IBRAHIM HAJI ABDULLAH DALAM KERDIPAN KENANGAN
>> Saturday, January 4, 2014
Ibrahim Hj Abdullah adalah seorang rencanawan dan juga seorang penyair dari Kelantan Darulnaim. Saya mengenali beliau, ketika saya mula-mula bertugas di Pustaka Dian yang pejabat pertamanya terletak di tingkat atas di sebuah deretan bangunan kayu, di tepi Sungai Kelantan, di Cabang Tiga Lido, Kota Bharu. Masa itu beliau masih seorang pelajar.
Saya bersama Allahyarham [Dato’] Ustaz Yusuf Zaky Yaacob pernah bertandang ke rumah beliau di Kampung Betong, Seberang
Pasir Mas Salor, menjelang keberangkatannya ke Indonesia untuk melanjutkan
pelajaran di Solo, dalam bidang kewartawanan.
Masanya sudah terlalu lama. Beberapa tahun yang lalu secara kebetulan saya dan
keluarga menghadiri suatu majlis perkahwinan di kampung Seberang Pasir Mas
Salor, lalu saya bertanya tuan rumah tentang beliau, dan di mana rumahnya, tapi
tuan rumah itu tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan kerana maklumat
yang saya berikan kepadanya tentang saudara Ibrahim tidak berapa cucuk dengan
apa yang ada dalam pengetahuannya.
Kami hanya bertemu semula selepas beberapa tahun sekembalinya dari
Indonesia. Sayup-sayup dalam ingatan saya, beliau pernah bertugas sekejap di Syarikat
Dian Sdn. Bhd. yang pada waktu itu pejabatnya terletak di Lundang, Kota Bharu.
Saya tidak pasti tahun berapa beliau mulai bertugas dan bila beliau
berundur dari SDSB.
Kemudian menjelang keberangkatan kami ke Mekah, kami bertemu dengan beliau
di Batuta Trave & Tour Sdn. Bhd, sebuah syarikat pelancongan kepunyaan,
bekas EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Ghani Mahmood. Saudara Ibrahim
pada masa itu bertanggungjawab tentang penerbitan suara Batuta Travel. Selepas itu hubungan
kami terputus langsung hingga ke hari ini.
Menurut apa yang beliau pernah maklumkan, dari segi akademiknya, beliau
pernah belajar di sekolah Melayu,
Sekolah Arabi, Sekolah Inggeris dan Maktab Perguruan Islam Kota Bharu. Kemudian
melanjutkan pelajarannya di Institut Jurnalistik Indonesia, Solo.
Katanya beliau pernah bertugas sebagai seorang pendidik. Kegemarannya membaca, menulis dan menghayati.
Bidang penulisan yang beliau sumbangkan ialah dalam bidang rencana dan juga
puisi. Sejauh yang saya ketahui karya-karya beliau boleh didapati dalam Mingguan
Kota Bharu [almarhum], Majalah DIAN [Almarhum], Pengasuh, dan juga dalam
akhbar-akhbar tanah air.
Sebuah sajak beliau DI PERKUBURAN yang disiarkan dalam Mingguan Kota Bharu
telah disiarkan kembali dalam SETANGGI KOTA BHARU pada 17 Oktober 2013 yang lalu.
Ayahnya, Hj. Abdullah bin Hj. Daud, seorang petani dan ibunya Hajah Che
Yah bt Hj. Abdul Rahman seorang suri rumah. Beliau mempunyai empat orang adik
beradik.
Saya percaya beliau masih lagi bergiat dalam dunia penulisan. Beberapa
bulan yang lalu saya pernah melihat nama Ibrahim Hj. Abdullah bersama sebuah
rencana dalam sebuah akhbar tanah air yang saya lupa tajuk dan kandungannya,
dan surat khabar apa.
Sekian Ibrahim Hj. Abdullah dalam kerdipan ingatan saya selepas sekian lama
tidak berjumpa dengan beliau. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat dan
sejahtera.
0 comments:
Post a Comment