>> Monday, June 28, 2010


RAHSIA LAMBAT TUA ??

Selepas dikemaskini pada 28 Jun 2010


LUMRAHNYA proses hidup seorang manusia bermula dari kandungan ibu, dilahirkan ke dunia sebagai bayi, menjadi kanak-kanak, muda remaja, menuju kedewasaan, dan seterusnya menjangkau usia tua yang pada hari ini dipanggil usia emas. Kemudian kehidupan ini akan berakhir dengan kematian yang tidak dapat dielakkan kepada semua benda hidup dan bernyawa.

Proses kehidupan ini berjalan peringkat demi peringkat sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Dia ciptakan kamu dalam beberapa tingkat kejadian”.Nuh:14.

Dalam usia muda remaja, manusia mempunyai kulit yang terik atau tegang, halus, licin, wajah yang ceria, utuh, kuat dan bertenaga, dan bila usia melangkah tua, perubahan fizikal yang pesat akan berlaku, seperti wajah yang terik menjadi berkeriput, kulit yang tegang menjadi berkedut-kedut, rambut yang hitam berkilat menjdi putih beruban, mata yang terang bersinar menjadi malap dan rabun, pendengaran telinga yang jelas menjadi kabur, sendi-sendi yang kuat menjadi lemah bergoyang dan seterusnya kekuatan fizikal yang utuh menjdi lembah dan lisut, tidak bermaya.

Dari sejak zaman purbakala lagi, manusia tidak jemu-jemu menjalankan penyiasatan dan kajian dari segenap aspek mengenai proses penuaan, seperti apakah faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan fizikal sebegitu rupa terhadap manusia bila dia mencecah usia tua, apakah faktor yang boleh melambatkan proses penuaan itu? Dan berbagai-bagai sudut lagi mengenai penuaan Mereka juga mengkaji kenapa manusia mesti mati, dan apakah faktor yang melambatkan kematian itu, tegasnya apakah faktor yang boleh melanjutkan usia manusia, dan seterusnya berbagai-bagai aspek lagi mengenai penuaan.

Pada tahun 1993 di Amerika Syarikat telah ditubuhkan sebuah “Acaemy Antiaging America” yang bertujuan untuk menjalankan kajian mengenai penuaaan, dan mencari jalan untuk mengatasi penuaan.

Dengan adanya kemajuan yang pesat dalam bidang kesihatan, khususnya di bidang perubatan, jangka hayat manusia di seluruh dunia telah bertambah lanjut dari tahun ke tahun, terutama mereka yang berusia 60an tahun ke atas. Pada tahun 1900 hanya seorang daripada 20 orang yang berusia 65 tahun ke atas, tapi dalam tahun 1954 telah meningkat kepada satu dalam 11 orang, dan dalam tahun 1980 telah meningkat lagi kepada satu dalam 7 orang yang mencapai usia lebih dari 60 tahun. Tegasnya tahun demi tahun umur hayat manusia telah meningkat di seluruh dunia.

Namun begitu, sehingga sekarang para doktor tidak dapat menjelaskan dengan pasti kenapa berlaku perubahan fizikal yang begitu ketara kepada manusia bila mereka mencecah usia tua? Ia masih menjadi rahsia yang membingungkan.

Walau bagaimana pun yang pastinya kebanyakan manusia memang menjangka terlebih dahulu bahawa fizikal mereka akan merosot dengan sendirinya secara otomatis bila mereka mencapai usia tua, dan juga menjangkakan bila mereka mencampai usia seperti itu mereka sudah tentu mudah mendapat berbagai-bagai jenis penyakit yang kronis, seperti penyakit-penyakit jantung, penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis, sengal-sengal sendi dan kesudahannya mereka pasti akan segera menemui ajalnya.

Namun begitu, mengikut Dr.D.Stonecypher M.D, seorang pakar mengenai kelanjutaan usia di Boston, jangkaan manusia seperti itu sebenarnya tidak berasas. Beliau menegaskan, “Penyakit tersebut bukanlah kerana proses penuaan. Penyakit tersebut berlaku kerana kerosakan akibat ketegangan yang berpanjangan yang menimpa anggota-anggota badan atau kerana pemakanan yang buruk. Mungkin tidak ada sebarang penyakit akibat tua. Penyakit-penyakit yang dihubungkaitkan dengan usia tua itu pun memerlukan masa berpuluh-puluh tahun untuk berkembang, dan biasanya tidak tumbuh dalam usia muda. Tidak ada sesuatu mengenai usia tua yang dapat dikaitkan dengan kesihatan yang buruk”.

Justeru itu dengan menjaga kesihatan anda supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik, sihat walafiat, merupakan salah satu faktor yang amat berharga untuk melambatkan proses penuaan, dan juga mungkin dengan izin Allah S.W.T dapat melanjutkan usia anda berdasarkan hukum sebab dan musabab. Dan juga sekali gus dapat mempertahankan keremajaan seseorang, kerana dengan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat itu, maka bererti anda bebas daripada berbagai-bagai jenis penyakit yang menjadi salah satu sebab kepada kebanyakan kematian umat manusia di dunia hari ini.

Ramai orang yang tinggal di kawaan pergunungan Tibet hidup dalam usia yang panjang, lebih daripada 125 tahun, dan kebanyakan lelaki yang lanjut usia seperti ini, masih mampu melahirkan keturunan walaupun telah menjangkau usia 90 tahun atau lebih.

Dunia juga pernah menyaksikan seorang bangsa Turki yang hidup mencapai usia 160 tahun, dan juga seorang wanita Indian di California meninggal dunia dalam usia 118 tahun.

Kita mungkin tertanya-tanya apakah rahsianya orang-orang yang tinggal di pergunungaan Tibet itu dapat hidup mencapai usia yang begitu lanjut?

Megikut kajian, ada dua faktor utama yang menyebabkan umur mereka panjang, pertama kerana mereka sentiasa hidup aktif atau pun cergas, maka dengan itu hampir seluruh anggota badan mereka sentiasa bergerak dan kedua kerana udara yang mereka hirup setiap hari adalah udara yang paling bersih di dunia.

Sebaliknya, kajian-kajian yang dilakukan ke atas orang-orang Amerika menunjukkan kebanyakan kersokan jasmaniah yang menimpa mereka adalah kerana mereka tidak bekerja terus menerus, tapi bergilir-gilir, sekejap bekerja dan sekejap berihat. Ibarat lampu yang kerap dibuka tutup itu lebih mudah “terbakar” daripada lampu yang tidak begitu kerap dibuka dan ditutup. Demikian jugalah dengan anggota badan manusia. Selalu aktif itu membuat anggota-anggota badan tidak kaku, seperti cangkul yang selalu digunakan itu tidak berkarat sebagaimana cangkul yang ditinggal dan dibiarkan tidak berguna.

Mengikut kajian, sebilangan besar rakyat Amerika mati setiap tahum kerana penyakit jantung, dan penyakit itu menyerang orang yang telah bersara daripada kehidupan yang aktif dan orang yang hidup bermalas-malas. Perkara ini berlaku sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau lagi.

Justeru itu, bekerja terus menerus tanpa kegiatan bersara tidaklah merosakkan jasmani manusia, tapi sebaliknya yang merosakkan jasmani manusia ialah sekejap bekerja dan sekejap berhenti, sekejap bekerja dan sekejap berhenti, tanpa kemantapan.

Untuk membolehkan anggota jasmani anda lebih banyak bergerak, anda dinasihatkan melakukan riadah atau senaman setiap hari, kerana dengan melakukan riadah itu bererti otot-otot anda bekerja dengan sepenuhnya yang menyebabkan banyak darah mengalir menerusi urat-urat dan pembuluh-pembuluh darah anda yang boleh menyebabkan anda bertambah sihat dan cergas dan seterusnya dapat melambatkan proses penuaan daripada berlaku.

Mengikut doktor, bebagai-bagai riadah yang dapat anda lakukan untuk menggerakkan anggota-anggota badan anda, seperti berlari, berjalan kaki, berenang, bermain bola, dan sebagainya. Pilihlah mana-mana yang sesuai dan disukai anda.

Mendiang Raja Sweden dikatakan masih bermain golf dalam usia 80 tahun.

Kepada mereka yang banyak bekerja sambil duduk-duduk, seperti para kerani, atau pun pekerja kilang, pengarang dan sebagainya sudah tentu lebih memerlukan sukan, tapi andainya anda tidak suka bermain sukan, anda hendaklah memilih berbagai-bagai kegiatan lain yang berupa riadah yang melibatkan penggunaan anggota-anggota jasmani mereka, dan boleh memberi manfaat kepada anda untuk hidup normal dan sihat.

Kegiatan-kegiatan itu mestilah melibatkan penggunaan anggota-anggota jasmani anda, seperti berjalan kaki, terutama untuk berulang alik ke masjid ataupun ke surau, banyak bersembahayang sunat, seperti tahajjud, dan sunat taubat, menyangkul tanah untuk berkebun, membersih rumah dan halaman rumah dan berbagai-bagai aktiviti lagi yang boleh mengeluarkan peluh.

Dengan beriadah seperti itu, salah satu anggota anda yang penting, iaitu jantung akan menjadi lebih kuat dan dapat bekerja dengan lebih baik dan teratur, terutama untuk mengalirkan darah ke seluruh anggota badan. Dengan itu dapat menjadi benteng memberi perlindungan kepada jantung anda daripada mudah diserang oleh berbagai-bagai jenis penyakit jantung yang menjadi pembunuh manusia nombor satu dalam dunia moden hari ini.

Di samping riadah, ada lagi berbagai-bagai faktor lain yang dapat melambatkan proses penuaan anda, seperti mempunyai minda yang baik, pemakanan yang berkhasiat dan seimbang, tidak merokok, kejayaan dalam kehidupan, hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, bebas daripada kebimbangan dan tekanan hidup, beriman dan bertaqwa kepada Allah. Semuanya itu merupakan faktor-faktor yang melambatkan kelusuhan jasmani dan seterusnya melambatkan proses penuaan daripada menimpa anda.

Tegasnya di samping menjaga jasmaniah, minda anda dan hati nurani juga mestilah diletak dalam wadahnya yang wajar. Lemparkan jauh-jauh daripada minda anda segala pemikiran yang negatif, atau buruk, sebaliknya gantikan dengan fikiran-fikiran yang bernas dan positif. Justeru antara mental dan fizikal berkait rapat antara satu sama lain.

Namun begitu, jika sekiranya anda berjaya melambatkan proses penuaan daripada menimpa anda sekali pun, namun dari segi kronologi masa ia tetap berjalan, justeru itu setiap hari yang berlalu, setiap minggu yang lewat, semuanya membawa anda kepada satu titik yang pasti, iaitu kematian, yang menjadi penghujung kepada setiap titik kepada perjalanan kehidupan di dunia yang fana ini.

Allah berfirman, maksudnya, “Tiap yang berjiwa akan merasai mati”.Al-Imran:185.

Baginda Rasulullah saw. mengajar kita doa-doa yang bermaksud, “Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta serta dari segala macam penyakit yang jahat”. HR:Abu Daud & An-Nasai.

Dan,”Wahai Tuhan, Aku berlindung denganMu dari kelemahan dan ketuaan, dan aku berlindung denganMu dari timpaan bala bencana, dan dari kecelakaan, dan dari nasib yang buruk”.

Oleh itu, janganlah hendaknya kita semata-mata sibuk untuk melambatkan proses penuaan, untuk awet muda, tapi kita lupa untuk menyediakan bekalan yang mencukupi untuk menemui ajal yang pasti akan tiba meragut nyawa kita yang akan membawa kita ke dunia yang satu lagi, dunia yang kekal dan abadi, iaitu Akhirat, di mana kehidupan dunia yang fana ini akan menentukan kebahagian atau kecelakaan kita di sana, masuk syurga atau dilempar ke dalam neraka jahanam. Awas dan waspadalah semasa hidup di dunia yang fana ini supaya tidak lupa dan lalai daripada menyediakan bekalan yang mencukupi untuk hidup bahagia dan senang lenang, mahabbah dan harmoni di Akhirat yang abadi nanti.

Amin.

Read more...

>> Saturday, June 26, 2010


BAGAIMANA KITA MENJADI TUA?

SETIAP benda yang hidup, khususnya kita manusia yang lanjut usia, sudah pasti akan menempuh zaman tua sebelum ajal mendatang.

Tapi bagaimana proses ketuaan itu berlaku?

Badan manusia ini boleh diibaratkan seperti sebuah kendaraan. Kian lama kendaraan itu digunapakai, maka sudah tentu ada bahagian-bahagian alatnya yang akan mengalami kerosakan, kehausan dan mungkin juga berkarat yang perlu dibaiki, diperbetul malah juga ada yang perlu kita ditukarganti kerana tidak mampu diperguakan lagi. Katakanlah sebuah skru pada enjennya atau tali kipasnya yang kendur. Kalau alat-alat ini tidak diperbaiki sudah tentu ia akan menganggu perjalanan kendaraan itu ataupun menyebabkan enjinnya tidak dapat dihidupkan ataupun tidak dapat digerakkan walaupun enjinnya telah hidup.

Demikian juga dengan jasmani manusia, kian lama dipakai, tegasnya kian lanjut usia seseorang, maka segala tisu-tisu dan sel-sel badannya akan mengalami proses ketuaan dan lusuh seperti kendaraan tadi juga. Kehausan atau kesusutan yang berlaku dalam badan manusia, sehingga ini dijangka kerana “radikal bebas” [free radical] yang dihasilkan oleh anggota-anggota dan tisu-tisu badan itu sendiri.

Mengikut Prof.Raj Sohal dari Southern Mehodist University Dallas, Amerika Syarikat, proses ketuaan pada manusia itu telah bermula sejak kita berusia 25 tahun lagi. Psoses ketuaan ini kian pentas berlaku bila usia kita kian meningkat. Justeru waktu kita meningkat usia 40 tahun tanda-tanda ketuaan itu akan mulai menonjol dan menjadi bertambah jelas ketika manusia berusia 55 tahun. Ini adalah fitrah kejadian manusia.

Sepanjang masa tersebut berbagai-bagai proses kesusutan atau degenerasi berlangsung, dan fungsi-fungsi anggota-anggota mulai menurun. Pada sesebuah kendaraan ada bahagian-bahagian tertentu lebih cepat mengalami kerosakan dari yang lain dan dengan kadar yang berbeza-beza. Minyak petrol jauh lebih cepat habis daripada minyak hitam atau minyak selender. Tayar kendaraan lebih cepat rosak daripada cermin tingkap. Begitulah juga keadaan jasmani manusia, ada organ yang cepat rosak dan ada pula organ yang lambat rosak.

Dalam hal ini, mana-mana sel organ badan kita yang tidak mempunyai kemampuan untuk membahagikan dirinya akan lebih cepat terganggu daripada sel-sel yang boleh membahagikan dirinya, seperti sel-sel otak, sel buah pinggang, sel-sel jantung dan juga sel-sel otot-otot.

Walau pun oksijan itu berguna kepada kita untuk pernafasan. Tapi dalam keadaan tertentu, molikul oksijan boleh menjadi tidak stabil dan mengancam keselamatan tubuh badan kita. Molikul oksijan yang tidak stabil ini dipanggil Radikal Bebas.

Radikal bebas ini terhasil bila badan kita mengendalikan oksijan dengan cara yang salah dan memudaratkan badan kita. Radikal bebas ini mampu menimpakan kerosakan pada sel-sel dalam badan kita. Kian lanjut usia kita, kian banyak radikal bebas itu dihasilkan, dan pada waktu itu kemampuan kita untuk berlindung daripadanya bertambah merosot.

Radikal bebas ini kalau tidak dikawal akan merosakkan anggota-anggota badan kita sebagaimana karat merosakkan besi-besi. Ia akan menjelajah di antara sel-sel dalam badan kita dan menimpakan gangguan kepada protein-protein, lemak dan juga bahan-bahan genetik atau baka kita [DNA] yang menyebabkannya tidak stabil atau rosak, dan dengan itu menghasilkan lebih banyak Radikal Bebas yang akan lebih banyak lagi melakukan kerosakan yang akan melahirkan berbagai-bagai jenis penyakit kronik.

Radikal bebas ini akan menimpakan berbagai-bagai kesan yang buruk terhadap tubuh badan kita. Kalau radikal bebas ini menyerang kulit, nescaya ia akan merosakkan tisu-tisu di bawah kulit yang menyebabkan kita kelihatan tua, kalau ia menyerang mata boleh menyebabkan tumbuh selaput putih dalam kanta mata kita yang menyebabkan pengelihatan mata kita menjadi tidak jelas, dan radikal bebas ini juga menghalang pembaikan pulih sel, menyebabkan prosesnya berlaku lebih sukar dan lambat, boleh meningkatkan risiko serangan penyakit kanser, sakit jantung dan penyakit-penyakit kronik yang lain.

Setakat yang diketahui sumebr antioksidan terdapat dalam Vitamin dan bahan-bahan galian beta karotene dan lycopene. Vitamin yang mengandungi antioksidan ialah Vitamin E dan Vitamin C. Vitamin E banyak terdapat dalam kekacang, ikan, minyak, buah avocado dan tauge, sementara Vitamin C pula terdapat dalam buah limau dan sayur-sayuran hijau. Beta karotene pula banyak terdapat dalam lobak merah, keladi dan kiju, dan lycopene pula banyak terdapat dalam tomato yang merupakan antioksidan yang baik.

Bahan-bahan yang dipercayai banyak mengandungi bahan-bahan antioksidan ialah zat zink, maganese dan selenium. Zat zink banyak terdapat dalam kekacang, dan telur , zat maganese banyak terdapat dalam kekacang dan selenium pula banyak terdapat dalam daging, ayam, makanan-makanan laut dan susu tanpa lemak.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa orang-orang yang memakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai risiko yang rendah untuk diserang penyakit kanser usus.

Justeru, para penyiasat membuat kesimpulan, bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran adalah merupakan antioksidan yang paling baik dan berkesan untuk tubuh badan kita.

Kerosakan-kerosakan yang lebih teruk akibat radikal bebas dapat dikurang dengan mengelak daripada melakukan senaman-senaman yang berlebih-lebihan atau kerja kuat yang berlebihan, pendedahan kepada pencemaran, racun serangga, asap rokok dan berbagai-bagai faktor pencemaran alam sekitar, dadah, alkohol dan pengawet makanan.

Walau bagaimana pun, sehingga hari ini masih belum ditemui bahan-bahan yang berupa anti pengoksidaan yang benar-benar mampu mencegah kerosakan yang ditimpa oleh Radikal bebas itu. Walau bagaiana pun ada pendapat yang mengatakan Vitamin E adalah sejenis bahan anti pengoksidaan, tapi setakat ini belum dapat dibuktikan sepenuhnya.

Ingatlah, walaupun proses ketuaan dari segi klinikal itu tidak dapat dicegah, tapi dipercayai proses ketuaan itu dapat diperlahankan dengan amalan-amalan yang tertentu. Itulah rahsia awet muda. Apa yang penting dijaga ialahlah, jangalah wajah anda kelihatan lebih tua daripda usia anda yang sebenarnya. Janganlah wajah anda baru 25 tahun, tapi kelihatan seperti orang berusia 45 tahun, janganlah umur anda baru berusia 35 tahun, tapi kelihatan seperti orang berusia 65 tahun. Biarlah wajah anda bersesuaian dengan usia anda.

Memanglah benar tidak ada ubat tua. Proses ketuaan tetap berlaku kepada manusia. Walaupun tanda-tanda ketuaan pada wajah, khususnya kaum wanita mungkin dapat disorokkan dengan cara-cara yang tertentu, tapi proses ketuaan pada bahagian dalaman tidak boleh ditahan-tahan dan tetap terus berlaku dan terus berlaku sehingga kita dijemput Allah ke sisiNya.

Berdoalah kepada Allah sebagaimana terkandung dalam sebuah Hadis Baginda saw. yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada dukacita dan kesedihan. Aku berindung kepadaMu daripada kelemahan dan malas. Aku berlindung kepadaMu daripada takut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu dari hutang dan penindasan”.HR:Al-Bukhari, al-Tirmizi & Abu Daud.

Hiduplah dengan beriman, bertaqwa, mahabah dan harmoni untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya dari Allah kita datang kepadaAllah kita kembali.

Read more...

Detik-detik Sejarah MAIK

>> Wednesday, June 23, 2010

DETIK-DETIK SEJARAH
MAJLIS AGAMA ISLAM
DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN [MAIK]
[Setelah Diperlengkapkan Pada 3 Julai 2010]




Oleh:Hj.Muhammad Zain Saleh
Bekas Pembantu Penyelidik MAIK

Latar Belakang: Perkembangan Islam
Di Negeri Kelantan Darulnaim

SEJARAH sesebuah kerajaan di masa-masa yang lalu adalah merupakan perkembangan yang berlaku di pusat pemerintahan negeri, iaitu di istana-istana yang menjadi lambang kedaulatan sesebuah pemerintahan, dan di istana jugalah menjadi pusat perkembangan Agama Islam di mana raja atau pun sultan sentiasa menjadi penaungnya yang utuh.

Sehingga kini catatan terawal mengenai Agama Islam di Kelantan yang pernah ditemui ialah terdapat pada dinar emas di mana di muka hadapannya tertulis dengan perkataan Arab “Al-Mutawakkil” yang bermaksud “Berserah kepada Allah”, manakala di belakangnya pula tertulis “Al-Julus Kelantan” yang bermaksud “Kerajaan Kelantan” dan di atas perkataan tersebut tertulis seperti angka Arab 0VV atau 577 yang berkemungkinan memberi erti “Tahun 577 Hijriyyah” yang ditafsirkan bersamaan kira-kira tahun 1180 M. Sekiranya tarikh itu benar, maka ia memberi erti bahawa Agama Islam telah pun sampai atau bertapak di bumi Kelantan pada akhir abad ke-12 M atau abad 6 Hijriyyah,

Kemudian kenyataan mengenai Agama Islam di negeri Kelantan boleh didapati daripada catatan-catatan penggembara Arab yang termasyur, iaitu Ibnu Batutah, yang dipercayai singgah di Kelantan pada tahun 1345M.

Selang beberapa abad kemudian perkembangan Agama Islam di negeri Kelantan dapat dilihat dengan lebih jelas, iaitu selepas kemunculan Dinasti Long Yunus, di mana Baginda Lung Yunus memerintah Kelantan dari tahun 1775-1794 M adalah seorang raja yang beragama Islam, dan pemerintah-pemerintah daripada keturunan baginda juga beragama Islam dan memerintah berasaskan Islam.

Di zaman pemerintahan Long Yunus, telah muncul seorang guru agama yang terkenal, iaitu Tuan Syeikh Haji Abdul Halim yang mengajar agama di istana baginda, iaitu Istana Kota Lama, Kampung Sireh dan juga mengajar di surau-surau untuk anak-anak raja, pembesar dan juga orang-orang ramai.
Pengajaran beliau mendapat sambutan orang-orang Kelantan dan juga dari luar Kelantan yang datang belajar ke Kelantan pada tahun 1780an. Di sinilah bermulanya pendidikan Islam terawal di Kelantan.

Sultan Muhammad I [1800-1837] pula banyak mendirikan rumah-rumah wakaf di Makah, Madinah dan Jedah. Orang yang menjadi penasihat kepada Sultan Muhammad I ialah Syeikh Abdul Halim, seorang guru agama yang terkenal dalam masa pemerintahan Long Yunus.

Selepas pemerintahan Sultan Muhammad I, muncul pula pemerintahan Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan dari tahun 1839 hingga 1886 M. Baginda memerintah mengikut jejak langkah ayahanda baginda. Dalam zaman pemerintahan bagindalah didirikan masjid Kota Bharu pada tahun 1867 M, mengganti masjid lama yang telah roboh.

Dalam zaman pemerintahan Bagindalah Agama Islam berkembang dengan lebih pesat. Di samping mufti dan kadhi, terdapat pula bilal-bilal di setiap mukim, Masjid Kota Bharu pula muncul sebagai pusat pengajian agama dan pusat keilmuan Islam yang penting.

Selepas kemangkatan baginda, muncul pula Sultan Ahmad menaiki takhta kerajaan yang memerintah dari tahun 1886 hingga 1889 M. Dalam zaman pemerintahan baginda muncul seorang ulama yang terkenal, iaitu Imam Haji Wan Daud yang mengajar tafsir al-Quran dan Hadis di Masjid setiap hari Selasa.

Apabila Sultan Ahmad mangkat, maka negeri Kelantan diperintah pula oleh Sultan Muhammad III dari tahun 1889 hingga 1890M. Dalam zaman pemerintahan baginda, pencuri yang didapati bersalah dihukum potong tangan.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansor selepas itu, iaitu dari tahun 1890 hingga 1900 M, baginda juga menjalankan pemerintahan mengikut jejak langkah ayahanda baginda.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Mhammad IV yang memerintah dari tahun 1900 hingga tahun 1920 M, baginda telah menitahkan supaya ditubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dirasmikan penubuhannnya oleh baginda sendiri pada 24 September 1915 bersamaan dengan 17 Safar 1334 Hijriyyah. Dalam majlis perasmian itu baginda telah membuat ucap titah yang penting.

Selain daripada Masjid Besar Kota Bharu yang dibina semula pada tahun 1867, dalam masa pemerintahan Sultan Muhammad IV terdapat banyak pondok-pondok tempat alim ulama dan tok-tok guru mengajar ilmu agama, di mana pelajar-pelajarnya dari anak negeri dan juga pelajar-pelajar yang datang dari luar negeri, iaitu dari negara-negara rantau Asia Tenggara, terutama dari Patani, Champa Aceh dan Jawa.

Pada masa itu pihak berkuasa telah pun menggalakkan pelajar-pelajar Islam negeri ini menuntut ilmu ke merata-rata tempat, termasuk Timur Tengah, terutama ke Makah dan Mesir.

Sejak penubuhannya pada tahun 1915 M itu Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan merupakan agensi induk yang tertinggi dan terpenting dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini.

Di samping itu untuk membantu agensi induk itu mengembangkan syiar Islam, maka beberapa buah agensi lagi telah ditubuhkan kemudiannya, dengan ampun perkenan KBDYMM Al-Sultan, iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan ditubuhkan pada tahun 1979 dan Yayasan Islam Kelantan yang ditubuhkan pada 1 Mac, 1983.

Perkembangan Agama Islam berlaku dengan lebih pesat dan teratur dalam zaman pemerintahan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan

Lama sebelum Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan ditubuhkan, negeri Kelantan telah menjadi pusat pengajian Islam yang terkenal di Semenanjung Tanah Melayu. Dalam abad 19, negeri Kelantan telah memiliki banyak pondok-pondok yang menjadi tumpuan para pelajar dari seluruh rantau Asia Tenggara. Ramai tokoh-tokoh ulama muncul di sepanjang tempoh ini, dan ciri ini menyebabkan negeri Kelantan terkenal sebagai “Serambi Makah”, kerana kemasyurannya sebagai pusat pendidikan Islam di rantau ini.

Perkembangan ini berjalan dengan baik dan teratur di bawah pimpinan ulama-ulama serta dinaungi oleh raja-raja yang menjadi payung pelindung agama Islam di negeri ini. Satu perkembangan baru kemudiannya berlaku pada tahun 1909 apabila pentadbiran negeri ini diserahkan kepada Inggeris. Berikut dengan peralihan kuasa itu, serta kebimbangan-kebimbangan yang timbul terhadap masa depan pengajian dan pentadbiran Agama Islam negeri Kelantan, KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sulltan Muhammad IV, telah melahirkan hasrat baginda untuk menubuhkan sebuah institusi khusus bagi memelihara, menatdbir serta menjaga kepentingan agama Islam di negeri Kelantan.

Hasrat baginda itu memperolehi dukungan kuat daripada kalangan ulama dan tokoh-tokoh terkemuka negeri Kelantan pada waktu itu, antaranya ialah Haji Nik Mahmood Haji Wan Ismail [Dato’ Perdana Paduka Raja], Haji Muhammad bin Khatib Haji Muhammad Said [Dato’ Laksamana], dan Haji Muhammad Yusuf [Tok Kenali]. Dari gabungan tenaga pemerintah dan ulama inilah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiada Melayu Kelantan ditubuhkan dan kemudian dirasmikan penubuhannya pada 17 Safar 1334 bersamaan dengan 24 Disember, 1915.

Antara tujuan awal penubuhan MAIK ialah mendirikan masjid-masjid, mengadakan pengajian Melayu dan Arab, menterjemahkan kitab-kitab agama ke dalam bahasa Melayu, melaksanakan projek pembinaan bangunan untuk disewakan dan menjalankan perniagaaan, di samping kegiatan di bidang Baitulmal, Zakat, Dakwah dan lain-lain.

Program pendidikan telah dimulakan dalam tahun 1917 dengan penubuhan Sekolah Melayu yang pertama di Kelantan, kemudian disusuli dengan kelas bahasa Inggeris dalam tahun 1918. Pendidikan agama secara prsekolahan telah dimulakan dalam tahun 1937, apabaila MAIK mendirikan Madrasah Muhammadiah Arabiah sebagai lanjutan kepada pengajian agama yang dijalankan di Masjid Muhammadi sebelum itu.

MAIK seterusnya mengembangkan aktivitinya di bidang persekolahan agama dengan mengambil alih pentadbiran beberapa buah sekolah agama di peringkat jajahan, di samping menaungi beberapa buah sekolah agama rakyat yang terdapat di seluruh negeri Kelantan bagi menyelaraskan sukatan pelajaran dan sistem pembelajaran agama menerusi sekolah-sekolah.

Sesuai dengan keperluan semasa, maka dalam perkembangan yang akhir, bahagian persekolahan agama dan Arab telah diperkenankan oleh KDYMM Al-Sultan supaya diletak di bawah kelolaan kerajaan negeri melalui agensi agama kerajaan, iaitu JASA dan kemudiannya Yayasan Islam Kelantan sebagaimana yang telah dan sedang berjalan dengan baiknya sehingga kini. Namun begitu, MAIK terus berfungsi di bidang penerbitan buku-buku teks untuk kegunaan sekolah-sekolah agama Kelantan di samping mengeluarkan biasiswa kecil kepada pelajar-pelajar miskin yang maju dalam pelajaran.

Dakwah adalah merupakan aktiviti ulung yang masih dijalankan oleh MAIK sehingga kini. Justeru dakwah mempunyai kaitan rapat dengan fungsi masjid, maka ianya telah dijadikan bidang tugas imam-imam masjid untuk membimbing masyarakat ke arah memahami dan menghayati ajaran Islam. MAIK juga telah melantik pegawai khas yang dikenali dengan nama guru pelawat dan mengadakan penerangan agama di masjid dan surau di samping mengawasi perkembangan agama yang berlaku dalam sesebuah mukim Jumaat.

Dalam tahun 1960an, MAIK telah mempertingkatkan lagi aktiviti dakwah dengan melantik mubaligh-mubaligh untuk menyampaikan pengajaran agama di kampung-kampung dan mengadakan unit penerangan bergerak dalam usaha memperluaskan penerangan agama kepada masyarakat. Apabila mubaligh diserahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri berikut dengan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dalam tahun 1979, MAIK masih lagi meneruskan peranananya di bidang dakwah yang antara lain mengadakan kuliah harian dan mingguan di masjid-masjid bandar, melantik guru-guru agama MAIK untuk mengajar agama di masjid-masjid mukim, mengadakan kelas di Sekolah Latihan Jururawat Kubang Kerian, ceramah-cermah berkala, melaksanakan usaha dakwah kepada orang-orang bukan Islam dengan tumpuan kepada masyarakat Asli dan lain-lain.

Pentadbiran zakat dan Baitulmal adalah merupakan tanggungjawab MAIK yang penting dan menjadi sumber pendapatan utama baginya. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh MAIK bagi maksud menyempurnakan tuntutan syara’ ke atas umat Islam di mana hasil pendaptannya diagih-agihkan kepada asnaf yang berkenaan. Bagi maksud ini, pada tahun 1987, MAIK telah membelanjakan RM2.9 juta, iaitu bantuan kepada fakir miskin sebanyak RM509,505.00, amil sebanyak RM390,655,14, mualaf sebanyak RM23,414.80, ibnusabil sebanyak RM984.75, dan fisabilillah sebanyak RM2,036,467.88.

Selain dari itu, MAIK juga memain peranan dalam bidang pembangunan fizikal menerusi aktiviti baitulmal. Usaha ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan berterusan bagi tujuan untuk menambahkan pendapatan MAIK, di samping membantu ke arah meninggikan taraf ekonomi umat Islam di negeri ini.

Selain daripada aktiviti pembangunan, MAIK juga bertanggungjawab dalam hal ehwal masjid dan surau bagi kemudahan umat Islam menunaikan ibadat. Bagi tujuan ini, MAIK sentiasa memberi perhatian kepada mewujudkan mukim dan masjid Jumaat dan melantik pegawai-pegawai masjid di seluruh negeri Kelantan.

MAIK juga bertanggungjawab dalam urusan fatwa bagi memutuskan hukum dalam masaalah-masaalah agama yang berbangkit. Bagi maksud tersebut, satu badan yang dinamakan Jemaah Ulama’ Majlis yang dilantik oleh KDYMM Al-Sultan dengan dipengerusikan oleh Syhaibul Samaah Mufti Kerajaan Kelantan.

Bagi membantu MAIK dalam berbagai-bagai perancangan keagamaan dan pembangunan umat Islam di negeri ini, KDYMM Al-Sultan telah mengampun perkenan menubuh Dewan Syura dengan ahli-ahli yang dilantik terdiri dari tokoh-tokoh ulama’ dan para candakiawan Islam.

Aktiviti MAIK dalam bidang penerbitan yang dimulakan dalam tahun 1917, masih diteruskan hingga sekarang. Tujuannya adalah untuk menerbit dan menyebarkan bahan-bahan bacaan bercorak agama kepada masyarakat di samping menerbitkan buku-buku teks untuk sekolah-sekolah agama. Demikian juga penerbitan Majalah Pengasuh yang dimulakan dalam tahun1 1918 terus beroperasi sebagai media dakwah yang tertua di negara ini.

Di bidang kebajikan sosial, MAIK dengan kemampuan yang ada padanya telah memperluaskan aktivitinya dengan menubuhkan Darulaitam [rumah anak yatim] dalam tahun 1985 bagi menempatkan anak-anak yatim yang miskin. Bagi maksud ini, MAIK telah membelanjakan sebanyak RM125,753.00 bagi tahun 1987.


Selaras dengan kuasa MAIK sebgai Nadhir Wakaf Am dan Wakaf Khas, maka pengurusan dan pengendalian semua harta wakaf yang terdapat di negeri ini sentiasa dititikberatkan selaras dengan kehendak hukum syara’.Hal ini diberi perhatian supaya segala urusan wakaf tidak lari daripada tujuannya yang sebenar.

Pentadbdiran hal ehwal Agama Islam di Kelantan adalah unik dan berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Selain daripada MAIK yang merupakan badan induk mengenai pentadbiran hal ehwal agama di negeri ini, agensi-agensi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan menjalankan fungsi agama masing-masing seperti mana terkandung dalam ucapan titah KDYMM AlSultan di persidangan ketua-ketua jabatan agama Islam negeri-negeri yang diadakan di Kota Bharu pada 1 Oktober, 1985 yang berbunyi:

“.........Majlis Agama Islam Kelantan telah ditubuhkan oleh Paduka moyang beta, Sultan Muhammad ke-4 pada 17 Safar tahun 1334 Hijriyyah bersamaan 24 September 1915, Tujuannya ialah, antara lain, untuk mentadbir dan memajukan kumpulan harta baitulmal dan zakat orang-orang Islam, kehakiman Islam dan perkembangan persekolahan agama dan Arab, serta meningkatkan kegiatan dakwah Islamiah dan mengemaskan kawalan ke atas segala kegiatan maksiat dan penyelewengan dalam Islam. Semenjak penubuhannya, ianya telah berjaya memainkan peranan yang positif dalam bidang-bidang yang tersebut.....”.[para 4].

“.......Sesuai dengan keperluan semasa, maka dalam perkembangan yang akhir, bahagian persekolahan agama dan Arab, telah paduka ayahanda beta perkenan supaya diserah dan diletakkan di bawah kelolaan kerajaan negeri melalui agensi agama kerajaan, iaitu JASA dan kemudiannya Yayasan Islam Kelantan, sebagaimana yang telah dan sedang berjalan dengan baiknya sehingga kini........”. [para 5].

“.........Sedemikian itu juga, paduka ayahanda beta dan beta telah berkenaan bahawa sebuah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan ditubuhkan pada tahun 1979 bagi membantu Majlis Agama Islam Kelatan dalam mengendalikan urusan dan pentadbiran kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri ini, di samping beberapa tugas pentadbiran Islam yang lain. Urusan pentadbiran, zakat, baitulmal, fatwa dan seumpamanya adalah terus dikendalikan oleh Majlis Agama Islam. Ketig-tiga agensi agama ini, iaitu Majlis Agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, dan Yayasan Islam Kelantan adalah berjalan seiring dengan garis dan bidang-bidang kuasa masing-masing sebagaimana yang telah ditentukan....’. [PARA:6].

KDYMM Al-Sultan Muhammad IV bertitah memberi perkenan kepada Dato’ Bentara Setia, Hj. Nik Mahmud bin Hj. Ismail untuk mengumpul wang zakat dengan tujuan untuk membangun fizikal dan mental rakyatgKelantan dengan bekalan ilmu dan pengetahuan yang berguna.

Ucapan titah KDYMM Sultan Muhammad IV itu tertera pada kulit buku “Hikayat Sri Kelantan”, di antara lain baginda menegaskan, “Kita bersetuju membenarkan Bentara Setia menghimpunkan wang harga padi zakat semuanya bagi penggunaan membuat, membaiki masjid dan surau, bagi penggunaan menubuhkan kemajuan ilmu dan ilmu-ilmu di Kerajaaan dan pekerjaan anak negeri sehingga penuh dada anak Melayu Kelantan dengan kedua-dua ilmu itu supaya kursi dalam segala opis Kerajaan itu diduduki oleh anak-anak Kelantan semuanya”.

Titah ucapan perkenan KDYMM Al-Sultan Muhammad IV itu menjadi pendorong yang besar kepada langkah-langkah penting yang telah diambil selepas itu untuk meningikan syiar Islam di negeri Kelantan ini. Dengan menerima titah tersebut, Dato’ Bentara Setia telah mengadakan rundingan dengan para alim ulamak dan para candakiawan untuk kemajuan Islam di negeri ini. Antara mereka ialah Hj. Khatib bin Hj. Muhammad Said dan Hj. Wan Yusuff bin Ahmad yang lebih dikenali panggilan Tok Kenali.

Mereka bersetuju supaya mempersembahkan kepada Sultan Muhammad IV cadangan untuk menubuhkan sebuah badan yang dipanggil “Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan”, kerana mereka merasa bimbang dengan keadaan politik negara yang tidak stabil boleh menjejaskan perkembangan syiar Islam di negeri ini.

*************

7 Disember, 1915
[30 Muharam 1334H]

Persidangan Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan [State Council] telah bersetuju menubuhkan sebuah institusi yang dipanggil “Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan”, iaitu setelah mendapat ampun perkenan daripada KDYMM Sultan Muhammad IV.

Perkataan ADAT hanya baru dimasukkan pada tahun 1966, manakala perkataan “UGAMA” telah ditukar kepada ejaan ‘AGAMA’ pada tahun 1944, maka jadilah sebutannya yang lengkap “Majlis Agama Islam dan Adat Istiada Melayu Kelantan” yang digunapakai hingga ke hari ini.

24 Disember, 1915
[17 Safar,1334 H]

Pelancaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan oleh KDYMM Al-Sultan Muhammad IV telah berlangsung dalam satu istiadat yang gilang gemilang di Pejabat Tanah lama Kota Bharu, yang terletak di hadapan Istana Balai Besar, dengan disaksikan oleh orang-orang kenamaan, pembesar-pembesar negeri Kelantan dan juga rakyat negeri ini.

Pada hari itu seramai 12 orang telah dilantik oleh KDYMM Sultan menjadi “Ahli Majlis” yang terdiri daripada:

1.Hj.Awang Muhammad Yusof [Tok Kenali].

2.Haji Wan Muhammad Hj. Abdul Samad.

3.Haji Muhammad Said Jamaluddin.

4.Haji Wan Abdulah Abdul Samad.

5.Muhammad Ghazai Ariffin [Dato’ Bentara Luar].

6.Muhammad Daud @Che Wook bin Salim.

7.Nik Jaafar Hj.Nik Abdul Kadir [Dato’ Bentara Dalam].

8.Nik Wan Muhammad Amin Wan Musa.

9.Tengku Abdul Rahman bin Sultan Muhammad II.

10.Tamby Omar bin Tamby Kechik.

11.Hj. Muhammad Khatib bin Hj. Muhammad Said.

12.Haji Mahmud bin Hj.Wan Ismail [Dato’ Bentara Setia].

Tujuan asal MAIK ditubuhkan sebagaimana terkandung dalam sebuah dokumen yang ditandantangani oleh Dato’ Bentara Setia, Hj. Nik Mahmud bin Hj. Wan Ismail yang berjodol “Tujuan Majlis Ugama Islam Kelantan Tahun 1916”, ialah:

-Mengadakan masjid-masjid.

-Mengadakan sekolah-sekolah agama [Arab dan Melayu].

-Menterjemah kitab-kitab Arab [agama] ke dalam Bahasa Melayu.

-Mambantu golongan fakir miskin.

-Membina bangunan-bangunan untuk disewakan.

-Menjalankan perniagaan.

7 April,1916

MAIK dalam mesyuarat anggotanya telah bersetuju supaya satu draf peraturan mengenai pentadbiran masjid dan surau digubal untuk mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri [State Council]. Ini membuka satu lembaran baru dalam bidang pentabdiran masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini.

17 Oktober,1916

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri [State Council] telah meluluskan satu Enakmen mengenai MAIK, iaitu “Undang-unddang Bagi Anggota Majlis Ugama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan” 1916 [Undang-undang No 14 Tahun 1916] yang menentukan bidang kuasa serta garis-garis panduan dan perjalanan MAIK.

Undang-undang ini juga membuat takrif makna asal perkataan “Majlis Ugama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan’ mengikut pengertian waktu itu.
.
Enakmen itu juga menyebut tanggungjawab MAIK ialah sebagai sebuah badan yang “Membimbing, menasihat, menyusun, memberi fatwa berhubung, berasal, mempertahan, melaksana, memperkembang dan mentadbir semua perkara yang berkait dengan amalan dan perbuatan umat dan hukum Islam demi untuk faedah rakyat dan negeri”.

7 Mac, 1917

MAIK buat pertama kalinya menerbitkan sebuah buku yang berjodol “Jalan Sejahtera” oleh Haji Umar Nuruddin, setebal 84 halaman.

17 April, 1917

Kerajaan Negeri Kelantan telah memberi kuasa kepada MAIK melaksanakan kutipan zakat fitrah mengikut notis 11/17 yang telah diluluskan oleh Majis Mesyuarat Negeri [State Council] pada 17 April, 1917. Notis itu juga mengarah MAIK mengikuti peraturan yang sedia ada dalam melaksanakan tugasnya.

Dengan itu MAIK telah dapat memungut sebanyak RM12,264.43 daripada kutipan zakat pada tahun 1916.

31 Julai, 1917

MAIK membeli sebuah rumah kayu kediaman bekas Menteri Besar Kelantan, zaman pemerintahan Siam 1901, Enc. Hassan bin Muhammad Saleh yang terletak berhampiran dengan Masjid Muhammadi, Kota Bharu, termasuk kawasannya sekali untuk dijadikan pejabat MAIK. Rumah itu dibina pada tahun 1902, berekabentuk rumah Melayu Kelantan Patani. Ia dibeli dengan harga RM15,000.00 hasil kutipan zakat fitrah yang dilakukan oleh MAIK.

Pada permulaan penubuhannya, MAIK tidak mempunyai pejabatnya sendiri, dan mesyuaratnya diadakan di tempat yang lain, termasuklah di tingkat atas bangunan Pejabat Tanah Lama, Kota Bharu, sehinggalah Kerajaan Negeri membenarkan tingkat atas Pejabat Tanah itu dijadikan pejabat sementara MAIK.

5 Ogos, 1917
[17 Syawal 1335H]

MAIK menubuhkan al-Madrasah al-Muhammadiah al-Kalantiah atau Madrasah Muhammadiah [Melayu], dan ditempatkan di tingkat bawah bangunan pejabat MAIK, di Jalan Sultan yang dibeli pada 31 Julai, 1917 itu.

Adalah dipercayai madrasah ini adalah sekolah yang julung-julung kali seumpamanya ditubuhkan di negeri ini, dan kemudiannya pada tahun 1956 telah dipindahkan ke bangunan barunya yang terletak di Jalan Merbau, Kota Bharu.

9 Ogos, 1917

MAIK memulakan operasinya di bangunan baru yang dibelinya sebagai pejabat MAIK. Pejabat MAIK kekal di situ sehingga MAIK berpindah ke bangunanya yang baru yang terletak di Lundang, Kota Bharu pada tahun 1990.

5 November 1917

MAIK menubuhkan “Pejabat Terjemah Kitab-kitab Majlis” dan “Pejabat Matbaah Majlis”. Ini bererti MAIK mulai menceburkan dirinya dalam bidang penerbitan. Tapi Pejabat Terjemah ini telah ditutup pada tahun 1945.

18 November, 1917

MAIK membeli sebuah mesin cetak berharga RM1,000.00 daripada seorang yang bernama Haji Jaafar bin Hj. Mahmud dalam usahanya untuk memperluaskan bidang tugasnya di bidang percetakaan dan penerbitan. Pada tahun ini juga MAIK dipercayai menerbitkan buku sulungnya “Jambangan Melayu”.

Insya-Allah bersambung.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP