SMK DATO' AHMAD MAHER DIHARAP TERUS GEMILANG
>> Monday, January 6, 2014
SMK DATO' AHMAD MAHER DIHARAP TERUS GEMILANG
Lewat petang kelmarin [Ahad 5 Jnauari 2014] kami sampai ke Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Maher menghantar cucu untuk masuk asrama. Dia didafarkan untuk masuk belajar pada sebelah pagi, dan bernasib baik mendapat peruntukan tinggal di asrama.
Kami bersyukur, kerana cucu kami Nik Muhammad Syafiq Zaini terpilih
memasuki SMK Dato’ Ahmad Maher yang terletak di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.
SMK Dato’ Ahmad Maher adalah salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan
Kementerian Pelajaran Malaysia, dan merupakan sebuah sekolah Bestari Perdana,
kerana sentiasa mendapat kepetusan yang cemerlang dalam akademik.
SMK Dato’ Ahmad Maher merupakan salah sebuah sekolah di Kelantan yang kemasukan para pelajarnya dikawal oleh Jabatan Pelajaran Kelantan setelah meneliti pencapaian para pelajar dalam peperiksaan UPSR untuk masuk ke tingktan satu.
Seperti biasalah, dalam dunia ini, tidak ada apa-apa yang benar-benar
percuma hari ini. Hampir setengah ribu terpakasa dikeluarkan oleh para ibu bapa
untuk membolehkan anak-anak mereka masuk belajar dan juga tinggal di
asrama SMK Dato’ Ahmad Maher. Tidak mengapalah, asalkan mutu penyampaian
ilmu dan pendidikannya terus gemilang
untuk mendidik anak-anak bangsa menjadi bangsa yang Gemilang. Ini sejajar
dengan Moto sekolah yang berbunyi, “TERUS GEMILANG”.
Allahyarham Dato' Ahmad Maher
Kami sudah lama tidak menjejaki kaki di SMK Dato’ Ahmad Maher atau Asramanya. Beberapa tahun yang lampau, setiap minggu kami akan sampai di asramanya, kerana pada waktu itu, puteri kami, Noobraiti Zaini salah seorang pelajar dan penghuni asramanya. Tapi bila beliau lulus dan dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Sultan Ismail, sejak itulah kami tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan sekolah itu, hingga petang kelmarin.
Sejauh yang kami ingat, banyak benar perubahan fizikal telah berlaku di
kawasan asrama. Asrama puteri yang dulu terletak di sebelah kiri, telah
dipindah ke sebalah kanan. Ada bangunan sekolah baru di sebelah asrama yang
rasanya tidak ada pada masa dahulunya.
Pada petang itu kami tidak nampak ramai pelajar di kawasan asrama, kerana
sebahagian besar dari mereka berada di dewan makan, untuk makan malam. Hanya
beberapa orang pelajar sahaja yang kelihatan di beranda asrama, mungkin sedang
bersiap-siap untuk pergi makan.
Waktu kami sedang dalam perjalanan keluar dari kawasan sekolah, kami lihat
ada sebahagian pelajar-pelajar telah berada di masjid sekolah untuk menunggu
solat Maghrib. Ada yang sedang mengambil wuduk dan ada pula yang telah berada
dalam masjid. Hati kami sangat kembang gembira melihat suasana Islamik seperti itu.
Sesungguhnya ilmu agama adalah merupakan sebahagian daripada mata pelajaran penting
untuk menjamin kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat. Lagi pun
pelajar-pelajar ini akan merupakan sebahagian daripada para pemimpin masyarakat
di masa-masa akan datang.
Kami tinggalkan asrama SMK Dato’ Ahmad Maher dengan hati berbunga penuh
pengharapan, semoga cucu kami dan semua pelajar akan mencapai kejayaan yang
cemerlang nanti dan dapat melanjutkan pelajaran ke aras yang lebih tinggi.
Semoga mereka cemerlang di dunia dan cemerlang di Akhirat.
Sambil meninggalakn sekolah itu, dalam layar fikiran saya tersembul nama Dato’ Ahmad Maher. Beliau adalah bekas seorang Mufti Kelantan yang masyur, ayahanda kepada salah seorang bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Rastom bin Dato’ Hj. Amad Maher. Mungkin salah satu sebabnya, di samping usaha-usaha para guru yang wajar dan gigih, sekolah yang dinamakan sempena nama beliau, Dato’ Ahmad Maher itu telah muncul sebagai salah sebuah sekolah yang cemerlang di negeri ini. Aura seorang ulama.
Belajarlah anak-anakku selagi usia masih muda. Tuntutlah ilmu sejauh kaki
langit terbentang. Jangan lekas kecewa dan putus asa. Kelak nanti kamu akan
muncul sebagai pejuang yang berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air
tercinta. Teruslah berjuang bersama guru-guru untuk terus melakar kejayaan yang
lebih gemilang!
Demikianlah harapan kami yang tinggi menggunung sebagai ibu bapa dan keluarga
yang menitipkan anak-anak mereka ke SMK Dato’ Ahmad Maher untuk mendapat
didikan dan bimbingan daripada para pendidik yang berdidikasi demi masa hadapan anak-anak
kami. Semoga mereka akan muncul nanti sebagai hamba-hamba Allah yang cemerlang
di dunia dan gemilang di Akhirat.
.
0 comments:
Post a Comment