CINTA CAPE TOWN - 'I LOVE YOU NATRAH"- Siapa NATRAH yang saya jatuh cinta itu?
>> Tuesday, October 29, 2013
CINTA CAPE TOWN
“NATRAH I LOVE YOU?”
TENGAH hari semalam saya baru selesai membaca novel CINTA CAPE TOWN. Ia hasil karya novelis, NORA ISMA FUAD.
Ketika novel itu masih dalam tangan saya, cucu saya
Nik Nur Syaafiya Zaini balik dari prasekolah. Dia lalu terpandang buku di
tangan saya, dan terus membaca sepatah perkataannya, iaitu CINTA. Disebutnya
berulang-ulang kali “cinta-cinta-cinta”.
Kemudian dia lantas memajukan pertanyaan kepada
saya, “Cinta itu apa ‘atok”.
Spontan saya menjawab, “Sayang”.
“Sayang itu I love you-lah ‘atok?”.
Tanya gadis kecil itu lagi.
“Ya”, jawab saya.
“Macam mama dengan papalah ‘atok”. Katanya lagi.
“Ya, macam tulah”.
“Oh begitu”, katanya.
Dia pun terus berhenti bertanya tentang cinta.
Soalnya sekarang saya juga telah jatuh cinta.
Tua-tua beginipun jatuh cinta juga?
Ya! Kenapa tidak?
Dengan siapa?
Dengan NATRAH.
Natrah tu siapa?
Seorang wanita.
Yalah wanita. Tapi siapa dia?
Seorang yang cantik
Taat kepada ibu bapa
Taat beragama
Bertimbang rasa
Pandai memasak
Pandai berpakian
Pandai bergurau
Pandai melukis
Berkahwin dengan seorang duda bernama Sulaiman.
Tapi Sulaiman meninggal sebelum sempat mereka bersatu, kerana mereka nikah
gantung.
Kemudian Natrah yang janda itu kahwin lagi dengan
seorang duda bernama Duha seorang pelukis.
Di mana NATRAH sekarang?
NATRAH adalah salah seorang watak penting dalam
novel CINTA CAPE TOWN karya Nora Isma Fuad.
Terbitan Karangkraft.
Kepada saya novelis CINTA CAPE TOWN berjaya
menggambarkan watak NATRAH dengan begitu cermat, ia kelihatan hidup dan
bergerak. Justeru watak itu terpandang-pandang oleh saya.
Oleh sebab saya bukan pengulas dan pengeritik
sastera, maka seperti biasa saya hanya bercakap mengenai sesebuah novel berdasarkan persepsi atau tanggapan saya selepas membacanya. Demikian juga dengan novel
CINTA CAPE TOWN.
CCT adalah sebuah novel pendidikan yang berunsur
Islam. Watak-watak utamanya dihidupkan sebagai seorang yang bersolat, walau
dalam keadaan macam mana sekalipun.
Namun begitu saya menjadi tertanya-tanya bila
dalam penggembaraan beberapa orang wataknya ke Cape Town, iaitu Saiful dan
kawan-kawannya bermula dari atas kapalterbang dan sampai ke Lapangan Terbang
Johannesburg mereka tidak lagi digambarkan sebagai seorang Muslim sejati yang
menunaikan kewajipan bersolat mereka lima kali sehari.
Sehinggalah mereka sampai ke Cape Town. Apa yang
dipentingkan oleh mereka ialah makan-makan dan tempat-tempat untuk dilawati,
dan mencari cinta untuk salah seorang daripada wataknya, iaitu Ridzuan. Justeru
itu mereka lupa untuk bersolat.
Berkelana atau bermusafir tidak boleh manjadi
alasan kepada orang-orang Islam lelaki dan perempuan meninggalkan solat lima
kali sehari semalam. Di sinilah letaknya, di mana orang Islam semestinya hebat
mematuhi perintah agamanya, baik di mana mereka berada.
Satu lagi saya merasa keliru bila Johannesburg dan
Cape Town digambarkan seolah-olah satu tempat yang sama. Johannesburg itu Cape
Town dan Cape Town itu Johannesburg.
Sedangkan Johannesburg dan Cape Town dua tempat yang berlainan yang
jauh letaknya. Kalau kita menaiki kapalterbang dari Johannesburg mengmabil masa
dua jam untuk sampai ke Cape Town. Demikian juga sebaliknya. Dan kalau ikut
jalan darat pula ia dikatakan mengambil masa lebih dari 15 jam.
Bagaimana kesampaian Saiful dan rakan-rakannya di
lapangan terbang Johannesburg yang disambut oleh Aqil dengan kereta itu boleh sampai
ke Cape Town dalam masa yang sekejap sahaja?
Ini mengelirukan. Novel ini sebuah novel cinta dan kembara,
di mana sebahagian daripada peristiwa yang berlaku dalam novel itu bertempat di
Cape Town. Beberapa tempat yang dilawati oleh Saiful dan kawan-kawannya itu
dilukis dengan detail. Justeru saya merasa tidak wajar kalau hendak dinovelkan
Johannesburg dan Cape Town sebagai sebuah tempat yang sama.
Sepatutnya Saiful dan rakan-rakannya selepas turun
di Lapangan Terbang Johannesburg menaiki kapalterbang lain menuju ke Cape Town
di mana Afiq sedang menunggu mereka dengan kereta untuk dibawa pulang ke
rumahnya.
Beberapa tahun yang lalu kapalterbang dari Kuala
Lumpur terus ke Cape Town. Tapi kemudiannya telah dibatalkan dan kapalterbang
hanya berhenti di Johannesburg sahaja. Hendak pergi ke Cape Town dengan cepat
kena naik kapalterbang lain dari Johannesburg.
Walau bagaimana pun kepada saya novel CINTA CAPE
TOWN adalah sebuah novel yang baik dan patut menjadi bacaan, terutama
pemabca-pembaca dari kalangan generasi muda.
Ia mempunyai mesej. Tahniah untuk Nora Isma
Fuad.
Saya suka memetik sinopis novel CCC sebagaimana yang
tertulis pada kulit belakangnya seperti berikut:
“Cinta boleh membawa kepada sifat obses yang
akhirnya mencetus kepada kehancuran spiritual.
Obses terhadap kekasih membawa percaturan hidup
kepada Katrina, isteri Saiful. Katrina juga dalam masa yang sama terlalu obses
dengan masa lalunya. Dia tersepit antara penyesalan dan realiti.
Begitu juga seorang pelukis berbakat, Duha yang
terlalu obses terhadap Manisah, isterinya yang sudah lama dia kenali sejak zaman
persekolahan lagi. Kehilangan isterinya secara tiba-tiba menjadi misteri
sehinggalah dia akhirnya menyedari, dia terlalu hidup dalam fantasinya sendiri.
Di manakah penghujung simpulan yang mereka temui?
Berbekalkan nilai kekeluargaan yang utuh dan persahabatan yang tidak ternilai,
Natrah. Vimmi, Ridzuan, Shahrizan membantu Saiful dan Duha kembali menempatkan
cinta dalam ruang kehidupan mereka.
Dan siapa kata cinta tidak bleh ditemui”.
Ya siapa kata?
3 comments:
as salam,
Saudara rahmat. Terima kasih kerana kesudian membaca Cinta cape town.Dan terima kasih kerana 'terjatuh hati' dgn natrah.
terima kasih kerana sudi menulis akan kelemahan dalam novel ini. Jarang sekali berjumpa pembaca yg mahu mengulas mengenai sebuah novel.
Dalam bercerita tentang Capetown, saya akan terlalai untuk bercerita tentang solat dan agama. Ketika itu fokus agak tertumpu kepada kisah cinta baru ridzuan dan Wan jasmin. Umumnya (saya agak) pembaca tahu bahawa mereka adalah muslim yg patuh kepada agama.mereka digambarkan mengerjalan solat semasa bekerja. Sebenarnya banyak elemen agama yg dimasukkan, tetapi banyak yg dipotong. Mungkin kerana naratif itu terllau panjang dan ditakuti akan membosankan.
Johannarberg dan Cape town.. ! Ohh tidak. disebabkan saya hanya membaca web Bm dan b.inggeris, dan kedua tempat ini belum dilawati lagi, jadi, sudah jelas saya terkeliru! Bercampur baur antara kedua tempat atau blog yg saya singgah2 barangkali mencampur adukkan keduanya!
terima kasih kerana sudi mengulas.
Nora isma fuad
Salam. Terimakasih atas penjelasan.
Bolehkah anda berikan novel-novel anda yang masih berada di pasaran sekarang?
Post a Comment