JAZIRAH CINTA: Membawa Anda Kepangkuan CINTA ILAHI

>> Monday, December 30, 2013







JAZIRAH CINTA MEMBAWA ANDA KEPANGKUAN CINTA ILAHI



JAZIRAH CINTA sebuah novel yang pentasnya di Kalimantan, di Banjarmasin dan beberapa tempat lagi. Namun begitu kisah cinta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini, termasuk negara kita Malaysia. Cinta itu tidak bertempat, tidak berwaktu, tidak berbangsa, tidak bernegara dan cinta boleh berkembang di mana-mana sahaja di alam maya ini.

Jazirah Cinta karya seorang lagi novelis Indonesia, Randu Alamsyah. Pertama kali diterbitkan di Indonesia, dan menjadi novel “best seller” di sana dan seterusnya diterbitkan pula di bumi Malaysia.

Cinta boleh berkembang di padang pasir yang kontang, di ladang-ladang menghijau, di gobak-gobak buruk, di istana-istana besar, di lurah dan di gunung, di darat dan di laut, malah di pinggir-pinggir jalan dan di celah-celah warna kehidupan kota raya yang bergelimang dengan debu-debu kekotoran. Malah andainya di puncak langit dan diperut bumi itu menjadi tempat peghunian manusia, maka di situ juga akan berkembang cinta. Demikianlah cinta boleh tumbuh dan berkembang di mana-mana tanpa batas tempat dan waktu.

Jalan Jazirah Cinta berlengkar tentang seorang pemuda, Syamsu, nama timangannya Syam, lepasan sekolah agama pondok yang miskin, tapi memiliki kekayaan jiwa. Dia kembara mencari hakikat kehidupan dan mencari hakikat cinta yang sebenarnya.

Dalam kembara itu dia menempuh berbagai-bagai pengalaman pahit getir dan kesangsaraan mental dan fizikalnya.

Pada mula-mulanya dia bersua dengan dua orang gadis yang jelita, tapi berakhir dengan tragedi pahit yang memalu dan mengerikan.

Gadis pertama, Lula seorang pelacur yang memperdagangkan dirinya untuk menjadi habuan lelaki jalang yang mencari kepuasaan secara haram. Gadis seorang lagi ialah Salwa, puteri Ustaz Zaid yang dijodohkan oleh ayahnya dengan Syamsu, dan Syamsu pun bersetuju, tapi rancangan baik itu berkecaian musnah kerana tragedi yang menimpa Syam.

Lula ditemui oleh Syam secara kebetulan di atas kenderaan. Dia tinggal di sebuah rumah di kawasan pelacuran yang terkenal P 18. Syam yang jujur itu setiap hari berulang alik menemui Lula di rumah gadis itu secara sembunyi-sembunyi. Tujuannya memang baik, untuk mengajar Lula mengaji al-Quran dan juga ilmu agama yang diikut serta oleh beberapa orang teman wanita Lula sehaluan dengannya.

Hubungan mereka berdua menjadi lebih intim. Mereka telah dilambung perasaan cinta. Di akhir pertemuan mereka, Lula memaksa Syam melakukan hubungan intim bersama. Syam pun pada mula-mulanya telah terpedaya. Dia hampir dapat ditewaskan oleh nafsunya. Tapi ketakutannya kepada Allah menyebabkan dia mundur, membatalkan niatnya yang jahat itu. Dia cuba melepaskan dirinya dari paksaan wanita itu, dan  ini menyebabkan bajunya terkoyak dalam pergelutan antara malaikat dan syaitan.

Tapi waktu itulah Ustaz Zaid bersama-sama dengan kakitangan-kakitangan pondok tempat dia belajar dan para pelajar menyerbu, dan menangkap mereka berdua. Dari saat ini bermulalah kehidupan yang perit getir untuk Syam. Dia dimaki, dihamun dan dicela serta dibelasah habis-habisan sebagai seorang pendosa. Dan lebih mengharukan hatinya dia juga telah dihalau keluar dari pondok itu. Dia kembali ke kampung halamannya, ke pangkuan orang tuanya.

Syam sedar, perkara itu berlaku adalah berpunca dari  dirinya sendiri, kerana membiarkan dirinya terlibat begitu jauh dengan seorang wanita walaupun tujuannya memang baik untuk membimbing wanita itu ke jalan yang benar, tapi akhirnya hampir  menjerumuskannya ke lembah durjana.

“Ini semua salahku, aku terlalu jauh bertandang ke daerah syubhat”. Dia bercakap sendirian. Nabi S.A.W. bersabda, “Barangsiapa berada di garis-garis daerah yang dilarang, dia pasti akan tergelincir ke daerah terlarang itu”.

Akhirnya Syam bertemu dengan gadis yang ketiga,  Yunita, adik sahabatnya Isack yang cantik tapi menderita penyakit leukmia, dan menurut doktor dia tidak mempunyai peluang hidup yang panjang lagi. Dia berada dalam keadaan kecewa dan putus asa.

Syam menikahi wanita itu walaupun mengetahui usianya menurut doktor ada sedikit sahaja lagi. Pada malam perkahwinan mereka, kedua-duanya berbicara mesra sebagai suami isteri yang cinta mencitai kerana Allah dengan hati Syam yang penuh kerelaan.

“Awak tak menyesal kalau dalam beberapa hari lagi awak akan kehilangan saya?”.

Aku memandangnya dalam-dalam.

“Jangan bimbang, isteriku”. Aku mengenggam tangannya. “Saya tahu apa yang saya lakukan". Aku menceritakan padanya kejadian aneh yang kualami ketika koma.

“Awak yakin kita akan bersama-sama lagi di alam sana?”.’

Aku mengangguk pasti. “Jangan terlalu memikirkan soal penyakit awak. Kita adalah penghuni akhirat yang menjadikan dunia sebagai tempat berbulan madu pernikahan kita dan setelah itu kita akan kembali ke sana”.

Lalu, aku merangkulnya. Perlahan-lahan kami menyingkap rahsia kesucian cinta dan mengintai keindahan syurga bersama. Ketika azan subuh berkemundang syadu, kami bangun dan mengucap syukur atas  limpahan kurnia-Nya.”

Kejayaan Syamsu memperolehi cinta sejati itu adalah berkat kesabaran, kejujuran, dan kepercayaannya kepada cintai Ilahi yang sentiasa bersemarak dalam jiwanya.

Novelis Geidurrahman El-Mishry, penggubah novel "Bait-Bait Cinta" ketika menyapa novel Jazirah Cinta menegaskan, “Melalui novel ini, Randu Alamsyah berhasil mendamaikan dunia imaginasi yang liar dan dunia realiti yang bertentangan. Selain mampu membingkai jalan cerita yang sarat dengan nasihat-nasihat agama, dia juga cuba mengungkap makna cinta secara meluas....Mesti membacanya”.

Ya mesti membacanya!

Tidak rugi untuk membaca novel ini. Malah ia amat menyegarkan untuk menjadi teman kepada mereka yang berkelana mencari cinta, kepada mereka yang sedang meneroka di belantara cinta, kepada mereka yang sedang meraih tasbih cinta, kepada mereka yang sedang mengelamun di samudera cinta, kepada mereka yang diulit dan bermimpi di ufuk cinta, juga kepada mereka yang kepatahan sayap cinta ketika terbang di angkasa biru. Cinta yang digarap dalam novel ini adalah cinta disinari oleh Nur Ilahi, bercinta kerana Allah semata.

Setidak-tidaknya sebagaimana yang diharapkan oleh novelis ini, Randu Alamsyah, “akan menemukan kembali sebahagian dari diri anda melalui buku ini”.

Selamat membaca. Selamat bercinta dengan “Jazirah Cinta”
 

Read more...

DEBARAN HATI - PENYAIR Z.A. RAHMAH

>> Sunday, December 29, 2013



 

SETANGGI KOTA BHARU XLII



Klik: Ke XLI

Dalam ruangan SETANGGI KOTA BHARU ini Insy-Allah kami akan siarkan sekumpulan puisi-puisi yang pernah disiarkan dalam akhbar MINGGUAN KOTA BHARU  di sekitar tahun 1960an-1970an.

Kami harap penyiaran puisi-puisi ini mendapat restu daripada para pengkaryanya, dan sementara itu sambutlah salam hormat dari kami.

Mengisi SETANGGI KOTA BHARU XLII ini,  kita siarkan sekali lagi sebuah puisi karya  Z.A.RAHMAH berjodol DEBARAN HATI

Sambutlah salam hormat  takzim dari kami dan selamat membaca.













DEBARAN HATI


Tulang dan belulang ini lemah longlai

Kerdil hidup dan kerdil budi

Punya hati punya cita-cita suci

Semangat sakti menyala sendiri.

Biarpun malam masih gerhana

Di daerah ini masih kemarau kemanisan

Tapi diri inginkan hidup pasti

Hidup bererti dan berbakti

Dan debaran mengusik lagi

Sinar fajar memburu hati

Esok yang dipanggil pastikah berseri

Dalam tawa kepahitan aku memujuk hati

Tenanglah.....damailah

Biarkan kepura-puraan berlagak sendiri.


Z. A. RAHMAH


Kuala Krai.

Read more...

JAKARTA BIG DURIAN

>> Saturday, December 28, 2013





JAKARTA, KOTA ‘BIG DURIAN”

Lapangan terbang LCCT seperti biasa hari itu ramai dikerumuni manusia. Mereka dari segala bangsa dan agama. Seperti biasa pakaian mereka beraneka ragam, khususnya kaum wanita. Kalau di masa-masa lampau, melihat pakaian seseorang, khususnya wanita, kita biasanya dapat membezakan bangsa, budaya dan agama mereka masing-masing, terutama mereka yang beragama Islam. Tapi sejak kebelakangan ini tidak lagi, kerana perubahan pesat telah berlaku menimpa kaum wanita dalam budaya hidup.










Lihat sahaja di lapangan terbang LCCT ini. Kita tidak dapat membezakan agama mereka dari segi pakaian. Pakaian tidak lagi mencerminkan mereka orang Islam atau orang kafir. Kerana sebahagian besar dari mereka berada dalam pakaian yang mendedahkan. Tapi sungguh malang, wanita Islam berpakaian seperti orang bukan Islam, sebaliknya tidak pula ada wanita kafir yang berpakaian secara Islam menutup aurat yang di wajibkan ke atas Muslimah. 

Justeru itu pakaian mereka tidaklah lagi  dapat dijadikan cermin menggambarkan bangsa dan agama mereka sendiri. Kalau dipandang dari arah belakang, kita langsung tidak dapat untuk mempastikan bangsa mereka, Melayukah atau bukan? Malah jika dilihat dari arah hadapan pun, kadang-kadang melihat wajah mereka juga timbul kekeliruan adakah mereka wanita Melayu, kerana wajah mereka kadang-kadang mirip dengan wajah wanita Tionghoa dan sebagainya, sebagaimana adanya wanita Cina yang wajahnya mirip sebagai wanita Melayu.




Sebelum memasuki ke tempat berlepas, iaitu selepas urusan paspot beres, kami bertiga, anak Arham Zaini dan menantu Adina terlebih dulu menukar wang RM  Malaysia ke wang Rupiah Indonesia. Biasalah harganya memang mahal. Namun begitu, mahu tidak mahu kami terpaksa menukarnya juga, untuk tidak menyusahkan ketika berada di bumi Indonesia nanti.

Waktu kami memasuki tempat menunggu jam hampir pukul lima. Kapal terbang dijadualkan akan berlepas pada pukul 5.45 ke Jakarta. Selepas solat dan membeli sedikit bekalan makanan, kedengaran pengumunan meminta para penumpang berada di gerbang 12 kerana kapal terbang akan berlepas. Setelah menunggu, kedengaran pula pengumuman memberitahu penerbangan ke Jakarta ditunda kepada pukul 6.45 petang. Tidak ada sebab diberikan.






Akhirnya kedengaran panggilan untuk menaiki kapal terbang ke Jakarta. Penerbangan dari LCCT ke Jakarta mengambil masa dua jam. Waktu kapal terbang mendarat di Lapangan Soekarno-Hatta jam tangan saya menunjukkan angka pukul 7.45. Pada waktu itu di bahagian mendarat lapangan terbang itu tidak lagi sibuk. Hanya ada beberapa orang sahaja sedang makan-makan. Tidak lama kemudian, beberapa orang sahabat kami dari Surabahya pun tiba untuk bersama-sama kami melanjutkan perjalanan ke kota Jakarta raya.

Kami menaiki dua buah kereta. Tempat tinggal kami di hotel yang berlainan.  Kami menempah hotel di Jalan Tebet. Pemandu kereta masih muda, dalam usia tiga puluhan tahun. Mendengar cakapnya, kami percaya, dia mengetahui hotel yang menjadi tujuan kami. Membuat kami merasa lega. Pandangan di luar tidak jelas kerana dibaluti suasana malam, walaupun lampu-lampu menerangi jalan dan bangunan-bangunan.






 
Kereta dipandu lanju. Justeru bila perlu kereta dibreak mengejut, menyebabkan kami terhingguk-hingguk kecil. Jalannya sempang siur. Sekejap kereta berada di lorong sebelah kanan, sekejap lagi di lorong sebelah kiri dan sekejap lagi berada di lorong tengah untuk memintas kenderaan di hadapan. Ini membuat kami, setidak-tidaknya saya, terasa macam hendak muntah, apa lagi dalam keadaan perut kosong, kerana belum sempat makan malam. Lambat lagikah ni hendak sampai ke hotel penginapan? Hati saya tertanya-tanya. Tapi bila pemandu telefon itu menelefon ke hotel tersebut, rupanya kami telah terlepas dan terpakasa pusing balik ke belakang. Waktu sampai ke hotel jam tempatan sudah pukul  sebelas lebih. Saya rasa keletihan dioleng-oleng  oleh kereta yang kami naiki. Selepas mandi dan menyalin pakaian, saya rebahkan belakang di atas katil lalu terus tertidur dan bangun semula pada pukul 2.30. Subuh kira-kira jam 4.15.

Pagi besok kami direncanakan untuk pergi ke rumah sahabat kami di Jalan Tebet juga sejalan dengan tempat hotel penginapan kami. Seorang sahabat kami dari Tasik Malaya, S. Ghafur datang menjemput kami dan kami pergi dengan menaiki bas. Entah berapa tambangnya kami tidak tahu. Dari hotel kami terpaksa melintasi jalan untuk menunggu bas. Walapun ada lampu isyarat melintas, tapi biasanya kenderaan tidak berhenti walaupun lampu merah menyala, terutama motosikal. Sahabat kami itu lalu melangkah agak ke tengah jalan sedikit, lalu menahan kenderaan supaya berhenti dengan menujukkan tapak tangannya untuk membolehkan  kami melintas. Itulah caranya cara untuk melintas jalan raya selama kami berada beberapa hari di Jakarta.

 
Sewaktu berada di dalam kenderaan yang selalu kedengaran ialah bunyi hon kereta, “pit-pit-pit”, dari arah kanan, kiri, hadapan dan belakang dan juga dari kereta yang sedang menganggkut kami. Kalau di KL bunyi hon di atas jalan seperti itu boleh mengundang bencana. Boleh mencetuskan huruhara, kerana pemandu yang dihonkan itu menerimanya sebagai satu cabaran. Sedangkan di jalan raya di Jakarta bunyi hon itu memberi erti “permisi”, memohon untuk melintas. Lebih bertamaddun daripada kita di Malaysia.

Sebagai seorang yang berminat dengan dunia penulisan ke mana-mana pergi pun saya tidak merasa sempurna kembaranya jika tidak menjenguk toko buku. Saya telah menyatakan hasrat saya itu kepada sahabat sayat, S. Ghafur dari Tasik Malaysa itu, dan beliau menyebut beberapa buah toko besar di Jakarta dan menawar untuk membawa saya dengan motor ke toko tersebut  untuk memudahkan perjalanan daripada menaiki kenderaan awam. Tapi oleh sebab kesuntukan masa, kami tidak sempat juga pergi. S. Ghafur nampaknya merasa kecewa kerana itu, dan berjanji akan membawa saya lain kali, jika saya datang ke Jakarta lagi nanti.

Saya hanya sempat membeli beberapa tabloid mingguan di kedai 24 jam yang terletak di hadapan hotel, dan di toko buku di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dalam perjalanan pulang. Sebuah novel dalam bahasa Inggeris juga sempat saya beli, walaupun saya pernah tengok ada di toko buku di lapangan terbang Subang K.L untuk dijadikan kenangan tentang kembara saya ke Jakarta, ibu kota negara Indonesia itu.

Jakarta letaknya di Barat Laut Pulau Jawa. Sebelumnya Jakarta terkenal dengan beberapa nama lagi, iatu Sunda Kelapa, Joyakarta, Batavia atau Jaccatva dan Djakarta atau Jakarta. Kota Jakarta Raya terkenal dengan nama timang-timangan  “Big Durian” atau “Durian Besar”, sebagaimana kota New York di Amerika digelarkan “Big Apple”.

Kami tinggalkan Jakarta dengan harapan semoga suatu masa nanti kami akan sampai lagi ke kota “Big Durian” ini, memanaskah mahabah, meluaskan layar minda dan melihat kebesaran Allah SWT Yang Maha Bijaksana dalam penciptaan-Nya. Dengan menaiki teksi Bluebird kami bertiga bertolak ke Bandara Sokerno-Hatta untuk kembali ke tanah air, Malaysia. Sayonara Jakarta.

 
----------------------------------------------------------------------------------------
BERKAITAN:



1]BANDARA SOEKARNO - HATTA 
KAMI BERWISATA









2] NASI UDUK DAN BAKSO JAKARTA
-----------------------------------------------------------------------

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP