PEKERJAAN ANDA; CINTAILAH IA

>> Monday, January 27, 2014






PEKERJAAN ANDA: CINTAILAH IA

 

Semua orang yang bertanggungjawab berusaha mencari rezeki. Bekerja untuk menampung keperluan diri sendiri dan juga orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya, seperti isteri dan anak-anak.


Hanya orang-orang yang tidak sihat dan tidak mempunyai daya kemmampuan langsung sahaja yang tidak daya bekerja. Orang-orang seperti ini, seperti mereka yang lumpuh memang tidak layak bekerja malah mereka perlu dibantu, terutama oleh mereka yang berkewajipan meanggung kesejahteraannya.


Dalam dunia ini ada berbagai-bagai jenis pekerjaan, dari seringan-ringan kerja, sehingga seberat-berat kerja. Dari sekecil-kerja, sehingga sebesar-besar kerja. Dari serenda-rendah kerja sehingga setinggi-tinggi kerja.


Itulah sebabnya ada orang jadi peniaga, pengusaha, petani, nelayan, jurutera, doktor, makan gaji, bekerja sendiri dan sebagainya. Dan setiap satu jenis kerja itu pula mempunyai berbagai-bagai cabang dan ranting kerja lagi, seperti doktor ada berbagai-bagai jenis doktor, jurutera berbagai-bagai jeniss jurutera, perniagaan berbagai-bagai jenis perniagaan dan sebagainya.



Adalah menjadi satu kemastian kepada setiap pemegang kerja atau orang yang bekerja untuk berusaha menjayakan pekerjaan mereka. Kerja tanpa usaha, sudah tentu tidak akan berjaya. Tiada kerja tanpa usaha. Usaha-usaha itu yang menentukan kejayaan sesuatu pekerjaan. Usaha-usaha itulah merupakan langkah penting untuk seseorang mencapai kejayaan dalam pekerjaannya.


Untuk berusaha dengan gigih dalam pekerjaan kita, kita mestilah mempunyai rasa cinta kepada pekerjaan kita. Mempunyai rasa sayang dan gembira dengan pekerjaan kita. Tidak kira apa pekerjaan yang kita pegang. Tanpa rasa sayang dan gembira, kita tidak mungkin dapat melakukan usaha yang lebih dan bersungguh-sungguh untuk memaju atau meningkatkan pekerjaan kita.


Hanya mereka yang mencintai dan menyayangi pekerjaannya sahaja yang mampu bekerja dengan gembira, dan mampu berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk mencapai kejayaan ke tahap yang cemerlang dalam pekerjaan, untuk memperolehi hasil yang unggul pula. Sudah tentu pula, kebiasaannya usaha mereka yang sungguh-sungguh itu akan membuahkan hasil yang gemilang pula.


Orang-orang yang tidak gembira dengan pekerjaannya, atau tidak mencintai pekerjaannya, sudah tentu akan menimpakan kesan yang buruk kepada  sikap hidupnya. Dan ini sudah tentu akan mempengaruhi kehidupan mereka kepada keseluruhannya. Sebab tidak sukakan pekerjaan samalah ertinya menyimpan pandangan yang buruk terhadap pekerjaan sendiri, dan ini sudah tentu meresahkan diri, menyusahkan diri, dan seterusnya memalapkan hidup seseorang dengan sikap-sikap negatif yang merugikan.




 
Orang-orang yang malang seperti ini tidak mempunyai semangat untuk bekerja, akan kehilangan daya usaha untuk bekerja dengan lebih baik, atau mencapai kejayaan yang lebih tinggi semeksima yang boleh. Daya kriativitinya juga turut musnah, dan dia hanya bertugas seperti robot yang tidak berakal fikiran, dan tidak berperasaan.


Kepadanya pekerjaan adalah satu beban. Satu kewajipan yang terpaksa dipikul untuk mendapat sumber kehidupan jasmani. Justeru kepadanya pekerjaannya tidak mempunyai masa depan. Kerjanya masih tetap ditakuk lama, Tidak ada pembaharuan. Tidak ada kemajuan. Lembab dan tidak bermaya. Malah boleh juga menimpakan kesusahan kepada rakan-rakan sekerja yang mempunyai semangat yang ingin maju dan dinamis.


Orang-orang seperti ini, kalau dia kakitangan awam atau swasta, tidak mendapat perhatian bos atau majikannya. Malah mungkin tidak disukai kerana tidak memberi sumbangan positif kepada kemajuan agensi atau syarikat tempat dia bekerja. Oleh itu dia tidak termasuk dalam senarai orang-orang yang diberi perhatian untuk kenaikan gaji atau pangkatnya secara wajar.



Orang-orang yang tidak sukakan pekerjaannya itu, akan berusaha mencari peluang untuk menjauhkan diri dari pekerjaannya yang dianggap sebagai beban itu, dengan mencari peluang untuk bercuti. Kalau cuti biasa sudah kering, sijil cuti palsu pun akan dicari oleh orang-orang seperti ini, asalkan dia dapat membebaskan dirinya dari pekerjaan yang telah dianggap sebagai beban hidup itu.


Kepada orang-orang seperti ini, menukar kerja tentu lebih baik kepada mereka. Mencari kerja yang sesuai dan disukainya dan selaras pula dengan kemampuan dan kelayakannya dengan bidang kerja tersebut. Kalau kemampuan dan  kelayakan tidak ada, maka peluang pun tidak ada, maka dia haruslah berpuas hati dengan pekerjaannya sekarang, dan berusaha sedaya upaya untuk menyukai dan mencintainya, asalkan kerja itu halal dan berfaedah.


Daripda tidak ada kerja lebih baik ada kerja. Lebih baik bekerja daripada menjadi penganggur kerana memilih kerja. Bersyukurlah kepada Allah yang telah mengurniakan anda pekerjaan sekarang, dan berdoalah kepada Allah supaya menanamkan rasa cinta dan kasih anda kepada pekerjaan anda. Kiranya anda boleh berkahwin dengan suami atau isteri anda yang belum pernah anda kenali atau belum pernah anda bercinta kasih sebelumnya dan hidup bahagia bersamanya, kenapa pula anda tidak boleh menjalin cinta dengan pekerjaan anda, sambil berdoa kepada Allah semoga cinta hidup dan subur dengan wajar kepada pekerjaan anda.



Pekerjaan itu penting kepada kita kerana pekerjaan itulah menjadi sumber pendapatan iaitu rezeki kepada kita. Dengannya kita berharap untuk terus hidup untuk membina sebuah kehidupan yang aman bahagia tanpa melupakan nilai-nilai kerohaniannya.


Dan yang mengurniakan rezeki itu adalah Allah Yang Maha Berkuasa. “Dan tidak satu pun makhluk bergerak [bernyawa] di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya”. Hud:6.


“Allah memberi rezeki sebagaimana Dia kehendaki”. Al-Maidah: 64.


Justeru itu jangan lupa untuk berdoa kepada Allah untuk pengurniaan rezeki, sambil bertakwa dan bertawakal kepada Allah yang memain peranan yang penting menentukan kejayaan sesuatu usaha yang kita lakukan. Kerana manusia hanya boleh bertindak tapi menentukan kejayannya adalah Allah. Demikian juga manusia hanya mampu merancang, tapi melaksanakannya adalah Allah. Justeru berdoa dan bertawakallah. Semoga berjaya.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP