Jamuan Bersama Rakyat?

>> Friday, July 9, 2010

JAMUAN Bersama Rakyat?

SEJAK kebelakangan ini kita sering mendengar dan kadang-kadang menerima undangan untuk menghadiri majlis “pemimpin bersama rakyat” atau ke majlis jamuan “makan bersama rakyat”, ataupun “jamuan bersama rakyat”?

Biasanya majlis bersama rakyat ini diadakan sempena dengan lawatan atau kunjungan seseorang tokoh atau pemimpin ke sesuatu tempat atau daerah, khususnya bila menjelang pilihanraya. Ataupun diadakan kerana sempena sesuatu peristiwa, seperti sambutan “hari raya”.

Tapi benarkah majlis pemimpin makan bersama rakyat itu menepati maksudnya yang sebenar?

Sebab setahu kita, bila upacara majlis selesai, mereka yang hadir dijemput untuk menjamu selera sebagaimana diwar-warkan.

Tapi kita tidak pernah melihat pemimpin atau para pemimpin yang dijemput makan bersama rakyat itu benar-benar makan bersama rakyat. Rakyat makan berselerak di bawah bangsal, di bawah pokok beramai-ramai, tapi sang pemimpin makan di tempat yang berasingan, di bawah khemah warna-warni, berkipas malah kadang-kadang berairkon.

Rakyat makan nasi gulai kawah, tapi pemimpin makan apa? Malah kadang-kadang makanan untuk pemimpin itu pula merupakan makanan yang ditempah khas, mungkin dari hotel kelas atasan yang jauh bezanya dengan makanan rakyat yang diajak makan bersama itu.

Pembasuh mulutnya pula di tempat rakyat mungkin sebji pisang jelai dikerat dua, ataupun tidak ada langsung, tapi di meja di bawah khemah sang pemimpin yang berwarna-warni itu pembasuh mulutnya buah anggur, epal dan lain-lain yang tidak murah harganya.

Kalau begini keadaannya bagiamana dikatakan “majlis makan bersama rakyat”? Sedangkan rakyat makan lain, pemimpin makan lain, rakyat duduk di lain tempat, pemimpin duduk di lain tempat, bila rakyat dan pemimpin boleh bermesra di majlis seperti itu?

Sudah makan, pemimpin angkat punggung dan rakyat pun angkat punggung. Para juak-juak penganjur pula akan berebut-rebut untuk merasa sisa-sisa makanan yang ditinggal pemimpin yang biasanya disedia dalam kuantiti yang banyak, kerana kalau tak cukup, nanti malu “tuan rumah” atau penganjur majlis.

Progrem “makan bersama rakyat” atau “pemimpin bersama rakyat ini” patutlah dikaji cara pelaksaannya supaya menepati dengan hasrat dan tujuan asalnya yang baik. Biarlah pemimpin atau pemimpin-pemimpin yang hadir itu benar-benar makan bersama rakyat, bagaimana rakyat makan, begitulah mereka makan. Itulah baru dinamakan “majlis makan bersama rakyat”, kalau tidak lebih baik ayat seperti itu tidak dilaung-laungkan. Jemput saya rakyat makan, tidak payah disebut “ makan bersama rakyat”.

Saya teringat sebuah peristiwa yang berlaku ke atas Khalifah Sayyidina Umar al-Khatab.

Dalam masa pemerintahan beliau, telah berlaku kemarau yang panjang selama lapan bulan lamanya. Akibatnya bumi menjadi kering kontang, ternakan menjadi kurus kering, malah banyak yang mati kelaparan, tanaman-tanaman menjadi kering dan layu.

Seluruh penduduk Makkah dan Madinah, serta kawasan-kawasan sekitarnya mengalami kesulitan, kerana makanan setiap hari bertambah kurang, walaupun langkah berjimat cermat telah diambil.

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Sayyidina Umar berusaha keras sedaya upayanya mencari jalan untuk mengatasi bencana yang menimpa itu. Malah beliau tidak dapat berihat, kerana memikirkan masalah yang melanda rakyat dan negaranya itu. Akibatnya badan beliau menjadi kurus, menjadi menjadi hitam kehangusan dan matanya menjadi cengkung dan dalam.

Mengikut perkiaraan orang ramai, kiranya musibah yang melanda negara itu tidak dapat diatasi dengan segera, Sayyidina Umar mungkin akan menempuh kebinasaan memandangkan kekuatan fizikalnya kian hari kian lemah kerana memikirkan masalah negara.

Alhamdulillah, tdak lama kemudian, tibalah bantuan makanan yang pertama dari Damsyik terdiri dari gandum, samin, daging, halwa dan lain-lain lagi. Makanan-makanan itu segera diedarkan kepada rakyat yang memerlukannya.

Dalam kesibukan membahagi-bahagikan makanan itu, Sayyidina Umar pun menemui ketua kafilah yang membawa bantuan itu, dan berkata kepadanya, “Sebentar lagi kita makan bersama di rumah saya”.

Ketua kafilah itu merasa amat gembira menerima jemputan Sayyidina Umar itu, kerana pada sangkaannya dia akan menghadapi makanan yang istimewa di rumah kediaman Sayyidina Umar yang disangkanya seperti istana-istana kaisar ataupun maharaja Parsi yang melimpah-ruah dengan kemewahan itu.

Tapi apa yang dihadapi oleh ketua rombongan itu amatlah mengejutkannya, kerana lain yang diharap, lain yang mendatang. Dia merasa amat kecewa sekali, kerana hidangan makanan yang dihadapinya terdiri dari dua potong roti kering dan dua mangkuk air biasa, tidak ada pun sepotong daging, halwa atau sedikit samin pun.



“Wahai Amirulmukminin, kenapa tuan tidak membenarkan saya makan bersama dengan rakyat jelata tadi?”. Ketua rombongan kafilah itu bertanya kepada Sayyidina Umar.

“Kenapa?”, tanya Sayyidina Umar, “bukankah makanan anda itu serupa dengan makanan untuk saya?”.

“Tapi kenapa tuan tidak makan seperti mereka makan, daging, samin, halwa dan sebagainya?”. Bertanya lagi orang itu.

“Saya tidak akan makan barang sesuatu pun sebelum rakyat kenyang dengannya”. Jawab Sayyidina Umar.

Ya Sayyidina tidak makan bersama rakyat dan rela makan di rumah, bukan kerana makanannya lebih baik dari apa yang dimakan rakyat, tapi sebaliknya lebih buruk dari apa yang dimakan rakyat.

Demikianlah sifat seorang pemimpin agung dalam Islam. Rakyat lebih diutamakan dari diri dan keluarga sendiri?

Seterusnya hiduplah dengan mahabbah dan harmoni untuk meraih kebahagian di dunia dan akhirat.

Amin.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP