Raja Kumar, lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar yang berakhir hingga tahun 1465 M. Selepas itu pada akhir abad ke-15, iaitu dalam tahun 1465 M negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Mansor Shah yang mengganti paduka ayahandanya, Sultan Iskandar Shah.

Pada masa itu kemasyuran negeri Kelantan telah terserlah sampai ke negeri Melaka. Kemudian Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang akhir, telah mengirim balatentera  untuk menyerang negeri Kelantan. Dalam peperangan yang dilakukan secara mengejut itu Sultan Mansor telah tewas dan melarikan diri ke Patani. Akhirnya seorang daripada tiga orang puteri Sultan Mansor yang bernama Unang Kening telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Melaka, yang kemudiannya menjadi bonda kepada
Sultan Muzaffar Shah, pemerintah Perak yang pertama 1531 M. Dua orang puteri baginda lagi ialah Cubak dan Cuban.

Selepas Sultan Mansor mangkat pada tahun 1526 M, setelah kembali memerintah Kelantan kira-kira selama enam bulan, maka putera sulungnya dan yang tunggal, iaitu Raja Gombak telah dilantik menjadi Sultan Kelantan pada tahun 1526 M. Bila baginda pula mangkat, cucuandanya Raja Ahmad yang diambil sebagai anak angkatnya telah ditabal menjadi Sultan Kelantan pada tahun 1584 M. Baginda berkahwin denan Cik Banun puteri Seri Nara D’Raja, sepupu kepada Raja Hussin di sebelah isteri putera Lela Wangsa Pahang.

Dari hasil perkahwinan itu, tiga tahun kemudian, baginda dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Che Wan Kembang. Ketika puteri yang cantik jelita itu berusia tiga tahun, baginda Raja Ahmad pun mangkat.

Oleh sebab  waktu itu CheWan Kembang masih kecil, maka seorang kerabat Johor bernama Raja Hussin dari Johor itu telah dilantik menjadi pemangku raja pemerintah negeri Kelantan. Enam belas tahun kemudian Raja Hussin pun mangkat pada tahun 1610 M, maka Che Wan Kembang pun menjadi raja dan bersemayam di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan pada tahun 1610 M. Sebelum itu nama gunung itu “Dan Besar”, tapi ditukar menjadi “Gunung Chinta Wangsa” oleh Che Siti Wang Kembang sendiri. Letaknya kira-kira 27 batu arah ke Tenggara Kuala Kerai.

Pusat kerajaan di Gunung Chinta Wangsa menjadi masyur dan dilawati oleh pedagang-pedagang dari seluruh dunia, termasuk pedagang-pedagang Arab yang memanggil Che Siti Wan Kembang dengan panggilan “Paduka Che Siti”. Baginda Che Siti sangat gemarkan kijang yang dipersembahkan oleh rakyat baginda dari Gunung Ayam, sehingga diterapkan gambar kijang itu  di atas wang emas perbelanjaan negeri dan kemudian gambar kijang itu dijadikan sebahagian daripada lambang kebesaran Kerajaan Kelantan hingga ke hari ini.

Pada masa Baginda Che Siti Wan Kembang memerintah kerajaan berpusat di Gunung Chinta Wangsa itu , maka di sebelah Timur Laut  negeri ini pula ada  sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal, dalam daerah Mentuan, Bachok yang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Sakti tahun 1638 M. Kemudiannya Jembal itu lebih dikenali dengan nama “Kedai Lalat” sampai sekarang dan letaknya kira-kira 6 batu daripda bandar Kota Bharu.

Mengikut legendanya Raja Sakti dikatakan berasal dari Buluh Betong dan permaisuri baginda, Puteri Mani Kemenyan pula dilegendakan  berasal dari buih yang asal keturunannya dari Tok Raja Bersiong, Raja Kedah.

Dua belas tahun kemudian Raja Sakti mangkat, lalu puteranya bernama Raja Loyar dilantik menjadi raja penggantinya pada tahun 1649 M. Baginda mempunyai seorang putera yang dinamakan Raja Sakti dan seorang puteri bernama Puteri Saadong, tapi putera baginda itu mangkat sejak masih kecil lagi.

Paduka Che Siti Wan Kembang dari Gunung Chinta Wangsa telah berangkat mengadap Raja Loyor dan mengambil Puteri Saadong untuk dijadikan anak angkat, kerana baginda tidak mempunyai putera ataupun puteri.

Puteri Saadong, seorang puteri yang cantik parasnya sehingga rakyat di Chinta Wangsa menggelarkan Puteri Saadong dengan nama timang-timangan Puteri Wijaya Mala. Berita kecantikan Puteri Saadong telah tersebar hingga keluar negara. Raja Besar Siam telah menghantar rombongan untuk meminang Puteri Saadong, tapi telah ditolak oleh Paduka Che Siti. Kemudian untuk menyelamatkan keadaan, Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan sepupunya bernama Raja Abdullah, dan dirajakan di Cetak, dalam Jajahan Pasir sebelum berpindah ke Mahligai, dalam Jajahan Melor sekarang.

Tapi diceritakan Raja Besar Siam yang tidak puas hati dengan penolakan peminangannya dulu terus mendesak supaya Puteri Saadong dihantar ke negaranya. Raja Abdullah, kerana memikirkan keselamatan negeri dan rakyatnya mengizinkan permaisurinya, Puteri Saadong berangkat ke Bangkok.

Tapi bila Puteri Saadong kembali semula dengan selamat ke Kota Mahligai, dan mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain,  maka tercetuslah perbalahan antara kedua suami isteri itu akibat cemburu, dan berakhir dengan kemangkatan Raja Abdullah, kerana tertikam dengan pemacak sanggol Puteri Saadong.

Kemudian atas kehendak Puteri Saadong, Raja Abdul Rahim adikanda Raja Abdullah telah diangkat menjadi Raja Kota Mahligai pada tahun 1671 M, dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah.

Tapi pemerintahan Raja Abdul Rahim tidak disukai oleh rakyatnya kerana bertindak zalim. Tiap-tiap hari ramai rakyat Kota Mahligai datang menghadap Puteri Saadong yang telah berpindah dan bersemayam di Bukit Marak yang terletak dalam Daerah Bekelam, Bachok, mengadu tentang Raja Abdul Rahim dan merayu baginda supaya campurtangan mengembalikan keamanan di Kota Mahligai.

Tapi akhirnya Raja Abdul Rahim mati ditikam oleh orang berhampiran dengan Tasik Layang-layang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Adul Rahmin itu, maka terputuslah kesah Kerajaan Mahligai, dan selepas itu wujud kembali Kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada tahun 1675 M.

[Namun begitu ada sesetengah pendapat mengatakan Puteri Saadong tidak berpindah ke Bukit Marak, tapi ke Gunung Ayam, yang terletak berhampiran dengan Sungai Negiri, Ulu Kelantan. Mengikut pendapat ini di Gunung Ayam itulah Puteri Saadong menghilangkan diri. Hingga kini jejaknya tidak dapat dikesan].

Ketika Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak, se gala dayang-dayang dan inang pengasuhnya ikut berpindah bersama dengan baginda, termasuklah seorang pengawal peribadinya yang dipanggil Awang Selamat.

Sepanjang masa itu perhubungannya dengan raja-raja Kampung Jembal tidak terputus. Jika raja-raja Jembal mengadakan keramaian, Puteri Saadong akan diundang untuk hadir bersama.

Mengikut legendanya, semasa Puteri Saadong dalam perjalanan ke Kampung Jembal itu baginda diikuti oleh pasukan-pasukannya yang khusus yang tidak kelihatan di mata orang ramai. Diceritakan dalam perarakan itu akan kedengran paluan-paluan gendang dan sorak-sorai manusia, tapi tidak dapat dilihat oleh orang awam wajahnya, kecuali mereka yang berdarah raja sahaja. Perarakan itu dikepalai oleh Puteri Saadong sendiri dengan menunggang gajah, dan biasanya perarakan itu diadakan pada waktu malam.

Di kemuncak Bukit Marak itu Puteri Saadong bersemayam dalam sebuah gua. Dikatakan tidak ada sesiapa pun yang dapat melihat wajahnya dengan jelas. Kalau ada penduduk-penduduk kampong yang datang untuk meminjam pinggang manggkuk untuk merayakan sesuatu majlis jamuan, baginda hanya memerintah dayang-dayangnya sahaja menyerahkan barang-barang itu kapada mereka.Inang pengasuh ini pun tidak dapat dilihat parasnya kerana mereka pun menyembunyikan diri juga, melainkan dua tanganya sahaja yang kelihatan yang dihulurkan keluar pintu gua, sedangkan bahagian  anggota-anggota badan yang lain disembunyikan di sebalik pintu gua itu.

Barang-barang itu boleh dipinjamkan oleh sesiapa sahaja, dengan sarat apabila selesai digunakan hendaklah segera dihantar kembali ke gua itu, dan jika ada yang rosak atau pecah hendaklah diganti dengan yang baru.

Tapi di kalangan peminjam-peminjam itu ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak menepati janji mereka. Mereka tidak memulangkan barang-barang yang mereka pinjam itu balik ke gua. Malah ada juga mereka yang gatal  senghaja memegang tangan inang-inang  pengasuh Puteri Saadong ketika mereka menghulurkan tangan menyerahkan  barang-barang yang hendak dipinjam itu dengan berselindung di sebalik pintu gua.

Ini menimbulkan kemarahan Puteri Saadong, dan pada suatu malam baginda bertindak meninggalkan Bukit Marak, dan berpindah ke Gunung Ayam.

[Pada masa-masa yang lalu, kalau kita pergi ke mana-mana pun di negeri Kelantan ini, orang-orang tua kebanyakannya boleh dengan yakin menceritakan bahawa Puteri Saadong memang memberi pinjam kepada penduduk-penduduk kampong alat-alat keperluan dapur kepada mereka yang hendak membuat kenduri-kandara. Tapi kemudiannya, kata mereka, Tuan Puteri Saadong telah merajuk dan tidak lagi meminjamkan lagi barang-barangnya itu kerana kebanyakan peminjam-peminjam itu tidak menghantarkanya kembali atau menghantarnya barang-barang yang telah rosak tanpa menggantinya dengan yang baru].

Di Gunung inilah Puteri Saadong dikatakan bertindak menghilangkan diri, dan tidak dapat dikesan hingga sekarang.

Mengikut legendanya, semenjak Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam, maka segala segala barang-barang yang pernah diberi pinjam kepada orang-orang kampong telah bertukar menjadi batu.

Untuk seterusnya saya kutip catatan Daud Yusoff mengenai perkara tersebut. Ikut menjadi batu ialah gajah yang ditunggangi oleh Puteri Saadong. Selain daripada gajah, terdapat juga dua jenis bunyi-bunyian, iaitu dua pasang gendang yang ikut bertukar menjadi batu. Alat-alat ini dipercayai digunakan oleh Puteri Saadong ketika menghadiri sesuatu majlis keraian.

Sekarang gajah yang dikatakan menjadi batu itu, benar-benar kelihatan seperti seekor gajah, tapi bahagian belalainya telah patah kerana dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, mungkin kanak-kanak nakal yang berkunjung ke tempat itu.

Tempat batu gajah itu terletak dipanggil Batu Gajah, dan tempat alat-alat bunyi-bunyian menjadi batu itu dipanggil “Batu Bergendang”.

Pengawal peribadi Puteri Saadong yang dipanggil Awang Selamat itu juga dikatakan tidak boleh dilihat dengan jelas wajahnya. Keadaannya luar biasa. Awang Selamat itu dikatakan mempunyai bentuk badan yang amat besar dan mempunyai kekuatan yang sungguh luar biasa. Dia dilegendakan dapat menggndar dua buah bukit di atas bahunya.

Kesan-kesan Awang Selamat boleh didapati di Bukit Marak. Antaranya ialah tapak kaki Awang Selamat pada suatu batu di kemuncak bukit itu. Jarak di antara kedua tapak kaki kiri dan kanannya kira-kira 10 ela, besarnya lebih kurang 11/2 kaki dan lebarnya 8 inci.

Ini membuktikan Awang Selamat Selamat itu seorang yang benar-benar besar dan gagah.

Di samping itu ada sebuah pasu yang digunakan oleh Awang Selamat untuk mengasah goloknya. Air dalam pasu itu tidak pernah kering. Kononnya bila air dalam pasu itu hampir kering, maka hujan pun turun, dan air dalam pasu itupun penuh semula. Pasu pengasah golok Awang Selamat itu masih terdapat sampai sekarang.

Demikian juga bekas punggung  Awang Selamat ketika duduk untuk mengasah golok itu juga masih terdapat hingga sekarang.

Di sebelah selatan Bukit Marak itu terdapat sebuah bukit lagi, iaitu Bukit Kechik. Mengikut legenda, kedua-dua bukit itu adalah hasil kandaran Awang Selamat, yang patah kayu kandarannya lalu bukit itupun terjatuh di tempat yang ia ada sekarang. Jarak antara kedua bukit itu ialah lebih kurang 200 ela sahaja.

Di celah antara kedua bukit itu telah dibina sebatang jalan yang boleh dilalui dari Bukit Marak  ke Jelawat, Bachok.

Sekianlah satu sudut dari sejarah negeri Kelantan untuk renungan bersama.

 



6 comments:

Jana Rezeki January 20, 2016 at 9:06 PM  

Assalamualaikum,
Sekarang ni bolehkah didaki Bukit Marak ni? Ada laluan denai ke?

Jana Rezeki January 20, 2016 at 9:07 PM  

Assalamualaikum,
Sekarang ni bolehkah didaki Bukit Marak ni? Ada laluan denai ke?

Anonymous,  September 23, 2016 at 3:55 PM  

Tuan bleh tanyo orng kg kt situ..orng tuo2.

Mohd Arief November 13, 2016 at 2:14 PM  

Boleh naik ko bukit tu loni,ad laluan ko

razalimariam 8690 January 8, 2017 at 8:32 PM  

keturunan hamba awang selamat tu hamba cicit ciat nya

razalimariam 8690 January 8, 2017 at 8:33 PM  

keturunan hamba awang selamat tu hamba cicit ciat nya

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP