JAZIRAH CINTA: Membawa Anda Kepangkuan CINTA ILAHI
>> Monday, December 30, 2013
JAZIRAH CINTA MEMBAWA ANDA KEPANGKUAN CINTA ILAHI
JAZIRAH CINTA sebuah novel yang pentasnya di Kalimantan, di Banjarmasin dan
beberapa tempat lagi. Namun begitu kisah cinta ini boleh berlaku di mana-mana
sahaja di dunia ini, termasuk negara kita Malaysia. Cinta itu tidak bertempat,
tidak berwaktu, tidak berbangsa, tidak bernegara dan cinta boleh berkembang di mana-mana sahaja
di alam maya ini.
Jazirah Cinta karya seorang lagi novelis Indonesia, Randu Alamsyah.
Pertama kali diterbitkan di Indonesia, dan menjadi novel “best seller” di sana
dan seterusnya diterbitkan pula di bumi Malaysia.
Cinta boleh berkembang di padang pasir yang kontang, di ladang-ladang
menghijau, di gobak-gobak buruk, di istana-istana besar, di lurah dan di
gunung, di darat dan di laut, malah di pinggir-pinggir jalan dan di celah-celah
warna kehidupan kota raya yang bergelimang dengan debu-debu kekotoran. Malah
andainya di puncak langit dan diperut bumi itu menjadi tempat peghunian manusia,
maka di situ juga akan berkembang cinta. Demikianlah cinta boleh tumbuh dan
berkembang di mana-mana tanpa batas tempat dan waktu.
Jalan Jazirah Cinta berlengkar tentang seorang pemuda, Syamsu, nama
timangannya Syam, lepasan sekolah agama pondok yang miskin, tapi memiliki
kekayaan jiwa. Dia kembara mencari hakikat kehidupan dan mencari hakikat cinta
yang sebenarnya.
Dalam kembara itu dia menempuh berbagai-bagai pengalaman pahit getir dan kesangsaraan
mental dan fizikalnya.
Pada mula-mulanya dia bersua dengan dua orang gadis yang jelita, tapi berakhir dengan tragedi
pahit yang memalu dan mengerikan.
Gadis pertama, Lula seorang pelacur yang memperdagangkan dirinya untuk
menjadi habuan lelaki jalang yang mencari kepuasaan secara haram. Gadis seorang
lagi ialah Salwa, puteri Ustaz Zaid yang dijodohkan oleh ayahnya dengan Syamsu,
dan Syamsu pun bersetuju, tapi rancangan baik itu berkecaian musnah kerana
tragedi yang menimpa Syam.
Lula ditemui oleh Syam secara kebetulan di atas kenderaan. Dia tinggal di
sebuah rumah di kawasan pelacuran yang terkenal P 18. Syam yang jujur itu
setiap hari berulang alik menemui Lula di rumah gadis itu secara
sembunyi-sembunyi. Tujuannya memang baik, untuk mengajar Lula mengaji al-Quran
dan juga ilmu agama yang diikut serta oleh beberapa orang teman wanita Lula
sehaluan dengannya.
Hubungan mereka berdua menjadi lebih intim. Mereka telah dilambung perasaan
cinta. Di akhir pertemuan mereka, Lula memaksa Syam melakukan hubungan intim
bersama. Syam pun pada mula-mulanya telah terpedaya. Dia hampir dapat
ditewaskan oleh nafsunya. Tapi ketakutannya kepada Allah menyebabkan dia mundur,
membatalkan niatnya yang jahat itu. Dia cuba melepaskan dirinya dari paksaan
wanita itu, dan ini menyebabkan bajunya
terkoyak dalam pergelutan antara malaikat dan syaitan.
Tapi waktu itulah Ustaz Zaid bersama-sama dengan kakitangan-kakitangan pondok
tempat dia belajar dan para pelajar menyerbu, dan menangkap mereka berdua. Dari
saat ini bermulalah kehidupan yang perit getir untuk Syam. Dia dimaki, dihamun
dan dicela serta dibelasah habis-habisan sebagai seorang pendosa. Dan lebih
mengharukan hatinya dia juga telah dihalau keluar dari pondok itu. Dia kembali
ke kampung halamannya, ke pangkuan orang tuanya.
Syam sedar, perkara itu berlaku adalah berpunca dari dirinya sendiri, kerana membiarkan dirinya terlibat
begitu jauh dengan seorang wanita walaupun tujuannya memang baik untuk
membimbing wanita itu ke jalan yang benar, tapi akhirnya hampir menjerumuskannya ke lembah durjana.
“Ini semua salahku, aku terlalu jauh bertandang ke daerah syubhat”. Dia
bercakap sendirian. Nabi S.A.W. bersabda, “Barangsiapa berada di garis-garis
daerah yang dilarang, dia pasti akan tergelincir ke daerah terlarang itu”.
Akhirnya Syam bertemu dengan gadis yang ketiga, Yunita, adik sahabatnya Isack yang cantik tapi
menderita penyakit leukmia, dan menurut doktor dia tidak mempunyai peluang
hidup yang panjang lagi. Dia berada dalam keadaan kecewa dan putus asa.
Syam menikahi wanita itu walaupun mengetahui usianya menurut doktor ada
sedikit sahaja lagi. Pada malam perkahwinan mereka, kedua-duanya berbicara
mesra sebagai suami isteri yang cinta mencitai kerana Allah dengan hati Syam
yang penuh kerelaan.
“Awak tak menyesal kalau dalam beberapa hari lagi awak akan kehilangan
saya?”.
Aku memandangnya dalam-dalam.
“Jangan bimbang, isteriku”. Aku mengenggam tangannya. “Saya tahu apa yang
saya lakukan". Aku menceritakan padanya kejadian aneh yang kualami ketika koma.
“Awak yakin kita akan bersama-sama lagi di alam sana?”.’
Aku mengangguk pasti. “Jangan terlalu memikirkan soal penyakit awak. Kita
adalah penghuni akhirat yang menjadikan dunia sebagai tempat berbulan madu
pernikahan kita dan setelah itu kita akan kembali ke sana”.
Lalu, aku merangkulnya. Perlahan-lahan kami menyingkap rahsia kesucian
cinta dan mengintai keindahan syurga bersama. Ketika azan subuh berkemundang
syadu, kami bangun dan mengucap syukur atas
limpahan kurnia-Nya.”
Kejayaan Syamsu memperolehi cinta sejati itu adalah berkat kesabaran, kejujuran, dan
kepercayaannya kepada cintai Ilahi yang sentiasa bersemarak dalam jiwanya.
Novelis Geidurrahman El-Mishry, penggubah novel "Bait-Bait Cinta" ketika menyapa
novel Jazirah Cinta menegaskan, “Melalui novel ini, Randu Alamsyah berhasil
mendamaikan dunia imaginasi yang liar dan dunia realiti yang bertentangan.
Selain mampu membingkai jalan cerita yang sarat dengan nasihat-nasihat agama,
dia juga cuba mengungkap makna cinta secara meluas....Mesti membacanya”.
Ya mesti membacanya!
Tidak rugi untuk membaca novel ini. Malah ia amat menyegarkan untuk menjadi
teman kepada mereka yang berkelana mencari cinta, kepada mereka yang sedang meneroka di
belantara cinta, kepada mereka yang sedang meraih tasbih cinta, kepada mereka
yang sedang mengelamun di samudera cinta, kepada mereka yang diulit dan
bermimpi di ufuk cinta, juga kepada mereka yang kepatahan sayap cinta ketika terbang di
angkasa biru. Cinta yang digarap dalam novel ini adalah cinta disinari oleh Nur
Ilahi, bercinta kerana Allah semata.
Setidak-tidaknya sebagaimana yang diharapkan oleh novelis ini, Randu Alamsyah,
“akan menemukan kembali sebahagian dari diri anda melalui buku ini”.
Selamat membaca. Selamat bercinta dengan “Jazirah Cinta”
0 comments:
Post a Comment