RAMAH MESRA SIKAP MULIA DAN TERPUJI

>> Sunday, January 5, 2014















RAMAH MESRA SIKAP TERPUJI




ADAKAH anda, dari segi pergaulan, pernah menanya diri sendiri beberapa soalan yang patut anda jawab dengan jujur?

-Adakah anda seorang yang ramah mesra?

-Adakah anda seorang yang mudah didekati?

-Adakah anda sering berprasangka buruk terhadap orang lain?

-Adakah anda merasa diri anda sentiasa berada di pihak yang istimewa atau benar?

Tidaklah sukar untuk memeriksa diri sendiri, adakah anda   seorang peramah mesra atau sebaliknya, atau adakah anda seorang yang mudah didekati, atau sebaliknya?

Caranya periksa dan telitilah diri anda sendiri, ketika anda berada di kalangan orang ramai. Bagaimana sikap anda waktu itu?

Pakar-pakar pergaulan yang membuat kajian telah mendedahkan beberapa perkara berikut untuk perhatian kita semua yang mengambil berat tentang etika pergaulan.

Sudah menjadi kebiasaan kepada sesetengah orang yang menghadiri sesuatu majlis keramaian berusaha untuk menarik perhatian orang ramai kepada mereka dengan aneka tindakan, walapun kelihatan janggal dan bodoh, seperti berpakaian yang luar biasa atau bercakap dengan suara dideras-deraskan.



Perbuatan seperti ini bukannya menunjukkan anda seorang yang peramah tamah, tapi sebaliknya menujukkan anda seorang perakus yang cuba menjadikan diri anda tumpuan perhatian orang ramai.

Justeru itu hapuskan segera tindak-tanduk yang bodoh itu.

Adalah menjadi kebiasaan kepada sesetengah orang untuk menaruh curiga terhadap orang lain. Justeru mereka sentiasa tertanya-tanya apakah pandangan atau anggapan orang lain terhadap mereka, atau adakah orang menyukai mereka atau sebaliknya membenci mereka?

Berhentilah daripada bersikap demikian, kerana sikap demikian boleh mengikis segala sikap ramah tamah yang anda ingin bina dan sebaliknya menunjukkan anda merasa amat takut dan bimbang untuk menjadi seorang yang peramah tamah yang sebenarnya.

Sesungguhnya andainya anda benar-benar ingin menjadi seorang yang peramah tamah, anda hendaklah melupakan  tentang diri anda, dan sebaliknya anda hendaklah membuka minat anda terhadap orang lain. Anda hendaklah menyukai dan menghormati orang lain. Dengan bersikap demikian, bererti anda telah berjaya membebaskan  diri anda daripada sebarang keinginan untuk menarik perhatian orang lain kepada anda yang sudah tentu akan membinasakan usaha anda untuk menjadi seorang yang peramah tamah

Sudah menjadi kebiasaan pula kepada kebanyakan orang merasa diri mereka lebih unggul dan istimewa dan lebih pandai daripada orang lain yang dipandangnya lebih rendah. Dan serentak dengan itu mereka berusaha untuk membuktikan keunggulan mereka yang senafas itu juga bererti mereka terpakasa menurunkan darjah orang lain yang pada hakikatnya lebih unggul dari diri mereka sendiri. Sikap keji ini sudah tentu dapat membenamkan segala usaha anda untuk muncul sebagai seorang yang peramah tamah

Justeru itu sikap buruk dan membazir ini hendaklah segera dilontarkan jauh-jauh. Malah anda hendaklah segera menghapuskan segala keinginan anda untuk membuktikan diri anda lebih unggul, lebih berkualiti, lebih menarik, dan lebih popular dari orang lain.

Namun begitu, tidaklah mengapa jika takdirnya anda mendapat perhatian orang ramai dan mendapat layanan yang lebih istimewa kerana sebab-sebab tertentuj, seperti anda berada dalam keadaan tidak sihat, atau kerana seseorang itu memang berminat terhadap anda lalu memberi perhatian yang lebih  kepada anda. Tapi awas jangan sama sekali anda peralatkan perkara-perkara itu demi kepentingan anda untuk meraih layanan istimewa daripada orang lain. Jangan sama sekali anda mengizinkan perkara tersebut menjadi sebahagian daripada gaya hidup anda dalam usaha untuk mendapat keistimewaan daripada orang lain. Sikap keji ini akan membunuh segala usaha anda untuk menjadi seorang peramah tamah.

Ingatlah seseorang yang benar-benar ingin menjadi peramah tamah, tidak menjadi keberatan kepadanya untuk duduk di bahagian berlakang majlis dan juga tidak keberatan untuk mendengar orang berbicara.

Allah berfirman, “Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di majlis-majlis”, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu”-Al-Mujadilah [58]:11.

Kita juga mesti berhenti daripada berada dalam arus kebimbangan dengan pertanyaan-pertanyaan samada orang ramai bersetuju dengan kita atau tidak bersetuju dengan kita, atau menyukai kita atau tidak. Kerana sikap ini sudah pasti akan merosakan usaha kita untuk membina diri menjadi seorang yang peramah tamah.

Namun, kami tidaklah hendak menyarankan supaya anda mengenepikan langsung pengharapan dan hasrat orang lain terhadap anda dan hanya memikirkan diri anda sendiri sahaja. Bukan begitu. Tapi di sana ada jurang yang luas antara ketidakpedulian anda terhadap perasaan orang lain dengan ketakutan atau kebimbangan anda kepada diri anda sendiri  untuk muncul sebagai seorang peramah tamah. Kerana untuk menjadi seorang peramah tamah tulen tidaklah semudah yang mungkin anda sangkakan, banyak halangan yang harus dilepasi, terutama nafsu anda sendiri yang ingin mendapat perhatian orang yang lebih dan “perasan” diri anda lebih hebat dari orang lain dan sebagainya.

Tapi Jika anda seorang yang penimbang rasa, seorang yang suka bertindak waras dan wajar, tidaklah sukar kepada anda untuk menjadi seorang peramah tamah, malah menjadi suatu kegampangan pula kepada anda untuk bergaul mesra dengan sebilangan besar daripada orang-orang yang anda temui. Dan seterusnya menjadi seorang yang peramah mesra.



Untuk menjadi seorang peramah tamah, sebahagian besarnya tergantung juga kepada sejauh mana kemampuan anda untuk menaruh minat anda kepada orang lain dan bukan sebaliknya menaruh minat kepada diri anda sendiri semata, serta bergantung  kepada bagaimana anda melahirkan sikap lahiriah anda kepada orang lain.

Satu lagi perkara penting yang pasti diingati ialah kita hendaklah mesti menyesuai atau menalakan diri kita dengan orang lain, bukan sebaliknya mendesak orang-orang lain menyesuaikan diri mereka dengan kita. Dan kita juga hendaklah tidak bersikap  terlalu mementingkan diri kita sendiri semata. Justeru dengan sikap positif tersebut, kita akan cenderung untuk menyukai mereka dan bukan sebalikyna membenci atau tidak menyukai mereka. Di samping itu kita juga perlu melihat kepada nilai-nilai baik yang ada pada orang lain dan bukan sebaliknya mencari segala kelemahan dan keburukan mereka dan seterusnya  membenci dan memusuhi mereka.

Sudah tentu amalan kita yang baik ini  akan tercermin dalam tingkah laku dan tutur kata kita. Malah kita akan kelihatan bersikap sedia menerima orang lain dan kelihatan ramah tamah dan juga kelihatan mesra dan mudah didekati oleh orang. Maka jadilah jika seorang peramah mesra. Sikap yang mulia dan terpuji.

 


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP