>> Monday, June 21, 2010




KEMBARA KE KONVOKESYEN OPEN UNIVERSITY MALAYSIA

HARI Sabtu 19 Jun, 2010 kami sekeluarga berada di ibu negara Kuala Lumpur, kerana kembara ilmu. Kami sampai di Rawang dari Kota Bharu pada petang Khamis dan bermalam di rumah anak saya di Tasik Puteri. Di ibu negara ini, kami menginap di sebuah hotel di tengah-tengah ibu kota ini yang sentiasa sibuk dengan serbaneka perkara. Keesokannya, hari Ahad kami menyertai Majlis Konvokesyen ke 8 Open Uviversity yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur, mulai 19 hingga 22 Jun 2010. Anak perempuan saya, Noorbaiti Zaini mendapat Sarjana Muda Pendidikan [ Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua] dengan Kepujian

Saya dan anak sulung saya Arham Zaini masuk ke dewan untuk mengikuti acara konvokesyen yang diadakan di Dewan Merdeka PWTC itu. Anak saya itu mewakili Allahyarham Mamanya hadir bersama dengan saya di majlis yang bersejarah itu. Sementara menantu saya, Safayi bermurah hati memberi peluang kepada anak lelaki saya itu mengikuti majlis konvo tersebut.

Kami duduk di bahagian belakang dewan di jajaran kerusi yang bertingkat-tingkat itu. Dari tempat kami duduk itu memang jauh daripada pentas upacara itu berlangsung, tapi Skrin besar yang dipasang di atasnya membolehkan kami melihat dengan lebih jelas upacara yang berlangsung di situ.

Sementara menunggu graduan-graudan masuk, kami duduk-duduk mendengar paluan muzik tradisonal yang mempesonakan bergema di seluruh dewan yang dihias indah itu. Saya terkenangkan isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah cucurilah rahmatMu ke atasnya!] kalau dia ada, tentu dia amat gembira berada bersama saya di majlis tersebut. Beliaulah yang menjadi pendorong utama kepada anak saya itu untuk menyambung pelajarannya.

Tapi pada peringkat permulaan kerja, anak kami ditugaskan di kawasan yang jauh di pendalaman [Lebir] yang pada masa itu amat susah perhubungan keluar masuk, sedangkan kursus pengajian lanjutan seperti itu hanya terdapat di Bandar Kota Bharu, yang letaknya jauh dari tempat kami berada, tambahan pula pada masa itu perjalanan keluar masuk ke Lebir amat susah, malah hampir terputus langsung dengandunia luar di musim hujan.

Justeru, niatnya hendak belajar terpasa diundurkan buat sementara waktu dan hanya dapat diteruskan setelah bertugas di kawasan luar pendalaman [Kuala Krai]. Tiba-tiba sahaja anak saya yang duduk di sebelah berkata kepada saya, “Pa, kalau Mama ada tentu dia gembira”. Saya mengiakannya. Dada saya terasa bertambah sebak bila dia menyebut nama Mamanya. Anak perempuan saya pula ketika berada di atas kereta untuk balik ke hotel selepas upacara konvokesyen selesai memberitahu dia terkenangkan Mamanya di majlis tersebut, menyebabkan dadanya terasa sebak dan air mata hampir terdesak keluar kalau tidak ditahan. Katanya, “Mamalah yang mendorong dia belajar, sehingga Mama sanggup ikut ke mana sahaja Noor pergi belajar untuk menjaga anak-anak Noor ini”.“Ya,” jawab anak lelaki saya, “Kita harap Mama tahu hal ini, walau pun dia tidak ada lagi bersama kita".

Pada keseluruhannya seramai 5675 graduan menerima Sarjana dan Diploma dalam berbagai-bagai bidang dalam upacara yang berlangsung selama 4 hari itu. Upacara pada hari ini disempurnakan oleh Tan Sri Azman Hashim, Pro-Canselor Open University Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya dalam bahasa Inggeris berbagai-bagai perkara telah disentuh oleh beliau, termasuk peranan guru yang kian mencabar pada zaman mutakhir ini.

Satu perkara yang sedih telah berlaku di sebelah petang hari itu. Memang di luar dugaan. Seorang kanak-kanak telah tersepit tangannya di tangga bergerak di tingkat empat bangunan PWTC itu. Kami berada berhampiran dengan tangga itu, sedang menikmati sandwich, tiba-tiba kami mendengar suara kanak-kanak menjerit-jerit dengan kuat dan ngilu berulang-ulang kali.

Pada mula-mulanya saya menyangka dia sedang bermain-main. Tiba-tiba dari celah-celah orang ramai itu saya melihat seorang wanita dengan muka yang cemas sambil menutup kedua belah telinganya dengan tapak tangan berlari-lari menuju ke belakang meminta tolong, sambil mencerita dengan suara tersekat-tersekat perkara yang berlaku. Tidaklah diketahui siapakah sebenarnya wanita itu.Kemudian saya mendengar suara-suara yang berkata, “Ada kanak-kanak tersepit tangannya di tangga tu,”. Sebentar kemudian kawasan tangga itu dikerumuni oleh orang ramai yang berasak-asak untuk melihat peristiwa yang malang itu. Saya cuba untuk melihatnya dari dekat, tapi tidak mampu untuk berasak-asak.Suara kanak-kanak itu menjerit-jerit ngilu terus juga kedengaran selama beberapa ketika. Mengerikan. Mengilukan. Sehinggalah tiba-tiba terdiam begitu sahaja, mungkin dia telah pengsan.

Untuk menyelamatkannya mula-mula bekalan eletrik ke tangga itu terpaksa dipadamkan terlebih dahulu oleh para petugas, kemudian setelah tangga itu berhenti bergerak, barulah tangga itu dapat dibuka untuk menanggalkan tangan kanak-kanak malang yang tersepit itu, kemudian dia segera diusung dari situ untuk menerima rawatan yang selanjutnya.

Kami berdoa semoga kanak-kanak itu selamat dan dapat disembuhkan dengan izin Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang memayungi hamba-hambaNya dengan limpahan kasih sayang, mahabbah dan harmoni. Sesungguhnya hati kami yang gembira itu terpalit kesedihan dengan perisitiwa itu. Namun bersyukur kerana semuanya berjalan dengan sempurna. Alahamdulillah..

Amin.

Read more...

Berjumaat di Masjid Shah Alam

>> Saturday, June 19, 2010



BERJUMAAT DI MASJID SHAH ALAM

DARI Kuala Krai, Kelantan kami sampai ke Kuala Lumpur pada petang Khamis 17 Jun 2010 [4 Rejab 1431]. Keesokannya hari Jumaat kami ada urusan di Shah Alam, dan sempat solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, di Shah Alam yang merupakan salah sebuah masjid yang termasyur di Selangor. Sebenarnya saya sudah acap kali solat berjemaah lima waktu di masjid tersebut, terutama pada waktu solat Asar. Tapi untuk solat Jumaat, saya hanya dua atau tiga kali bersolat di masjid tersebut.

Khatib pada hari ini membaca khutbah mengenai bahaya-bahaya perjudian kepada peribadi, kepada keluarga, kepada masyarakat dan kepada negara, serta mengingatkan kemurkaan Allah kepada penjudi kerana melakukan dosa yang terlarang itu.

Sebagai peringatan beliau antara lain membaca firman Allah, ayat 91, dari Surah Al-Maidah yang bermaksud:

”Dengan minuman keras dan judi itu,setan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang-halangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat maka tidakkah kamu mahu berhenti?” ( Surah AlMaidah:91)


Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana ingin melahirkan rasa tidak puas hati saya dengan alat alat pemesar masjid terebut, kerana suara khatib tidak dapat didengar dengan begitu jelas sepenuhnya, kerana diganggu oleh gempa atau gema yang dikeluarkan oleh alat pembesar suara masjid itu ketika khatib membaca khutbah yang menganggu suara khatib itu sendiri, akibatnya suaranya sekali jelas dan sekali tak begitu jelas kedengarannya.

Perkara ini mungkin telah lama berlaku tapi berada di luar pandangan pihak berkuasa masjid tersebut. Saya percaya gangguan suara ini memang boleh diatasi dengan adanya teknologi baru yang begitu canggih pada hari ini demi perkembangan syair Islam yang terpancar dari sebuah masjid yang tersergam hebat sebegitu rupa sebagai mercu tanda kemajuan agama Islam di negeri Selangor khasnya dan di negara ini amnya. Pada hari Jumaat itu di bahagian bawah masjid, iaitu di bahagian sisinya disediakan gerai-gerai tempat menjual barang-barang, seperti makanan-makanan ringan seperti buah kurma, buah zabib kering atau kismis, buku-buku dan seumpamanya. Ini amatlah baik untuk memberi lebih peluang kepada umat Islam mencari rezeki atau menambah pendapatan.



Namun begitu, amatlah baik kiranya pihak masjid dapat menyediakan gerai-gerai berteduh di bahagian luar masjid di mana terdapat banyak ruang-ruang kosong di sisi bangunan masjid untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah, dan lebih banyak peniaga mengambil bahagian, termasuk kepada mereka yang hendak membeli-belah selepas solat atapun kepada mereka yang datang khsusus untuk mencari barang-barang yang mereka perlukan yang dijual di situ, termasuklah pelawat-pelawat dari luar Selangor yang saya lihat sering singgah untuk bersolat di Masjid Sultan Abdul Shah itu di masa-masa yang lalu.Sekianlah diharap mendapat perhatian jua.

Read more...

Peristiwa Bulan MEI

>> Friday, June 18, 2010

PERISTIWA BULAN MEI

Insyallah kita akan berusaha mengisikan ruangan ini dengan berbagai-bagai peristiwa penting yang berlaku di setiap bulan di sepanjang tahun dalam dunia Islam dari sejak hingga sekarang. Semoga memberi manfaat.



29 Mei 1453 M

Konstantinapole Jatuh Ke tangan Umat Islam

Konstantinapole sebuah bandar pelabuhan di Turki yang terletak di Selat Bosphorus.

Pada masa dahulu Konstantinapole adalah ibu kota kepada Emapayar Bizantin berabad-abad lamanya dan merupakan kota yang terkaya di Eropah pada masa itu.

Kemudian kota Konstantinapole dijadikan ibu kota kepada kerajaan Daulah Islamiah Uthmaniah Turki, dan dikenali dengan nama Istambul.

Di kota ini terdapat kira-kira 800 buah masjid, dan yang paling cantik ialah masjid St. Sopia, asalnya sebuah gereja yang dibina antara tahun 532-538 M kemudian ditukar menjadi sebuah masjid dalam zaman pemerintahan Daulah Uthmaniah Turki. Tapi bila Daulah Uthmaniah digulingkan, dan Kamal Attaturk yang pro Yahudi memegang tampuk kekuasan di Turki, dia telah menukar masjid itu menjadi sebuah muzium hingga ke hari ini.

Dalam zaman pemerintahan Kristian Bizantin, kota Konstantinapole dilindungi oleh benteng-benteng pertahanan yang menakjubkan dan mungkin logiknya tidak mungkin dapat ditumpaskan pada zaman itu.

Kota ini dibina dalam bentuk tiga segi, dua bahagian daripadanya menghadap Selat Bosphorus dan Laut Marmara, sementara satu bahagian lagi menghala ke daratan yang dilingkungi oleh benteng yang amat kukuh.

Kota itu di sebelah luarnya dilingkungi oleh sebuah parit besar, dalamnya 10 meter, dan lebernya 60 meter. Kota itu juga dikelilingi oleh dua lapis tembok, tembok sebelah luar tingginya 7.2 meter dan tebalnya 10 meter, sementara tembok sebelah dalamnya setinggi 12.19 meter dan tebalnya 15 meter.

Sepanjang tembok itu pula didirikan menara kawalan setinggi 60 meter, dan dikawal oleh 400 batalion tentera terlatih di sepanjang masa.

Pada logiknya dengan keadaan kawalan yang sebegitu rupa, kota itu tidak mungkin dapat diceroboh atau ditumpaskan.

Namun begitu kota Konstantinapole telah jatuh ke tangan seorang pemimpin Islam yang ulung, Sultan Muhammad bin Murad dari Daulah Islamkiah Uthmaniah yang terkenal dengan gelaran Sultan Muhammad al-Fatih pada 29 Mei 1453, setelah mengepungnya selama kira-kira hampir 2 bulan, iaitu mulai pada pada hari Khamis 5 April, 1453. Segala halangan dan tembok-tembok yang dibina oleh kerajaan Bizantin yang kukuh itu dapat dirobohkan dengan menggunakan teknologi canggih yang dimiliki oleh pakar-pakar ketenteraan Sultan Muhmmmad al-Fatih.

Ratusan tahun sebelum itu Baginda Rasulullah saw. pernah bersabda menyatakan bahawa pada suatu masa nanti kota itu akan jatuh ke tangan umat Islam menerusi seorang pemimpin dan pemerintah tentera yang terbaik di sepanjang zaman, Sebelum itu memang telah dilakukan berbagai-bagai percubaan untuk menawan kota itu tapi tidak pernah berjaya sehinggalah kemunculan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya menyerbu kota yang penting itu, dan berjaya menawannya dan memerintahnya menurut Islam dengan Mahabbah dan Harmoni.

Allahuakhbar!

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP