TUN ABDUL RAZAK - ANDAINYA BELIAU MASIH HIDUP

>> Sunday, December 8, 2013




TUN ABDUL RAZAK –
ANDAINYA BELIAU MASIH HIDUP




[Perhimpunan Agung UMNO duapuluh tiga belas  langsai sudah. Ahli-ahli UMNO yang berkumpul di ibu negara menghadiri perhimpunan itu telah pun bubar dan kembali ke rumah masing-masing, lelaki atau perempuan.

Kita telah mendengar berbagai-bagai pendapat yang diluahkan di perhimpuan itu, oleh ahli-ahli UMNO, daripada berbagai-bagai peringkat. Semoga ianya menjadi pertimbangan bukan sahaja kepada ahli-ahli UMNO sendiri yang bertabur di seluruh negara, tapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini.

Saya tidak hendak mengulas tentang Perhimpunan Agung UMNO  itu, tapi saya ingin membawa ahli-ahli UMNO khsusnya  untuk mengenang kembali apa yang pernah disuarakan oleh bapak agung mereka kepada ahli-ahli sebagai perhatian dan kajian.

Pada 10 Mei, 1971, jam 10.30 pagi di Stadium Negara Kuala Lumpur, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein Yang Di Pertua UMNO merngkap Perdana Menteri telah berucap di upacara ikrar menyambut ulang tahun UMNO yang ke-25 tahun.

Inilah getusan daripada ucapan beliau yang penting itu untuk direnung oleh orang-orang UMNO selepas mereka berhimpun kali ini]

Ikutilah:




Semangat Berani Menyala

“Kita semua berhimpun  di sini pada hari ini ialah pada waktu dan ketika yang penting dan bersejarah bagi parti kita UMNO, iaitu ketika kita menyambut usia parti kita yang ke-25 tahun.[Kini 67 tahun].

Kehadiran saudara-saudara di majlis yang bersejarah ini adalah membuktikan dengan jelas dan terangnya akan kejayaan kita, ahli-ahli UMNO , menjaga keutuhan dan perpaduan parti dan juga kesediaan dan kesanggupan kita menyambung perjuangan UMNO di atas landasan yang telah dibina dengan kukuh 25 tahun yang lalu.[kini 67 tahun].

Dalam masa suku abad ini,[kini 3 suku abad]  UMNO, sebagai parti yang mewakili orang Melayu, telah berjuang di  tengah-tengah gelanggang politik negara untuk kepentingan umat Melayu khasnya dan kepentingan bangsa dan negara amnya. Kita semua bersyukur ke hadarat Tuhan Rabu’alamin, pada hari yang bersejarah ini sungguhpun UMNO, sekarang berusia 25 tahun [kini 67 tahun], akan tetapi ia masih kuat dan subur. Saya sendiri mempunyai keyakinan yang penuh bahawa UMNO akan bertambah kuat dan subur pada masa-masa yang akan datang.

Di hari yang bergembira dan brsejarah ini, marilah kita mengucap syukur ke hadarat Allah Subhanahu-wata’ala di atas hidayah-Nya kepada kita semua dan perkenan-Nya dalam segala usaha dan perjuangan parti kita ini.  Oleh itu kita bersama-sama di majlis ini berikrar dan membaharui azam dan tekad untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih cemerlang dan menafaat lagi kepada bangsa, negara, parti dan kita semua di masa-masa hadapan.

Sebagai Yang Di-Pertua UMNO, [Kini Presiden] saya sangatlah terharu mendengar dan menerima taat setia saudara-saudara ahli UMNO sekalian yang telah dilafazkan oleh Ketua Pemuda sebentar tadi. Saya yakin dengan pembaharuan ikrar taat setia kepada pucuk pemimpin parti dan patuh kepada dasar dan perjuangan parti serta keazaman untuk meneruskan perjuangan parti, masa hadapan parti kita sangatlah cerah. Saya suka bersama-sama saudara juga berikrar pada hari ini bahawa saya sendiri akan menyabung nyawa saya, jika perlu, bagi mempertahankan kedaulatan dan dan kemerdekaan negara kita ini dan bersama-sama mencurahkan usaha dan tenaga bagi menjaminkan perpaduan dan kebahagian hidup rakyat sekalian.

            Perpaduan dan cinta kepada tanah air dan bangsa yang ditunjukkan oleh orang-orang Melayu pada masa UMNO ditubuhkan pada 11 Mei, 1946, hendak dan mestilah diterus dan dikekalkan. Semangat berani dan kesanggupan untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan-kepentingan rakyat dan hak-hak asasi kita mestilah dikekalkan dan diperkukuhkan lagi. Inilah semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO dalam masa 25 tahun [kini 67 tahun] mereka berjuang.

            Saya bersyukur ke hadarat Tuhan kerana semangat ini masih lagi menyala dalam dada tiap orang ahli UMNO, pemuda dan Kaum Ibu. Saya yakin dan percaya, dengan izin Tuhan, semangat ini bukan sahaja akan terus menyala tetapi merebak di hati setiap ahli UMNO dan parti kita akan bertambah kuat, bertambah subur dan mencapai kemajuan yang lebih cemerlang lagi masa-masa yang akan datang.

            Dalam mengamalkan new style dan new approach atau langkah baru ini, dalam pentadbiran dan pimpinan parti dan kerajaan satu faktor yang utama untuk memandu dan menggerakkan kita ke arah kejayaan ialah wujudnya sifat-sifat new realism atau sifat-sifat sanggup menghadapi kenyataan dan hakikat  dalam negara, sense of urgency dan priority atau keutamaan yang betul dalam susunan hidup masyarrakat kita supaya tindak tanduk hidup kita sesuai dengan tuntuan zaman.

            Kejayaan UMNO setakat yang ada ini, ialah terutama sekali kerana taat setia ahli-ahli UMNO di semua perengkat dan di merata ceruk kepada pucuk pimpinan UMNO. Tetapi di masa-masa yang akan datang berkehendakkan lebih taat setia daripada ahli-ahli UMNO bagi menjamin keutuhan parti. Kita berkehendakkan perpaduan yang lebih erat lagi dari ahli-ahli UMNO . Kita berkehendakkan ahli-ahli UMNO mempunyai pandangan yang luas dan jauh, daya usaha, tekun dan jujur untuk mendukung dan memimpin UMNO. Perjuangan dan pergolakan politik di tanah air kita ini telah masuk ke peringkat baru atau “new phase”, maka “new feature” atau sifat-sifat baru dalam dasar perjuangan dan matlamat kita mestilah diadakan sesuai dengan kemasukan kita ke dalam peringkat baru ini.

            Hasrat UMNO sama dengan hasrat rakyat. Parti kita, UMNO adalah parti yang dipunyai  oleh rakyat, mewakili rakyat dan telah banyak menujukkan jasa-jasa dan bakti-bakti kepada bangsa dan negara kita. Kita telah meruntuhkan Malayan Union. Kita telah menegakkan kemerdekaan Tanah Melayu dan mempertahankan kemerdekaan itu. Kita telah mewujudkan Malaysia dan mempertahankan Malaysia. Kita telah berjaya menghadapi rintangan-rintangan dan musuh-musuh, baik dari dalam mahu pun dari luar. Begitu juga dalam parti kita, kita telah menghadapi berbagai krisis satu masa ke satu masa, tetapi dengan izin Tuhan, kita telah berjaya mengatasinya semua sekali.

            Semua perkara-perkara ini adalah menjadi pengajaran dan pengalaman kepada kita. Pelajaran yang penting sekali yang kita boleh dapati daripada semua perkara-perkara ini ialah sebagai sebuah parti siasah, kita tidak boleh berpisah dari cita-cita rakyat. UMNO sebagai parti yang telah mula-mula diwujudkan untuk menyatupadukan orang-orang Melayu yang kemudiannya bersama dengan rakan-rakannya MCA dan MIC, menuntut kemerdekaan dan mewujudkan Malaysia yang kita kasihi, tidak boleh berpisah daripada cita-cita dan hasrat rakyat yang kasihkan negara kita ini.

            Kekuatan UMNO adalah terletak di atas kedudukan dan peranan kita bagi memperjuangkan cita-cita dan hasrat rakyat. Dengan sebab itu, jikalau kita berpisah dari cita-cita itu maka kita akan terlepas daripada akar umbi yang menyuburkan dan menguatkan pertumbuhan parti kita.

Dasar Kepentingan Negara

            Oleh kerana keadaan politik UMNO adalah parti orang-orang Melayu tetapi pada hakikatnya UMNO adalah memperjuangkan kemudahan dan kesenangan untuk semua rakyat yang miskin tanpa mengira bangsa dan UMNO akan mendahului kepentingan nasional dan rakyat daripada kepentingan sectional atau puak-puak yang tertentu. Kita akan memecahkan masalah-masalah berdasarkan kepada kepentingan negara dan keuntungan rakyat seluruhnya terutama sekali mereka yang tidak berada.

            Dalam zaman pembangunan ini, apakah sebenar-benarnya perasaan dan hasarat atau cita-cita rakyat khasnya ahli-ahli UMNO? Cita-cita dan hasrat rakyat ialah mereka itu berkehendakkan kepada perubahan nasib. Mereka berkhendakkan taraf hidup mereka diperbaiki supaya menjadi lebih tinggi dan lebih sempurna lagi daripada yang ada pada hari ini.  Mereka berkehendakkan kedudukan ekonomi diperbaiki sesuai sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dan sedang membangun.

            Pemimpin-pemimpin UMNO dan Kerajaan Perikataan [kini Barisan Nasional] sedar dan mengetahui cita-cita dan hsrat rakyat itu. Dengan sebab itu, Kerajaan sedang menjalankan ikhtiar-ikhtiar dengan seberapa dayanya yang bolih untuk memperbaiki ekonomi dan taraf hidup rakyat terutama sekali mereka yamg miskin dan mundur.

            Sebagai ahli-ahli UMNO, kita bersama-sama berta- nggungjawab untuk memperjuangkan cita-cita dan tujuan UMNO serta hasrat rakyat dalam lapangan ekonomi dalam meninggikan taraf hidup dan juga mempertahan dan memperlindungi dasar-dasar rukun damai kita, serta memelihara perasaan muhibah antara warga negara Malaysia yang berbagai keturunan bagi melaksanakan dasar kita untuk melahirkan satu bangsa Malaysia yang tulin, kuat dan maju.

Disiplin

Oleh sebab kita mempunyai cita-cita yang mulia dan tinggi, dan banyak lagi pekerjaan-pekerjaan mustahak yang kita belum laksanakan, maka sangatlah mustahak kita memperkuatkan parti kita: memerpkuatkan jentera parti kita. Segala tenaga dan semangat ahli-ahli UMNO – Pemuda dan Kaum Ibu [kini Wanita UMNO] hendaklah disalurkan bagi melaksanakan usaha-usaha yang berfaedah dan munafaat kepada bangsa dan negara. Parti kita mestilah menurut landasan-landasan disiplin yang tertentu.

Disiplin tidaklah bererti membatasi kebebasan seseorang – kebebasan pmuda. Kaum dan ahli-ahli UMNO utuk bergerak atau bersuara. Disiplin hanya sekadar bererti mengenakan aturan-aturan tertentu supaya tia-tiap gerakan seseorang itu disalurkan sesuai dengan dasar-dasar dan cita-cita perjuangan parti dan negara.

Insya-Allah, dengan berkat Tuhan, jika ahli-ahli UMNO taat kepada disiplin parti dan berjuang mengikut landasan-landasan yang telah ditetapan dan kesemua ahli UMNO, tanpa mengira pangkat, terus jujur dan ikhlas dan bersama-sama kita kembali kepada semangat UMNO tahun 1946 atau semangat tahun `1955. UMNO tetap utuh akan terus maju dan berjaya pada masa yang akan datang. Rakyat akan menyokong. Syaratnya kita semua kembali kepada semangat 1946 dan 1955, iaitu semangat mengorbankan masa, harta benda dan tenaga semata-mata kerana perjuangan kebangsaan tanpa mengira dan mengharapkan sebarang balasan.

Mesti Amanah

            Kekuatan UMNO dari dahulu hinggalah sekarang adalah kerana ahli-ahlinya taat kepada pemimpin-pemimpin agung mreka dan patuh kepada disiplin untuk memelihara perpaduan dalam parti. Dalam masa 25 tahun [kini  67 tahun] Tuhan telah kurniakan hidayah-Nya kepada kita dan telah menyertai perjuangan kita. Marilah kita berdoa mudah-mudahan Tuhan tunjukkan jalan yang benar dan jujur untuk kita meneruskan tugas-tugas kita bagi memenuhi kehendak-kehendak dan kepercayaan rakyat kepada kita.

            Akhirnya marilah kita kembali kepada semangat perjuangan kita pada tahun 1946 dan 1955 dan berikrar pada hari yang bersejarah ini untuk berkhidmat kepada bangsa, tanah air dan parti kita dengan penuh ikhlas, jujur dan amanah.

BERJAYA.

 


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP