HUJAN-HUJAN DARI JAKARTA
>> Wednesday, January 15, 2014
HUJAN-HUJAN DARI JAKARTA
Jawapan yang simpel dan bersahaja hujan ialah butir-butir air yang cair
yang turun dari langit dan jatuh ke permukaan bumi.
Untuk pergi lebih jauh sedikit lagi, hujan ialah titik-titik air yang
berpisah dari awan dan gugur berberai ke
bumi. Ia merupakan satu kitaran alam semula jadi yang berasal dari lautan. Bila
berlaku kelembapan pada laut, lalu menjadi wap. Wap itu naik ke angkasa
membentuk gumpalan awan. Bila butir-butir air awan itu cair lalu gugur ke bumi
dan dinamakan hujan.
Air hujan yang menimpa bumi itu pula, selain ditelan bumi, ia terus mengalir
ke laut semulai menerusi sungai-sungai dan anak-anak sungai, dan diproses kembali
seperti semulanya, lalu menjadi wap, naik ke angkasa, dan menjadi awan, lalu gugur
ke bumi semula dalam bentuk cecair sebagai hujan. Begitulah yang berlalu sejak ribuan
tahun yang lampau sampai ke hari ini.
Pada umumnya ada dua tanggapan dan sikap manusia terhadap hujan, iaitu
positif dan negatif.
-Pertama orang yang merasa bersyukur dengan turunnya hujan, terutama bila
hujan turun di musim kemarau melanda. Hujan itu dapat menyuburkan kembali tanam-tanaman
dan membunuh musuh-musuh pokok-pokok. Hujan membawa rahmat yang nyata. Hujan ini
disambut syukur terutama oleh para petani.
-Kedua mereka yang menerima hujan sebagai musuh mereka. Kerana hujan itu
merosakkan harta benda, tanam-tanaman dan kampung halaman mereka, malah
kadang-kadang meragut nyawa sebahagian dari mereka yang mangar atau cuai.
Malah kadang-kadang mereka ini mengutuk dan mencerca hujan sebagai pembawa
musibah. Mereka ini lupa yang menjadikan hujan itu ialah Allah SWT yang Maha
Berkuasa dan Maha Bijaksana. Mereka tidak mampu menyelami rahsia di sebalik
hujan yang menjadi musibah kepada mereka itu.
Kepada mansuia yang berjiwa seni, seperti para penyair pula, mereka
mempunyai tanggapan yang tersendiri terhadap hujan. Malah tidak kurang pula dari
mereka, hujan yang turun itu mencetuskan inspirai kepada mereka untuk berkarya.
Maka lahirlah berbagai-bagai puisi berkait dengan hujan.
Waktu kami berada di Indonesia tempoh hari, kota Jakarta juga sedang
diliputi hujan seperti negara kita Malaysia. Malah sebahagian daripada beberapa
tampat di kota itu dilapurkan ditenggelami air. Kadang-kadang hujan mencurah-curah
lebat, kadang-kadang kohor atau perlahan-lahan dan kadang-kadang gerimis
sahaja.
Walau apapun keadaan hujan itu, ianya tetap mengusik perasaan dan hati
sesetengah manusia yang berjiwa seni ini. Mereka lalu melakarkan tanggapan
perasaan mereka dalam cantuman kata-kata dan baris-baris ayat yang dinamakan
puisi.
Dalam harian INDOPOS, keluaran Sabtu 21 Disember 2013, ada disediakan
ruangan khas yang dinamakan Hari Puisi. Pada edisi hari tersebut terdapat
serangkai 15 buah puisi karya dua orang penyair Indonesia, iaitu Athiya R.
Izzati dan Putu Gede Pradipta.
Daripada 8 buah puisi i Athiya R. Izzati terdapat sebuah puisi hujan,
demikian juga daripada 7 buah puisi Putu Gede Pradipta itu terdapat sebuah puisi
hujan, dengan tema masing-masing.
Dengan penuh rasa hormat, saya pungut kedua-dua puisi hujan itu untuk
perkongsian bersama.
Pertama puisi Athiya R. Izzati. Beliau dilahirkan di Jombang pada tahun
1993. Mahasiswa Bahasa dan Sastra Arab, Fakultas Adab dan Ilmu Budaya-UIN Sunan
Kalijaga, Yogyakarta.
Rahsia hujan
Berulangkali kita mengunjungi hutan
pohon-pohon tegak membayangkan perjalanan
air menggenang di kubangan tak memelihara ikan
angin mengawini daunan, memainkan rambut kita yang panjang
tanah becek mengajari kita mencintai
masa silam
pergi ke sawah untuk bertanam dan pulang
ketika petang sudah tiba di ambang
nenek moyang kita kunang-kunang
bertempat tinggal di rimbun dahan
berulang kali kita mengunjungi hutan
saat matahari terperangkap kabut awan
meramal peta singkat telapak tangan
basah kuyup tubuh kita menumbuhkan
benih-benih kenangan yang sempat mati
kerana sumber air mata kita kering
dilanda kemarau panjang yang datang dari masa depan
o, hujan di hutan ini membuat kita kembali dilahirkan
[Yogyakarta 2013]
Kedua puisi Putu Gede Pradipta. Beliau dilahirkan pada 18 Disember 1988.
Tinggal di Denpasar, Bali. Mahasiswa Prodi Bahasa dan Sastra Indonesia
Universitas Dwijendra.
Fragmen Hujan
Sayu mata hujan
dikawal gerimis
menembus kabut
menuju rerimbun
rambut hitam itu.
Seorang perempuan
membuka perlahan
payung hitamnya
hendak berlindung
dari kuyup hujan
yang kian berusaha
mulai mengurung.
[2012].
Demikianlah dua kuntum puisi yang merupakan oleh-oleh dari Jakarta untuk
dikongsi bersama, terutama para penyair tanah air yang dihormati.
0 comments:
Post a Comment