EKOR ITU UNTUK APA YA??

>> Sunday, February 22, 2015



EKOR ITU UNTUK APA YA?


Kalau kita perhatikan hampir semua haiwan dilengkapi dengan anggota yang dipanggil ekor yang tertentu. Ekor-ekor ini berbeza antara sejenis haiwan dengan haiwan yang lain. Hanya sedikit sahaja haiwan yang tidak mempunyai ekor, antaranya orang utan dan sebahagian besar serangga.


Ekor itu terletak di bahagian hujung belakang seseokor haiwan.


                                                 Seekor kucing menghamparkan ekornya

 
Ekor haiwan ini mempunyai berbagai-bagai kegunaan, seperti untuk berpegang sebagai tangan, untuk mengimbangi badan ketika berjalan atau bergerak, untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan makanan, untuk dijadikan senjata ketika berkelahi dan lain-lain kegunaan lagi.


Oleh sebab ekor itu begitu pentingnya kepada haiwan, maka perkataan ekor itu dipergunakan sebagai penjodoh bilangan untuk menentukan jumlah haiwan-haiwan. Seperti sebelas ekor kambing, dan tidak dikatakan sebelas kaki  kambing. Atau tujuh ekor lembu, dan tidak dikatakan tujuh kepala lembu. Atau lima ekor burung, dan tidak dikatakan lima sayap burung. Demikianlah seterusnya.


UNTUK BERPEGANG


Monyet menggunakan ekornya sebagai tangan untuk berpegang ketika memanjat atau bergayut dari pokok ke pokok untuk melompat.


Selain dari monyet, binatang-binatang lain yang berekor yang mempunyaai kegunaan yang serupa antaranya ialah landak pokok, kongkang dan tenggiling. Malah kongkang boleh tidur dengan kepala terjuntai ke bawah, sambil bergayut pada dahan kayu dengan ekornya tanpa terjatuh.



                                          Burung bertenggek dengan ekornya


Ular-ular juga boleh bergayut pada ranting-ranting kayu menggunakan ekornya dengan kepala berjuntaian ke bawah. Dan ada sejenis ular besar  yang dapat bergayut dengan ekornya itu pada ranting kayu sambil menghayunkan dirinya ke hadapan dan ke belakang, seperti buaian. Sementara itu ia memerhati dengan teliti untuk menyambar mengsa-mangsanya bagi dijadikan makanan yang enak


Tokek lain pula. Ia menggunakan ekornya bukan untuk berpegang seperti monyet, tapi bersiap  sedia untuk menangkap mangsa-mangasanya dengan lidahnya, maka untuk tujuan itu ia akan melengkarkan dirinya di dalam ekornya, kemudian barulah lidahnya yang panjang itu menjelir keluar dan menyambar seerangga-serangga atau lain-lainnya yang menjadi kegemarannya.


Sungguhpun ikan-ikan dan makhluk-makhluk laut yang lain juga dilengkapi dengan ekor,  tapi kebanyakannya tidaklah menggunakan ekor itu seperti tangan untuk berpeang, kecuali beberapa jenis ikan tertentu sahaja.


Ikan-ikan ini adalah dari jenis ikan yang tidak dapat berenang dengan pantas, kerana itu ia tidak dapat memburu mangsa-mangsanya untuk dijadikan makanan. Justeru itu ia menuggu mangsa-mangsanya datang berhampiran, dengan melabuhkan ekornya pada rumput-rumput laut dengan kepala ke atas, seperti kapal menurunkan sauh. Bila mangsa-mangsa itu mendekati, lalu disambarnya dengan mulutnya yang berahang panjang itu.


KEMUDI


Sebaliknya kebanyakan ikan menggunakan ekornya yang lurus itu sebagai kem
udi ketika berenang di dalam air.


                                          Ekor ikan dikerat


Ikan paus, yang tergulung dalam jenis mamalia, mempunyai ekor yang datar yang dipergunakan sebagai kemudi ketika berenang dan juga sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya. Ekor inilah digunakan oleh ikan paus untuk membedal perahu-perahu nelayan yang cuba menangkapnya hingga perahu itu terbalik kuang atau terlingkup di dalam laut.


Burung-burung juga menggunakan ekor mereka sebagai kemudi untuk memandu mereka dalam penerbangan ke sesuatu tempat.


Ia juga menggunakan ekor untuk mengimbangi badannya ketika duduk bertenggek di ranting-ranting pokok.


Dan sebahagian daripada burung-burung itu pula mempunyai ekor yang cantik bentuk dan rupanya. Ia dipergunakan untuk memperaga-ragakan dirinya waktu mencari pasangan.


Merak mempunyai ekor yang begitu cantik, mengembang indah dalam tata warna. Tapi ini bukanlah ekornya yang sebenar, kerana ekornya yang sebenar adalah terletak di bahagian bawah bulu-bulunya yang mengembang indah itu.


STOR MAKANAN

Sebilangan binatang pula menggunakan ekornya sebagai tempat penyimpanan makanan. Biri-biri yang tinggal di padang-padang pasir Asia dan Afrika dilengkapi dengan ekor yang panjang. Di dalam ekornya itu mereka menyimpan lemak-lemak untuk kegunaan waktu kekurangan makanan yang mungkin lebih kerap berlaku di padang-padang pasir,


Termasuk juga dalam binatang jenis ini ialah sejenis tikus di padang pasir yang terdapat di Afrika Utara menggunakan ekornya sebagai gedung untuk menyimpan makanan,


Demikian jugalah dengan sejenis cicak yang menyimpan lemaknya di dalam ekornya untuk kegunaan di masa-masa yang perlu.


SENJATA

Kita tahu di kalangan haiwan sering berlaku perkelahian sengit, kerana sebab-sebab tertentu, malah lebih sengit daripada pertarungan yang berlaku di kalangan manusia. Oleh sebab binatang-binatang itu tidak dapat menggunakan senjata-senjata yang dibikin seperti manusia menggunakan keris, lembing, atau golok, maka mereka mempergunakan anggota-anggota mereka yang tertentu sebagai senjata, seperti gigi, kuku, sengat, racun-rancun berbisa dan ada juga yang menggunakan ekornya sebagai senjata.

Ekor harimau



Di antara binatang-binatang yang mempergunakan ekornya sebagai senjata ialah biawak. Ekor biawak biasanya sepanjang kira-kira satu meter atau tiga kaki dapat membedal seperti cemeti ketika bertarung antara satu sama lain.


Sesetengah biawak pula mempunyai ekor yang panjang dan dengan bentuk tulang-tulang yang tajam. Bedalan dari ekor biawak yang seperti ini boleh mencederakan mangsanya.


Buaya pun menggunakan ekornya untuk membedal, dan bukan jarang berlaku, bedalan ekor buaya yang meradang itu boleh menterbalikkan sampan-sampan, dan kadang-kadang penumpang-penumpang yang jatuh ke dalam air dibahamnya sebagai hidangan yang enak.


Kanggaru, sungguh pun tidak menggunakan ekornya secara langsung dalam perkelahian dengan musuhnya, tapi ia mempergunakan ekornya sebagai tongkat untuk tegak berdiri, sambil menendang kuat dengan kaki-kaki belakangnya.


Selain ini itu kanggaru juga  menggunakan ekor untuk mengimbangi badannya.


BERBUNYI


Sejenis ular bisa yang dikenali dengan nama orok-orok “rattlesnake” mempunyai ekor yang luar biasa. Pada hujung ekornya itu terdapat bahan-bahan keras yang bergegar bila ia merayap atau bergerak yang mengeluarkan bunyi yang kuat, bergerutukan.


Demikian juga dengan sejenis landak yang berasal daripada Amerika Selatan, ia mempunyai ekor yang berbunyi bergerutukan bila ia berjalan.


Bunyi-bunyi ini merupakan loceng amaran bahaya  kepada musuh-musuhnya supaya melarikan diri bila mendengar kemunculannnya supaya tidak ditimpa bencana.


Ekor ular ini sungguh istimewa, kerana kalau terputus ia boleh menumbuhkan kembali ekor baru. Demikian juga dengan cicak.


PENGAYUH

Memerang menggunakan ekornya sebagai pengayuh atau dayung ketika berenang dalam air. Ini sesuai dengan bentuk ekornya yang bujur dan rata. Memerang juga pernah dilihat menggunakan ekornya itu sebagai sekup untuk menyapu lumpur sebagai plaster di tembok-tembok kediaman mereka.


Anjing pula menggunakan  ekornya sebagai kemudi untuk berpaling dengan pantas ketika berlari. Dan ia juga menggunakan ekornya sebagai tanda gembira dan senang hati dengan menggoyang-goyangkan ekornya itu.


Kucing menggunakanya ekornya sebagai kayu pengimbang badannya dari terjatuh ketika meniti di atas tempat-tempat yang tirus, seperti di atas pagar atau di atas bumbung rumah.


PEMBURU

Kuda, lembu dan kerbau menggunakan ekornya sebagai pemburu lalat dan langau yang menghinggapi tubuh mereka. Itulah sebabnya kita sering melihat binatang-binatang ini membedal-bedalkan ekor ke tubuh mereka, persis tali cemeti.


Ekor lembu pula dianggap istimewa, kerana dipercayai mengandungi khasiat untuk memperkuat tenaga batin. Kerana itulah sup ekor lembu popular di kalangan kaum lelaki dalam masyarakat kita. 



EKOR KUDA


Kuda mempunyai bentuk ekor yang  agak istimewa, panjang dan lebat, sehingga dicontohi oleh manusia sebagai fesyen rambut wanita, yang dikenali dengan nama “rambut ekor kuda”.

Dan ada pula sesetengah makhluk waktu lahir dihiasi dengan ekor, tapi bila bertambah besar ekor itupun hilang, hingga tidak berekor lagi.


Kodok, waktu kecilnya dipanggil berudu, mempunyai ekor, tapi setelah besar ekor itu tidak ada lagi.


Embiro atau lembaga manusia pada mulanya ada ekor, sepanjang kira-kira 1/6 daripada ukuran embiro itu sendiri. Tapi ekor itu akan hilang bila embiro bertukar menjadi janin [foetus].


Demikianlah di antara lain tanda-tanda kebesarn Allah yang menjadikan setiap sesuatu itu ada dengan maksud dan tujuannnya. Ada kegunaannya, dan tidak sia-sia.


Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kel.









0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP