NASI UDUK DAN BAKSO JAKARTA

>> Friday, December 27, 2013




NASI UDUK DAN BAKSO JAKARTA

Selama beberapa hari berada di Jakarta, Indonesia kami makan Nasi Uduk dan Bakso. Untuk makan pagi, kami makan nasi uduk di hotel penginapan kami yang diberikan secara gratis. Sementara untuk makan tengh hari dan malam pula, kami makan bakso bersama nasi, roti dan sebagainya di rumah sahabat kami yang terletak di Jalan Tebet, Jakarta.

                Menunggu ketibaan tempahan makanan di sebuah resturan

Kami tidak dizinkan untuk makan di luar. Mereka memohon kami makan di rumah mereka pada kedua-dua waktu makan tesebut, malah untuk sarapan pagi juga kalau kami bersedia untuk ke rumah mereka. Kami tidak mempunyai pilihan untuk mengelak, kerana hotel penginapan kami juga tidak berapa jauh dari rumah mereka dan terletak di jalan yang sama sahaja, Jalan Tebet.

Hotel tempat kami tinggal menyediakan nasi uduk untuk sarapan pagi dan selain dari nasi uduk, antara lain juga terdapat nasi lembek, berlaukkan ayam hiris halus-halus, dan roti. Tidak ada bakso di situ. Nasi lembek itu, kalau dicairkan sedikit, akan menjadi nasi air di negara kita Malaysia. Nasinya warna putih sekali, terasa lemak dan sedikit manis yang mengenakkan, di makan dengan sejenis kicap manis yang memang tersohor di Indonesia.



                                                  Bakso

Nasi uduk yang kami bersarapan itu merupakan nasi bungkus dengan daun pisang yang dibungkus seperti nasi lemak bungkus di Malaysia. Lauknya sedikit, iaitu tahu goreng, ikan bilis dan sedikit telur goreng. Begitu simpelnya. Tapi rasanya boleh tahan, sebungkus kecil sekali makan memang habis.

Nasi uduk yang kami makan setiap pagi itu merupakan nasi yang ditanak, walaupun ia juga boleh dikukus. Untuk resipi yang lebih kompliketed, nasi uduk itu dimasak dengan santan kelapa atau kelapa parut, dan dicampur dengan berbagai-bagai bahan lain seperti pala, kayu manis, halia dan lada putih.

Jika dijadikan sebagai makanan bersama pula, nasi uduk biasanya dimakan dengan empeng goreng, telur dadar yang dimayang halus, ayam goreng dan timun dengan bawang goreng  ditabur atas nasi.

Di Indonesia, nasi uduk ini dimakan di waktu pagi untuk sarapan pagi dan dimakan waktu malam untuk makan malam. Nasi uduk terdapat di seluruh Indonesia, tapi saya difahamkan, nasi uduk Jakarta adalah nasi uduk yang paling popular di seluruh Indonesia.



Sepinggan nasi bersama ayam goreng istimewa


Dari segi bahasa nasi uduk ertinya nasi campur, sebagaimana nasi campur kita di Malaysia, di mana bersama-sama dengan nasinya dicampur dengan lauk, sayur, sambal dan sebagainya mengikut pilihan kita. Di negeri Kelantan dipanggil nasi bungkus atau lebih tepat lagi dipanggil nasi campur, bungkus.

Nasi uduk Indonesia ini sebenarnya hampir sama dengan nasi lemak yang terdapat di negara-negara Malaysia, Brunei dan Thailand Selatan. Tapi di Malaysia nasi lemak hanya menggunakan santan, dan daun pandan untuk mewanginya, dimakan dengan sambal tumis ikan bilis, telur dadar, kacang tanah goreng, dan boleh juga dengan ayam goreng.

Kalau dulu pembungkusnya mesti daun pisang. Bukan sebarangan daun pisang, tapi daun pisang Banggala yang lembut keadaannya. Tapi hari ini para peniaga menggunakan pembungkus plastik yang sejak kebelakangan ini bebau busuk.

Di Indonesia, nasi uduk boleh diperolehi sepanjang masa untuk makan pagi, tengah hari dan juga untuk makan malam. Harganya pun murah, kira-kira Rp 5000, iaitu tidak sampai RM 2 untuk sekali makan.

Bakso

Sementara bakso pula sejenis makanan Indonesia, pada umumnya berbentuk bulat. Kita di Malaysia memanggilnya bebola. Biasanya ia diperbuat dari daging yang digiling atau dikisar dan tepung tapioka.

Di samping itu ada juga bakso yang diperbuat daripada daging ayam, ikan atau udang. Seperti di Malaysia ada bebola daging, dan bebola ayam dan bebola ikan. Bakso yang kami makan itu bakso berkuah, seperti sup, boleh dimakan dengan nasi, iaitu dengan merendam nasi dalam kuahnya, atau dimakan dengan roti sebagai bahan pencicahnya. Untuk dimakan nasi diceduk dengan sudu bersama-sama kuahnya. 

Ia sedap dimakan panas-panas bersama-sama dengan mihun, tauge, dan tahu, setelah ditabur dengan bawang goreng atau daun salderi. Memang enak dimakan.

Bakso memang makanan yang popular di Indonesia. Biasanya ia boleh diperolehi di resturan-resturan besar dan juga di kaki-kaki lima untuk makanan orang awam.

Selain dimakan secara langsung, bakso juga biasa dimakan sebagai pelengkap makanan-makanan seperti mei atau nasi goreng dengan jalan dihiris. Bakso ini tidak berkuah seperti sup bakso.

Sejak kebelakangan bakso ini ia boleh didapati sebagai makanan beku yang djual di pasar raya.

                                            Nasi Uduk


Perkataan Bakso mengingatkan saya kepada novel Habiburrahman El Shirazy yang berjodol Ketika Cinta Bertasbih. Dalam novel itu watak utamanya Azzam seorang pelajar Indonesia di Khaerah adalah pembuat tempe dan bakso yang terkenal di kalangan para pelajar dan diplomat Indonesia di Khairah. Dia menyara hidupnya di Khairah dan juga keluarganya di kampung membuat tempe dan bakso yang menyebabkan kelancaran pelajarannya tertunda selama beberapa tahun.

Pada hari akhir kami di Jakarta itu, selepas makan nasi uduk di hotel, kira-kira pukul sepuluh pagi, sebelum berangkat ke rumah sahabat  kami itu, kami makan nasi bersama dengan ayam goreng yang terletak di hadapan hotel penginapan kami. Ayam goreng yang cukup istimewa di sebuah resturan yang mengguna ayam desa yang dibawa ke kota untuk dijadikan lauknya yang memang enak dimakan. Kami terlupa nama masakan ayam goreng itu.

Sementara dalam penerbangan pulang ke tanah air pula, kami makan nasi ayam dan nasi padang. Sebenarnya semasa di Jakarta lagi kami berhasrat untuk makan nasi padang, tapi tidak berkesempatan, kerana kesuntukan masa.


Demikianlah lain padang lain belalang, lain tempat, lain adatnya, lain budayanya, dan lain pula kebiasaannya, walaupun mungkin dalam sebuah negara yang sama atau dari bangsa yang serumpun. Makanan dan cara memakannya juga mungkin berbeza, tergantung di atas adat dan kebiasaan masing-masing, yang tidak terpisah dari suasana alam keliling yang biasanya menjadi pembentuk tabiat dan kebiasan manusia yang berada dalam lingkungannya.


Berlainan bangsa dan keturunan tidaklah menjadi penghalang kepada mereka untuk berkenalan dan bermesra-mesra antara satu lain. Nasi uduk dan nasi lemak, bakso dan bebola, malah  nasi dan roti bukanlah merupakan batu penghalang untuk mereka bebaik-baik dan bersatu demi menjunjung perintah Allah SWT. Tuhan semesta alam.

“Untuk setiap umat antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat [sahaja], tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepada kamu, maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan”.Surat 5 ayat 48.

 



Read more...

SURAT UNTUK ULAMAK dari YACOB AHMAD- Apa kata beliau pada para ulamak?

>> Thursday, December 26, 2013

Read more...

BANJIR: BERINGAT-INGATLAH DALAM BICARA

>> Tuesday, December 24, 2013




BANJIR: BERINGAT-INGATLAH DALAM BICARA



BANJIR tahun 2013 belum  berakhir lagi tempoh edahnya, walaupun suasana alam telah agak pulih, dan mangsa-mangsa banjir yang kampung halaman dan rumah tangganya ditenggelami air ke paras yang genting telah pulang ke rumah masing-masing. Hujan masih turun di sana sini, kadang-kadang perlahan, kadang-kadang lebat mencurah-curah. Walau apapun kita berharap banjir tidak akan menimpa lagi, sekurang-kurangnya untuk tahun ini yang akan berakhir beberapa hari sahaja lagi.

Seperti biasa, menjelang musim banjir institusi-institusi kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan akan berbincang dengan serius untuk menangani banjir jika benar-benar berlaku nanti. Selain daripada menjaga keselamatan para mangsa banjir, keselamatan orang ramai dan sebagainya, peruntukan-peruntukan yang besar juga disediakan untuk menghadapi banjir. Biasanya pihak kerajaan mengumumkan ratusan ribu ringgit malah mungkin jutaan ringgit telah disediakan untuk menghadapi banjir dan mangsa-mangsa banjir yang diramal akan tiba jika langit tidak henti-hentikan mencurahkan airnya ke bumi.

Maka pihak pemerintah pun, menerusi wewenang mereka akan mengistiyarkan bahawa kerajaan telah cukup bersedia untuk menghadapi banjir dengan bekalan peruntukan kewangan besar, bahan-bahan keperluan harian mangsa-mangsa banjir dan juga tempat di mana mangsa-mangsa banjir akan diletakkan nanti bila banjir berlaku.

Tidak salah membuat pengumuman tentang persedian menghadapi banjir, untuk memberitahu rakyat bahawa pihak kerajaan mengambil prihatin terhadap nasib  malang mereka, dan dengan itu dapat memberi lebih ketenangan dan pengharapan kepada golongan yang sentiasa terdedah kepada bencana alam. Dan mereka akan bersyukur, kiranya bantuan-bantuan itu diunjukkan kepada mereka bila banjir benar-benar melanda, tanpa pilih kasih atau pilih bulu.

Tapi pengumuman itu akan menjadi lain macam ertinya, jika dilakukan dengan riak dan bangga, apa lagi andainya pembahagian bantuan itu dibahagikan secara pilih kasih kepada rakyat yang dilanda bencana ataupun tidak dibahagikan langsung, atau dikurangi untuk tujuan-tujuan tertentu pula. 

Malangnya kadang kala penguman-penguman yang baik itu berubah menjadi tidak baik natijahnya, kerana dibuat atau ditulis dengan satu cara yang menunjukkan bahawa mereka yang berkenaan itu lupa kepada Allah di sebalik semua perkara yang berlaku, termasuklah banjir dan segala mala petaka yang berlaku dan akan berlaku. Seolah-olah mereka ingin mencabar Allah Yang Maha Berkuasa. Dengan cara itu mereka seolah-olah berujar, “Datanglah wahai banjir. Aku tidak takut. Aku mempunyai bebagai-bagai keistimewaan untuk menghadapi kamu”.

Perkara ini pernah ditegur dan diperingatkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya mereka yang membuat kenyataan itu tidak sampai terlupa siapa yang sebenarnya menurunkan bencana alam jika bukan Allah Yang Maha Pencipta.




Beliau dilaporkan pernah berkata, “Kita selalu dengar dan baca akhbar, bila ditanya bagaimana dengan persiapan banjir, mereka akan menjawab, “kami telah bersiap sedia”.

Mereka tidak langsung mengajar rakyat bagaimana cara berdoa mengikut sunnah Rasulullah untuk mengelak daripada berlakunya banjir besar. Tapi dengan lantang berkata, “Kami telah bersiap sedia”.

Seterunya beliau mengingatkan, “Kerana telah bersedia itulah berlakunya banjir besar di tempat yang tidak pernah berlaku banjir sebelum ini dan sejauh mana pula kekuataan kita untuk mencegahnya".

Seterusnya beliau menyarankan supaya sentiasa berdoa kepada Allah. Tegas beliau , “Berdoalah kepada Allah, biar hujan yang turun boleh tolong manusia, bukan susahkan mereka. Kalau hujan lebat minta Allah campakkan di tempat yang tiada manusia”.

Sesungguhnya sentiasalah ingatkan Allah. Jangan berkata-kata membuat provokasi mencabar Allah. Sebab kalau Allah turunkan bala kita mungkin tidak mampu menghadapinya. Berhati-hatilah di dalam berbicara. Beringat-ingatlah dalam berkata-kata supaya kita tidak terjerat dalam kemurkaan Allah. Sentiasalah berendah dirilah kepada Allah, dan takzimlah kepada-Nya semoga kita selamat di dunia dan akhirat..


Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP