KANAN DIDAHULUKAN, KENAPA
>> Tuesday, October 8, 2013
Kanan atau Kiri?
Tapi kanan itu apa dan kiri itu apa pula?
Tapi apa pula kiri itu?
Kita jawab, kiri itu sesuatu yang berlawan
dengan kanan.
Bagi mereka yang
belum mengetahui sebelah mana kanan dan mana sebelah kiri tentu sukar untuk menangkap
dengan jelas makna kanan dan makna kiri itu.
Tentunya lebih mudah bila orang minta tunjukkan
mana sebelah kanan dan mana sebelah kiri.
Mula-mula kita
angkat tangan kanan, kemudian tangan kiri. Semua yang ada di sebelah tangan
kanan itu adalah kanan, dan sebalikya semua yang berada di sebelah tangan kiri
itu adalah kiri. Tidak kira ke arah mana kita menghadapkan muka kita.
Justeru kalau
kita menghadap ke arah Barat, dan membelakangkan arah Timur, maka bererti semua
yang berada di sebelah kanan badan itu adalah kanan, iaitu sebelah Utara, dan
semua yang berada di sebelah kiri badan kita adalah kiri, iaitu arah
Selatan.
Sebab kita dari
sejak kecil lagi, malah sejak masih kanak-kanak telah diaajar mengenali kanan dan kiri. Mereka yang tidak mengenali kanan
dan kiri dianggap kurang sempurna akalnya.
Boleh dikatakan
seluruh manusia di dunia ini secara fitrahnya menggunakan tangan kanan untuk
melakukan sesuatu, tanpa mengira bangsa atau agama, kerana kebiasaannya tangan
kanan itu lebih kuat daripada tangan kiri.
Orang-orang
yang menggunakan tangan kiri untuk melakukan sesuatu tidaklah ramai, seperti untuk
menulis atau makan. Orang yang menggunakan tangan kiri, dikatakan mengiri.
Ia berlaku kerana sebab-sebab tertentu. Ia memerlukan ruang khas yang menarik
untuk membicarakan tentang mengiri ini.
Dari sejak
kecil lagi kita telah diajar bahawa kanan adalah lambang kebaikan dan
sebaliknya kiri adalah lambang keburukan. Itulah adalah merupakan sebahagian
dari ajaran Islam. Sebab itu semua perkara yang mulia atau baik kita dikehendaki
melakukannya dengan tangan kanan atau kaki kanan, dan semua yang kurang baik,
dikehendaki kita melakukannya dengan tangan kiri atau kaki kiri.
Makan, minum,
dan seumpamanya mesti menggunakan tangan kanan, sementara untuk membasuh berak,
kita diajar menggunakan tangan kiri.
Ada berbagai
ibarat pula disandangkan kepada kanan, khususnya tangan kanan, atau kaki kanan,
antaranya:
-Orang kanan,
maksudnya orang penting dalam sesebuah pertubuhan atau institusi dan
sebagainya.
-Tangan kanan,
yang bermaksud pembantu yang penting kepada seseorang, seperti ketua-ketua
jabatan, atau tokoh-tokoh politik.
-Langkah kanan,
ertinya tindakan yang menguntungkan atau mamberi nasib baik.
Dalam politik
pula jika dikatakan politik kanan ertinya perjuangan yang sederhana dan tidak
bersifat revolusiner. Ia bercanggah dengan aliran politik kiri yang bersifat
revolusiner.
Sebelum negara
kita merdeka dahulu, pada umumnya perjuangan politik dibahagikan kepada dua
golongan, iaitu golongan kanan dan golongan kiri, yang bererti golongan kanan
berjuang secara aman, sementara golongan kiri bersedia berjuang dengan kekerasaan
untuk mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah.
Dengan itu
pejuang-pejuang kemerdekaan juga dibahagikan kepada dua, iaitu pejuang golongan
kanan dan pejuang golongan kiri.
Di dalam
sesebuah pertubuhan politik juga pada masa dahulu ada sayap kanan dan sayap
kiri. UMNO sayap kanannya ialah Pemuda UMNO dan sayap kirinya Wanita UMNO. Tapi
sejak kebelakangan ini penggunaan sayap kanan atau sayap kiri tidak lagi
popular penggunaannya, mungkin kerana ia boleh membawa impak psikologi yang
tidak menggembira, iaitu menunjukkan golongan sayap kiri lebih rendah tarafnya
dari golongan sayap kanan, sedangkan kedua-duanya sama penting kepada UMNO.
Saya teringat tazkirah di sebuah masjid, di mana Ustaznya menyebut tentang
kepentingan tangan kanan. Antaranya beliau menerangkan::
Kalau hendak
mengambil wuduk, mulalah angggota sebelah kanan terlebih dahulu, sekiranya
anggota badan itu mempunyai dua bahagian, kanan dan kiri, seperti tangan kanan,
kaki kanan dan sebagainya.
Kalau nak makan
atau minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan. Suaplah makanan ke mulut
dengan tangan kanan, demikian juga ketika memegang gelas atau cawan minuman
untuk disuap ke mulut gunalah tangan kanan.
Saya teringat
ada seorang guru agama yang enggan menggunakan tangan kiri untuk menyudu lauk
di dalam mangkuk, kerana tangan kanannya comet dengan sisa-sisa makanan
yang boleh menguturkan sudu ketika makan bersama orang lain dalam satu
hidangan. Demikian juga ada orang yang enggan meminum air dengan tangan kiri,
kerana tangan kanannya comet denga sisa makanan yang boleh mengotorkan gelas
atau cawan, dan akan dianggap tidak beradab oleh orang yang makan bersamanya.
Atau pun paling diplomasi mereka memegang gelas dengan tangan kiri, tapi
menampu di bawahnya dengan tangan kanan. Untuk makanan berkuah pula, mereka
rela tidak menjamahnya, dan bila ditanya kenapa, dia dengan ceria menjawab dia tidak suka
dengan makanan tersebut.
Kalau hendak
berpakian, mulakan dengan sebelah kanan. Guna tangan kanan untuk masukkan
lengan baju, dan gunakan kaki kanan untuk meyurung seluar, atau memakai kain
sarung dan sebagainya.
Kalau hendak naik
kereta sepatutnya dengan kaki kanan, tapi oleh sebab kenderaan di negara kita,
tidak seperti di Barat, steringnya di sebelah kiri, maka kita terpaksa masuk
kereta dengan kaki kiri untuk memandu. Apa boleh buat. Tapi untuk naik bas atau keretapi dan
motosikal atau kereta yang dipandu oleh orang lain gunankanlah kaki kanan kalau masuk ikut sebelah kiri.
Kalau hendak
masuk tandas, masuk dengan kaki kiri, tapi kalau hendak keluar guna kaki kanan.
Kalau hendak
masuk masjid, masuklah dengan kaki kanan, tapi ketika keluar gunakanlah kaki
kiri.
Pada akhir
tazkirahnya beliau bertanya kenapa kalau kita hendak masuk tandas kita disuruh
masuk dengan kaki kiri dan ketika keluar tandas dengan kaki kanan, kenapa pula kalau
kita hendak masuk masjid, kita disuruh masuk dengan kaki kanan, tapi kalau
hendak keluar masjid, kita disuruh keluar dengan kaki kiri?
Beliau
menjelaskan, kalau di waktu kita melangkah hendak masuk masjid itu, tiba-tiba
ajal kita sampai, katanya kerana kaki kanan kita sudah berada dalam masjid,
maka sudah tentu kita akan jatuh ke dalam masjid. Dan sudah tentu jatuh dan mati di
dalam masjid lebih baik daripada di luar masjid.
Keteika hendak
keluar dari mesjid, kita melangkah keluar dengan kaki kiri, dan andainya ajal
kita sampai pada saat itu, kita akan terjatuh ke dalam masjid, sebab kaki kanan
kita masih berada dalam masjid.
Ketika masuk
tandas pula katanya, kalau umur kita sampai sewaktu ketika melangkah masuk
tandas itu, kita akan jatuh di luar tandas, kerana kaki kanan kita masih berada
di luar tandas. Sudah tentu mati di luar tandas lebih baik daripada mati di
dalam tandas.
Ketika keluar
tandas pula, kita disuruh keluar dengan kaki kanan, andainya kita mati waktu
itu, kita akan jatuh di luar tandas, dan bukan ke dalam tandas, kerana kaki
kanan kita sudah berada di luar tandas.
Adakah sesiapa
dari kita yang berjabat salam dengan tangan kiri, walaupun tangan kanannya
berada dalam keadaan sihat dan normal? Hanya orang tangan kanannya bermasalah
sahaja berjabat salam dengan tanagan kiri, ataupun orang-orang yang kudung atau tidak
bertangan kanan langsung yang hanya menggunakan tangan kiri.
Bila berada
rumah saya teringat kepada ayat-ayat al-Quran berhubung dengan kanan dan kiri.
Saya teringat kepada surat al-Waqiah yang menggambarkan di akhirat nanti
hamba-hamba Allah ini dibahagikan kepada tiga golongan, dua golongan
daripadanya ialah golongan kanan dan golongan kiri. Golongan kanan adalah
golongan yang berbahagia, sementara golongan kiri adalah orang yang celaka.
Ayat-ayat itu
bermaksud:
“Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan [golongan yang
menerima catatan amalan mereka dengan tangan kanan], dan golongan kiri [golongan yang menerima
cacatan amalan mereka dari cacatan tangan kiri], dan golongan yang paling
dahulu [beriman], merekalah yang paling dahulu masuk syurga”. Al-Waqiah:7-10.
“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. [Mereka] berada di antara pohon bidara yang
tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun [buahnya]. Dan naungan yang
terbentang luas. Dan air yang tercurah. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak
berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya, Dan katil-katil yang tebal
lagi empuk. Sesungguhnya Kami menciptakan mereka [bidadari-bidadari itu] secara
langsung. Lalu Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Yang penuh cinta [dan]
sebaya umurnya”. Al-Walqiah: 27-37.
“Golongan kiri, alangkah sangsaranya golongan kiri itu. [Mereka] dalam
seksaan angin yang sangat panas dan air yang mendidih. Dan naungan asap hitam.
Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sbelum itu [dahulu]
hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus menerus mengerjakan dosa yang besar.
Dan mereka berkata, “Apabila kami sudah mati, menjadi tanah dan
tulang-belulang, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali? Apakah nenek-nenek kami yang terdahulu [dibangkitkan pula?”. Al-Waqiah: 41-48
Demikianlah sebahagian
daripada ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang fungsi-fungsi kanan dan
kiri dalam Islam.
Oleh itu
berhati-hatilah ketika kita menggunakan tangan kanan atau tangan kiri, kaki
kanan atau kaki kiri, kerana semuanya akan dihisab dan akan dibalas setempal
dengan apa yang telah kita kerjakan semasa hidup di dunia ini. Kanan itu lebih
berkah dari kiri.
0 comments:
Post a Comment