Harga Sebuah Kasih Sayang

>> Wednesday, September 29, 2010


KASIH-SAYANG, Kucing Dan Anjing Boleh Berprasangka Baik. Bagaimana Dengan Kita Manusia?

Jika kita mengetahui atau melihat ada di antara salah seorang daripada sahabat-sahabat atau rakan-rakan kita bersengketa atau berbalah antara satu sama lain, apakah sikap yang kita ambil? Atau apakah tindakan yang kita lakukan?

Kita mungkin menentukan sikap memihak kepada salah seorang daripada mereka yang kita rasa atau fikirkan dia berada di pihak yang benar tanpa usul periksa lagi, kerana mengikut congak-congak rambang yang kita lakukan dia berada di pihak yang benar, lalu kita menyokong dia dengan kata-kata atau perbuatan.

Atau kita mungkin melakukan sedikit pengkajian, dengan merisik-risik sana dan sini, bertanya orang-orang yang kita fikir patut ditanya, kemudian membuat keputusan memihak kepada orang yang kita fikirkan benar dengan kata-kata atau perbuatan kita. Kita kutuk orang yang kita putuskan dia bersalah itu tanpa usul periksa dengan lebih lanjut lagi.

Kita juga mungkin dengan pentas menghebah-hebahkan persegketaan itu sebagai berita hangat, dengan membuat ulasan-ulasan kita sendiri untuk menambahkan lagi sensasi para pendengarnya, sebagaimana dilakukan wartawan-wartawan hari ini, walaupun belum jelas hujung pangkalnya. Justeru itu tidaklah dihairankan kerana tidak jarang berlaku rumusan buruk sangka yang mereka utarakan telah terssul selepas pihak berkuasa melakukan penyiasatan yang telus.

Ataupun bila mendengar berita persengketaan itu kita ketawa, merasa senang dan gembira kerana mereka terlibat dalam kemelut itu, dan dengan maksud-maksud yang kita sendiri tahu, kita laga-lagakan mereka keduanya supaya mereka semua hancur dan musnah. Kita jadikan diri kita batu api. Tindakan seperti inilah yang kita lihat sering diambil oleh orang-orang politik dari sejak dahulu hingga sekarang, kerana cita-cita mereka, “pecah-pecah dan perintah” sebagaimana dilakukan oleh penjajah terhadap anak-anak jajahannanya.

Kita lupa bahawa tugas kita yang utama sebagai seorang Islam ialah mendamaikan saudara kita yang bersengketa, bukan menyokong pihak yang kita rasa benar atau mengapi-apikannya. Kita damaikan mereka dengan cara yang baik dan lemah lembut. Inilah jalan yang diambil oleh orang Mukmin yang bijaksana.

Inilah maksud firman Allah, “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaranya”. Al-Hujurat:10.

Dan inilah juga maksud dari sabda Baginda Rasulullah S.A.W., “Sedekah yang paling baik adalah mendamaikan orang yang bersengketa”. HR:Thabrani & Al-Baihaqi.

Baginda Rasulullah S.A.W. juga bersabda, “Bukanlah pendusta orang yang mendamaikan sesama manusia. Lalu dikembangkannya kebaikan, atau diucapkannya perkataan yang baik-baik”.:Bukhari & Muslim.

Demikianlah, tidak mudah untuk mewujudkan pesaudaran tulin dan murni antara seorang dengan seorang, kerana persaudaran hanya akan terpintal antara seorang dengan seorang atau antara satu keluarga dengan satu keluarga yang lain bila hati dan jiwa masing-masing telah tersirat dengan benang-benang sutera kasih dan sayang.

Malah hanya dengan terjalinnya rasa kasih dan sayang di antara hati dan hati barulah jambatan persaudaran dapat dibina dalam lautan mahabah dan harmoni. Dan dari ikatan persahabatan itulah lahirnya persaudaran yang kental.

Dalam Islam menjalin persahabatan sesama Islam adalah sunnat. Dan dengan terjalinnya ikatan persabatan itu, maka sudah tentu masyarakat Islam akan menjadi lebih utuh dan kuat, dan tidak mudah diporakperandakan oleh orang-orang yang berniat jahat terhadap Islam.

Membina persaudaran atau silaturahim sesama manusia adalah merupakan salah satu ciri-ciri peribadi yang mulia dan memang dituntut oleh Islam untuk diusahakan pembinaannya mengikut kemampuan masing-masing.

Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda, “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim [kasih sayang persaudarannya]". Musttafaq ‘alaih.

Sabda Baginda S.A.W. lagi, “Berbaktilah kepada Allah dan hubungkanlah persaudaran kamu, kerana yang demikian itu lebih kekal buat kamu di dunia dan lebih baik bagi kamu di akhirat”. HR:Ibn Jarir.

Baginda Rasulullah S.A.W. telah berjaya membina persahabatan yang begitu kental antara kaum Muhajirin dan Anshor, dalam penghijrahan dari Makah ke Madinah, sehingga berjaya menghasilkan rasa setia kawan dan perpaduan yang tidak ternilai harganya dalam sejarah kemanusiaan.

Baginda bersabda, “Dua orang yang mengikat tali persaudaran adalah laksana dua belah tangan, satu daripada mencucui yang lain”.HR:Abu Nu’aim.

Dalam menjalin persahabatan ini, mereka hendaklah saling kasih mengasihi antara satu sama lain. Dia mestilah mengasihi sahabatnya itu sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Tidak boleh dia mengkhususkan sesuatu untuk diri peribadinya sendiri dan melupakan kepentingan sahabatnya itu.

Itulah maksud daripada sabda Baginda Rasulullah S.A.W. “Tiada [sempurna] iman seseorang kamu, hingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri”.

Dalam pergaulan pula, mereka hendaklah memakai akhlak yang mulia, kasih mengasihi antara satu sama lain, sabar dan tidak mudah marah, apa lagi mengenai perkara-perkara kecil yang tidak berkesan atau tidak menjadi kudis gatal.

Sikap ini selaras dengan firman Allah S.A.W., “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang tinggi”. Al-Qalam: 4.

Dan selaras pula dengan sabda Baginda Rasulullah S.A.W., “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya, ialah mereka yang paling baik akhlaknya”.HR:Turmidzi & Ibnu Hibban.

Al-Junid Al-Baghdadi berkata, “Empat perkara menaikkan martabat seseorang ke derjat yang tinggi, meskipun amal dan ilmunya sedikit, iaitu “tidak lekas marah, rendah hati, pemurah dan akhlak yang baik”.

Salah satu sikap yang sukar untuk kita ambil terhadap sahabat-sahabat kita ialah menaruh sangka baik kepada mereka. Tanpa sangka baik inilah bila kita melihat kesilapan yang dilakukan oleh seseorang atau melihat aib seseorang kita akan memandangnya dengan jijik, keji dan hina seolah-olah kita tidak pernah melakukan kesilapan.

Dalam hal seperti ini seorang guru yang terkenal pernah berkata bahawa nafsu kita cuba menunjukkan aib orang lain dengan tujuan untuk menyembunyikan keaiban kita sendiri. Sedangkan jika seseorang itu mempunyai rasa kasih dan sayang, jujur dan suka merendah diri kepada orang lain, sudah tentu dia tidak mendedahkan aib orang itu tapi sebaliknya berusaha untuk menghilang atau menghapuskannya.

Memang benar jika anda menutup keaiban orang, niscaya Alah pua akan menutup keaiban anda.

Kata guru yang bijaksana itu lagi, kalau kita membenci seseorang dan mengatakannya manusia yang tidak berguna, maka samalah ertinya kita membenci Allah yang menjadikan semua perkara di dunia ini, ertinya kita berpendapat Allah telah membuat salah dalam mencipta manusia tersebut. Justeru itu jika anda merasa seseorang itu tidak boleh mendekatkan diri anda kepada Allah, tinggalkan sahaja orang itu, tapi jangan sama sekali menyelongkar dan mendedahkan segala kesalahan dan keaibannya.

Selagi orang itu masih hidup dan berminat untuk belajar, bererti dia masih mempunyai peluang untuk berubah, dari negatif kepada positif. Maka teruslah menghormatinya, dan kita tidak perlu menunjukkan segala kesalahan dan keaibaannya. Demikian jugalah jika kita dapati ada seseorang yang tidak menyukai kita, kita tidak boleh membalasnya dengan membencinya pula, tapi sebaliknya kita hendaklah berusaha untuk menyukai dan menyayanginya.

Ingatlah kepada nasihat Imam Ghazali jika kita merasa tersinggung dengan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang, maka kita hendaklah mencari 70 sebab kenapa orang itu melakukan perkara tersebut, tapi jika satu pun daripada 70 sebab-sebab itu tidak dapat kita terima, maka hendaklah kita persalahkan diri kita sendiri kerana mempunyai hati yang angkuh dan sombong. Justeru dalam hal ini sebenarnya kitalah yang bersalah, bukan orang tersebut.

Ingatlah kepada ingatan guru yang bijaksana tadi, kalau ada sesuatu kotoran terletak di atas tangan kita, kita tidak mengatakan diri kita kotor, tapi kita akan segera basuh tangan kita. Demikian jugalah yang kita harus lakukan kepada orang lain. Kerana jika kita menutup aib orang, niscaya Allah akan menutup aib kita. Kita kena ingat, jika kita tunjukkan jari telunjuk kita kepada seseorang, tapi tiga jari lagi menuding ke arah diri kita sendiri.

Kata orang-orang tua, “Meludah ke langit, akhirnya muka sendiri yang tertimpa”.

Sepatutnya bila kita terlihat aib seseorang, kita hendaklah berkata kepada diri kita, “Aib yang ada pada orang itu adalah aib diriku, kerana seorang Muslim itu cermin bagi Muslim yang lain. Dan dia sedar, jika dia melihat cermin, yang dia nampak adalah muka dia sendiri, bukan muka orang lain”.

Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian dari kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. Al-Hujurat:12.

Sebaliknya ada di antara kita suka menghebah-hebahkan aib dan cela orang lain yang dilihatnya. Sedangkan kita sama sekali dilarang berbuat demikian, kerana perbuatan itu seperti bomirang yang bencananya akan terbidas balik kepada diri kita sendiri.

Sebagaimana sabda Baginda Rasullah S.A.W, “Barangsiapa menyembunyikan aurat [aib] saudaranya, niscaya Allah menyembunyikan [menutupi] aibnya. Dan barangsiapa membukakan aurat [aib] saudaranya, niscaya dibukakan Allah aibnya, sehingga keaibannya itu disiar-siarkannya dalam rumahnya”.HR:Ibnu Majah.

Ada satu perkara lagi yang tidak mudah untuk kita melakukannya iaitu untuk mengambil sikap merendah diri kepada orang lain, terutama kepada para sahabat dan rakan-rakan sendiri, kerana dalam setiap diri manusia itu ada rasa bangga dan sombong yang berselindung di sebalik “menjaga harga diri” atau “maruah” yang dikobar-kobarkan oleh syaitan tanpa kita sedari.

Justeru, kita sanggup menentang perintah Allah yang menyuruh kita merendah diri. Allah berfirman, “Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman”.Al-Hijr:88.

Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barangsiapa merendahkan diri kerana Allah niscaya Allah menganggkatkan martabatnya. Pada pengelihatannya, dia kecil, [tetapi] di mata orang banyak dia besar [terhormat]. Dan barangsiapa sombong, niscaya Allah meletakkannya [merendahkan] martabatnya. Di mata orang banyak dia kecil, [tetapi] di matanya sendiri dia besar, sehingga dia lebih hina bagi kamu daripada anjing atau babi”. HR:Ahmad, Al-Bazzar & Thabrani.

Justeru itu seorang Muslim tidak akan melakukan sesuau yang tergesa-gesa yang melibatkan saudara-saudaranya yang lain, apa lagi mengambil tindakan drastik memutuskan dengan sewenang-wenangnya tali silaturahim dengan mereka, kerana mereka menyedari akan kepentingan silaturahim itu yang merupakan salah satu kecirian yang mulia dalam Islam. Sebaliknya perbuatan memutuskan silaturahim itu merupakan perbuatan yang tercela dalam Islam dan mereka yang berani berbuat semikian diancaman dengan ditimpa kerugian di dunia dan akhirat.

Baginda Rasullah S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya rahmat tidak akan turun kepada sesuatu kaum yang ada di antara mereka seorang yang memutuskan tali persaudaran”. HR:Bukhari.

Sabda Baginda S.A.W. lagi, “Dua orang yang Allah tidak endahkan ia pada hari kiamat: pemutus tali persaudaran dan tetangga yang jahat”. HR:Dailami.

Kepada diri saya sendiri dan juga kepada keluarga saya yang disayangi,dan kepada pembaca yang dimuliai, saya suka mengingatkan, “Cerminlah diri sendiri dahulu, sebelum melihat cermin orang lain”, atau “Lihatlah gajah di hadapan mata terlebih sebelum melihat kuman di seberang laut”.

Hiisab-hisab-lah kesalahan dan dosa diri kita sendiri sebelum menghisap dan mengira-ngira kesalahan dan dosa orang lain.

Periksalah diri sendiri terlebih dahulu, dan jangan memeriksa diri orang lain.

Periksa poket sendiri dahlu, berapa banyak ada bekalan, sebelum merungsingkan poket orang lian.

Periksa bawah saji di rumah kita dahulu, sebelum membuka dan memeriksa bawah saji di rumah orang.

Ketentuan dari Allah, bukan dari kita. Syurga milik Allah, dan bukan milik kita. Neraka Allah cipta, dan hanya Allah yang berkuasa menentukan penghuninya.

Risaukanlah diri sendiri dahulu, sebelum merisaukan diri orang lain. Insyallah selamat.

Ada dua orang adik beradik yang amat kasih mengasihi antara satu sama lain kerana Allah. Tapi entah bagimana salah seorang daripada mereka telah melakukan dosa besar. Maka berkata saudaranya kepada saudaranya yang berbuat dosa itu, “Wahai saudaraku yang disayangi, kenapa engkau lakukan perbuatan tersebut?”. Walau bagaimanapun si pembuat dosa itu tidak juga behernti melakukan dosa-dosa tersebut. Saudaranya yang memberi nasihat itu lalu berdoa kepada Allah dan bepuasa selama enam bulan memohon kepada Allah menjauhkan perbuatan dosa itu daripada saudaranya.

Dia sentiasa menangis dan sepanjang masa berdoa kepada Allah supaya perbuatan-perbuatan dosa itu dijauhkan daripada saudaranya itu dan tidak mengulanginya lagi.

Alangkah bahagianya andainya Allah mendengar dan menunaikan rayuan dan doa kita supaya menjauhkan saudara-saudara kita darpada perbuatan-perbuatan dosa yang pernah dan belum pernah kita dan mereka lakukan.

Reneungilah! Kucing dan Anjing adalah secara tradisi merupakan musuh ketat di kalangan haiwan, sehingga timbul ibarat di kalangan manusia yang bertamadun, “Seperti anjing dengan kucing”, terhadapa manusia yang suka besengketa. Tapi sejauh yang diketahui, sejak berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini anjing dan kucing telah tidak bersengketa lagi, malah sudah boleh berbaik-baik sangka antara satu sasma, dan hidup dalam suasana berkasih sayang.

Bagaimana pula dengan kita manusia?
xxxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP