SEJUK OH SEJUK, KENAPA ENGKAU SEJUK

>> Saturday, January 25, 2014




SEJUK OH SEJUK, KENAPA ENGKAU SEJUK?


Tengah malam semalam saya tersentak dari tidur, lalu terbangun. Kenapa? Bukan kerana mimpi seram. Bukan kerana banyak nyamuk. Dan bukan juga kerana dikejut bunyi bising, seperti cawah pecah atau sudu-sudu jatuh di atas lantai simen. Habis kenapa?

Saya tersentak kerana di diserang oleh kesejukan. Sebenarnya sejak bulan Disember lagi kami telah mulai merasa kesejukan, terutama pada waktu malam. Hendak tidur, kena sarung baju agak tebal, dan berselimut, walaupun sebelumnya tidak berselimut. Dalam rumah, kena pakai selipar untuk menapak atas lantai simen yang tidak berkarpet. Kalau tidak kesejukan lantai akan naik menjalar menerusi tapak kaki walaupun di waktu tengah hari. Itu adalah fenomena biasa yang kami alami di waktu-waktu tertentu sepanjang tahun.

Pada masa kanak-kanak dahulu, saya tinggal di desa yang sentiasa dekat di hati, Kampung Salor, dalam beberapa bulan setiap tahun, kami akan mengalami kesejukan lebih dari biasa. Ia berlaku serentak dengan musim padi di sawah sedang menguning, menunggu masa untuk dituai. Embun-embun kasar turun dengan lebatnya membasahi daun-duan di seluruh kampung. Pada musim itu ketika mandi pagi di sungai untuk pergi ke sekolah, kami akan menggeletuk kesejukan. Tapi itu dahulu. Suasana yang telah lama saya tinggalkan.

Semalam sejuknya terasa menusuk ke tulang sumsum. Pada mula-mulanya saya tidak begitu mengindahkan. Lalu membetulkan kain selimut supaya meliputi dari hujung kaki sampai ke leher. Tapi tidak mampu menahan serangan sejuk malam. Saya lalu bingkas bangun, mengambil sehelai baju sejuk yang memang tergantung di penyakut baju dekat pintu dan menyarungnya ke badan, lalu merebah diri ke katil. Tapi masih terasa kurang selesa. Lalu bangkit lagi, mengambil sepasang stoking khusus yang diletak di hujung kaki dan menyarungnya ke kaki. Barulah terasa lebih aman dan dapat tidur dengan lebih selesa.

Lebih teruk lagi kesejukannya kepada mereka yang tinggal sendirian dalam dakapan malam yang sepi di musim sejuk yang mengigit sampai ke tulang hitam ini.

Seperti biasalah, bila berlaku fenomena luar biasa seperti ini, berbagai-bagai andaian dan perasangka akan diledakkan oleh orang ramai, khususnya mereka terlibat dalam peristiwa kesejukan itu. Ulasan yang sering kita dengar dalam menghadapi sitiwasi seperti ini ialah “Dunia dah nyanyuk”.Maksudnya usia dunia ini sudah terlalu tua bangka dan hampir benar akan menemui ajalnya, kiamat.

Tapi menurut Jabatan Meterologi Malaysia perkara tersebut hanya merupakan fenomena alam yang biasa sahaja. Ketika menjelaskan peristiwa itu Jabatan Metrologi memberi beberapa faktor  kenapa kesejukan itu boleh tercetus, walaupun negara kita tidak mempunyai musim sejuk.

Antara faktor-faktor tersebut ialah tiupan angin sejuk yang berasal dari Tanah Besar China, meredah semudera Laut China Selatan lalu menceroboh Semenajung Malaysia, khsusnya di negeri-negeri di sebelah Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu. Malah juga tersebar di negeri-negeri di utara Semenanjung, iaitu Kedah dan Perlis.

Kedua, sepanjang bulan Januari dan Febuari setiap tahun adalah merupakan tempoh suhu terendah atau minimun di Malaysia jika di bandingkan dengan bulan-bulan lain di sepajang tahun.

Apa dihairankan. Neraka jahanam yang terkenal dengan api panas yang membakar itu sebenarnya ada mempunyai dua rasa, iaitu sejuk dan nafas yang disebut Nabi SAW. sebagai nafas panas dan nafas sejuk. Kedingingan yang tidak dapat digambarkan oleh imaginasi manusia sebagaimana juga kepanasan api neraka yang tidak dapat dilukiskan oleh imaginasi manusia. Digambarkan kesejukan itu boleh meluruhkan daging-daging manusia penghuninya.



Rasulullah SAW. pernah bersabda, “Neraka itu penah mengadu kepada Tuhan-Nya dengan berkata yang bermaksud, “Wahai Tuhanku. Aku telah memakan satu-persatu dan telah mengizinkan aku mempunyai dua nafas, satu pada musim dingin dan satu lagi nafas pada musim panas. Kalau panas, maka panasnya adalah jauh lebih panas berbanding di dunia. Jika ia dingin, maka dinginnya itu adalah jauh lebih dingin daripada zamharir”.

Walau bagaimanapun fenomena sejuk yang berlangsung di dunia hari ini dijangka akan berakhir pada awal minggu hadapan, di mana kita sekarang berada dalam minggu akhir bulan Januari 2014.
Keadaan sejuk ini kira-kira sama dengan sukatan suhu di tanah tinggi Cameron Highland, iaitu kebiasaanya di siang hari 18 darjah Calcius atau 64 darjah Franheit. Tapi pada waktu malam, sukatan suhunya boleh menurun sampai 9 darjah Calcius atau 40 darjah Franheit.

Sedangkan kebiasaanya sukatan suhu di Semenajung Malaysia ialah 34 darjah Calcius hingga 40 darjah Calcius lebih sedikit, dan di kawasan-kawasan tertentu pula boleh menurun sampai 23 darjah Calcius.

Sukatan suhu yang paling rendah pernah dialami di Pantai Timur dalam musim ini  telah berlaku di Kuala Krai, Kelantan pada hari Jumaat, 17 Januri, iaitu 17 darjah Calcius. Dan ini merupakan rekod suhu terendah di negeri-negeri di Pantai Timur. Sedangkan di Kota Bharu pada masa itu sukatan suhunya ialah 23 darjah Calcius.

Walau bagaimanapun, keadaan cuaca sejuk ini  bererti memberi peluang kepada penduduk-penduduk Pantai Timur, khususnya  di negeri Kelantan menikmati iklim sejuk di tanah-tanah tinggi, seperti yang biasa terdapat di Cameron Highland dan Genting Highland.

Di sesetengah kawasan di dunia ini  memang Allah jadikan iklimnya bermusim-musim, iaitu negara-negara yang terletak dalam wilayah yang dikenali dengan panggilan Iklim Sederhana. Ia mempunyai empat musim, iaitu musim sejuk [musim dingin atau musim salju], musim panas, musim gugur [musim runtuk] dan musim bunga. Musim sejuk dikaitkan dengan ais dan salju, sementara musim panas dikaitkan dengan matahari, musim gugur dikaitkan dengan daun-daun pokok yang berguguran, dan seterusnya musim bunga. dikaitkan dengan pokok-pokok menerbitkan bunga-bungi yang endah sekali.

Ini semua membuktikan kebesaran Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam menentukan sesuatu mengikut kehendak-Nya. “Dan milik Allah-lah apa yang ada dilangit dan apa yang ada di bumi”. Ali-Imran: 129.

Allah boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya, yang luar biasa atau yang biasa, yang mengikut adat atau tidak mengikut adat, kerana sebagaimana firman-Nya, “Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah”, maka jadilah sesuatu itu”.Yasin: 82.

Justeru itu tidaklah pelek kepada  Allah untuk menjadikan negeri yang biasanya sejuk bersalju kepada negeri yang panas gersang, demikian juga tidaklah pelek, kepada  Allah menukar negeri yang panas berpadang pasir kepada negeri yang sejuk bersalju. Demikian juga tidaklah peleknya kepada Allah menukarkan musim sejuk manjadi musim panas, atau menukar musim panas menjadi musim sejuk, ataupun menjadikan cuaca sejuk dalam musim panas, dan menjadikan cuaca panas dalam musim sejuk.

Allahu Akbar.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP