Tan Sri Prof. Dr. Ahmad Ibrahim Bicara Tentang HUDUD DAN KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT
>> Sunday, December 1, 2013
Tan Sri Prof. Dr Ahmad bin Ibrahim
Bicara Tentang
"Hukum Jenayah Termasuk Hudud Dalam Islam Dan Kesannya Dalam Masyarakat"
Sejak minggu-minggu kebelakangan ini, HUDUD telah muncul kembali menjadi perhatian masyarakat negara kita yang telah dimulakan oleh Kerajaan PAS Kelantan puluhan tahun yang lalu. Tapi rancangan kerajaan PAS untuk melaksanakan HUDUD di negeri di bawah pemerintahannya, iaitu negeri Kelantan tidak dapat dilaksanakan kerana ditentang oleh kerjaan Pusat yang dikuasai oleh UMNO-BN. Justeru HUDUD telah menyepi daripada persanda tanah air, sepanjang masa tersebut, dan hanya sekali sekala diperhangatkan di waktu-waktu tertentu untuk tujuan tertentu pula.
Lembaran Ayat Al-Quran Tentang Hukum Hudud
Sehingga minggu-minggu terakhir ini HUDUD menjelma kembali di persanda tanah air dan menjadi hidangan yang lebih menarik untuk diperbincangkan terutama oleh tokoh-tokoh politik yang diharap oleh masyarakat berbicara dengan ikhlas dan jujur mengenai pelaksanaan Hukum HUDUD. Sementara itu saya pula secara kebetulan terserempak dengan sebuah Kertas Kerja oleh yang dimulai Allahyarham Tan sri Prof. Dr. Ahmad bin Ibrahim untuk NADWAH PEMBANGUNAN ISLAM KELANTAN yang berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos 1992 [25 hb hingga 27hb Safar 1413 Hijriah] berjodol sebagaimana di atas. Memikirkan kandungannya amat sesuai untuk dijadikan buah fikiran, maka saya utarakan kembali tulisan beliau yang amat berharga itu untuk dikongsi bersama. Selamat membaca.-Pondok Rahmat.
Tan Sri Prof. Dr. Ahmad Ibrahim berhujah:
“Sistem hukum Islam adalah berasaskan kepada
prinsip-prinsip yang diwayukan oleh Allah di dalam al-Quran yang dihuraikan
juga oleh Sunnah Rasul S.A.W. Di dalam al-Quran disebutkan maskdunya:
A] Orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan
yang mencuri hukumnya potong tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab
apa yang mereka telah usahakan, juga sebagai satu hukuman pencegah dari Allah.
Dan ingatlah Allah Maha Kuasa. Lagi Maha Bijaksana.
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan
kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungghnya Allah menerima
taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.
B] Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi
Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi, ialah dengan
dibalas bunuh [kalau mereka membunuh dan merampas] atau dipotong tangan dan
kaki mereka dengan berselang [kalau mereka merampas sahaja] atau dibuang negeri
[kalau mereka menganggu kententeraman awam]. Hukuman yang demikian itu adalah
satu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab
seksa yang amat besar.
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu
menangkapnya [mereka terlepas dari hukuman itu]. Maka ketahuilah bahawasanya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [ Surah al-Maidah [5]: 33-34].
Batu Bersurat Di Terengganu Yang Menyebut Tentang Hukum Islam
C] Ini ialah satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat mengamalkannya.
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina,
hendaklah kamu sebat tia-tiap seorang dari kedua seratus kali sebat; dan
janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhdap keduanya dalam
menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka oleh
sekumpulan dari orang yang beriman. [Surah An-Nur [24]: 1 – 2].
D] Dan orang-orang yang melimpahkan tuduhan zina
kepada perempuan yang terpelihara
kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah
mereka delapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka
itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu
dari kesalahan yang tersebut, serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. [Suran An-Nur [224] : 4-5].
E] Sesiapa kufur kepada Allah sesudah ia beriman
maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah, kecuali orang yang dipaksa
melakukan kufur sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman, akan tetapi
sesiapa yang terbuka hatinya menerima
kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh
azab yang besar. Surah An-Nahl [16]:106
Hukuman bagi meminum khamar ditetapkan oleh Nabi
S.A.W. ialah empat puluh pukulan [Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud] dan terdapat
hadith Nabi S.A.W. yang menunjukkan
bahawa Nabi S. A. W. telah mengenakan hukuman rejam kepada seorang lelaki
muhsan yang mengaku melakukan zina [kes Maiz bin Malik] dan juga kepada seorang
perempuan yang mengakukan zina [kes perempuan kaum Juhainah]. Mengenai murtad
pula terdapat hadith yang menyebut maksudnya- “Orang-orang Islam yang telah
menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan sebenarnya melainkan Allah dan bahawasanya
Nabi Muhammad S.A.W. pesuruh-Nya, mereka tidak boleh dibunuh kecuali kerana tiga
sebab, pertama seorang yang sudah berkahwin yang berzina, membunuh orang dan
orang yang keluar dari agamanya dan memisahkan dirinya dari kaumnya”. [Sunan
Abu Dawud: Kitab Al-Hudud].
Jenis yang kedua kesalahan dan hukuman di dalam
Islam, ia mengenai qisas dan diyat yang berunsur dari a-Quran dan Sunnah akan
tetapi telah diperkembangkan oleh
ijtihad ahli fiqh. Tersebut di dalam al-Quran maksudnya.
a] Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang
mu’min membunuh seorang mu’min yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan
sesiapa yang membunuh orang mu’min dengan sengaja, maka wajiblah ia membayar
kaffarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat
[denda ganti nyawa] yang diserahkan kepada ahlinya keluarga si mati, kecuali
jika mereka sedekahkan dan memaafkannya [Sebahagian ayat 92 Surah An-Nisaa [4].
b] Dan Kami tetapkan atas mereka di dalam kitab
Taurat bahawa jiwa dibalas dengan jiwa,
dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga
dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah
dibalas seimbanngya. Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka
menjadilah ia penebus dosa baginya. [Sebahagian Ayat 45, Surah Al-Maidah [5]].
c] Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas [balasan seimbang] dalam
perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang
merdeka, dan hamba dengan hamba dan
perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa pembunuh yang dapat sebahagian
keampunan dari saudaranya pihak yang terbunuh, maka hendaklah orang yang
mengampun itu mengikut cara yang baik dalam menuntut ganti nyawa dan si
pembunuh pula hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu dengan
sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta
satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampau batas untuk membalas
dendam pula maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Sebahagian Daripada Batur Bersurat Terengganu
Dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. [Surah al-Baqarah [2]: 178-179.
Ijtihad juga
menjadi sumber kesalahan taazir atau kesalahan di mana hukumnya tidak
ditetapkan di dalam al-Quran atau Sunnah dan terpulang kepada kerajaan atau
hakim.
Beberapa kesan timbul dari sifat keugamaan mengenai peruntukan-peruntukan pnghukuman Islam. Antara yang penting ialah:
a] Kepatuhan kepada dan kegunaan
peruntukan-peruntukan peghukuman Islam adalah berkiat rapat dengan kepercayaan kepada Allah. Oleh kerana
itu hukuman bagi pencurian disebut
“sebagai balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan dan juga sebagai
suatu hukuman pencegah dari Allah”. Surah Al-Maidah [5] :38] dan hukuman bagi
zina ditetapkan oleh Allah“ dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas
kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman
kepada Allah [Surah An-Nur [24] : 2].
B] Undang-undang jenayah Islam memperuntukkan kedua-duanya hukuman di
dunia dan juga di akhirat. Umpamanya mengenai orang-orang yang memerangi Allah
dan Rasul-Nya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi, selepas
menyebut hukuman iaitu bunuh, palang, potong tangan dan kaki atau buang negeri,
disebut maksudnya, “Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan akhirat kelak mereka
berolah azab seksa yang amat besar. {Surah Al-Maidah [5] : 33]. Mengenai
pembunuhan pula Allah berfirman maksudnya, “Dan sesiapa yang membunuh seorang
mu’min dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di
dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya
azab seksa yang benar”. Surah an-Nisaa [4]: 93].
KDYMM Sultan Kelantan
e] Perhubungan antara peruntukan undang-undang itu dan keimanan dan taqwa dari satu segi dan antara kepatuhan kepada undang-undang dan hukum itu di dunia dan pembalasan kejayaan atau seksa di akhirat, sentiasa menjadi dorongan atau motif terus mematuhi kepada undang-undang jenayah Islam. Jika unsur larangan agama itu ditambah kepada penahanan undang-undang duniawi, tiap-tiap orang akan berkesan menjadi hakimnya sendiri dengan taqwanya kepada Allah menahannya dari memuaskan nafsunya dalam perbuatan-perbuatan yang dilarang dan menyebabkan kemudharatan kepada hak-hak orang lain.
d] Penguatkuasaan undang-undang Jenayah Islam
adalah kewajipan yang dikenakan oleh Allah. Telah disebut di dalam al-Quran
maksdunya – Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah kerana mengingkarinya maka mereka itulah orang kafir.
Sesiapa
yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka
mereka itulah orang-orang zalim,
Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Dan Kami turunkan kepadamu, [wahai Muhammad] kitab
al-Quran dengan membawa kebenaraan untuk
mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan
untuk memelihara serta mengawasinya. Maka hukumlah di antara mereka itu dengan
apa yang diturunkan oleh Allah lepadamu dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan
menyeleweng dari apa yang telah datang
kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami
jadikan suatu Syariah dan jalan ugama yang wajib diikuti oleh masing-masing.
Dan kalau Allah menghendaki nescaya
Allah jadikan kamu satu umat yang bersatu tetapi Ia hendak menguji kamu dalam
menjalankan apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu lerumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah
tempat kembali kamu semuanya, maka Allah akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan
padanya.[Sebahagian ayat 44, 45 dan 47 dan ayat 48 Surah al-Maidah [5].
e] Kepatuhan kepada undang-undang jenayah Islam
tidak semestinya bergantung kepada adanya undang-undang duniawi untuk
memperkuatkuasakannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang itu terdapat di
dalam al-Quran dan Sunnah dan ia semua belum dan tidak boleh dimansukhkan oleh
sesiapa. Orang-orang Islam hendaklah diberitahu nengenai undang-undang itu dan
mematuhi kepada undang-undang itu supaya mencapai kejayaan di dunia dan
akhirat.
f] Kesalahan-kesalahan yang dihukumkan di bawah
undang-undang Islam sebagai Hudud seperti zina, pencurian, hirabah, qadhf dan
mabuk dan untuk qisas dan diyat seperti pembunuhan dan menyebabkan cedera
adalah diterima sebagai kesalahan yang
seharusnya dihukum dan mungkin cuma jenis dan berat hukuman itu yang
dipertikaikan. Memang ada hukuman-hukuman
di bawah Undang-Undang Islam yang mungkin dipandang sangat berat dan sangsara
akan tetapi hukuman-hukuman itu dikenakan teristimewa bagi
kesalahan-kesalahan yang sangat
buruk dan merbahaya dan selepas
kesalahan itu dibuktikan hingga tidak ada apa-apa keraguan. Terdapat juga
jenis-jenis hukuman yang boleh dikatakan berat dan sengsara seperti hukuman gantung, dibunuh dengan
gunakan gas, pukulan dengan rotan yang sangat teruk dan penjara seumur hidup
yang diterima dan dikenakan di bawah undang-undang sekular.
g] Di dalam undang-undang jenayah Islam tiap-tiap
kesalahan melibatkan hak Allah atau hak ibad, atau kedua-duanya. Kesalahan
melanggar perintah Allah di dalam al-Quran adalah sebahagian hudud. Hukumannya
ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah dan kesalahan-kesalahan itu melibatkan hak
Allah. Hak mengenakan hukuman hadd juga ialah hak Allah dan ada kala disebutkan
bolehnya ada taubat dan ampun. Umpamanya
mengenai mencuri, disebutkan maksudnya – “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah
ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya
Allah menerima taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”.
Surah al-Maidah [5]: 39].
Mantan MB Kelantan,Tok Guru Nik Aziz
Kerajaan atau individu tidak boleh menganggu atau mengubah hukuman hadd yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah. Sebaliknya kesalahan-kesalahan mengenai qisas dan diyat adalah kesalahan melibatkan badan manusia haqq ibad. Oleh kerana itu diberi kepada mangsa atau ahli warisnya memaafkan kesalahan itu dan menuntut dan menerima diyat. Pihak-pihak boleh bersetuju dengan sulh menyelesaikan perkara itu.
h] Oleh kerana undang-undang Jenayah Islam dicipta
oleh Allah, Allah juga akan menolong kita
di dalam pelaksanaannya. Insha Allah dengan pertolongan Allah
kesalahan-kesalahan itu dan hukumannya juga dapat dielak dan dijauhi.
Di dalam bukunya Fiqh-us-Sunnah, Sayyid Sabiq
menulis mengenai keadilan di dalam hukuman-hukuman hadd, maksudnya:
“Di samping dapat menjamin kemaslahatan dan
ketenteraman umum, hukuman-hukuman hadd adalah juga sangat adil. Sebab zina
merupakan dosa yang paling keji serta melanggar akhlak, kehormatan dan
kemuliaan manusia. Zina juga merosak ketenteraman keluarga serta rumahtangga
dan menimbulkan berbagai kejahatan serta kerosakan sendi-sendi kehidupan
individu dan masyarakat. Zina adalah juga merosak dan menghilangkan nama baik
atau eksistensi suatu umat”.
Sungguhpun demikian, namun Islam masih sangat
hati-hati dalam menetapkan hukum dosa ini [zina], dengan disyaratkannya hal-hal
yang hampir-hampir mustahil dapat terpenuhi.
Hukuman zina, dengan demikian, lebih ditekankan
pada usaha pencegahan [preventif] serta menakut-nakuti] daripada realisasi suatu pelaksanaan hukuman.
Tuduhan zina yang ditujukan kepada lelaki atau
wanita yang masih dalam ikatan pernikahan adalah kejahatan yang dapat
mengakibatkan putusnya hubungan keluarga atau dapat memisahkan suami-isteri
yang terkena tuduhan. Tuduhan berzina
bisa meruntuhkan keutuhan rumahtangga, padahal rumahtangga merupakan sel
[sendi] utama suatu masyarakat. Baiknya rumahtangga akan membawa baiknya
masyarakat dan sebaiknya, buruknya rumahtangga akan membawa buruknya
masyarakat. Dengan demikian ketentuan agama berupa hukuman delapan puluh kali
pukulan terhadap si penuduh, setelah dia
tidak dapat mengajukan empat orang saksi mata sebagai bukti tuduhannya, teranglah
sangat bijaksana dan sangat memperhatikan segi kemaslahatan, yakni agar
kehormatan orang tidak terganggu dan nama baiknya tidak dirugikan.
Mencuri tidak beza dengan merampas harta orang
lain dan merampas haknya padahal harta
benda adalah sesuatu yang disayangi. Oleh kerana itu ditetapkannya hukuman potong tangan terhadap pelaku-pelaku
pencurian, adalah agar orang lain akan menahan diri untuk tidak melakukannya,
dan selanjutnya akan tercipta keamanaan di mana setiap orang tidak khuatir
tentang hartanya . Dan semua ini merupakan ketentuan yang mencerminkan
ketinggian ajaran Islam.
Ketentuan [syari’at] ini yang diterapkan di negara-negara yang
menjalankannya secara konsekwen telah berhasil secara nyata, baik dalam segi
mewujudkan keamanan mahupun dalam segi pemeliharan harta benda dari bahaya
tangan-tangan jahil serta pelanggar-pelanggar hukum.
Pembangkang-pembangkang yang membuat kerosakan di
umi, perusuh-perusuh, penganggu keamanan, pembuat kekacauan dan orang-orang
yang berupaya mengganti paraturan-peraturan yang berlaku sah, telah dikenai
hukuman potong tangan dan kaki secara menyilang atau diusir dari daerah
kediamannya.
Khamar dapat mengakibatkan hilangnya akal bagi si
peminumnya. Dengan hilangnya kesedaran, akan terperosoklah seseorang itu ke
dalam perbuatan-perbuatan yang keji dan jahat. Apabila ia dihukum dengan
hukuman cambuk, maka dengan itu di satu pihak dimaksudkan untuk mencegah
terulang kembalinya perbuatan ini, dan di pihak lain untuk memperingatkan orang
lain agar tidak melakukan dosa seperti itu.
Hukuman hadd hanya boleh dikenakan jika terbukti
orang yang berkenaan telah melakukan kesalahan dan semua butir-butir bagi
kesalahan itu dibuktikan hingga tidak ada keraguan. Di dalam satu hadith
disebutkan maksud, “ Tolaklah hukuman terhadap kaum Muslimin selama masih mungkin.
Maka jika ada jalan keluar, lepaskan dia, sebab seorang hakim lebih baik keliru
dalam memberi ampunan daripada keliru dalam memberi hukuman”. [Termizi].
Dan diriwayatrkan juga dari Abu Hurairah
maksudnya, “ Rasulullah S.A.W. bersabda “Hindarilah hukuman selama kamu masih
menemukan alasan untuk menghindarinya itu”. Ibn Majah.
Sofwan bin Umayyah menceritakan bahawa Nabi
S.A.W. pernah berkata kepadanya sewaktu
beliau akan menjatuhkan hukuman potong tangan seseorang yang mencuri
bajunya. Sofwan telah jelaskan bahawa
dia sedia memaafkan orang yang mencuri baju itu. Nabi S.A.W. kemudian berkata
maksudnya, “Apa sebab engkau tidak mengampunkan dia sebelum menyerahkan dia
kepadaku”. [Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud].
Abdullah b Amr bin Al-As pula telah meriwayatkan
bahawa Nabi S.A.W. telah bersabda maksdunya, “Maafkanlah hukuman hadd antara
kamu, akan tetapi mana-mana kesalahan hadd yang diberitahu kepada saya,
perlulah hukuman hadd dilaksanakan”. [Sunan Abu Dawud, Kitab al-hudud].
Mungkin ada baiknya kita lihat contoh dua negara
Islam yang telah mencuba melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Arab Saudi
menjalankan undang-undang Islam mengikut al-Quran dan Sunnah. Di dalam satu
perbincangan yang telah diadakan antara ahli hukum Saudi dan juris Barat di
Riyadh pada tahun 1972 perwakilan Saudi telah berkata, maksudnya:
“Pencurian, kecuali kes-kes diragu-ragui seperti
pencurian disebabkan oleh kelaparan, adalah dihukum dengan potong tangan. Kami
sedia mengaku, bersama ahli juris, bahawa hukuman adalah sangat berat. Akan
tetapi sayugia diingati bahawa pencurian di negeri-negeri Barat biasanya
dilakukan dengan kekerasan dan boleh menyebabkan pembunuhan mangsanya. Di dalam
keadaan itu tertanya-tanya mana yang lebih baik, menaruh kasihan kepada tangan
si pencuri atau kepada nyawa mangsa yang diserang. Oleh kerana beratnya hukuman
itu di dalam Islam, kedua-duanya iaitu tangan orang yang hendak mencuri dan
nyawa mangsa diselamatkan pada masa yang sama dan kesejahteraan terjamin bagi
semua orang. Pelaksanaan hukuman itu, jika diadakan di khalayk ramai, menjadi
tauladan kepada orang lain. Dengan cara ini, di Arab Saudi, di mana
udang-undang Islam dikuatkuasakan, wang kerajaan boleh dipindahkan dari satu
bank kepada bank yang lain dengan kereta biasa, tanpa mengadakan eskort atau
naungan selain dari dreber itu. Bolehkah terdapat di mana-mana negara Barat,
wang boleh dipindah dari satu bank kepada satu bank yang lain di bandar-bandar
tuan dengan tidak memerlukan perlindungan kawalan pasukan polis yang kuat dan
kereta-kereta kebal”.
Dr. Maarof al-Dawalibi yang mengucap perbincangan
itu berkata maksud, “ Saya telah tinggal di negara ini tujuh tahun dan saya
tidak pernah melihat atau mendengar ada potongan tangan kerana mencuri. Ini
kerana kesalahan itu jarang berlaku. Apa yang tinggal dari hukuman itu ialah
kejamnya, yang telah membolehkan semua orang tinggal di dalam kesejahteraan dan
kesentosaan dan bagi mereka yang ingin hendak mencuri terus mempunyai tangan
yang tidak dikudungkan. Dahulunya apabila tempt-tempat ini mengikut
undang-undang Kanun Keseksaan Perancis di bawah empayar Ottoman, jemaah haji
yang berjalan antara Mecca dan Medina tidak rasa aman harta dan nyawa mereka,
kecuali jika mereka mempunyai eskort yang kuat. Akan tetapi apabila negara ini
menjadi Kerjaan Saudi dan undang-undang Quran telah dikuatkuasakan, jenayah
terus lenyap. Seorang boleh berjalan bukan sahaja antara Mecca dan Medina akan
tetapi juga dari Dahran di teluk ke Jeddah di tepi Laut Merah dan melalui jauh
lebih dari seribu lima ratus kilometer menyeberang padang pasir seorang diri
atau dengan kereta pakainya dengan tidak khuatir keselamatan dirinya atau
hartanya samada harta itu berjuta-juta ringgit atau ia seorang asing”.
Apabila menyentuh hukuman zina, wakil Saudi itu
berkata maksudnya: “Hukuman ini hanya dikenakan
apabila orang salah itu sebelum melakukannya adalah seorang yang sudah
berkahwin dan jika empat orang saksi yang adil dan jujur telah melihat
kesalahan itu dilakukan di hadapan mereka supaya mengelakkan apa-apa syak. Di
sini juga kami bersetuju, hukumannya sangat berat, akan tetapi jelaslah ia
tidak dikenakan di dalam Islam kecuali perbuatan itu disaksikan oleh empat
saksi adil dan benar. Kesaksian seorang sahaja tidak ada kesan sama sekali di
dalam undang-undang. Di dalam keadaan itu orang yang melihat kejadian itu
diminta jangan membuat aduan dan jika ia membuat aduan juga, tanpa membawa tiga
orang saksi lain, ia boleh dihukum sebat kerana kesalahan qadhf; begitu juga
keadaannya jika ada hanya dua ataupun tiga orang saksi. Syarat yang penting
yang diperlukan oleh al-Quran ialah adanya empat orang saksi yang boleh
dipercayai dan yang tidak pernah dipersoalkan tentang adilnya. Apabila terdapat
empat orang saksi yang adil itu, hukuman itu dikenakan kerana sopan dan
keamanan awam telah terhina. Samada sah atau tidak sesuai dan menjadi sumbang
perhubungan jenis itu dilakukan di khalayak ramai. Inilah sebabnya Islam
menunjukkan pendirian yang tegas terhadap orang-orang yang membahayakan
keamanan dan kesusilaan awam. Kalaulah perbuatan seperti itu dilakukan di tengah-tengah jalan di
khalayak ramai di sebuah bandar di negeri Barat, sungguhpun kebebasan seks
dibenarkan, orang yang lalu mungkin mengambil langkah membunuh orang-orang yang
terlibat itu, tidak sempat kes itu dibawa ke mahkamah. Orang-orang seperti itu
dipandang sebagai binatang dan nyawa mereka tidak lagi berhak dihormati”.
Dr. Dawalibi yang juga memberi pendapatnya meruju’ kepada apa yang telah diperkatakan
kepada sebahagian daripada wakil-wakil itu, “Adakah kamu hendak pergi ke suatu negeri di mana mereka menggantung
mati orang-orang yang berzina?”, dan ia berkata, maksudnya, “Tolonglah
beritahu kepada orang-orang itu apa yang
kamu sudah lihat dan dengar. Kamu tidak mendengar sesiapapun yang telah direjam
dan tidak kamu lihat perkara itu di negara ini. Adalah lebih baik bagi
masyarakat di mana ketaqwaan kepada
Allah mencukupi untuk menghindar kesalahan dan hukuman itu dan dengan itu
menegakkan keamanan keluarga dan kebahagian suami isteri, mengadakan hukum
keagamaan yang berat di dalam perkara ini, dan bergantung kepada undang-undang
sekular yang tidak mengadakan hukuman setimpalnya, dan juga tidak
memasukkan perasaan takut kepada Tuhan
dan oleh kerana itu menyebabkan banyak kehilangan kesejahteraan keluarga.
Terjadilah kesalahan kepada kemuliaan kemasyarakatan dan timbul dorongan kepada
beberapa jenis kesalahan yang dasyat, sedangkan dalam negeri-negeri Islam di
mana terdapat sifat taqwa kepada Allah dan di mana Undang-Undang Allah
dilakasanakan tidak terdapat keadaan sedemikian.
Di Pakistan undang-undang hudud telah dilaksanakan
dari tahun 1979. Undang-undang yang
telah diperbuat ialah:
a] Ordinan terhadap harta [Pelaksanaan Hudud] 1979
b] Ordinan Kesalahan Zina [Pelaksanaan Hudud]
1979.
c] Ordinan Qazf [Pelaksanaan Hudud] 1979.
d] Perintah Pencegahan [Pelaksanaan Hudud] 1979.
Di bawah Ordinan Kesalahan terhadap harta
[Pelaksanaan Hudud] 1979, pencurian
ditafsirkan yang boleh dikenakan hadd
dan pencurian yang boleh dihukum taazir. Sesiapa orang mukallaf, yang dengan
jalan sembunyi-sembunyi, mengambil barang orang lain daripada hirz atau tempat
barang itu disimpan selamat dan barang itu sampai atau lebih nasab yang ditentukan, adalah dikatakan melakukan
pencurian yang boleh dihukum hadd. Pembuktian yang diperlukan bagi pencurian
yang boleh dihukum hadd ialah [a] Si tuduh berikrar melakukan pencurian yang
boleh dikenakan hukuman hadd [b]
Sekurang-kurangnya dua orang saksi, selain dari pengadu, yang mana saksi itu
Mahkamah berpuas hati melalui tazkiyyah al-shuhood, bahawa mereka adalah orang yang adil dan jauh dari dosa-dosa
besar, telah memberi kesaksian sebagai orang yang melihat pencurian itu.
Kenyataan pengadu pencurian atau wakilnya hendaklah dicatatkan sebelum kesaksian
saksi-saksi itu dicatatkan. Hukuman hadd tidak boleh dijalankan apabila orang
yang membuat pengakuan salah telah menarik balik pengakuannya sebelum hukuman
itu dijalankan. Jika syarat-syarat atau pembuktian kesalahan pencurian tidak
mencukupi untuk menjatuhkan hukuman hadd, kesalahan itu boleh dikenakan taazir.
Ordinan itu juga memperuntukkan untuk hirabah.
Apabila seorang atau lebih, samada mempunyai senjata atau tidak, telah
menggunakan kekerasaan untuk mengambil harta orang lain dan menyerangnya atau
menyebabkan penahanan diri yang tidak sah atau meletaknya di dalam ketakutan
hilang nyawa atau kecederaan, orang itu dikatakan melakukan hirabah. Apabila
hirabah dilakukan dengan jalan membunuh orang yang dirompak dan mengambil
hartanya, hukumannya ialah mati. Apabila hirabah dilakukan dengan harta
mencukupi nisab dirompak, orang yang melakukannya dipotong tangan yang kanan
dan kaki yang kiri. Apabila orang yang melakukan hirabah, tidak membunuh atau mengambil
harta tetapi telah menyebabkan kecederaan, ia hendaklah dihukum sebat dan
penjara seperti di atas dan juga dihukum kerana menyebabkan kecedraan itu.
Pembukitan yang diperlukan ialah sama
dengan apa yang diperlukan bagi
pencurian dan hukuman hadd tidak dikenakan bagi hirabah di dalam keadaan di mana hadd tidak boleh
dikenakan untuk pencurian.
Di bawah Ordinan Kesalahan Zina [Pelaksanaan
Hudud], 1979, zina adalah zina yang boleh dihukum sebagai hadd dan zina yang boleh dihukum
sebagai taazir. Zina boleh dikenakan hadd jika [a] ia dilakukan oleh seorang
lelaki yang mukalaf yang bukan gila
dengan seorang perempuan dengan sesiapa ia tidak pernah berkahwin, [b] ia
dilakukan oleh seorang perempuan yang mukalaf yang bukan gila dengan seorang
lelaki dengan siapa yang tidak berkahwin atau tidak ada shubhah ia berkahwin.
Sesiapa yang disabitkan kesalahan zina yang boleh dikenakan hadd hendaklah ia
dihukum [a] jika ia muhsan, direjam dengan batu hingga mati di hadapan khalayak
ramai atau [b] jika ia tidak muhsan, disebat di hadapan khalayak ramai dengan
seratus pukulan. Pembuktian zina yang boleh dihukum haad adalah dua jenis [a]
si dituduh membuat di hadapan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pengakuan
salah bahawa ia telah melakukan kesalahan itu atau [b] sekurang-kurangnya empat
orang saksi lelaki Islam yang baligh dengan siapa mahkamah berpuas hati
mengikut syarat-syarat tazkiyyah al-shuhood bahawa mereka adalah adil dan
menjauhi dosa-dosa yang besar, memberi keterangan bahawa mereka melihat
perbuatan perzinaan itu. Apabila orang yang tuduh telah membuat pengakuannya
sebelum hadd itu dijalankan, jika ia menarik balik pengakuannya sebelum hadd itu dijalankan.
Jika syarat-syarat atau pembuktian tidak mencukupi untuk mengenakan hadd, orang
yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan taazir.
Ordinan Kesalahan Qazf [Pelaksanaan Hadd]
membahagikan Qazf kepada kesalahan qazf
yang boleh dikenakan hadd dan qazf yang boleh dikenakan taazir. Qazf ialah
menuduh, seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang ssksi. Seseorang
yang sudah baligh yang dengan sengaja dan tanpa apa-apa kekaburan melakukan
kesalahan qazf terhadap seorang muhsan,
boleh dihukum dengan hukuman hadd, iaitu pukulan lapan puluh sebat. Pembuktian
qazf ialah dengan [1] Pengakuan seseorang di hadapan mahkamah [2] Kesalahan
qazf dilakukan di hadapan mahkamah atau [3] Kesaksian sekurang-kurangnya dua
orang lelaki Islam yang telah diterima oleh mahkamah selepas takziyyah
al-shuhood sebagai orang yang adil dan jauh dari melakukan dosa besar. Jika
kesalahan itu tidak sampai kepada qazf yang boleh dihukum dengan hadd atau
pembuktian yang disebut itu tidak diperolehi, orang itu boleh dihukum dengan
taazir.
Di bawah Perintah Pencegahan [Pengutkuasa Hadd],
1979, seseorang yang dengan sengaja dan tanpa ikrah dan iztirar, yang
menggunakan apa-apa yang memabukkan dengan apa cara jua, samada dengan itu ia
mabuk atau tidak, adalah melakukan kesalahan meminum. Seorang Islam yang
mukalaf yang meminum minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan yang
boleh dikenakan bukuman hadd dan hendaklah disebat dengan delapan puluh
pukulan. Pembuktian untuk kesalahan hadd meminum itu aalah [a] dengan orang
yang berkenaan membuat pengakuan di hadapan mahkamah bahawa ia telah melakukan
kesalahan yang boleh dikenakan hadd itu [b] sekurang-kurangnya dua orang lelaki
Islam yang baligh yang mana mahkamah berpuas hati melalui tazkiyyah al-shuood
bahawa mereka adalah adil dan jauh dari dosa-dosa besar memberi keterangan bahawa orang yang dituduh telah
melakukan kesalahan itu.
Hukuman hadd tidak dikenakan apabila orang yang
dituduh menarik balik pengakuan salahnya atau jika mana-mana saksi menarik
balik keterangannya. Jika kesalahan itu tidak boleh dikenakan hadd atau
pembuktian tidak diadakan seperti yang dikehendaki bagi hukuman hadd, orang itu
boleh dihukum dengan taazir jika mahkamah berpuas hati dia ada melakukan
kesalahan menggunakan apa-apa yang memabuk. Seorang bukan Islam boleh dihukum
dengan taazir jika [a] ia melakukan kesalahan meminum di tempat awam atau [b]
ia melakukan kesalahan itu tanpa membuktikan ia membuat demikian mengikut
upacara agamanya. Hukuman taazir untuk
meminum itu ialah penjara tidak lebih dari tiga tahun atau sebat tidak
boleh lebih tiga puluh pukulan atau
kedua-duanya. Seorang yang membuat, mengedar, menjual, mengimpot atau
mengeksport apa-apa yang boleh memabukkan boleh dihukum dengan penjara tidak
lebih lima tahun dan sebat tidak lebih dari tiga puluh pukulan dan boleh
dikenakan denda. Seorang yang memiliki apa-apa yang boleh memabukkan boleh
dihukum dengan penjara tidak lebih dua tahun atau sebat tidak lebih tiga puluh
pukulan dan boleh dikenakan denda.
Ordinan Pelaksanaan hukum sebat, 1979, menerangkan
cara hukuman sebat dilaksanakan dan ini adalah berlainan dari hukuman sebat
yang diperuntukkan di bawah Kanun Acara Jenyah, yang lebih berat walaupun
bilangannya lebih kurang. Cara pukulan megikut Islam telah pun diperuntukkkan
dan dijalankan di Kelantan. Di sini boleh juga disebutkan bahawa di dalam undang-undang
Islam, seperti yang diikuti di Arab Saudi, isteri-isteri banduan dibenarkan
berjumpa dengan mereka dari masa ke semasa dan tinggal bersama. Seorang banduan
dianggap sebagai asir, iaitu di dalam penjagaan negara, yang bertanggungjawab
memberi keperluannya dan mengambil langkah memulihkannya. Seorang itu hanya
boleh ditahan supaya ia tidak menyebabkan kerugian atau kebinasaan kepada orang
lain dan ia ditahan hingga ia menujukkan ia telah taubat.
Dengan Ordinan Undang-Undang Jenayah [Pindaan]
1991 Penal Code dan Criminal Procedure Code di Pakistan telah dipinda untuk
membolehkan qisas dan diyat dilaksanakan. Hukuman qisas, diyat dan arsh [atau
ganti rugi] telah ditambah kepada hukuman-hukuman di bawah Penal Code. Kesalahan membunuh dan mencederakan boleh
dikompaun dengan sulh atau diselesaikan dengan membayar diyat atau arsh. Oleh
kerana itu hukuman mati tidak lagi menjadi mnadatori untuk kesalahan membunuh
dengan sengaja. Untuk jenis membunuh yang lain, iaitu yang tidak dengan
sengaja atau dengan kesilapan atau dengan kecuaian, hukuman bunuh tidak
dikenakan akan tetapi dikenakan diyat atau arsh. Banyak kesalahan ini boleh
dikatakan dianggap sebagai tort di dalam undang-undang sivil. Bezanya di dalam
undang-undang Islam diyat atau arsh itu ditetapkan oleh undang-undang dan tidak
bergantung kepada penilaian dan ketetapan mahkamah. Ini mungkin dapat
memudahkan tuntutan dibuat dan membolehkan sistem takaful dijalankan dengan
cara yang lebih baik.
Di Pakistan sehingga ini dengan pertolongan Allah dan kesannya ada undang-undang itu belum ada satu kes pun yang telah dihukum dengan hadd dari kebanyakan kesalahan dihukum sebagai taazir di bawah Penal Code. Di dalam pelaksanaan undang-undang itu sayangnya terdapat dua perkara yang telah membawa kepada ketidakdilan. Satu yang timbul dari peruntukan Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, Pakistan, 1961 [yang tidak dapat dipesoalkan di hadapan Mahkamah Syariah Federal]. Adat diperuntukkan bahawa sesuatu lafaz cerai yang tidak dilapurkan kepada Majlis Timbangtara adalah tidak sah. Sebaliknya perceraian itu boleh menjadi sisi mengikut Hukum Islam dan dianggap sedemikian oleh keluarga suami isteri itu. Seorang isteri yang telah dicerai menganggap ia telah dicerai sungguhpun suaminya telah tidak melapurkan perkara itu kepada Majlis Timbangtara. Sayangnya jika ia berkahwin semula, ia boleh dituduh di bawah Ordinan Kesalahan Zina [Penguatkuasaan Hadd]. Perkara yang kedua yang boleh membawa ketidakadilan timbul dari Qanun-e-Shahadat, 1984 [atau Kanun Keterangan] yang tidak membezakan antara bayyinah dan shahadat dan memerlukan shahadat bagi kesalahan zina yang boleh membawa hukuman taazir. Jika seorang perempuan diperkosakan dan ia membawa tuduhan zina terhadap lelaki yang memperkosakannya, oleh kerana ia tidak boleh membawa empat orang lelaki sebagai saksi, lelaki itu dibebaskan dan sebaliknya jika perempuan itu hamil dia boleh dihukum berzina.
Sejarah menunjukkan hukum Islam telah
diperuntukkan dan dilaksanakan di negeri-negeri Melayu sebelum datangnya
penjajah British. Di Terengganu terdapat batu bersurat dari abad XII M yang
antara lain menyebutkan hukuman zina, seratus rotan bagi orang bujang dan
direjam jika orang itu beristeri atau bersuami. Undang-undang Melaka mengenakan
Hukuman Allah bagi orang yang membunuh [f.1, 5.3 dan 8.3], bagi orang yang
mencuri [II.I] untuk zina [12.2] dan
untuk qadhf [12.3], dan juga mengenakan hukuman taazir dan diyat [16.3]. Di
zaman Sultan Zainal Abidin III di Terengganu [1881-1918] Hukum Syarak telah
dilaksanakan dan hukuman hudud, qisas, diyat dan taazir diperuntukkan. Mungkin
di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah juga undang-undang hukuman
Islam itu telah dipakai. Dengan kedatangannya British dan diadakan Kanun
Keseksaan yang mengikut undang-undang di India dan England, Undang-Undang Islam
tidak lagi dikuti. Orang-orang Islam sendiri sudah tidak lagi faham hikmat dan kebaikan perundangan hukuman
Islam dan tidak hairanlah timbul prejudis dan buruk sangka megenainya.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan, ini telah dibuat dengan perjanjian dan persetujuan semua pihak
iaitu Raja-Raja Melayu, Kerajaan British, orang-orang Melayu, Cina dan India. Dan
satu perjanjian yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah bahawa
sungguhpun Islam diterima sebagai ugama Persekutuan akan tetapi agama-agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Keadaan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya di Malaysia boleh disamakan
dengan keadaan di Medina di mana terdapat Piagam Medina yang antara lain
membenarkan penduduk Medina yang bukan
Islam mengikut agama dan undang-undang mereka. Mungkin kita tidak boleh memaksa
orang-orang bukan Islam mengikut undang-undang Islam di Malaysia akan tetapi
kita harus cuba menunjukkan baiknya undang-undang Islam dan pentadbirannya
supaya mereka sendiri sedia minta dibicarakan di Mahkamah Syariah mengikut
unndang-undang Islam.
Oleh kerana rakyat Malaysia, termasuk orang-orang
Islam, belum yakin mengenai perundangan hukuman Islam, agaknya sukar hendak
mengadakan Akta atau Enakmen untuk
melaksanakan undang-undang hukuman itu. Menurut Perlembagaan Malaysia
Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan yang tidak
disebut di dalam senarai Persekutuan dan setakat yang diberi oleh Undang-Undang
Persekutuan. Pada masa sekarang Akta Mahkamah Syariah [Bidangkuasa Jenayah] 1965 seperti yang dipinda pada tahun 1984
memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa apabila kesalahan
itu boleh dihukum dengan penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak
lebih dari $5000/- atau sebat lebih dari enam pukulan. Ini bermakna untuk
membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan kes-kes hudud, qisas dan diyat perlu
dipinda Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan memansokhkan Akta
Mahkamah Syariah [Bidangkuasa Jenayah] itu. Satu lagi cara ialah dengan
Parlimen di peringkat Persekutuan meluluskan Akta Hudud, Qisas dan Diyat bagi
Wilayah-wilayah Persekutuan dan Akta boleh diperluaskan dan diterima pakai di
negeri-negeri dalam Malaysia. Memandangkan kepada kedudukan Perlembagaan dan
undang-undang di Malaysia, adalah dicadangkan diadakan Kompilasi Undang-Undang
Hudud, Qisas, Diyat dan Taazir untuk menerangkan undang-undang itu. Kompilasi
itu boleh dibuat oleh Majlis Agama Islam dan diperkenankan oleh Yang di Pertuan
Agung atau Sultan di negeri-negeri di Malaysia. Jika dibolehkan kompilasi itu
dikanunkan sebagai Akta atau Enakmen, ia boleh diluluskan oleh Parlimen atau
Badan Perundangan Negeri akan tetapi dicadangkan penguatkusaannya ditangguhkan
hingga semua yang perlu disiapkan untuk penguatkuasaan itu”.
Demikian Tan Sri Prof. Dr. Ahmad Ibrahim.
______________________________________________________
Mengikuti pendapat Mantan Perdana Menteri
Dr. Mahathir Mohammed yang menentang Pelaksanaan HUKUM HUDUD.
Dr. Mahathir Mohammed yang menentang Pelaksanaan HUKUM HUDUD.
SIAPA YANG BERTANGGUNGJAWAB MELAKSANA HUDUD DI MALAYSIA?
___________________________________________________
0 comments:
Post a Comment