KUKURAN:KUKUR APA PADA KUKUR
>> Sunday, December 15, 2013
KUKURAN: KUKUR APA PADA KUKUR?
KUKURAN ialah sejenis alat untuk mengukur, mengokak atau mengeruk atau
mengikis nyiur atau kelapa. Yang dikukur
ialah isi kelapa daripda kulit tempurungnya yang keras itu.
Kukuran terdiri dari dua komponan, satu ialah matanya yang bergerigis diperbuat
daripada besi, dan satu komponan lagi ialah bahagian badannya yang digunakan
untuk melekatkan mata kukuran itu.
Kukuran adalah salah satu alat penting kepada orang-orang Melayu tradisi, kerana sebahagian besar daripada masakan mereka menggunakan santan kelapa. Santan kelapa itu diperolehi dengan memeras isi kelapa yang telah dikukur dengan kukuran.
Badan kukuran itu biasanya diperbuat daripada kayu. Ia mempunyai dua bentuk, satu yang boleh dibuka tutup seperti reha tempat meletak kitab suci al-Quran dan satu lagi dalam keadaan setongkol yang tidak boleh dibuka tutup.
Badan kukuran itu diperbuat daripada kayu yang bukan sahaja untuk
dilekatkan matanya pada bahagian hujungnya, tapi juga untuk diduduki oleh penggunanya bila hendak
mengukur nyiur.
Ada berbagai-bagai bentuk kukuran, dan biasanya dalam bentuk seperti haiwan
atau lain-lain bentuk kejadian alam. Kadang-kadang dilorek pula untuk cantik
dipandang.
Akhir-akhir ini pula selain daripada kukuran dalam bentuk biasa seperti
itu, ada pula kukuran yang simpel menggunakan hulu dan dilekatkan dengan mata
kukuran yang dibuat untuk mengukur atau mengokak kelapa dengan cara menggaruknya dengan menggunakan tangan.
Mata kukuran itu biasanya diperbuat dalam bentuk bergerigis tajam dan leper separa bulat, namun begitu ada juga kukuran tangan yang berbentuk bulat tajam, seperti yang terdapat pada kukuran elektrik atau mesin kelapa yang menggunakan elektrik.
Mata kukuran bulat ini diperbuat daripada besi. Oleh itu bila matanya
tumpul dan tidak dapat digunakan lagi, sesetengah bidan kampung akan menggunakannya
sebagai batu penungku, matanya yang tajam itu dibuang terlebih dahulu. Sebelum diguna ia dibakar terlebih dahulu
seperti membakar tungku batu yang biasa juga.
Keadaan mata kukuran itu yang halus atau lebar menentukan kelapa yang dikukur
itu besar atau halus. Mata kukuran yang kasar akan menghasilkan isi kelapa yang
besar, tapi kalau matanya halus ia akan menghasilkan isi kelapa yang halus.
Kelapa kukur yang kasar yang sesuai untuk diperah untuk diambil santannya. Tapi bagi kelapa yang hendak dimakan mentah, seperti dengan ubi kayu, pulut, pisang rebus, jering rebus dan juga untuk dijadikan bahan masakan, isi kelapa parut yang halus lebih sesuai.
Selain daripada mata kukuran yang menentukan tebal atau nipis isi kelapa
yang dikukur, ia juga tergantung kepada tekanan yang dikenakan ketika mengukur
kelapa itu. Kalau dikenakan tekanan yang kuat isi kelapanya menjadi lebih
kasar, tapi kalau tekanannya tidak kuat yang menghasilksn isi kelapa yang lebih
halus. Dan jika terlebih tekanan pula kelapa yang akan dihasilkan nanti bukan sahaja
isi kelapa, tapi juga debu-debu tempurung kelapa yang turut terhakis.
Ketika mengukur kelapa hendaklah berhati-hati, kerana tidak jarang orang
yang tidak begitu cekap mengukur kelapa akhirnya akan terkukur telapak
tangannya sendiri.
Untuk duduk di atas kukuran untuk mengukur kelapa ada mempunyai kesopannya
tersendiri. Biasanya pengukur, duduk mengiring di sebelah kanan atau kiri
dengan melipat kedua kakinya ke belakang. Untuk orang yang mengiri, dia duduk
di sebelah kanan kukuran, dan untuk orang yang menganan dia duduk mengiring di
belah kiri kukuran.
Untuk duduk mengkangkang di atas kukuran adalah kurang manis, terutama bagi
kaum perempuan untuk mengkangkang kedua
belah pehanya ketika mengukur kelapa.
Hari ini penggunaan kukuran telah hampir pupus. Malah anak-anak cucu kita,
terutama yang tinggal di bandar-bandar bukan sahaja tidak menggunakan kukuran
untuk mendapat santan, tapi juga tidak lagi mengenali kukuran itu. Mereka tidak
tahu kukuran itu apa, dan apa pula gunanya?
Kemudahan elektrik telah merampas penggunaan kukuran dalam kehidupan dan
budaya orang Melayu. Penggunaan kukuran elektrik atau mesin mengukur nyiur dan
memerah santan telah digunakan begitu meluas, sampai ke desa-desa terpencil
yang mempunyai bekalan elektrik. Di samping itu aneka jenis santan segera juga
telah dijual secara meluas di pasar-pasar seluruh negara, dan ini sudah tentu
lebih menyenangkan lagi ibu-ibu untuk menggunakan santan kelapa. Lagi pun hari
ini untuk membeli kelapa biji lebih sukar daripada untuk membeli santan segera.
Justeru itu anak-anak muda, hari ini tidak pandai lagi mengukur kelapa
dengan menggunakan kukuran. Tapi mereka tahu cara untuk mendapat santan di
pasar-pasar untuk kegunaan mereka dan keluarga mereka. Dan cara ini sebenarnya
lebih pantas dan praktikal daripada mengukur kelapa sendiri dengan menggunakan
kukuran tradisional.
Walau bagaimana pun mengukur kelapa dengan kukuran itu boleh memberi
sumbangan untuk menyihatkan badan, kerana menggunakan tenaga yang boleh
mengeluarkan peluh. Pada masa dulu seseorang boleh mengukur berpuluh-puluh biji
buah kelapa untuk kegunaan sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan.
Ketika orang tua mengukur kelapa menggunakan kukuran, anak-anak kecil biasanya suka menumpang dengan memboceng di belakang, samada dengan memanjat belakang dan memeluk leher si ayah atau memboceng dengan duduk di belakang di atas kukuran jika masih ada ruang.
Setelah mengukur kelapa, mata kukuran hanya dibersihkan dari sisa-sisa
kelapa yang melekat, dan tidak dibasuh dengan air kerana ditakuti berkarat jika
lambat digunakan, dan lebih baik matanya disapu dengan minyak kelapa untuk
mencegahnya dari berkarat.
Kadang-kadang sejak kebelakangan itu mengukur kelapa telah dijadikan salah
satu acara hiburan di majlis-majlis tertentu, iaitu dengan mengadakan
pertandingan mengukur kelapa, untuk mencari sesiapa yang lebih pentas
menyelesaikan kukuran mereka akan diberikan hadiah-hadiah yang tertentu yang
telah ditetapkan penganjur.
Saya akhiri tulisan ini dengan sebuah peribahasa kita yang berbunyi, “Kukur
apa pada kukur, nyiur juga yang binasa”, yang bermaksud, memang mudah
untuk menyruh orang melakukan sesuatu, sedangkan sang pelaksana itulah yang akan
menerima segala kesusahan atau kesulitanya akibat pekerjaannya itu.
3 comments:
bolehtak terangkan perbezaan apabila berlaku peralihan teknologi pada alatan memarut kelapa..contohnya hasil..
Assalamu'alaikum Tuan. Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan kerana amat membantu saya mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk saya menyiapkan thesis. Tetapi, saya masih tercari-cari tahun peredaran evolusi reka bentuk kukur kelapa. Contohnya, reka bentuk kukur duduk terhasil pada tahun berapa, kukur silang terhasil pada tahun keberapa. Diharap Tuan dapat membantu. Terima kasih :)
assalamulaikum, boleh tak saya mengetahui dengan lebih mendalam tentang sejarah kukur kelapa ini iaitu asal usulnya dimana, bila diciptakan, dimanakah dihasilkan kukur tersebut, reka bentuk yg digunakan,bahan dan proses pembuatan kukur kelapa ini dibuat. Kalau boleh saya mengetahui tentang kukur kelapa bagi negeri Kelantan khususnya.
Saya amat berhadap anda dapat membantu bagi menyelesaikan assignment. Terima kasih
Post a Comment