KOMPUTER;JANGAN JADI HAMBA KOMPUTER
>> Thursday, December 19, 2013
KOMPUTER:
Jangan Jadi Hamba Komputer?
MALAM tadi.
Waktu sudah hampir pukul satu tengah malam. Kami dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah
menuju ke Sungai Buluh. Oleh sebab perut terasa memerlukan pengisian, kami
berhenti di sebuah kedai mamak dua puluh empat jam untuk mengalas perut.
Kami
berdua menempah sekeping roti canai dan sekeping roti nan. Tapi tidak seperti
biasa, kami merasa tidak puas hati dengan roti-roti itu, kerana tidak masak di
bahagian dalamannya. Masih merupakan gandum yang diuli. Ini mungkin kerana api
yang diguna terlalu besar, menyebabkan bahagian luar roti nampak masak dan cepat
gareng.
Kami
telah beberapa kali berkunjung ke resturan ini. Ada waktu malam dan waktu
siang. Pengujung-pengunjungnya sentiasa ramai. Lebih-lebih lagi pada waktu awal
malam. Meja-meja yang diatur di ruang kosong di luar resturan pun di waktu
malam penuh dengan orang dalam cahaya lampu yang tidak begitu terang. Makan
roti canai dan minum teh tarik sambil bersantai dan berbual-bual panjang.
Kebanyakannya sebangsa dengan kami, Melayu.
Malam
tadi mungkin kerana larut malam, walaupun masih ada pengunjung, tapi tidaklah
begitu ramai. Meja di bahagian dalam resturan itu tidak penuh, walaupun
pengujung-pengujung datang tidak putus-putus dari masa ke masa. Wajah-wajah
pembantu kedainya macam biasa, mungkin Bangala dan mungkin India. Ada yang
masih belum faham apa yang kita cakapkan dalam bahasa Melayu. Kita minta air suam,
dibawanya air batu kosong.
Dua buah
meja di sebelah kiri meja kami diduduki oleh dua orang semeja. Lelaki dan perempuan.
Sementara meja di hadapan kami hanya ditumpangi oleh seorang pengunjung lelaki.
Sementara jauh sedikit di sebelah kiri kami ke arah hadapan diduduki oleh seorang
lelaki, sementara jauh di sebelah kiri bahagian belakang pula diduduki
oleh seorang lelaki juga.
Semua
mereka yang saya sebutkan itu, selain daripada makan-makan juga lebih sibuk dengan
alat-alat elektronik masing-masing. Ada yang guna laptop, iPad dan handfon
masing-masing.
Lelaki
yang duduk di meja di hadapan saya itu berusia sekitar empat puluhan tahun.
Asyik dengan handfon. Bermain mainan [games]. Wajahya sekali tersenyum, sekali masam.
Tapi mukanya tidak pernah terangkat dari handfon yang dipegang dengan tangan
kirinya, sementara tangan kanannya memetik handfon. Di hadapannya ada sebuah
gelas yang telah kosong.
Entah
berapa lama dia tercokoh di situ dengan handfon dan mainannya saya tidak
pasti.Tapi seujurus kemudian, dia bingkas bangun, pergi ke kaunter bayaran
dengan handfon di tangannya, membayar dan terus keluar dari resturan, dengan
mukanya masih lagi mengendap handfon itu sambil melangkah.
Sementara dua orang di meja di sebelah kiri di hadapan saya itu lelaki dan perempuan. Duduk bersebelahan. Masih muda lagi. Mungkin sepasang suami isteri. Yang wanita sedang menghadapi laptop dan mengetuk-ngetuknya. Kemudian membacanya perlahan-lahan. Selepas itu dia berhenti dan menunggu sang lelaki membaca sesuatu dari helaian-helaian kertas yang berada di hadapannya sebelum wanita itu meneruskan taipannya. Demikianlah berulang-ulang.
Sementara dua orang di meja di sebelah kiri di hadapan saya itu lelaki dan perempuan. Duduk bersebelahan. Masih muda lagi. Mungkin sepasang suami isteri. Yang wanita sedang menghadapi laptop dan mengetuk-ngetuknya. Kemudian membacanya perlahan-lahan. Selepas itu dia berhenti dan menunggu sang lelaki membaca sesuatu dari helaian-helaian kertas yang berada di hadapannya sebelum wanita itu meneruskan taipannya. Demikianlah berulang-ulang.
Begitulah
keadaannya sehingga kami meninggalkan resturan itu selepas selesai makan. Di hadapan mereka ada sepinggan mee goreng,
masih tinggal separuh, dan dua gelas air yang baru separuh diminum.
Pada anggapan
saya mereka pelajar universiti. Mereka sedang membuat assigment atau tesis
untuk sang lelaki yang kemungkinan besar si suami kepada wanita itu.
Kedua-duanya asyik dengan laptop yang sedang diperalatkan oleh mereka untuk
menyelesaikan tugas mereka.
Sementara
di meja yang betul-betul sebelah kiri saya pula ada sepasang anak muda. Duduk
berhadapan-hadapan, di pisah oleh meja. Kedua-duanya indah. Ada wajah kacukan. Mancung
hidung mereka. Mungkin sepasang kekasih. Yang perempuannya sedang asyik
menghadapi laptop dan snentiasa mengetuknya. Hanya sekali sekali sahaja
berhenti selepas meneliti apa yang telah ditaipinya dengan mengangkat muka untuk
sejenak. Sementera lelaki yang duduk di hadapanya sedang menghisap rokok, yang
disedutnya sekali sekala, sambil matanya memerhati wanita yang sedang leka
dengan laptopnya itu. Setiap kali dia menyedut rokok, saya lihat, dia tidak
menghembus aspanya keluar, tapi terus menelannya.
Di sisi mereka ada dua gelas air yang baru sedikit diminum. Sementara di sisi wanita itu pula ada sepiring rojak yang masih belum banyak luaknya. Dia hanya sekali sekala menyuap rojak itu ke mulunya dengan sudu selepas berhenti mengetuk laptop.
Pada
agakan saya wanita itu juga sedang menyiapkan tesis, sementara sang pemuda pula
sekadar menemaninya.
Saya
tidak tahu berapa lama mereka telah berada di meja itu, dan berapa lama pula
lagi mereka akan berada di situ. Waktu saya meninggalkan resturan itu mereka
masih lagi belum ada tanda-tanda akan berangkat.
Waktu
kami melangkah keluar resturan, saya lihat lelaki yang berada di meja di belakang
kami itu sedang menggunakan iPadnya untuk melihat karton. Sekali-sekali saya
melihat dia tersenyum dan mengangguk-angguk kecil kepalanya. Gembira sendirian.
Demikianlah
sedikit gambaran bangaimana bahan-bahan elektronik telah berjaya melengkari
hidup umat manusia. Di mana-mana mereka berada mereka telah membelitkan diri
mereka dengan aneka elektronik. Dari pagi sampai ke petang. Dari siang sampai
ke malam. Dari pejabat sampai ke rumah. Dari rumah sampai ke jalan, dan ke
kedai, malah sampai ke masjid, hingga berdering ketika sedang solat, dan entah ke mana-mana lagi.
Elektronik!
Elektronik! Sejauh mana lagikah manusia akan mengikatkan diri mereka dengan
elektronik? Hinggakan ada dari mereka yang mati kujul di hadapan alat elektronik
yang sebenarnya tidak berakal dan berminda?
Sebenarnya
siapa yang menjadi hamba siapa? Elektronik jadi hamba manusia atau manusia
yang jadi hamba elektronik? Handfon jadi hamba manusiakah, atau manusia menjadi
hamba handfon? Atau kedua-duanya saling hamba, memperhambakan?
Kita
sedar alat-alat elektronik, telefon, komputer dan sebagainya itu memang amat
berguna pada manusia yang hidup di zaman ini. Tapi awaslah. Awasilah jangan
jadi hamba elektronik. Jangan jadi abdi komputer. Jangan jadi hamba laptop.
Jangan jadi hamba handfon. Jangan jadi hamba iPad, tablet, dan entah apa lagi
alat elektronik yang telah dicipta dan akan dicipta dengan lebih canggih.
Gunakanlah akal dalam menggunakan alat-alat elektronik. Akal yang waras! Jangan
jadi abdi alat elektronik. Jangan jadi hamba komputer. Jadilah hamba Allah!
0 comments:
Post a Comment