BANGALA DALAM MASYARAKAT KELANTAN
>> Tuesday, December 17, 2013
Orang-orang Bangala di Malaysia hari telah menjadi termasyur kerana pengelibatan mereka dalam berbagai-bagai aktiviti, selain daripada menjadi boroh.. Mereka adalah berasal dari Bangladesh sebuah negara republik yang bersempadan dengan India di sebelah Utara. Luasnya 56,977 km persegi dan mempunyai penduduk seramai 160 juta orang. Bahasanya dipanggil bahasa Bangali.
Pada masa dahulu bila disebut Bangali ialah mansuia yang biasanya bertubuh
besar, berjanggut dan berjebing, dan biasanya bekerja sebagai jaga, kini
pengawal keselamatan.
Tapi hari ini bila disebut Bangala mereka dirujukkan kepada orang-orang yang
datang dari negara Bangladesh untuk menjadi boroh di negara kita ini.
Kadang-kadang sebutan Bangala itu menimbulkan satu macam sendaan, kerana mereka
sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak diingini yang berlaku di
negara, hingga menerbitkan panggilan ‘Mat Bangala”.
Tapi hari ini orang Bangala yang datang ke negara kita tidak lagi besar dan
gemuk, tapi manusia biasa seperti orang Melayu, dan kadang-kadang mempunyai
rupa paras yang menggoda wanita-wanita Melayu.
Orang-orang Bangala ini sudah lama berada di Malaysia. Selain daripada
menjadi jaga, kebanyakan mereka menjadi peniaga kain atau permata yang
menjelajah dari kampung ke kampung mencari razeki.
Setakat yang diketahui dalam masyarakat tradisional Kelantan sejak lama
dulu lagi ada dua benda yang disandangkan kepada nama Banggala. Kedua-duanya
makanan dan kedua-duanya dari jenis tumbuh-tumbuhan. Salah satu daripadanya
telah tidak digunakan lagi dan satu lagi masih kekal penggunaannya sampai ke
hari ini dalam masyarakat Melayu, khususnya di kampung-kampung.
Nampaknya menamakan sesuatu benda
menggunakan nama sesuatu bangsa bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat
Melayu, khususnya masyarakat Kelantan. Kita ada bunga Cina, kita ada bunga cbempaka
keling, kita ada pisang kelat keling [pisang restali], kita ada ubi keling,
kita ada pauh Siam, kita ada durian Belanda [durian Selat], kita ada pisang
kebatu Petani dan kita ada baju Melayu.
Pada masa lalu, orang-orang Melayu Kelantan tidak mengenali ubi kentang. Mereka tidak menamakannya ubi kentang. Sebaliknya mereka memanggilnya ubi Bangala, dengan sebutan ringkasanya ubi gala.
Pada perkiraan saya semua kaum wanita Melayu, baik yang tua, lebih-lebih
lagi yang muda mengetahui cara-cara penggunaan ubi kentang di dalam masakan,
untuk dijadikan sebahagian daripada lauk-pauk atau juadah-juadah tertentu yang
menggunakan kentang sebagai bahannya.
Tapi akhirnya nama ubu gala telah lama lenyap dan tidak dipakai lagi, bila muncul
nama ubi kentang.
Pisang Bangala
Sejenis tumbuhan lagi yang menggunakan nama Bangala ialah pisang Bangala.
Nama itu terus berkekalan hingga sekarang. Pokok pisang Bangala ini sama sahaja
dengan pokok-pokok pisang yang lain. Ia juga berjantung dan berbuah di tandan.
Buah pisang Bangala yang masak, tidak seperti pisang-pisang yang lain tidak
dimakan, kerana rasanya tidak enak dan banyak mengandungi biji-biji atau
butir-butir yang sukar untuk dimakan. Justeru buah pisang Bangala hanya
dibiarkan meluruh dari tandannya.
Namun begitu buah pisang Bangala yang muda
dijadikan bahan makanan sebagai ulam atau sayur bersama dengan nasi.
Sekurang-kurangnya ada tiga cara untuk memproses buah pisang Bangala untuk dijadikan
resipi makanan.
Dimakan Mentah
Buah pisang Bangala yang muda [tidak terlalu muda] boleh dibuat ulam. Buang
atau kupas kulitnya yang hijau hingga nampak isinya yang putih. Kerat melintang nipis-nipis, basuh bersih-bersih dan rendam dalam air garam buat
seketika.
Kemudian bila hendak makan, angkat dan sejatkan airnya. Sebagai ulam ia
dicicah dengan budu atau sambal seperti ulam-ulaman yang lain.
Acar Mentah
Pisang Bangala boleh juga dibuat acar mentah. Buah pisang hendaklah dikerat
melintang berkeping-keping. Rendam sekejap dalam air garam untuk
membersihaknya.
Sementara itu sediakan bahan acarnya dengan bahan-bahan cuka, garam dan
gula sekadar yang perlu. Masukkan semuanya dalam sebuah mangkuk, campurkan
sedikit air kosong, dan masukkan potongan pisang, kacau-kacaukan hingga rata.
Biarkan sekejap sehingga potongan pisang itu diresapi oleh kuah acarnya.
Kemudian bolehlah dimakan.
Acar Masak
Di samping itu kalau ada masa, boleh juga pisang Bangala ini dibuat acar
masak. Buah pisang muda hendaklah dikupas kulitnya, kemudian dibelah memanjang
sepanjang buahnya sebanyak beberapa keping yang patut. Rendam dalam air garam
untuk membersihkannya.
Sediakan bahan-bahan untuk menumis, iaitu cuka, bawang merah yang
dibelah-belah, bawang putih, gula, garam dan sedikit lada kering yang ditumbuk
atau di kisar. Tumiskan bahan tersebut. Kemudian masukkan pisang yang telah dibelah.
Tunggu sehingga mendidih dan biarkan ia
masak. Bila sejuk bolehlah dihidangkan.
Di pasar-pasar tani Negeri Kelantan hari ini kadang-kadang acar masak
pisang Bangala memang ada dijual, terutama di musim tengkujuh atau musim hujan.
Sebagai Pembungkus
Walau bagaimanapun pada masa dulu pokok pisang Bangala ditanam untuk
mengambil daunnya untuk dijadikan
pembungkus, seperti pembungkus nasi belauk, untuk buat
bekas kueh yang dipanggil temelung kueh dan sebagainya. Daun pisang Bangala
memang istimewa sebagai pembungkus kerana daunnya lembut, dan tidak mudah pecah
seperti daun-daun pisang yang lain. Ia juga digemari untuk dijadikan pembungkus
kueh-mueh yang dimasak kerana mempunyai aroma tersendiri. Sedangkan daun pisang
yang lain, keadaannya keras dan terpakasa disalai di atas api terlebih dahulu sebelum
digunakan untuk mengelak ianya daripada mudah carik atau koyak.
Salah satu kueh tradisi yang sering digunakan daun pisang sebagai bekas pengisi ialah tepung pelita, ianya dipanggil temelung, yang dicantum hujung kiri dan hujung kanannya dengan menggunakan lidi. Namun begitu hari ini temelung telah digantikan penggunaannya dengan bekas-bekas plastik yang kecil untuk diisikan dengan tepung pelita.
Hanya ada dua jenis kueh tradisi sahaja yang tidak boleh pembalutnya
ditukar dengan plastik, iaitu pulut bakar dan pulut lepa. Pulat bakar bentuknya
bulat dibalut dengan daun pisang, tapi terbuka sedikit di bahagian atasnya, sebelum di bakar atas bara api setelah
dimasukkan ke dalam bekas atau sarangnya yang khas. Pulut lepa atau pulut
panjang pula, bentuknya panjang dan dibungkus penuh dan di hujung kiri kanannya
dicucuk dengan lidi, kemudian dibakar atas kuali berminyak. Pulut lepa berinti
sambal daging atau ikan, tapi pulut bakar tidak berinti, kecuali dibuat
khusus.
Saya tahu perkara ini, kerana Allahyarhmah bonda saya, Mak Su Munah seorang
pembuat pulut bakar, juga pulut lepa yang termasyur. Kadang-kadang saya
menolong beliau membakar pulut bila keadaan mendesak. Selepas itu sayalah yang
menghantar pulut-pulut itu ke kedai-kedai di kampung sebelum pergi ke sekolah, dan
memungut duitnya di sebelah petang.
Oleh sebab pasaran daun pisang telah begitu terjejas dengan kelahiran
plastik, maka tidak ramai lagi para petani yang menanam pisang Bangala, justeru
itu harga daun pisang Bangala telah menjunam naik. Ia menjadi tamparan kepada
peniaga-peniaga kueh yang terpaksa menggunakan daun pisang, iaitu mana-mana kueh
yang daun pisangnya tidak boleh diganti dengan plastik. Ini dapat meningkatkan lagi harga kueh-muih
di pasaran.
-------------------------------------------------------------------------------------------
0 comments:
Post a Comment