SAYA DAN WANITA-WANITA
>> Friday, October 18, 2013
SAYA DAN WANITA-WANITA
Saya adalah pencatat memori ini, Mohd Zain Saleh. Nama pena saya ialah Razin M.S. dan lain-lain lagi.
Wanita adalah
perempuan yang berlawanan sifat fizikalnya dengan lelaki, Orang dahulu
memanggilnya perempuan, orang sekarang memanggilnya wanita, kaum ibu dan hawa,
women dan entah apa lagi. Bahasa kasarnya betina, yang biasanya dibahasakan
kepada haiwan, seperti kambing betina, atau lembu betina dan bukannya kambing
perempuan atau lembu perempuan.
Sementara itu, Dian
pula ialah sebuah percetak dan penerbit di Kota Bharu Kelantan. Percekatan Dian
dan seterusnya Syarikat Dian Sdn Bhd. Di sinilah tempat saya bertugas pada
suatu ketika dahulu dan di sinilah saya menerima fitnah wanita yang dilumurkan kepada saya.
Dalam memori
singkat saya tentang Norhisham Mustafa sebelum
ini saya telah sebut sekelumit tentang fitnah wanita yang dipalitkan kepada
saya yang antara lain bertujuan untuk merosakkan prestasi saya sebagai seorang kakitangan di Syarkat Dian. Ini semua berpunca
daripada iri hati dan cemburu.
Tuduhan yang
dihalakan kepada saya adalah seorang lelaki yang suka bermain dengan perempuan.
Sedangkan waktu itu saya telah mempunyai seorang isteri yang saya cintai dan
anak. Isteri saya ialah Allahyarhmah Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat
ke atasnya].
Fitnah ini
merupakan salah satu sebab utama akhbar MINGGUAN KOTA BHARU yang sedang dalam
proses dikembangkan, dihentikan secara mendadak. Fintah ini merupakan sebahagian
daripada beberapa rangkaian fitnah yang telah dibuat begitu tersusun terhadap
saya yang tidak selesa saya umtuk mendedahkannya
kerana begitu bodoh kedengarannya. Di samping itu saya juga merasa takut kalau pendedahan
itu nanti menjadi fitnah untuk memburuk-burukkan orang lain. Saya ceritakan
ini, sebagai latar belakang sejarah.
Pada waktu itu
saya terpaksa menerima segala tuduhan dan sabar walaupun hati menjengkel. Dan Alhamdulillah,
tidak pula saya berniat untuk membalasnya mereka-reka fitnah untuk menentang
fitnah yang ditujukan kepada saya itu. Saya juga tidak membrsihkannya, kerana
waktu saya mengetahuinya fitnah itu telah lama berjalan dan berkesan, dan
penjelasan dari saya pula tidak pernah
dipinta. Saya serahkan kepada Allah untuk menentukannya.Tidak pernah
terlintas di hati saya untuk mengkhianati isteri, bermain kayu tiga, atau
menduakannya dalam kehidupan saya sehinggalah dia menghembusnya yang akhir
beberapa tahun lalu.
Sebelum khawin,
dan sebelum bertemu dengan isteri saya itu, saya memang pernah tertarik dengan
seorang gadis, tapi dia bukan dari kalangan mereka yang selalu datang ke
pejabat MINGGUAN KOTA BHARU, dan dia juga bukan seorang penulis atau terlibat
dalam aktiviti-aktiviti anjuran kami.
Sepanjang masa
itu pejabat MINGGUAN KOTA BHARU memang sentiasa dikerumuni oleh ramai anak-anak
muda, lelaki dan perempuan, kerana kami dari masa ke masa menganjurkan
berbagai-bagai aktiviti seni dan budaya yang menarik perhatian. Ini menimbulkan
cemburu dan syak wasangka yang bukan-bukan terhadap saya oleh mereka yang tidak
menyenanginya.
Sebenarnya kami
banyak mempunyai peminat-peminat dan penyokong-penyokong yang sentiasa bersedia
untuk membantu kami menjalankan berbagai-bagai aktiviti. Malah saya masih ingat,
ada seorang wanita muda dan cantik tiba-tiba pada suatu pagi datang mencari
saya di pejabat, katanya dia berminat untuk mengarang. Tapi rambutnya yang
tidak kemas, pakaiannya yang tidak kemas, percakapannya yang agak merapu
membuktikan dia kurang siuman. Saya mendengar apa sahaja yang diluahkannya.
Tapi tidak lama kemudian, seorang lelaki, mungkin abang atau suaminya datang
memujuknya supaya balik bersamanya, dan tidak menganggu orang bekerja. Sebelum
pergi dia meninggalkan sebuah buku latihan yang penuh dengan tulisan dengan
beraneka tajuk. Tapi selepas itu dia tidak pernah datang-datang lagi, dan suatu
hari saya temui dia sedang berurusniaga.
Kehadiran ramai
gadis-gadis di meja Minggunan Kota Bharu
bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada majlis-majlis yang kami
adakan, malah ada juga di antara mereka menjadi orang tengah untuk kami
berhubung dengan tokoh-tokoh politik, khususnya parti-parti pembangkang untuk
mendapat berita mereka. Asiah Yaacob pernah membuat wawancara dengan
Allahyarahmah Datin Sakinah, isteri Datok Hj. Mohd Asri Hj. Muda, Menteri Besar
Kelantan pada waktu itu adalah dengan bantuan salah seorang daripada mereka.
Daripada begitu
ramai wanita-wanita yang datang ke meja
saya waktu itu, saya tidak ingat sebahagian besar daripada nama-nama mereka,
kecuali hanya beberapa orang sahaja, iaitu mereka yang pernah menghulur sumbangan karya kepada kami,
itupun dalam penulisan puisi.
Untuk mencari
penulis pada masa itu, bukan sahaja penulis wanita, malah juga penulis lelaki
tidaklah gampang. Tidak ramai orang yang berminat menjadi penulis, kerana penulisan
pada waktu itu tidak memberikan sumber ekonomi yang wajar. Tidak seperti hari
ini. Oleh itu biasanya, tidak jarang lebih daripada 99 peratus tulisan-tulisan
yang kami siarkan adalah merupakan hasil ciptaan kami sendiri dengan mengguna
nama samaran atau tidak bernama, ataupun hasil-hasil terjemahan, tapi tidak
pula dinyatakan nama penterjemahnya, kerana takut menjadi “one show man”, Sebab
itu rencana-rencana itu dibiarkan begitu sahaja tanpa nama penulis atau penterjemahnya, kecuali penulis asalnya.
Bila Syarikat
Dian berpindah ke bangunan baru kepunyaannya sendiri di Lundang, Jalan Kota
Bharu-Pasir Puteh, sebahagian daripada pekerja-pekerjanya terdiri dari kaum wanita,
terutama di bahagian “belakang”, menysusun helai-helaian buku selepas dicetak mengikut
lambaran muka surat yang lengkap sebagai sebuah buku atau majalah, dan juga untuk
di tampal kulit, dan sebahagian kecil dari mereka juga bertugas sebagai peng-touch
filem sebeleum dilekatkan pada plet untuk, dicetak. Di samping itu wanita-wanita
juga diambil untuk bertugas di jabatan pengarang, dan pentadbiran walaupun
tidak ramai.
Demikianlah
buat kali ini, dan saya memang tidak bermaksud untuk menulis panjang mengenai
perkara ini buat waktu ini, kecuali sedikit sahaja yang bersangkut-paut dengan diri saya yang
telah terjerat dalam fitnah yang saya terima sebagai satu cabaran kepada saya.
Sebab itu persoalan ini tidak pernah saya bincangkan dengan sesiapapun, walaupun
dengan isteri saya sendiri untuk tidak melebarkanya. Hanya baru kali ini saya
memberanikan diri membuat catatan pendek ini sebagai satu warna memori dalam
kehidupan saya. Tidak lebih dari itu.
Semoga
pengalaman yang saya tempuhi ini dapat menjadi panduan kepada pembaca-pembaca
dalam menjalani kehidupan mereka di rumahtangga, di tempat kerja dan juga dalam
kehidupan seharian, semoga selamat dan sejahtera megharung lautan kehidupan yang tidak pernah
tenang dari ombak dan gelumbang.
Tambahan:Semalam selepas menulis tulisan ini, saya bermimpi bertemu dengan Allahyarham Datok Yusuf Zaky Yaacob. Di antara lain beliau memotong dua patah perkataan dalam tulisan saya itu. Beliau tidak menghalang saya menyiarkannya. Dan pagi ini saya telah membaca kembali tulisan ini dan membaikinya sedikit sebelum tuisan ini di poskan ke blog.
Tambahan:Semalam selepas menulis tulisan ini, saya bermimpi bertemu dengan Allahyarham Datok Yusuf Zaky Yaacob. Di antara lain beliau memotong dua patah perkataan dalam tulisan saya itu. Beliau tidak menghalang saya menyiarkannya. Dan pagi ini saya telah membaca kembali tulisan ini dan membaikinya sedikit sebelum tuisan ini di poskan ke blog.
1 comments:
Salam sejahtera,
Sungguh menarik catatan tuan tentang Mingguan Kota Bharu. Dahulu saya sempat membacanya.
Wassalam.
Darma Mohammad.
Post a Comment