NOSTALGIA STESEN KERETAPI KUALA KRAI

>> Thursday, October 3, 2013




NOSTALGIA STESEN KERETAPI KUALA KRAI

DUA tiga hari lepas saya dan keluaga pergi ke Stesen Keretapi Kuala Krai, Kelantan, kerana ada sedikit keperluan. Waktu itu petang hari. Kelihatan orang agak ramai di platform stesen, termasuk kanak-kanak. Ada di antara mereka yang membawa barang-barang.



                              Bahagian luar Stesen Keretapi Kuala Krai
 

Sejurus kemudian suasana bertambah bising. Mereka adalah penumpang-penumpang yang sedang menunggu ketibaan keretapi bila-bila masa sahaja akan sampai. Rupa-rupanya keretapi telah  melepasi pondok pengawal keretapi yang tereletak tidak berapa jauh dari situ. Saya ke palform dan berdiri di kalangan bakal-bakal penumpang itu.





               Penumpang baru turun dari keretapi yang baru sampai
 

Beberapa tahun yang lalu, saya sering menaiki keretapi untuk pergi ke Kuala Lumpur. Biasanya perjalanan saya bermula di Stesen Keretapi Kuala Krai kerana kami tinggal di daerah Batu Mengkebang. Selama kira-kira lapan tahun kami tinggal di sini, hampir setiap bulan kami menaiki keretapi untuk ke Kuala Lumpur. Saya dan Allahyarhmah isteri, Asiah Yaacob. [Semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya].



Di hadapan Stesen Keretapi Kuala Krai. Ada bangku-bangku disediakan untuk berihat.


Demikian juga ketika balik dari Kuala Lumpur biasanya kami berhenti di Stesen Kuala Krai. Hanya jarang sekali kami langsung ke Pasir Mas atau Wakaf Bharu, iaitu waktu itu keluarga berada di Kota Bharu.

Sepanjang masa tersebut berbagai-bagai pengalaman yang telah kami lalui bersama dengan keretapi ini, terutama ketika berada dalam perjalanan di atas keretapi. Yang pastinya keretapi ini selalunya lambat untuk sampai ke tempat yang dituju, terutama dari Krai ke Kuala Lumpur atau dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai. Tidak jarang kejadian kelewatannya sampai berjam-jam dari jadual yang ditetapkan, kerana masalah-masalah yang dihadapi dalam perjalanan.




                                            Kesampaian Keretapi


Pengalaman dengan para penumpang juga beragam-ragam, menerusi percakapan mereka, mendengar perbualan-perbualan mereka dan juga melihat perbuatan-perbuatan mereka yang aneka ragam sebagai manusia. Kadang-kadang membuat kita tersenyum, kadang-kadang membuat kita merasa tergoris perasaan, kadang-kadang membuat kita merasa simpati dan kasihan, dan sebagainya.


Pernah juga kejadian kelewatan itu berlaku kerana kerosakan jalan keretapi kerana beberapa sebab. Justeru itu, kami terpaksa dianggkut oleh pihak pengurusan keretapi dengan kenderaaan-kenderaan lain untuk memintas jalan keretapi yang rosak itu ikut jalan raya di mana perjalanan keretapi dapat disambung semula menuju ke destinasi.




                  Penumpang-penumpang menunggu hendak menaiki keretapi
 

Tempat berhenti yang paling menarik  keretapi berhenti dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur ialah di Stesen Keretapi Gemas, Negeri Sembilan. Kepala keretapi yang menghala ke Selatan itu terpaksa ditukar menghala arah ke utara, menuju ke Kuala Lumpur. Sementara menunggu keretapi menyambung semula perjalanannya, sebahagian daripada penumpang, terutama lelaki  akan turun dari keretapi, dan berlegar-legar  di stesen, duduk di atas bangku-bangku, atau makan dan minum di kanten stesen itu yang masih di buka hingga larut malam.

Biasanya saya juga ikut turun, dan biasanya membeli nasi lemak bungkus yang dijual agak jauh dari bangunan stesen, walaupun masih berada dalam kawasan stesen, di tempat yang terdedah. Nasi lemaknya boleh tahan, dan harganya terlalu murah, serendah-rendahnya seringgit sebungkus, berlauk ikan bilis, dan sedikit telur rebus. Air teh o yang dibungkus dalam plastik juga dijual bersama.




                   Premis perniagaan di jalan menuju ke Stesen Kuala Krai
 

Terasa juga kerinduan untuk menaiki keretapi. Tapi semua anak-anak saya tidak mengizinkannya selepas ibunya meninggal. Mereka tidak membenarkan saya melakukan perjalanan yang begitu jauh yang memakan masa yang berjam-jam lamanya secara bersendirian dengan menaiki keretapi mahupun bas.

Dalam keadaan dihanyut oleh kenangan-kenangan yang berleret-leret itu keretapi pun tiba dan berhenti bertentangan dengan platform. Penumpang-penumpang pun seperti biasa berebut-rebut naik untuk mencari tempat duduk. Keretapi lokal hanya pendek sahaja, dua atau tiga gerabak sahaja. Ia datang dari Tumpat atau Pasir Mas menuju ke Kuala Krai dan seterusnya ke Gua Musang.

Stesen Keretapi ini dinamakan Stesen Keretapi Kuala Krai mengambil semepena nama bandarnya Kuala Krai. Jalan keretapi itu bermula dari Tumpat, Kelantan dan ke Kuala Krai dan seterusnya menuju ke Selatan, iaitu ke Kuala Lumur atau ke Singapura melewati Stesen Gemas, Negeri Sembilan yang menjadi persimpangan jalan meunuju ke Utara atau ke Selatan Malaysia Barat.

Jalan Keretapinya telah lama dibina untuk menghubungi Pantai Timur dengan Pantai Barat yang jauh lebih maju. Pada masa dahulu jalan keretapi ini merupakan jalan alternatif yang penting kepada penduduk-penduduk Kelantan yang tinggal di kawasan-kawasan terpencil yang tidak dilengkapkan dengan jalan raya, dan hanya jalan sungai sahaja menjadi pilihan mereka waktu itu.

Jalan keretapi yang menghubung Pantai Timur dan Pantai Barat ini dibina pada tahun 1920-an yang memberi manfaat yang besar kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang jalan keretapi itu. Sementara Stesen Keretapi Kuala Krai pula dibina pada tahun 1931, iaitu sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu, dan telah berjaya merancakkan lagi pertumbuhan bandar Kuala Krai dan juga daerah-daerah sekitarnya. Kuala Krai, kadang-kadang dieja Kuala Kerai sebagai sebuah jajahan mengandungi tiga buah daerah, iaitu Batu Mengkebang, Olak Jeram dan Dabong.

Sebelum adanya jalan keretapi ini, penduduk Kuala Krai dan sekitarnya hanya mempunyai satu jalan perhubungan sahaja untuk ke hilir, iaitu menerusi jalan sungai untuk pergi ke Pasir Mas atau Kota Bharu melewati Tanah Merah yang berada di tengah perjalanan. Perkhidmatan penganggkutan sungai ini disediakan oleh Duff Developmen River Steamer, seminggu sekali dari Kuala Krai ke Kota Bharu, dan demikian juga sebaliknya. Ia digunakan sebagai penganggkutan awan dan juga barang-barang.

Stesen Keretapi Kuala Krai ini pernah menjadi Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu [KTM] bagi Negeri Kelantan pada masa tersebut. Untuk memberi khidmat kepada penduduk-penduduk pendalaman negeri Kelantan, banyak perhentian-perhentian [halt] di bina di sepanjang jalan keretapi itu bermula dari Tumpat ke Kuala Krai dan seterusnya ke Gua Musang dan terus ke Merapoh yang berada di sbelah Negeri Pahang.

Di antara stesen-stesen keretapi itu bermula dari Stesen Tumpat ke Gua Musang ialah  Stesen Wakaf Bharu, Stesen Pasir Mas, Stesen Tanah Merah, Stesen Kuala Krai, Stesen Pahi,Stesen Manik Urai, Stesen Bukit Abu, Stesen Dabong, Stesen Kemubu, Stesen Bertam Baru, Stesen Limau Kasturi, Stesen Gua Musang dan seterusnya Stesen Merapoh di sebelah Pahang. Selain itu ada berpuluh-puluh berhentian [halt] yang terletak di atara stesen dengan stesen untuk memberi kemudahan penganggkutan kepada penduduk-penduduk tempatan.




                                      Para penumpang berebut-rebut untuk naik  

Kemudian kedengaran wisel ditiup, dan saya lihat peumpang terakhir melompat naik menerusi pintu yang masih terbuka.  Saya lihat bendera hijau telah dikibar-kibarkan, dan keretapi pun mulai begerak, mula-mula perlahan, kemudian melaju meninggalkan Stesen Kuala Krai yang tidak lama lagi akan menyambut ketibaan keretapi express dari Tumpat ke Kuala Lumpur atau ke Singapura.

Walaupun penggunaan jalanraya telah begitu meluas dengan aneka kenderaan, tapi Stesen Keretapi Kuala Krai masih lagi diperlukan oleh sebahagian daripada penduduk-penduduk negeri Kelantan, khususnya yang tinggal agak jauh di pendalaman, untuk berpergian dari  Gua Musang, ke Dabong, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat dan seterusnya. Demikian jugalah sebaliknya.

Selain ini tambangnya juga murah jika dibandingkan dengan tambang kenderaan-kenderaan lain, seperti kereta. Seorang penumpang pernah memberithu, “Saya nak balik ke Manek Urai Lama. Kalau saya naik kereta  atau pribet sapu dari Kuala Krai ni tambangnya tak kurang dari RM 5 seorang, tapi kalau saya naik keretapi tambangnya tak sampai RM 2 sahaja. Bas memang tak ada ke sana”.

Biasanaya keretapi menjadi peganggkutan alternatif, terutama untuk perjalanan jarak jauh, seperti dari KL ke Kuala Krai atau sebaliknya, kerana kehabisan teket bas di musim-musim hari perayaan, khususnya hari-hari raya atau musim cuti perekolahan, kerana pengambilan masa yang terlalu lama untuk sampai ke destinasi yang dituju. Lagi pun perjalanan di malam hari jarak jauh itu tidak memungkinkan penumpang-penumpang menikmati keindahan alam sekitar yang memang cantik dan menarik di sepanjang perjalanan keretapi jarak jauh Pantai Timur-Pantai Barat itu.




                           Pondok pengawal Stesen Keretapi Kuala Krai
 

Walau bagaimanapun kita harap pihak keretapi sentiasalah membaiki perkhidmatan mereka supaya tidak sering mengecewakan pelanggan-pelanggannya, terutama dari segi kelambatan perjalanannya, khuususnya perjalanan jarak jauh, seperti dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur. Sikap memilih keretapi sebagai jalan alternatif kedua di kalangan orang ramai itu hendaklah diubah menjadikan keretapi sebagai salah satu pengaggkutan pilihan utama, kerana perkhidmatannya yang cemerlang dan memuaskan hati penumpang, terutama dari segi yang masa yang diambilnya untuk perjalanan jarak jauh itu untuk sampai ke tempat yang dituju.

Demikianlah kami tinggalkan stesen keretapi Kuala Krai petang itu dengan penuh nostalgia yang sukar untuk kami alirkan menerusi jari-jemari kami ini yang amat terbatas kemampuannya untuk mencurahkan rasa hati dan gelora perasaan kami.










1 comments:

sahie yaacob June 23, 2018 at 10:16 AM  

Good for knowledge, thanks

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP