REMPAH RATUS KEMBARA RAMADAN 1435

>> Thursday, July 17, 2014






                        Ya Ramadhan -Opic


REMPAH RATUS KEMBARA RAMADAN EMPAT BELAS TIGA LIMA


Seperti biasa persis tahun-tahun yang lalu saya kembara Ramadan ke luar kampung laman. Saya berada di Negeri Selangor Darul Ehsan selama beberapa hari. Berpuasa dan bertarawih di sana, dan saya balik petang kelmarin, [Rabu, enam belas Julai, tahun dua kosong, satu empat] ke rumah. Justeru penerbangan dari Subang ke Pengkalan Chepa  ditundakan dari pukul lima setengah ke pukul enam lebih, saya terpaksa berbuka puasa di atas kenderaan sebelum sampai ke rumah.


Ada beberapa perkara yang ingin saya catatkan sebagai rempah ratus kembara saya kali ini untuk dikongsikan bersama anda semua setelah beberapa hari tidak menjamah internet sepanjang kembara Ramadan tersebut. Saya tidak bercadang ke mana-mana lagi dalam bulan Ramadan ini, sehingga lepas Aidilfitri nanti. Insya-Allah.


                                     Bersolat

Bila kapalterbang mendarat di Subang petang hari keberangkatan saya itu, hari telah lewat petang. Untuk balik ke rumah sudah tentu tidak sempat untuk berbuka, nasib baik ketika berada di rumah lagi ada jemputan untuk berbuka di sebuah surau di Syah Alam walaupun terpaksa melencung sedikit dari arah perjalanan kami yang sebenar.


Sebelum meneruskan perjalanan, saya singgah di Surau Lapangan Terbang Subang yang terletak di tingkat satu bangunan tersebut. Oleh sebab tangga bergeraknya rosak, saya boleh naik dan turun dengan menggunakan lif atau dengan tangga biasa, dan saya memilih untuk mendaki tangga.


Bila sampai dalam surau yang kecil itu, ada seorang warga emas sedang mengambil wuduk, dan saya tunggu beliau selesai, walaupun masih ada pili pilihan yang lain, kemudian baru saya mengambil wuduk. Pada sangkaan saya beliau tentu hendak solat Asar. Tapi  selepas saya berwuduk, lelaki itu tidak terus solat, sebaliknya membaca sebuah tafsir al-Quran yang ada di surau itu dalam keadaan  berdiri dalam cahaya yang samar-samar. Mungkin beliau sedang mencari surah yang hendak dibacanya nanti. Tapi selepas saya solat, beliau masih lagi memegang tafsir itu, dan seterusnya membacanya sambil duduk di atas sebuah kerusi di situ yang disedikan untuk kegunaan jemaah untuk menanggal dan memakai stokin dan lain-lainnya. Ketika saya meninggalkan surau itupun beliau masih juga membaca sambil berdiri pula.


Sementara itu, masuk pula seorang pemuda, membawa sebuah file plastik lut sinar dan sebuah buku kecil. Pada mula-mulanya beliau pergi ke bahagian depan surau yang pada masa itu kekurangan jemaah. Waktu Asar telah larut. Dia lalu duduk di atas sejadah, membuka buku kecil yang dibawanya itu, lalu membacanya dengan suara agak keras, mungkin doa-doa yang tertentu. Setelah selesai, dia bingkas bangun, dan bergerak ke belakang, dan solat di sebelah saya dengan suara yang dideraskan seperti sembahayang Maghrib. Kemudian sesudah solat, dia membuka semula buku kecilnya tadi dan membacanya dengan suara yang agak lantang.


Memanglah dalam bulan Ramadan ini orang mengejar pahala berganda dan saya harap itulah yang dituntut oleh kedua-dua hamba Allah itu.


Sementara menunggu solat Isyak, disurau yang saya berbuka itu, saya dimaklumkan  salah seorang sahabat kami yang sedang bertugas di luar negara, iaitu di salah sebuah negara Arab. Beliau antara lain memberitahu dia solat tarawih di salah sebuah masjid berhampiran dengan tempat kediamannya. Katanya masjid ini seperti juga dengan sesetengah masjid lain di kawasan itu mengadakan solat tarawih lapan rakaat.


Katanya selepas solat empat rakaat mereka berhenti untuk berihat panjang. Para jemaah diberi peluang untuk terus berada di masjid ataupun boleh juga keluar dari masjid untuk balik ke rumah atau ke mana-mana tempat yang menjadi pilihan, seperti untuk pergi membeli belah, ke pasar raya, ke kedai makan untuk berihat dan sebagainya. Kerana solat tarawih hanya akan di sambung semula pada pukul dua belas nanti. Kepada mereka yang ingin menyambung semula solat tarawih yang masih berbaki itu, bolehlah datang kembali, kalau tidak terserahlah.


Kalau anda kepingin untuk bersolat seperti itu, pergilah ke negara Arab tersebut.


Selepas solat tarawih ada sedikit jamuan, ada beberapa jenis juadah tradisional di hidangkan. Sambil makan-makan itu, kami berbual sedikit mengenai beberapa perkara. Salah seorang daripada kami memberitahu, dalam bulan Ramadan ada orang yang mengambil kesempatan bukan untuk menambah pahala Ramadan, tapi bekerja untuk menambah dosa sebagai persiapan untuk masuk neraka.


Orang-orang ini merupakan sebahagian daripada aneka penjenayah yang mengambil kesempatan untuk memecah rumah dan mencuri ketika tuan rumah beramai-ramai pergi solat tarawih. Tuan rumah keluar pergi solat, mereka masuk rumah orang untuk menyamun dan merompak. Mengganda dosa, untuk tempah ke neraka.


Seorang lain pula menambah, sebelum mereka masuk menceroboh rumah itu, mereka membuat pemeriksaan terlebih dulu, untuk mempastikan tidak ada penghuni yang tinggal. Mula-mulanya mereka melaungkan salam dari luar pagar rumah, jika tidak ada jawapan, mereka mengujinya lagi dengan membaling batu-batu ke rumah tersebut, dan bila tidak juga ada respon, maka yakinlah mereka rumah itu tidak ada penghuni, dan dengan itu senanglah mereka bertindak untuk mencerobohnya.


Saya teringatkan kisah benar di sebuah,kampung di mana penjenayah-penjenayah itu akan memerhati wanita-wanita warga tua yang pergi solat bersendirian dan berkebetulan memakai barang-barang kemas. Mereka akan mendedakti wanita itu, dan meminta dia menyerahkan barang-barang kemas di leher atau di pergelangan tangannya itu, sudah tentu dengan ugutan. Kemudian setelah barang-barang kemas itu bertukar tangan, penjahat itu akan membuat ancaman supaya tidak membuat laporan polis atau memberitahu sesiapa pun kalau dia ingin selamat. Penjahat itu orang sekampung yang memang dikenali.


Oleh itu berhati-hati dan berjaga-jagalah sepanjang masa, sebab nafsu jahat manusia ini sentisa sahaja dahaga untuk melakukan  kejahatan, tanpa mengira masa, hari atau bulan. Sebaik peluang terbuka mereka akan sapu. Sentiasalah kita berdoa kepada Allah supaya diberi perlindungan dan keselamatan.


Setiap Ramadan,  Negeri Kelantan Darulnaim menjadi semacam syurga kepada para pengemis. Sebahagian besar dari mereka akan menumpu ke bandar Kota Bharu. Mereka beroperasi meminta sedekah dan zakat dalam kawasan bandar, dan sebahagian pula dalam berkumpulan begerak dari rumah ke rumah. Kebanyakan mereka datang dari negara jiran.

Oleh itu, setiap tahun, pihak berkuasa Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan [MAIK] menambah kerja untuk menahan pengemis-pengemis itu daripada berkeliaran. Pengemis-pengemis ini tidak dihukum, demikian juga pemberi sedekah tidak didenda kerana memberi sedekah. Sebaliknya mana-mana yang dapat ditahan akan diletak di satu tempat khas, dan dikawal ketat supaya atidak keluar mengemis. Mereka semua disediakan dengan makanan berbuka dan bersahur secara percuma. Selain itu mereka juga dibekalkan dengan seorang iman untuk solat tarawih berjemaah di tempat mereka dikumpulkan itu sepanjang bulan Ramadan.


Menjelang Hari Raya mereka akan dibebaskan dan dinasihat supaya balik ke rumah masing-masing, setelah terlebih dahulu diberikan wang saku sebanyak beberapa ratus ringgit untuk dibawa balik ke rumah dan beraya bersama keluarga.


Tapi sudah tentu hal ini tidak menggembirakan mereka, kerana hasil menjadi pengemis lebih lumayan daripada habuan yang diberikan oleh MAIK kepada mereka.


Minta Dijauhi



Dalam perjalanan pulang kelmarin, sebaik-baik kami sampai dan keluar dari kereta di Lapangan Terbang Subang, tiba-tiba kami mendengar satu dentuman yang kuat. Tidak jauh daripada tempat parkir itu, kami lihat ada sebuah kereta berada di atas pembahagi jalan di mana keempat-empat tayarnya telah naik ke atas. Tapi mujurnya pemandunya dapat keluar dengan selamat dari kenderaan yang terbalik itu. Tidak juga ada kebakaran. Tidak ada siapa yang cedera. Menurut cerita, kemalangan itu berlaku kerana pemandunya cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang menyebabkan motokar yang dipandunya terbabas menaiki pembahagian jalan, dan terus terbalik kuang.

Pada akhirnya saya memanjat doa dan harapan semoga Allah memperkuatkan iman dan takwa kita sepanjang bulan yang mulia ini, dengan menjauhkan perkara-perkara yang boleh membinasa dan menguruskan puasa kita, sebaliknya memperbanyakkan amalan-amalan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita, serta dikurniakan keberkatan dan keampunan oleh Allah SWT berkat bulan yang mulia ini yang hanya sebulan dalam setahun. Semoga amalan-amalan mulia yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini akan terus menjadi amalan kita di sepanjang hayat kita yang masih berbaki lagi ini yang akan berakhir bila tiba waktunya nanti.


Dan saya akhiri Rempah Ratus ini dengan memungut madah Najib Al-Kaylaniy, “Tidak diragukan lagi bahawa orang berpuasa hidup  di bawah naungan prinsip dan siraman suasana rohaniah yang damai, penuh dengan keimanan dan keyakinan. Kepatuhannya untuk meninggalkan makan, minum dan runtunan hawa nafsu menjadikan semangatnya tinggi dan membaja, tidak gentar menghadapai masalah hidup dan cabarannya. Jiwanya penuh dengan rasa yakin dan reda. Secara berangsur-angsur akan hilang dari jiwanya rasa curiga, bimbang dan ragu. Dia berasa dekat dengan Allah dan sujud kepada-Nya. Ingatannya selalu berpaut kepada Allah semata”.

Amin!





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP