Harapan Lembu Korban Kepada Anda?

>> Saturday, November 13, 2010



HARAPAN Lembu Korban Terhadap Anda?


“ Allahu akbar!
Allahu akbar!
Allahu akbar!
Bismillah, Allahumma haazihi minka wa ilaika fataqabbal minni,
Allahu akbar!
Allahu akbar!
Allahu akbar!
Walillahil hamd”.

Itulah lafaz-lafaz yng disunatkan dibaca ketika binatang korban hendak disembelihkan yang bermaksud, “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, ya Tuhanku kurniakanlah salawat dan rahmat ke atas Sayyidina Muhammad. Ya Allah, ya Tuhanku! Ini korban daripada Engkau dan kembali kepada Engkau, maka terimalah korban daripadaku! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dan kepada Allahlah kembali segala pujian”.

Hari Raya Adha telah berada diambang. Matahari 10 Zulhijjah bersamaan 17 NovemberInsa-Allah pasti menjelang tiba. Seperti biasa sebahagian dari kita yang mampu sudah tentu akan berkorban pada hari mulia ini, biasanya di negara kita lembu adalah binatang pilihan untuk dikorbankan.

Bagi orang yang hendak berkorban, binatang-binatang itu telah lama mereka pilih dan tempah daripada penjual-penjual lembu berupa seekor lembu atau sebahagian daripada seekor lembu yang dibahagikan kepada tujuh bahagian.

Lembu-lembu yang menjadi pilihan itu pasti bersyukur kerana terpilih menjadi calon untuk dikorbankan pada hari raya Adha yang mulia ini yang mempunyai sejarah yang tersendiri.

Kalau lembu itu mempunyai ingatan sudah tentu ia akan menghimbau kembali kisah Nabi Ibrahim as. ketika hendak mengorbakan puteranya, Nabi Ismail as. kerana patuh kepada perintah Allah yang Maha Berkuasa. Cinta Nabi Ibrahim as. kepada Allah lebih agung daripada cintanya kepada segala benda di alam maya ini.

Ketika Nabi Ibrahim as. menyembelih puteranya Ismail itu, tapi pisau yang tajam itu tidak mampu memotong leher Ismail yang bulat-bulat menyerahkan dirinya kepada Allah. Kemudian Allah SWT menggantikan Nabi Ismail yang sedang disembelih itu dengan haiwan lain; mengikut jumhur ulama, haiwan itu ialah seekor kibas yang berbulu putih, bermata hitam dan bertanduk besar, pada masa itu tertambat di sebatang pokok tidak jauh daripada tempat Nabi Ibrahim as. berada.


Tapi hari ini, cinta yang kudus kepada Allah S.W.T. seperti Nabi Ibrahim al-Khalil mencintai Allah itu adalah sukar untuk diperolehi’, kerana manusia telah dilalaikan dengan beraneka nafsu keduniaan yang begitu rendah tapi amat besar kesannya ke atas jiwa mereka.

Walau bagaimanapun lembu itu sudah pasti mengharap supaya upacara pengerbornan itu tidak merupakan penyeksaan terhadap mereka, kerana manusia, khususnya umat Islam, memang tidak diharap menyeksa haiwan ketika menyembelih mereka.

Justeru itu manusia, terutama para penyembelih yang bijaksana, diharap oleh sang lembu menggunakan pisau, golok dan sebagainya yang tajam ketika melakukan penyembelihan. Dan inilah sunatnya.

Sang lembu juga mengharap para penyembelih menyebelih mereka dengan cara yang bersugguh-sungguh sambil menghadap kiblat, dan dengan lembu sembelihan juga dihalakan ke kiblat.

Tapi malangnya, kata sang lembu ada manusia yang tidak mengambil kira tentang peraturan-peraturan yang tidak bertulis ini; berapa ramai nenek moyang, saudara mara sang lembu sejak dahulu kala lagi telah disembelih dengan cara yang kejam, menggunakan alat-alat penyembelihan yang tumpul, ataupun dibunuh dengan cara yang tidak berperkemanusiaan.

Apa tidaknya, ada di antara penyembelih-penyembelih dari kalangan manusia itu menggunakan alat-alat yang tumpul, seperti tulang-tulang dan gigi-gigi untuk menyembelih, yang menimpakan rasa terseksa di kalangan umat lembu, walaupun mereka merelakan dikorbankan demi kepentingan manusia.

Justeru itu, para lembu jika mereka dapat berkata-kata akan memberitahu manusia supaya terlebih dahulu belajar cara menyembelih yang betul dan benar yang lebih berupa kasihan belas terhadap semua jenis binatang yang hendak dan sedang disembelih.

Justeru itu para lembu, sudah tentu akan tertanya-tanya adakah semua para penyembelih itu tahu bahwa ketika sedang menyemblih, mata pisau itu tidak boleh diangkat dari leher mereka sebelum penyembelihan itu sudah sempurna dilakukan?

Tujuannya ialah untuk mengelak lembu yang dikorbankan itu daripada merasa sakit yang berulang-ulang kali bila mata pisau itu diangkat dan diletak di leher lembu untuk menyudahkan penyembelihan?

Supaya dengan itu dapat mempermudahkan urusan kematian lembu-lembu yang disembelih itu.
Di samping itu sang lembu tahu mana-mana lembu yang hendak disembelih itu disunatkan dibaringkan dengan cara yang lemah lembut di atas tanah di atas rusuk kirinya, dan kakinya diikat, kecuali sebelah kaki kanannya untuk membolehkan lembu itu berihat dengan menggerak-gerakkan kaki kananya yang bebas itu.

Sebelum disembelih lembu itu berharap mereka diberikan minum air terlebih dahulu, kerana itulah sunatnya.

Para lembu juga mengahrap supaya para penyembelih tidak mengasah mata pisau di hadapan mereka yang hendak disembelih, dan demikian juga dilarang menyembelih lembu di hadapan lembu-lembu lain yang sedang menunggu giliran untuk disembelihkan. Supaya tidak akan menimbulkan rasa gementar dan ketakutan di hati mereka.

Lembu itu berharap selepas disembelih, mereka dibiar mati dengan sendirinya, sebagaimana disunatkan.

Dengan itu, lembu-lembu itu dapat merasa demikian indahnya Islam itu yang mempunyai kaedah-kaedah yang tertentu dalam semua perkara, termasuklah dalam hubungannya dengan semua makhluk-amkhluk yang lain, baik manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan yang perlu dilayan dengan wajar.

Lembu-lembu sedar tidak ada sesiapapun yang berhak menyeksa sesiapapun, walaupun binatang, kecuali Allah Subhanahul wa Ta’ala.

Lembu-lembu tentu memang berharap manusia berlaku lebih kemanusiaan terhadap mereka khususnya, ketika melakukan penyembelihan korban pada hari yang mulia ini.

Tapi kerana bebal atau senghaja mengengkari peraturan-peraturan inilah sering kali didapati manusia melakukan penyembelihan terhadap ayam-ayam secara menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya, menyebabkan ayam-ayam itu tidak halal dimakan oleh ornag-orang Islam.

Dan hari ini lembu-lembu itu mereka dapat melihat berbagai-bagai tindakan dilakukan oleh manusia ketika lembu-lembu itu dikorbankan, yang mungkin tidak menepati dengan apa yang diperintah oleh agama Islam untuk memberi lebih keselesaan kepada lembu atau lain-lain haiwan yang dikorbankan itu.

Lembu-lembu itu sudah tentu akan mendapat manfaat jika manusia yang menjadi penyembelih itu, memahami dan mengamal pesanan Rasulullah saw. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan cara yang baik pada tiap-tiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, hendaklah kamu perbaiki cara pembunuhannya. Dan jika kamu menyembelih, maka hendaklah kamu perbaiki cara penyembelihannya. Dan seseorang dari kamu menajamkan pisaunya, dan hendaklah ia mudahkan [kematian] haiwan sembelihannya”. HR:Muslim.

Sekian untuk renungan bersama untuk berlaku adil kepada lembu-lembu korban menjelang hari baik bulan baik ini.

Keterangan gambar
Ragam Penyembelihan

-Gambar atas: dari album penulis

-Gambar atas bawah kiri:Dipetik HARAKAH

-Gambar atas bawah kanan:Dipetik dari PERDANA

-Gambar di hujung rencana: Dipetik dari ILUVISLAM

xxxxxxxx

Renungilah:

-“Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dari neraka. Orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka. Sedang orang jahil yang pemurah lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil”. HR:Baiihaqi.

-“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah ia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah ia menyambung silaturahim. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan diam”.HR:Bukhari & Muslim.

Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP