DARMA MOHAMMAD & TALIB Y.K

>> Monday, December 16, 2013



 DARMA MOHAMMAD DAN TALIB Y.K





Petang kelmarin saya menyambung tugas mengemas buku-buku untuk menyelamatkannya dari serangan kok kiak atau anai-anai. Sendirian. Tiba-tiba dari longgokan buku-buku dalam pelukan saya yang hendak dipindah ke tempat sementara yang selamat, jatuh sebuah buku kecil dan tipis. Selepas meletak timbunan buku-buku itu saya pun memungut buku yang terjatuh tadi.

Bila saya perhatikan, buku itu berjodol TIFA III [Antologi puisi tifa III] dan GEMA [Gabungan Penulis-penulis Muda Kelantan. Saya telah lupa di mana antologi itu saya perolehi atau siapa yang memberikannya kepada saya.

Saya terus membuka helaian buku. Bila saya lihat pada kandungannya terdapat nama hampir tiga puluh orang penyair muda yang memberi sumbangan mereka, di sertakan dengan jodol-jodolnya dan muka suratnya sekali.

Antara mereka ialah Abdul Hadi Yusoff, Abham T.R., A.Razak P,J, Azmi Taib, Darma Mohammad, Dzul NZ, Lee Cheong Beng, M. Arif, Mustapha Jusoh, Norhisam Mustapha, Ruhani Mt Jusoh, Sabariah Muhamad, Sabariah Noor Salleh, dan Wan A. Rafar dan lain-lain.

Antara barisan penyair-penyair itu ada beberapa orang daripadanya saya kenali secara personali. Salah seorang daripadanya ialah DARMA MOHAMMAD [Daud bin Mohammad]. Beliau bersama dengan Norhisam Mustapha baru sahaja bertandang mahabah ke teratak kami, dengan membawa hadiah sebuah antologi puisinya berjodol Ufuk Fikir dan Norhisam dengan dua buah novelnya, Terminal Cinta dan Kembara Mardiana.

Saya merasa kembang hati melihat barisan penyair-penyair yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Begitu ramainya. Selain itu mungkin ada lagi nama-nama yang tidak tercatat dalam Tiffa III itu.

Saya teringat dalam masa tahun 1960an dan 1970an dahulu, kami kami sangat sukar untuk mendapat penulis-penulis yang sanggup berkarya. Lebih-lebih lagi penulis-penulis ilmiah, bukan sahaja dari Kelantan, tapi dari seluruh Malaysia pun amat berkurangan. Justeru kami terpakasa menyiap sendiri segala karya yang hendak diterbitkan setiap keluaran baik dalam DIAN DIAJES, MINGGUAN KOTA BHARU dan SANTAJIWA, baik berupa terjemahan ataupun hasil karya sendiri. Setiap kali diterbitkan, hampir seluruhnya trerdiri daripada hasil-hasil kerja kami sendiri dengan menggunakan beberapa nama pena yang berlainan ataupun tanpa penyumbang  langsung kalau bahan-bahan yang disiarkan itu berupa kerya-karya terjemahan, seperti cerpen.

Saya masih ingat saya pernah menulis sebuah rencana mengenai kekurangan penulis-penulis sastera ilmiah di negera kita pada masa itu. Tapi kita kaya dan bangga dengan penulis-penulis kriatif yang mengambil bahagian dalam penulisan puisi dan cerpen.

Saya terus membaca beberapa buah puisi dalam antologi itu, dan salah sebuah daripadanya karya DARMA MOHAMMAD yang baru sahaja menjejakkan kaki di kediaman kami baru-baru. Saya baca  puisi beliau itu:

Dua Orang Anak Selepas Perang

[1946 melahirkan dua anak
Seorang dikandung di london
Seorang dikandung di malaya
Seorang berwariskan orang putih
Seorang berwariskan orang melayu]

Malayan union dibesarkan dalam kelambu
Kerana udara panas selepas perang
Di luar rumah petir mengamuk
Menerjah dinding
Pengasuhnya mc. michael dan edward gent
Menelan gementar di rantau bara
Anak itu semakin berpeluh
Ada jeritan dan  jalanan.

Umno diletuskan dari abad kebangkitan
Dibesarkan di tengah kemelut politik
Diarak dari selatan ke utara
Didera dengan laungan dan kesakitan
Merasai derita tanahair yang dijajah
Dan pejuang yang terhantar ke kubur
Seakan menggapai dari lahadnya
Dan menulis sepanduk.

Malayan union telah dibunuh
Surat kematiannya disimpan di london
Di rumah datuknya,
Umno masih hidup meredah abad meredeka
Di sini di rumah datuknya.

Demikian Darma Mohammad.

Selepas itu saya meneruskan kerja menyelamat buku. Kali ini saya ambil selonggok keratan akhbar  yang terletak dalam sebuh kotak kertas. Ada keratan-keratan itu telah ditampal pada kertas yang lain dan juga yang masih  belum di tampal. Tujuan saya ialah untuk memilih mana yang perlu dan mana yang tidak diperlu untuk disingkirkan.

Tiba-tiba daripada timbunan keratan kertas itu terjatuh pula sehelai keratan akhbar yang kecil dalam tulisan Jawi. Saya ambil dan terus membacanya. Jodolnya “TALIB Y.K DALAM KENANGAN. Catatan saya  tarikh penerbitan akhbar itu ialah 1-7/5/05, tapi tidak pula dicatat dari akhbar apa. Namun begitu saya  percaya ianya berasal dari UTUSAN ZAMAN.

Ya berita tentang kematian seorang penulis, TALIB Y.K, tapi sayangnya tidak pula dinyatakan tarikh bila beliau meninggal dunia dan di mana. Nama pencatatnya juga tidak ada. Namun begitu berita tentang keuzurannya telah terserlah pada bulan Mac, 2005 di mana bliau dilaporkan telah diwadkan di CCU Hospital Kota Bharu.

Saya petik berita itu sepenuhnya:




TALIB Y.K DALAM KENANGAN

“Sekeping kertas taip dengan beberapa patah tulisan berupa novel  masih terselit di atas mesin taip elektronik di atas meja yang terletak di penjuru sebuah kamar.

Tulisan yang belum siap itu tercatat nombor 58, mungkin novel yang bakal disiapkan, sudah sampai ke muka surat 58.

Helaian kerats itu, masih dalam keadaan  asal dan tidak terusik oleh sesiapa. Itulah tulisan terakhir di sisi, terbaring kaku sebuah jasad yang rohnya sudah kembali menemui Tuhannya, hanya menunggu untuk dimandi dan disembahayangkan.

TALIB Y.K atau nama sebenarnya Talib bin Yaakob seorang penulis yang gigih,yang tidak pernah jemu menulis sejak 60an hingga ke akhir hayatnya.

Lahir pada 3 Januari 1950 di Kampung Bukit Cendol, Gunung, Bacok, Kelantan.

Tulisan Allahyarham berupa cerpen, novel, skrip drama radio, puisi dan essei. Cerpen pertamanya berjodol Angin Kencang tersiar di MINGGUAN KOTA BHARU, sementara cerpen keduanya tersiar di Utusan Zaman, Febuari 1972 berjodol Ditelan Ombak.

Dewan Sastera keluaran November 1972 turut memuatkan cerpen Allahyarham, berjodol Mayat. Sehingga akhir hayatnya Talib berjaya menerbitkan dua buah novel: Mega-Mega dan Pijar Langit Malam. Tiga buah antologi cerpen persendirian juga telah diterbitkan, Anak Zaman [1981], Keinginan [1982] dan Birunya Biru [1991]”.

Demikian TALIB Y.K. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.

Saya masih teringat lagi, beliau bila bertemu dengan saya, beliau akan memanggil nama saya dengan sebutan “Abang Jin”, bukannya “Abang Zain” seperti orang lain. Saya rasa ada kesendirian dalam nada suaranya ketika berbicara. Senyuman sentiasa menghiasi bibirnya. Sementara Allahyarahmah isteri saya, Asiah Yaacob seperti orang lain juga beliau memanggilnya “Kak Yah”. Dalam senggang masa yang begitu jauh, saya tidak ingat bila kali terakhir saya berjumpa dengannya sebelum beliau menghembus nafasnya yang akhir.

--------------------------------------------------------------------------------------------
                                                                          





NORHISAM MUSTAFFA BAWA MARDIANA
DARMA MOHAMMAD BAWA UFUK FIKIR

 
--------------------------------------------------------------------------------------------



                                                    


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP