YUSUF ZAKY DAN NIK AZIZ
>> Tuesday, December 10, 2013
TIDAK sopan rasanya saya menyebut nama kedua-dua tokoh itu tanpa disandangkan dengan gelaran mereka yang mulia. Tapi saya sengaja buat demikian untuk tajuk memori yang singkat ini. Yusuf Zaky sebenarnya sepatutnya dipanggil Dato’ Yusuf Zaky Yaacob, sementara Nik Aziz adalah Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz.
Kedua-duanya,
Dato’ Yusuf Zaky Yaacob dan Tuan Guru atau Tok Guru Nik Aziz adalah putera
Kelantan. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Kedua-duanya
terkenal sebagai bukan sahaja di Kelantan, tapi di seluruh Malaysia. Dato’
Yusuf Zaky terkenal sebagai seorang usahan percetakan dan seorang penulis dan
agamawan. Sementara Tuan Guru Nik Aziz terkenal sebagaia seorang ahli politik
dan guru agama.
Bukanlah tujuan saya untuk membincangkan persamaan atau perbezaan dua tokoh yang terkenal itu di sini.Walau bagaimana pun patut juga disebut, Dato’ Yusuf Zaky yang dilahirkan pada 13 Jun 1928 dan meninggal dunia pada 19 Januari 1999. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya. Sementara Tok Guru Nik Aziz dilahirkan pada tahun 1931 dan masih lagi bersama dengan kita sekarang. Semoga beliau dipanjang usia dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat. Dato’ Yusuf Zaky sebelum bergelar Dato’ terkenal dengan panggilan Ustaz Suh Zaky .
Kalau tidak silap
saya, pada penghujung tahun 1960an beliau mulai mengajar kepada orang ramai di
surau-surau dan masjid-masjid yang mengundang beliau. Pada suatu hari ketika
kami hendak makan tengah hari bersama beliau memberitahu saya, antara lainnya
kira-kira demikian, “Sudah sampailah masanya kepada hamba untuk mengajar kepada
orang. Umur hamba sekarang sudah [beliau menyebut umur beliau waktu itu,
mungkin 40 tahun] masa yang sesuai untuk mengajar”. Saya hanya tersenyum. Pada
masa itu beliau tinggal di salah sebuah daripda sederet bangunan kayu dua
tingkat disewa terletak di tepi Sungai Kelantan dan di persimpangan Panggung
LIDO, Kota Bharu. Di bahagian hadapannya dijadikan pejabat DIAN sementara di
belakangnya yang dipisahkan oleh sebuah dinding berpintu dijadikan tempat
kediaman beliau dan keluarga.
Beberapa hari
kemudian dia mengajak saya mengikuti beliau mengajar di Melor. Ada jemputan.
Tempatnya di sebuah balaisah kayu yang terletak di pingggir jalan tidak jauh
dari Sekolah Melor sekarang. Saya tidak pasti samada balaisah itu masih wujud atau tidak lagi sekarang.
Beliau mengajar seminggu sekali di surau itu. Harinya saya lupa, mungkin malam
Jumaat. Yang mengurusnya seorang penduduk bernama Wan Omar.
Setelah
beberapa minggu mengikuti beliau mengajar di surau itu, pada suatu malam beliau
memberitahu saya, “Zain, ada orang beritahu hamba pada suatu hari Nik Aziz
datang mengajar di balaisah yang sama. Salah seorang daripada hadirin hadir di
majlis itu memberitahu Nik Aziz hamba mengajar di balaisah itu dan memberi
nota-nota bercetak secara percuma. Orang itu meminta Ustaz Nik Aziz supaya
mengecam hamba kerana dikatakan bukan dari parti mereka?”.
Tapi apa jawab
Naik Aziz? Adakah dia terpengaruh dengan hasutan orang itu?
Ustaz Yusuf yang
kami panggil Abang Suh seterusnya memberitahu saya, “Tapi Nik Aziz kata, biarlah dia
mengajar. Dia orang ada ilmu. Kalau hamba ada duit, hamba pun nak buat seperti
dia juga. Beri nota percuma kepada yang hadir’.
Beliau berkata
sambil tersenyum. Dan selepas itu beliau terus datang mengajar di balaisah
tersebut, dan biasanya sayalah yang sering dibawa menemaninya.
Demikianlah
sikap seorang Tok Guru yang tidak berhasad dan berdengki yang tidak mudah
melatah dengan ancuman orang, dan yang sentiasa ingin melihat syiar Islam terus
berkembang.
0 comments:
Post a Comment