WARUNG KITA JUAL NASI BELAUK

>> Friday, February 12, 2016





WARUNG KITA JUAL NASI BELAUK



Yi



Ketika berada di Saujana 3, pada suatu pagi kami keluar dari rumah untuk mencari sarapan pagi. Kami terasa hendak makan nasi belauk seperti di Kelantan, lalu kami menuju ke Kuang, tapi kedai nasi orang Kelantan yang  kami biasa makan itu tidak berniaga, mungkin kerana cuti Tahu Baru Cina.




Warisan Kita




Kereta dipandu terus mara ke hadapan, dan tidak beberapa lama selepas kereta bergerak, dan setelah melepasi sebuah simpang tiga, kereta diberhentikan di hadapan sebuah warung.


Saya diberitahu bahawa itulah “Warung Kita”, tempat orang Pantai Timur jual nasi belauk ala Kelantan yang terletak di Kampung Melayu Sungai Buloh.


Waktu kami sampai itu, orang masih belum begitu ramai, tapi yang tiba sedikit demi sedikit tidak berkeputusan. Bangunannya berbentuk U dan ditengahnya yang terbuka itu diletak beberapa buah kerusi dan meja makan untuk pelanggan yang suka makan “open air”.


Kami berdiri berbaris untuk membeli tiga bungkus nasi belauk untuk makan di situ, dan tiga bungkus lagi untuk dibawa pulang ke rumah. Dua gelas teh dan seperti biasa segelas air kosong untuk saya.




                      Arham dan Dyana

Kami memilih meja di tengah-tengah laman yang terbuka. Sengaja untuk makan di bawah kolong langit. Tanpa disedari tiba-tiba payung automatik berkembang di atas kepala kami untuk mengelak kami daripada ditimpa cahaya mata hari yang sedang meninggi dan ketika itu berada di sebalik bangunan di seberang jalan.


Bila masing-masing kami selesai makan, kami menegur seorang lelaki yang ada berhampiran kami kerana ingin bertanyakan sesuatu. Beliau langsung duduk di kerusi kosong di hadapan kami dan mulai berbicara.


Beliau memperkenalkan namanya sebagai “Yi” tuan punya Warisan Kita yang dikongsi bersama dengan adik beradiknya. Beliau menceritakan beliau berasal dari Besut, Terengganu dan isterinya dari Kota Bharu, Kelantan.


Beliau menceritakan pengalaman-pengalamanya dalam perniagaan, dan gerak niaganya sekarang dan rancangan niagaya masa akan datang.


Katanya dia pernah berniaga jual air menggunakan kereta sorong di Kuala Lumpur. Pernah bekerja di Singapura, dan berbagai-bagai pengalaman lagi, sehinggalah sampai ke tahap sekarang.


Sehingga ini beliau mempunyai dua buah warung yang berlainan nama dan sebuah lagi akan dibuka di hujung bulan Febuari ini di Selangor juga. Rancanganya hendak membuka lima buah warung, di antaranya mungkin di Perak pada masa-masa akan datang.


Tapak Warung Kita sekarang dibina atas tanah sewa, yang telah dibaikpulih sebelum bangunan dapat dibina di atasnya seperti yang ada sekarang, antaranya dengan menimbus bekas lombong yang merupakan sebahagian daripada tanah tapak bangunan itu


Berpuluh-puluh ribu ringgit terpakasa digunakan untuk tujuan pembinaan warung dan tapak warung itu.


Di samping menjual nasi belauk, beliau juga menjual air kelapa muda, yang begitu popular di warungnya itu. Ratusan biji air kelapa muda dijual di Warung Kita setiap hari.


Malah katanya separuh daripada pendapatan yang diperolehi oleh warungnya itu brsumber daripada jualan air kelapa muda.


Katanya kelapa-kelapa itu dibelinya daripada luar Negeri Selangor. Ia dikenali dengan kelapa mantap. Menurut beliau, kelapa ini hanya mengambil masa tiga tahun sahaja untuk berbuah.




                              Nasi Bungkus


Menurut beliau, hari ini pendapatan menanam kelapa mantap lebih baik daripada menanam kelapa sawit. Tapi yang dijual ialah kelapa muda, bukannya kelapa tua atau kelapa matang untuk diambil santan.


“Sambutan warung ini daripada orang ramai sentiasa dan amat menggalakkan. Dan yang datang ke warung ini bukan sahaja orang Melayu, tapi juga orang-orang bukan Melayu, orang China terutamanya”. Kata beliau.


Sehingga hari ini, katanya beliau amat bersyukur kerana perniagaannya bertambah maju, walaupun dalam sejarahnya ada naik dan turun.


Di samping itu katanya beliau juga menyediakan temapahan –tempahan makanan untuk sesuatu majlis, seperti perkahwinan dan sebagainya. Beliau mempunyai sepasukan pekerja lagi yang khsusus untuk tujuan tersebut.


Sesiapa yang berhasrat untuk menempahnya silalah hubungi beliau.


Sebagai anak Kelantan khususnya, saya merasa amat bangga dengan usaha dan kemajuan yang telah dicapainya dalam urus niaga nasi belauk. Semoga beliau terus melangkah maju.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP