PERPADUAN UMAT ISLAM JANGAN DIRUNTUHKAN

>> Tuesday, January 21, 2014




PERPADUAN UMAT ISLAM JANGAN DIRUNTUHKAH



Seluruh umat Islam hendaklah bersatu padu di bawah panji-panji  Lailaha illallah Muhammadar rasulullah.

Allah berfirman:

“Hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh [berbuat] yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. Al-Imran:104.

Setiap orang mestilah berusaha untuk menegakkan persatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam, menghidupkan roh persaudaran Islam yang telah dihidup dan digembur oleh Junjungan besar kita Nabi Muhammad S.AW. Persaudaran lahir dan batin, berkasih sayang antara satu sama lain  sehinggakan “cubit peha kanan, peha kiri sakit juga”.

Ada beberapa faktor, dari sejak dahulu hingga sekarang menjadi punca kepada perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam. Faktor-faktor itu ialah:

Faktor utama yang menjadi punca kepada pepecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam di negara kita ialah kerana perbezaan politik antara seorang dengan seorang dan antara satu kumpulan dengan satu kumpulan yang lain. Perbezaan inilah yang melahirkan aneka parti politik untuk mendokong kepercayaan masing-masing.

Sepatutnya tidak berlaku perbalahan antara kedua belah pehak walaupun mereka mempunyai berbeza fahaman dan pendapatnya selagi ia tidak songsang dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Tidak perlu salah mempersalahkan antara satu sama lain. Pendirian orang lain perlu kita hormati, sebagaimana orang lain perlu menghormati pendirian kita. Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut fahaman kita, demikian juga orang lain tidak boleh memaksa kita mengikuti pendirian mereka.

Tapi malangnya, dari sejak dahulu hingga sekarang kedua-dua puak yang berbeza pendapat itu telah berbantah-bantah dan berbalah antara satu sama lain walaupun sesama Islam. Malah kadang kala sampai cedera mencederakan antara satu sama lain. Ini menimbulkan perseteruan, permusuhan, kebencian dan perbalahan yang serius yang mengakibatkan hancurnya pertalian persaudaran dan kekeluargaan umat Islam. Tegasnya ia telah berjaya merosak binasakan  perpaduan Islam yang sejak sekian lama diperjuangkan oleh Islam.

Sikap yang tempang inilah yang menjadi batu penghalang kepada  seseorang jiran menghadirkan diri  di rumah jiranya yang mengadakan kenduri. Andainya berlaku kematian sekalipun, mereka enggan menjenguknya, walaupun si mati itu salah seorang  daripada kerabat terdekat atau dari kalangan keluarga mereka sendiri. Malah banyak lagi perkara-perkara lain yang buruk telah berlaku dan akan berlaku akibat kelainan pendapat, iaitu perbuatan-perbuatan biadab yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, Muhammad S.A.W.

Sedangkan Baginda Rasulullah S.A.W. sendiri mengajar umatnya supaya hormat menghormati antara satu sama lain, dan memberi kebebasan kepada setiap orang untuk mengemukakan pendapat dan buah fikiran mereka masing-masing walaupun berbeza-beza.

Allah berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali [agama] Allah, dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu [masa jahiliah] bermusuhan, lalu mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara”. Al-Imran: 103.

“Janganlah kamu jadi seperti mereka yang telah berpecah-belah dan berselisih sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas”. Al-Imran: 105.

“Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kerana nanti kamu jadi lemah dan hilang kekuatan kamu; dan sabarlah kamu, [kerana] sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar”.Al-Anfal:46.

Di samping itu masih banyak lagi ayat-ayat dan hadis-hadis yang melarang berpecah-belah dan berbantah-bantahan sesama Islam. Andainya timbul perselisihan, maka perselisihan itu hendaklah ditamatkan segera dalam tempoh tiga hari. Ertinya slewat-lewatnya dalam masa tiga hari itu pehak-pehak yang berselisih dan berbalah itu mestilah menyelesaikan perbalahan mereka sebaik-baiknya, kemudian diikuti dengan  bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Menghormati Pendapat Orang Lain

Selain itu terdapat banyak ayat-ayat Allah dan sabda-sabda Rasulullah S.A.W. yang menyeru umatnya supaya bersatu padu. Dalam Sirah Rasulullah S.A.W.dan para sahabat terdapat bukan sedikit usaha-usaha yang mereka lakukan untuk memperkuatkan persatuan, persaudaran dan perpaduan di kalangan umat Islam.

Demikian juga dalam peribahasa orang-orang tua kita terdapat banyak anjuran supaya kita bersatu padu dan mencegah kita daripada berpecah-belah.

Kalau kita perhatikan, nescaya kita akan dapati, perbalahan itu berlaku puncanya kerana kita merasa hanya diri kita sahaja yang betul dan berada dipehak yang benar, orang lain semuanya tak betul salah. Justeru itu semua orang yang tidak sefahaman dengan kita, lalu kita menganggap mereka sebagai musuh, yang mesti dijauhi atau disingkirkan, walaupun mereka saudara seagama dengan kita, sama-sama berTuhankan Allah Yang Satu, bersolat, berpuasa, berzakat dan berhaji seperti kita juga.

Kita hendaklah sentiasa ingat, walaupun pendapat kita mungkin berbeza, tapi tidaklah mestinya kita berseteru. Tidaklah betul kalau kita menyingkirkan mereka kerana perbezaan pendapat. Tidaklah juga betul kalau kita berdebat, bertegang urat leher, untuk mendapat kemenangan, sedangkan masalah yang berbeza itu hanya perkara kecil atau bukan masalah pokok dalam Islam, bukanya perkara yang boleh merosakkan akidah.

Pada suatu hari, empat orang sahabat Rasulullah S.A.W, iatu Abu Darda, Abu Umamah, Wailah ibn al-Asqaa’ dan Anas bin Malik sedang berbincang dan berdebat tentang persoalan agama. Sewaktu perdebatan sedang hangat berlangsung, kebetulan Rasulullah S.A.W. lalu di situ dan mendengar apa yang mereka perdebatkan. Baginda S.A.W. marah dan menegur perbuatan mereka dengan sabdanya, “Berhentilah wahai umat Muhammad, bertenanglah, sesungguhnya yang mencelakakan umat sebelum kamu adalah kerana perdebatan macam yang engkau lakukan sekarang ini”.

Kita boleh berbeza, tapi tidak mestinya kita mesti berpecah. Biarkan setiap orang berpegang kepada keyakinan masing-masing. Tidak perlu fitnah memfitnah, membidaahkan antara satu sama lain. Kalau perlu juga berhujah, maka berhujah dengan wajar dan baik, dengan masing-masing mengemukakan alasan mereka masing-masing. Untuk diterima atau tidak, terserah kepada masing-masing pehak tanpa perlu memaksa dan mencabar-cabar lagi.

Allah berfirman:

“Serulah [manusia] kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan dengan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik”.An-Nahl:125.

Islam tidak melarang umatnya memberi pendapat mereka dalam sesuatu perkara, asalkan pendapat itu tidak bercanggah dengan dasar Islam dan boleh merosakan kepercayaannya kepada Islam yang datangnya dari Allah S.W.T. yang diturunkan menerusi Rasulullah S.A.W.

Andainya mereka tersesat sekalipun, kita tidaklah wajar menjauhkan diri dari mereka, kerana dengan berbuat demikian bukanlah bererti kita dapat memperbetulkan mereka. Sebaliknya teruslah menjalin persaudaran dengan mereka, sambil memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar dengan cara yang baik dan berhemah, dan dengan cara yang dapat diterima oleh mereka.





Islam mengajar kita supaya menjadi seorang manusia yang penuh kesopanan, menghormati orang lain, berlapang dada, bermurah hati, suka menolong orang, iatu merupakan sebahagian daripada asas-asas kemuliaan akhlak dalam Islam.

Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Namun begitu, seorang Islam tidak boleh mengubah segala dasar asasi yang telah ditetapkan oleh Islam. Tidak boleh bertolak angsur dengan dasar asasi Islam atau mengubahnya sesuka hati demi untuk menggemarkan orang lain. Tegasnya dia tidak akan menjadi kufur atau kafir atau munafik dengan sikap berbudi bahasanya itu. Malah dia tidak rela menjadi manusia yang munafik kepada agamanya sendiri walaupun menerima aneka ancaman terhadap keselamatan dirinya sendiri.

Allah berfirman:

“Muhammed itu Rasul [Pesuruh] Allah, dan orang-orang yang beserta [dengannya] keras [tegas] terhadap orang-orang kafir, [dan] berkasih sayang di antara mereka sesama mereka [sesama Muslimin];engkau lihat mereka roko’, sujud mencari kurniaan dan keredaan daripada Allah”.

Semasa hayatnya, Rasulullah S.A.W. tetap tegas, walaupun musuh-musuh Islam melancarkan beraneka tindakan untuk melemahkan perjuangannya dalam menegakkan agama Allah. Beliau dan para sahabat tetap teguh berpegang pada prinsip perjuangan mentauhidkan Allah, walaupun akibatanya mereka terpaksa menanggung penderitaan dan penyeksaan, malah ada di antara para sahabat telah gugur sahid dalam perjuangan mereka. Namun dasar hakiki Islam tidak mereka perjualbelikan.

Ketika Baginda menerima tawaran yang lumayan supaya Baginda meninggalkan perjuangannya menegak Islam, beliau di antara lain bersabda,” .....Jika mereka letakkan mata hari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku, dengan maksud supaya aku meninggalkan urusan ini, [iaitu menyampaikan agama Islam], maka tidaklah aku meninggalkannya, sehingga Allah memberi kemenangan, atau aku dibinasakan dalam urusan ini”.

Sesungguhnya Islam itu ditegakkan di atas dasar yang tegas dan  nyata dalam perjuangannya yang benar dalam menegak kalimah Allah. Tidak ada tawar menawar atau kemunafikan yang merosakkan akidah.

Namun Islam mengajar umatnya bersikap kasih sayang antara satu sama lain, sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam kehidupan baginda. Ikatan persaudaran yang tulen, lahir dan batin, bukannya sekadar saduran atau luarannya sahaja. Ikatan persaudaran yang penuh dengan keikhlasan kerana Allah semata. Cinta dan kasih kerana Allah, bukan kerana sesutau maksud yang tersembunyi.

Tidak seperti orang kafir yang pada zahirnya nampak bersatu, tapi pada batinnya mereka berpecah belah.

Allah berfirman:

“Engkau sangka mereka bersatu tetapi hati-hati mereka berpecah-belah”.

Itulah sebabnya keikhlasan itu amat besar nilainya. Ia menjadi sebahagian penting daripada batu batan yang mengikat persaudaran umat Islam, Di atasnya tapak persaudaran itu ditegakan supaya utuh dan tidak mudah goyah walaupun dilanda oleh ribut dan badai yang sentiasa melanda ingin merobohkannya, terutama oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dan umat Islam dari dalam dan dari luar.

Dalam hal ini, jika timbul perselisihan dan perseteruan dalam masyarakat Islam, janganlah ada mana-mana golongan-golongan yang mengapi-apikan perkara itu sehingga menimpakan kemusnahan yang lebih parah dan memporakperandakan masyarakat. Sebaliknya berusahalah untuk mendamaikan mereka yang bermusuh itu dengan segala kebijaksanaan yang dimiliki.

Bertanggungjawab

Oleh itu setiap orang  Islam mestilah berusaha untuk menegakkan keamanan dan keadilan. Jika meletus sesuatu persengketaan dalam masyarakat janganlah ada mana-mana pehak cuba memanaskan persengketaan itu supaya merebak menjadi lebih besar. Damaikan mereka yang bersengketa itu secara wajar dan bijaksana supaya tidak merebak menjadi lebih luas dan menjadi lebih buruk.

Saya suka memetik nasihat yang pernah disampaikan oleh Edrus [Abdullah bin Hamid Al-Edrus] dalam risalah percumanya “Ikhwan Muslimin-Bersatulah” yang diterbitkan kira-kira 55 tahun yang lalu [1380 H]. Sebahagian daripada kerangka tulisan ini adalah berdasarkan kepada tulisan beliau itu.

Kata beliau dengan penuh hikmah: “Tunjukkanlah bahawa tiap-tiap kita adalah orang yang mencari perdamaian dan kita orang-orang yang berusaha merapatkan perhubungan persaudaran di dalam Islam. Beralahlah jika boleh memberi manfaat. Mengaku salahlah  sekalipun mengaku salah itu sebagai suatu korban untuk mencari perdamaian sekiranya yang demikian tidak merosakkan dasar Islam”.

“Berbuat baiklah kepada setiap seseorang untuk menghubungkan  silaturahim. Berlemah lembutlah kepada orang yang sedang tegang pendiriannya supaya perhubungan jangan putus. Jadikanlah diri kita seorang yang tidak suka membangkit-bangkit perkara yang telah lalu. Lapangkanlah dada supaya kita menjadi orang yang suka memaafkan kesalahan-kesalahan orang kepada kita”.

“Seboleh-bolehnya jadikanlah diri kita orang yang suka memberi dan tidak orang yang suka meminta. Percayalah kepada diri sendiri dan tidak mengharapkan perihal kita kepada orang lain”.

“Inilah ajaran Islam, inilah dia ajaran Junjungan kita Muhammad S.A.W. dapat merapatkan persaudaran di dalam Islam. Inilah asas yang menjadikan kukuhnya persaudaran Islam sehingga apabila seseorang merasa sakit maka yang lain sakit sama. Sebab itulah pemeluk-pemeluk Islam yang mengikut ajaran yang disampaikan oleh Junjungan kita Muhammad S.A.W. menjadi satu golongan yang sederhana hidupnya, orang pertengahan yang sentiasa bercita-cita berbuat baik dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kejahatan”.

“Allah berfimran: “Adalah kamu sebaik-baik umat yang diadakan [dijadikan] untuk manusia; kamu menyuruh berbuat kebaikan [baik] dan menegah kepada kejahatan, dan kamu beriman kepada Allah”.

Semoga tulisan ini akan memberi manfaat kepada kita semua yang cintakan perpaduan di kalangan umat Islam yang kian hari kian mendapat cabaran yang hebat dalam aneka bidang yang perlu disambut dengan sikap wajar dan saksama sejajar dengan ajaran Islam.

Sekian.

.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP