-KAMBING-KAMBING PUN KENA CURI, DIpakaikan baju dibawa lari dengan motorsikal
>> Wednesday, October 30, 2013
KAMBING-KAMBING PUN KENA CURI
WALAUPUN hari raya korban telah
berlalu, tapi bila saya balik kampung, masih
lagi kedengaran cerita –cerita lembu dan kambing kena curi.
Pencurian lembu ini telah lama berlalu. Sudah tidak berlaku lagi. Berpuluh-puluh tahun yang lalu. Tapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah menjelma kembali, terutama beberapa bulan sebelum hari raya puasa.
Lembu-lembu yang dicuri itu dibunuh dan dijual secara runcit dari satu gerai daging ke satu gerai daging supaya tidak dicami oleh pihak yang berkuasa.
Di samping itu ada lembu-lembu itu dicuri, kemudian dipelihara secara sembunyi selama beberapa waktu tertentu untuk dijual kepada mereka yang ingin berkorban pada hari raya Aidiladha melalui pembeli-pembeli lembu yang tidak begitu prihatin tentang halal atau haramnya.
Menjelang beberapa hari Raya Aidiladha yang lalu, di sekitar Kg. Salor, Kota Bharu seramai kira-kira dua belas ekor lembu telah hilang kena curi. Lembu-lembu yang dicuri itu memang telah dirancang oleh empunya lembu untuk dijual pada mereka yang ingin berkorban pada Aidiladha nanti.
Selain dari lembu-lembu,
kambing-kambing juga sering menjadi sasaran kepada para pencuri yang kian rancak
bekerja mencari rezeki haram sejak kebelakangan ini.
Ada dua kedudukan kambing-kambing itu dicuri. Pertama ketika kambing-kambing itu sedang ditambat. Kambing-kambing itu ditambat ketika hendak memberinya makan di kawasan-kawasan yang berumput. Biasanyanya di pinggir-pinggir kampung atau di tepi-tepi sawah yang ada teduhan daripada bayangan pokok-pokok untuk kambing-kambing berteduh matahari panas.
Biasanya kambing diikat dengan tali pada lehernya kemudian ditambat pada sejenis alat yang diperbuat daripada kayu dalam bentuknya yang khsusus untuk dipacak ke dalam bumi, atau yang lebih simpel diperbuat daripada batang besi bulat sebesar ibu jari tangan atau ibu jari kaki sepanjang kira-kira sejengkal setengah untuk dihujam ke dalam bumi. Alat ini dipanggil pelunggur baik digunakan untuk menambat lembu, kambing dan sebagainya.
Kambing-kambing itu mungkin juga dicuri dari gok atau kandang-kandang yang dibina dalam kawasan rumah. Pada masa dahulu kandang-kandang lembu atau kambing ini dibuat di bawah rumah, terutama untuk tujuan keselamatan. Tapi sekarang tidak lagi.
Pencuri-pencuri itu biasanya menggunakan motosikal untuk menganggkut kambing yang dicurinya itu. Hanya seekor kambing sahaja untuk sekali curi. Kambing itu dimasukkan ke dalam bakul besi berjaring yang diletak di bahagian hadapan tempat duduk, yang terlebih dahulu telah dibuat empat buah lubang yang telus dimasukkan kaki-kaki kambing itu. Kemudian kepala kambing itu ditutup dengan baldi palstik yang agak besar untuk menyembunyikannya.
Satu cara lagi pula pencuri kambing itu pergi bedua. Seorang pemandu dan seorang pembonceng. Bila kambing itu dapat ditangkap, lalu dipakaikan dengan baju kanak-kanak dan dikenakan dengan topi keledar. Pencuri yang menjadi pembonceng itu akan bertindak memeluk atau mendakap kambing itu dan meletakkanya antara dia dan pemandu motorsikal. Orang-orang melihatnya akan menyangka yang dipeluknya itu adalah bayi, sebagaimana para ibu memeluk anak mereka ketika membonceng motorsikal. Mereka tidak mungkin menyangkannya kambing.
Kalau lembu, pencuri-pencuri akan membawa van, dan memasukkan lembu-lembu itu ke dalam dan melarikannya untuk tujuan penjualan.
Saya teringat perbualan saya dengan seorang pegawai polis jenayah lama dahulu. Katanya para pencuri pantang mencuri kambing dan pakaian kanak-kanak yang sedang dijemur di sidaian, kerana kalau mereka mencuri kambing, mereka akan mudah kena tangkap.
Tapi para pencuri tidak mengira itu semua. Dosa pahala tidak lagi mereka kirakan, asalkan mereka dapat mencuri atau merompak dan memperolehi hasilnya.
Marilah kita menoleh ke belakang sejenak. Rasulullah SAW pernah mengambil upah menternak kambing untuk menyara hidupnya sebagai anak yatim piatu dan tinggal dengan datoknya, Abu Thalib. Wang upahan itu selain daripada digunakan untuk menyara hidupnya, dan yang selebihnya diserahkan kepada datoknya Abu Thalib untuk meringankan beban hidup yang ditanggung oleh datoknya itu. Selepas itu Baginda SAW terlibat dalam bidang perdagangan, membawa barang-barang dagangan milik Khadijah bin Khuwailid al-Asadiyah al-Qyrasyiyah ke Syam. Kemudiannya Baginda berkahwin dengan Khadijah yang merupakan sebahagian daripada hamba-hamba Allah yang terawal memeluk agama Islam.
Baginda Rasulullah SAW mencari rezeki dengan jalan menggembala kambing. Tapi sebilangan dari kita pula bertindak sebalik mencari rezeki dengan mencuri kambing untuk dijual. Bukan sahaja mereka tidak mendapat keberkatan, malah sebaliknya dilimpahkan dosa yang akan mendapat hukuman yang pedih nanti.
Peniaga-peniaga kambing pula hendaklah lebih berhati-hati ketika hendak membeli kambing. Jangan beli sesuka hati kerana harga kambing yang ditawar itu lebih murah dari biasa, sedangkan sumber kambing itu diperolehi menjadi keraguan. Jangan bersubahat melakukan maksiat untuk menempah dosa. Ingatlah daging yang tumbuh dari hasil yang haram itu hanya layak untuk makanan neraka.
Peminat-peminat daging kambing juga hendaklah lebih berhati-hati ketika hendak membeli daging kambing atau kambing hidup, supaya tidak membeli daging-daing kambing yang diragui, terutama daripada penjaja-penjaja yang tidak dikenali yang datang ke rumah untuk menjual kambing atau daging kambing dengan harga runtuh.
0 comments:
Post a Comment