Jangan Biarkan Surau Ini Roboh- Ibrahim Bermatian-matian Mempertahankan Sebuah Surau Usang. Kenapa?
>> Wednesday, December 4, 2013
Jangan Biarkan Surau Ini Roboh
Ibrahim Sanggup Berjuang Mati-matian Mempertahankan
Sebuah Surau Buruk. Kenapa?
SAYA membaca novel Jangan Biarkan Surau Ini Roboh karya salah seorang novelis muda Indonesia yang terkenal Taufiqurrahman al-Azizy dengan rasa tertarik. Saya mulai membaca novel ini ketika berada di udara dalam perjalanan waktu malam ke Kuala Lumpur. Justeru cuaca baik, saya berkesempatan menghabiskan beberapa helaian novel itu sebelum kapalterbang mendarat di Lapangan Terbang Subang.
Sebelum saya melanjutkan kalam saya ini, saya ingin tegaskan bahawa saya
bukan seorang pengkritik atau pengulas novel atau buku, tapi saya hanya seorang pembaca
biasa yang ingin menikmati hasil-hasil seni yang dihasilkan oleh para penulis
yang menumpahkan perjuangan mereka menerusi seni penulisan. Justeru apa yang tulis
ialah mengikut apa yang saya fikir patut saya tulis mengenai sesebuah novel atau
buku yang saya baca untuk dikongsikan bersama dengan seluruh peminat-peminat saya yang
dihormati.
Novel Jangan Biarkan Surau Ini Roboh [JBSIR], setebal 474 halaman dan diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn. Bhd tahun 2010. Saya baru memilki dan baru seleasi membacanya.
Cerita berkisar kepada seorang pemuda bernama Ibrahim dengan sebuah surau
usang dan buruk dimamah usia. Ibrahim anak desa ini dengan penuh bersemangat berjuang
untuk mempertahankan surau tua itu walaupun tidak ada sesiapa lagi dari penduduk di
situ memperdulikannya walaupun ianya pernah menabur bakti melalui seorang guru
yang telah lanjut usianya, iaitu Kiai Ahmad salah seorang watak utama dalam
jalinan JBSIR.
Surau itu terletak di desa Seworan, Jawa, Indonesia, di penghujung desa
arah sebelah barat di tengah-tengah padang
lalang yang subur. Ada kira-kira lima belas keluarga tinggal di sekitar
surau itu, termasuk keluara pemuda yang bernama Ibrahim, abangnya bernama Yusuf
bersama dengan ibu dan ayah mereka.
Berhampiran dengan surau tua Kiai Ahmad itu tinggal pula seorang gadis
rupawam bernama Sarah. Dia seorang pelajar tingkatan dua dan mempunyai otak
yang bergeliga. Dia belajar sekolah di mana Ibrahim belajar. Gadis jelitawan ini juga belajar mengaji
al-Quran bersama Ibrahim dengan Kiai
Ahmad di surang usang itu. Selain itu mereka juga menjadi ahli jemaah berimamkan Kiai Ahmad di surau yang hanya
tinggal tidak beberapa orang sahaja lagi itu peminatnya itu.
Hati kedua-dua pemuda ini telah bersemai dengan jalinan cinta dan kasih yang murni, walaupun pada
peringkat awalnya Ibrahim kerana kelurusannya mengabaikan cinta Sarah itu.
Ibrahim seorang pemuda yang beragama, warak dan tidak pernah meninggal
solat, khususnya solat jemaah di surau usang itu.
Di samping itu ada seorang gadis lagi, Partinah namanya tinggal bersama
dengan ibunya seorang janda, Prityen yang dhaif kehidupannya. Kerana
persengektaan dengan ibunya, gadis ini cuba membunuh diri dengan terjun dari
sebuah jurang, tapi nasib baik nyawanya dapat diselamatkan oleh Ibrahim dan dua
orang kawannya yang menyambut ketajatuhannya itu. Akibatnya Ibrahim yang
tercedera dan terpaksa dihospitalkan, sementara Partinah selamat.
Partinah juga cintakan Ibrahim dan kemudiannya disambut oleh Ibrahim.
Justeru menjadikannya cinta tiga segi.
Antara watak-watak ini Ibrahim, Sarah dan Partinah berpeluang bergaul
dengan bebas. Mereka sering dua berdua-duaan di bukit, di hutan dan di sungai.
Tapi bagi Ibrahim tindakannya itu tidak apa-apa kerana hatinya lurus dan ikhlas.
Sehingga pada suatu malam dia telah ditegur oleh gurunya Kiai Ahamd dengan
katanya:
“Sekiranya kamu sering duduk berdua-duaan dengan Partinah, kamu akan
dijadikan bahan fitnah. Kamu akan diumpat. Mereka sangka kamu dan Partinah
sedang menjalin kasih. Malah mungkin ada anak-anak muda lain yang terpesona
dengan tindak-tanduk kamu berdua”.
Dan seterusnya kata Kiai Ahmad lagi, “Kamu tidak tahu samada kamu cinta
kepada gadis itu.Tapi, Partinah mencintai kamu, Ibrahim. Itu bererti ada
syahwat dalam hatinya. Kamu tidak melakukan apa-apa dengannya, tetapi dengn
berdua-duaan seperti itu, kamu telah mengundang syahwat cinta di dada Partinah.
Perkara tersebut menjadi alasan yang cukup bahawa kamu dan dia melakukan
perbuatan zalim daripda segi agama, Ibrahim”.
Sarah yang juga mencintai Ibrahim itu, pada mula-mulanya tidak memahami
sikap Ibrahim, adakah pemuda itu mencintainya atau tidak. Seperti itu jugalah
yang dirasakan oleh Partinah pada awalnya terhdap cinta Ibrahim kepadanya.
Menimbulkan keraguan dan tanda tanya?
Demikianlah terjalinnya kisah cinta tiga segi antara Sarah dan Partinah
dengan Ibrahim, seorang pemuda yang bersahaja dan polos atau lurus.
Berbeza denga abang Ibrahim, Yusuf seorang pemuda yang cergas, bercita-cita dan amat
pandai bercakap, menyebabkan sesiapa sahaja yang mendengar percakapannya akan
terpesona, terutama kaum wanita. Abang Yusuf ini telah mengkhianati cinta Ibrahim
dengan menodai Sarah hingga mengandung anak luar nikah.
Mendengar berita buruk tentang Sarah itu Ibrahim tiba-tiba jatuh sakit dan
tidak pernah betah-betah sehingga sampai ke peghujung hayatnya.
Namun begitu Ibrahim tetap memaafkan Sarah dan juga Yusuf, dan besedia
untuk mengahwini Sarah walaupun dalam keadaan dia sedang menunggu saat-saat
kematiannya yang kian menghampirinya yang asal puncanya bermula dari surau
usang peninggalan Pak Kiai itu. Kiai Ahmad sebelum ajalnya telah mengamanahkan
surau tua itu kepada Ibrahim secara hitam putih.
Ibrahim menuliss secebis warkah untuk Sarah yang berbunyi,
“Daripada seseorang yang hanya membilang hari, kepada dia yang pernah dicintai.
“Daripada seseorang yang hanya membilang hari, kepada dia yang pernah dicintai.
Sarah, sungguh berat beban yang perlu ditanggung. Rindu saya untuk bersua
muka dengan Allah semakin terasa. Saya ingin menikahi kamu walaupun dalam
keadaan kamu seperti ini. Tetapi saya tidak mahu anak yang lahir nanti
kehilangan ayahnya. Demi Allah, atas nama cinta saya kepada kamu, berkahwinlah
dengn Abang Yusuf. Layarilah hidup bersama-sama dia. Jangan kamu benci anak
kamu dan didiklah dia baik-baik bersama ayahnya”.
Dan akhirnya Sarah bernikah dengan Yusuf di dalam penjara, kerana Yusuf didapati bersalah menjadi pengedar dadah yang
menyebabkan dia dihumban ke dalam penjara.
Ibrahim di saat akhir hayatnya,di pagi hari Idilfitri telah bernikah dengan
Partinah yang merelakan dirinya untuk menjadi isteri Ibrahim walaupun dia tahu Ibrahim
sedang berada di hujung hayatnya. Dan mahar atau mas kahwin yang dipintanya
dari Ibrahim ialah bacaan Fatihah. Itu sahaja.
Selepas menjadi suami isteri, Ibrahim dengan bersusah payah mengucup dahi
isterinya, Partinah sambil berkata, “Maafkan saya”. Kemudian meminta Partinah
membaca Yasin untuknya.
Sebaik-baik sahaja Partinah mengkhatamkan bacaan Yasinya, Ibrahim pun
menutup matanya buat selama-lamanya.
Setiap mereka menziarahi pusara Ibrahim akan megalir air mata hiba
mengingat nasib malang yang meimpa pemuda itu yang pada permulaannya bukan sahaja dibenci oleh penduduk-penduduk kampung, tapi juga oleh ibu dan bapanya sendiri. Hanya seorang pengunjung yang
tidak menangis. Partinah, yang sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah dan
selalu berkata, “Aku bahagia menjadi teman hidupmu, aku menunggu masa
apabila Allah memanggil aku dan kita dapat bertemu semula”.
Demikianlah berakhirnya riwayat Ibrahim yang bersedia mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan surau usang itu hingga ke akhir hayat dan dia berjuang seorang diri untuk “menghidupkannya, memakmurkannya, mencintainya sepenuh jiwa, bahkan melampaui kecintaannya pada diri sendiri dan wanita yang mencintainya. Ia berjuang keras sentiasa ,menghadirkan Allah di hatinya, di surau itu, di lingkungan itu. Dan pilihan cintanya pada rumah Allah menghantarnya kepada kemelut yang amat terjal, perih, berselimut duka, berderai air mata bahkan harga diri dan jatidirinya di mata orang-orang yang berusaha merobohkannya”.
Sesungguhnya masjid atau surau adalah rumah suci orang Islam. Rumah Allah.
Rumah yang dimuliakan. Rumah ibadat. Mempertahankan surau bukanlah semata-mata
bererti mempertahankan bangunan surau dan harta bendanya. Memuliakan surau
bukanlah kerana dia semata-mata surau. Menajaga surau bukanlah bererti
semata-mata menjaga bangunan surau. Tapi mempertahankan surau bererti
mempertahankan Allah. Menjaga surau bererti menjaga kemuliaan Allah. Memuliakan
surau berti memuliakan Allah. Rumah itu rumah Allah, tempat hamba-hamba-Nya
menyembah Allah. Menyayangi surau bererti menyayangi Allah. Orang Islam tidak
boleh berpisah dari masjid atau surau. Mereka tidak boleh meninggalkan jemaah.
Suraulah tempat jemaahnya.
Kita harap dalam masyarakat hari ini terdapat ramai pemuda dan pemudinya seperti
Ibrahim dalam JBSIR yang sanggup dan berani mempertahankan sebuah surau sampai
sanggup menggadai nyawanya sendiri?.
Saya akhiri catatan ini dengan mengutip sebuah ucapan yang bermakna dalam
JBSIR, seperti berikut: “Ibrahim, tahukah kamu apa erti jiwa besar? Jiwa
besar tidak akan tunduk kerana sesuatu yang tidak menyenangkannya. Dia tidak
akan menghina diri walau betapa pedihnya hidup ini. Batang tombaknya tidak akan
menjadi tumpul berdepan dengan sebesar
mana pun kecelakaan dan musibah. Malah pahit getir hidup dan musibah itu akan
membuat dia bertambah kuat dan jiwanya bertambah tajam. Jiwa yang besar akan
merasai nikmat apabila harus berjuang menghadap pukulan zaman dan pahit getir
hidup. Jiwa besar akan menjadi milik kamu jika kamu besiap-siap dari sekarang”.....
0 comments:
Post a Comment