EMPAT PENULIS BESAR BERKUNJUNG KE PONDOK RAHMAT

>> Wednesday, December 18, 2013




EMPAT PENULIS BESAR BERKUNJUNG KE PONDOK RAHMAT



Sebelah kiri: Rahimidin Zahari, Mohd Zain Saleh, Abdul Razak Mahmud, Wadi Leta S. A, Norhisham Mustaffa.

Kami sungguh bertuah kelmarin, Selasa 17 Disember 2103 kerana diziarahi oleh empat orang penulis terkenal tanah air yang masing-masing mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam dunia kesusasteraan tanah air, khusus dengan genre masing-masing. Kunjungan mereka telah diberitahu lebih awal, sehari sebelumnya, oleh Norhisham Mustaffa.

Mereka ialah Norhisham Mustaffa, Abdul Razak Mahmud, Wadi Leta S.A dan Rahimidin Zahari. Tiga dari mereka sampai lebih awal, dan kemudiannya disusuli oleh Rahimidin yang datang bersama anak perempuannya.

Alhamdulillah! Selamat datang!

Saya merasa amat bertuah kerana dapat bertemu dan mengukuhkan lagi sutera silaturahim dengan rakan-rakan penulis yang telah lama tidak kami temui, kerana kedudukan saya yang terpencil dari pusat bandar Kota Bharu, justeri sering ketinggalan daripada arus perkembangan semasa kesusasteraan yang meluncur laju yang biasanya berpusat di bandar Kota Bharu sebagai nadi penggeraknya.

Berbagai-bagai perkara, terutama mengenai persuratan tanah air menjadi tajuk perbualan kami, termasuk tokoh-tokoh penulis senegeri dengan kami, yang masih hidup dan aktif dan yang telah menyepi diri di ujung usia. Di samping itu ramai tokoh-tokoh yang telah pergi mendului kami, dan di antaranya dalam usia yang masih belum begitu matang. Rupa-rupanya ramai yang telah pergi, walaupun masih ramai lagi yang masih tinggal dan masih aktif.

Walau bagaimanapun percakapan utama kami hari itu lebih tertumpu kepada rancangan untuk mengadakan pertemuan para penulis warga emas yang bearasal dari negeri Kelantan yang telah melangkaui usia dewasa. Hari itu sebagai proses awalannya kami menyenaraikan sekumpulan nama-nama yang ada dalam papan ingatan kami masing-masing untuk diundang menyertai perjumpaan itu nanti yang  waktu dan tempatnya akan ditentukan kelak.

Adalah diharapkan perjumpaan itu nanti benar-benar menjadi kenyataan, dan diharap akan mendapat sambutan yang sewajarnya. Insya-Allah.

Saya merasa lebih teruja bila dua orang sahabat telah menghadiahkan karya mereka masing-masing kepada saya sebagai tanda ingatan yang tulus ikhlas. Abdul Razak Mahmud telah menghadiahkan dua bukunya yang masing-masing berjodol PERSURATAN MELAYU WILAYAH TIMUR, Sejarah, Pemikiran dan Karya dan sebuah lagi berjodol ULAMA’ BESAR DARI PATANI. Sementara Rahimidin Zahari dengan CIKGU SHAHNON DI MATA KAMI dan sebuah Majalah PENTAS,  di mana beliau sebagai editornya dan diterbitkan oleh Istana Budaya.

Ribuan terima kasih kami hulurkan dan Allah jua dapat membalasnya.

Selain itu saya juga mendengar berita duka dengan meninggalnya dua orang tokoh yang saya kasihi dan hormati. Pertama ialah Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi seorang penulis sejarah dan budaya yang tersohor yang telah lama menetap bersama keluarganya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buluh. Tokoh seorang lagi, ialah tokoh masyarakat yang terkenal, iaitu Dato’ Mohammed Idris, yang tinggal di Pasir Puteh, tidak jauh dari Masjid Pasir Puteh.




Sudah lama benar saya tidak menemui kedua-dua tokoh ini. Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi, lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Man di kalangan anak-anak buahnya, tapi entah bagaimana pula saya memanggilnya Abang  Man dari awal sampai akhir. Isterinya pula saya dan keluarga memanggilnya  Mak Su seperti orang lain juga. Saya harap saya dapat menulis sedikit kenangan terhadap kedua-dua orang tokoh yang saya hormati ini sejauh yang saya kenali dan sejauh yang ada dalam ingatan saya. Semoga Allah cucuri rahmat-Nya ke atas mereka berdua.

Bertemu dan berpisah adalah satu kelumrahan alam. Demikianlah akhirnya pertemuan kami yang terjalin dalam selesa dan mesra itu berakhir. Para tamu yang dihormati berpamitan dengan harapan yang berkembang dalam hati semoga akan bertemu lagi dalam suasana hangat mesra dan penuh mahabah dan kasih sayang.
-----------------------------------------------------------------------------------------

Kaitan:

NORHISHAM BAWA MARDIANA
DARMA MOHAMAD BAWA UFUK FIKIR

--------------------------------------------------------------------------------------- 

                                                                            


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP