Gunung Stong Dan Air Terjun Jelawang Menggamit Para Pelancong

>> Sunday, January 12, 2014




GUNUNG STONG DAN AIR TERJUN JELAWANG MENGGAMIT PARA PELANCONG


[Foto-foto rencana ini dibekalkan oleh Ahmad Faris Zaini]




Air Terjun Jelawang adalah sebuah tempat yang menawan, dan menjadi sebahagian daripada daya tarikan kepada para pelancong untuk mengunjunginya, termasuklah pelancong-pelancong dari luar negara. Ia terletak di atas salah sebuah Gunung Stong. Diliputi suasana dan panaroma alam yang menggesel perasan dan menambat hati sentiasa menggamit para pelancong untuk datang  menikmati keindahan semula jadinya yang damai dan masih  belum tecemar oleh kerakusan tangan-tangan manusia.




 
Jalan Ke Gunung Stong

Jika bakal pengunjung berada di ibu Negeri Kelantan, Kota Bharu Bandar Raya Islam ingin pergi ke Gunung Stong mereka mempunyai tiga jalan pilihan untuk sampai ke sana.

Pertama  dari Kota Bharu, mereka boleh melalui Jeli, ke Kuala Balah, dan ke Dabong dan terus ke Gunung Stong. Jauhnya kira-kira 183 km.

Kedua dari Kota Bharu menuju ke Kuala Krai, ke Sungai Sam, ke Dabong dan terus ke Gunung Stong. Jauhnya kira-kira 150 km.







 
Dan ketiga dari Kota Bharu ke Kuala Krai,  ikut Jalan Air ke Dabong dan terus ke Gunung Stong. Sejauh kira-kira kira-kira 105 km.

Demikianlah tiga jalan pilihian yang boleh diikuti dari Kota Bharu ke Gunung Stong dan seterusnya mendaki ke Air Terjun Stong yang dikenali dengan nama Air Terjun Jelawang.

Tersalah Sangka

Banyak orang tersalah sangka, termasuk penduduk-penduduk Negeri Kelantan sendiri, bahawa Gunung Stong terletak dalam Jajahan Jeli atau dalam Jajahan Gua Musang. Tapi sebenarnya tidak. Ia terletak dalam Daerah Dabong yang terletak dalam Jajahan Kuala Krai.





Gunung Stong adalah terletak dalam kawasan Hutan Simpan Negeri Gunung Stong [bukan dalam Hutan Simpan Negara] yang merangkumi Gunung Stong Utara, Gunung Stong Tengah dan Gunung Stong Selatan. Tingginya 1,422 meter atau 4, 664 kaki. Masing-masing mempunyai keluasan kawasan Hutan Simpan yang tersendiri, iaitu Gunung Stong Utara 11,044 ha, Gunung Stong Tengah 21, 950 ha dan Gunung Stong Selatan 28, 134 ha. Menjadikan semuanya sebanyak 61, 128 ha.

Taman Negeri Gunung Stong adalah dilingkungi di sebelah Utara oleh Hutan Simpan Gunung Basor, di sebelah Barat oleh Hutan Simpan Balah dan Hutan Simpan Belum dalam Negeri Perak, di sebelah Timur terdapat Jelawang dan Sungai Pergau dan di sebelah Selatan pula terdapat Hutan Simpan Berangkat.



Mengikut perancangannya Kerajaan Negeri Perak akan menjadikan Hutan Simpan Belum ini sebagai Taman Negeri untuk Negeri Perak. Dengan itu pergabungan keduanya akan membentuk satu “sanctuary” atau kawasan perlindungan hewan liar  yang lebih luas, dan sudah tentu akan menjadi suatu kawasan yang lebih menarik untuk dikembari oleh para pelancong yang berminat.

Taman Negara secara rasmi telah diwujudkan sejak tahun 1939 lagi. Ia meliputi tiga buah negeri, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Dalam Negeri Pahang, ia mengandungi 2, 477 km2, iaitu 57 peratus, Negeri Kelantan sebanyak 1,043km2, iaitu 24 peratus, sementara dalam Negeri Terengganu pula sebanyak 853km2, iaitu 19 peratus.

Seperti juga dengan Taman Negara, kewujudan Taman Negeri Kelantan ini amatlah berguna untuk tujuan memulihara dan melindungi sumber-sumber alam semula jadi yang terdapat dalam kawasan taman tersebut sebagai warisan dan khazanah berharga yang kekal bagi Negeri Kelantan.

Air Terjun

Antara keindahan semula jadi yang terdapat di Gunug Stong ialah air terjun, iaitu Air Terjun Jelawang, setinggi 305 meter. Justeru  Air Terjun  Jelawang ini dikatakan air terjun yang tertinggi bukan sahaja di seluruh Malaysia, malah juga di seluruh Asia. Ia menjadi salah satu daya tarikan kepada para pelancung.

Air Terjun Jelawang  menduduki tempat ke lima daripada barisan senarai tempat menarik dan tertinggi untuk ekototorism Malaysia.

Para pendaki yang mendaki ke puncak Gunung Stong, terlebih dahulu akan singgah di Kem Baha yang terletak dalam pejalanan, iaitu setinggi kira-kira 400 meter dari kaki Gunung Stong.

Dan jika mereka ingin melanjutkan pendakian ke puncak Gunung Ayam pula yang terletak di sebelah Gunung Stong, setinggi 1504 meter  ia akan memakan masa tambahan selama 3 atau 4 jam lagi, di mana kesemuanya akan menelan  masa selama kira-kira 9 jam.

Di Kem Baha inilah baru-baru ini seorang pelancong dari Singapura yang sedang berkhemah di situ telah tergelincir jatuh dari tebing gunungnya yang licin di musim hujan dan kemudiannya ditemui mati. Beliau adalah Lee Jun Jie seorang pelajar dari sebuah universiti di Singapura.

Di samping Air Terjun Jelawang yang menggoda itu di Hutan Simpan Negeri Gunung Stong ini, masih banyak lagi tempat-tempat yang menarik, seperti sungai-sungai, jeram-jeram, dan gua-gua batu kapor jika diolah dengan baik, boleh menjadi daya tarikan kepada para pelancong.

Di samping itu hutan-hutannya juga mempunyai flora dan fauna yang tidak kurang hebatnya sebagaimana .yang terdapat di tempat-tempat lain. Semuanya itu mempuyai daya tarikannya yang tersendiri.

Hutannya juga didapati biak dengan bebagai-bagai jenis tumbuhan, sebahagian daripadanya dikatakan sukar didapati di tempat-tempat lain di negara ini.

Hutan-hutan itu juga menjadi tempat kehidupan hewan-hewan liar tropika, seperti gajah, harimau, rusa, tupai dan berbagai-bagai jenis hewan lagi.

Sumber Kekayaan Semula Jadi

Dalam kawasan Gunung Stong ini juga dipercayai terdapat kekayaan alam semula jadi dalam buminya, iaitu mengandungi logam dan bahan galian yang beharga dan bernilai dari segi ekonominya untuk diteroka.



Tidaklah diketahui sehingga kini sejauh mana pihak berkuasa telah menjalankan usaha-usaha untuk meneroka kekayaan alam itu.

Kawasan ini didapati kaya dengan kayu-kayu balak yang bermutu.Tapi oleh sebab kawasan ini merupakan kawasan berjerun yang curam, maka aktiviti pembalakan yang tidaklah dapat dijalankan pada masa ini. Demikian juga dengan aktitviti pertanian.

Kawasan ini juga merupakan kawasan tadahan air kepada Dabong dan Pergau.

Sungai-sungai yang alirannya berpunca dari kawasan tadahan ini bukan sahaja menjadi bekalan air kepada tempat-tempatnya mengalir, tapi juga secara semula jadi membentuk jeram-jeram dan air terjun yang cantik, seperti Air Terjun Jelawang itu.

Dengan adanya kemudahan-kemudahan semula jadi itu, kawasan seperti ini biasanya akan menjadi kawasan yang berharga untuk dijadikan tempat penyelidikan dan kajian-kajian saintifik yang amat berguna untuk kemajuan manusia.


Dan sekiranya, jika pehak Kerajaan Negeri Kelantan benar-benar berusaha untuk memajukan kawasan ini dengan sewajarnya, maka sudah tentu  ia akan muncul sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal, dan dengan itu dapat meningkatkan lagi taraf sosio-ekonomi penduduk tempatan, terutama dizaman kegawatan ekonomi ini, seperti yang telah berlaku di Taman Negara sebelah Negeri Pahang.

Mampukah Kerajaan Negeri bertindak demikian? Sedangkan mengikut pengamatan kita sebagai rakyat marhaen negeri ini, banyak kawasan-kawasan dan tempat yang penting yang berpotensi dan dijangka mampu menjadi tarikan kepada para pengunjung yang telah lama wujudnya dan tidak berapa jauh letaknya dari  bandar Kota Bharu, tidak dijaga dengan sewajarnya dan menjadi terbangkalai. Antaranya tempat-tempat bersejarah, sungai dan pantai, jeram dan tasik, kampung-kampung dan desa yang permai dan unik dari segi budayanya dan sebagainya lagi, nampaknya banyak yang terbiar dan terlantar begitu sahaja menjadi bahan-bahan lapuk yang tidak berharga tanpa diberikan perhatian yang sewajarnya.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP