GEMERSIK KALBU, TIDAK GEMERSIK ISLAMNYA
>> Wednesday, October 9, 2013
GEMERSIK KALBU,TIDAK GEMERSIK ISLAMNYA
Saya adalah
seorang pembaca biasa novel. Sejak beberapa bulan ke belakangan ini saya telah
membeli dan membaca sekumpulan novel-novel cinta. Saya merasa kagum dengan novel-novel itu di mana novelis-novelisnya
menyampai mesej-mesej mereka menerusi dialog-dilog, jalan cerita, dan
ucapan-ucapan dalam novel itu dan sebagainya.
Semua novel-novel cinta yang saya baca itu ciptaan novelis-novelis yang berbakat dan membawa mesej Islamik. Kita merasa keIslamannya itu ketika sedang membaca dan juga selepas membaca novel-novel itu. Saya sebenarnya bukan pengulas novel, tapi pembaca biasa novel. Saya merasa amat bangga dengan penulis-penulis sekarang, terutama penulis-penulis muda yang begitu kommited, khususnya para novelis memperjuangkan kesucian Islam dalam karya-karya seni mereka.
Baru semalam
saya selesai membaca novel Anis Ayuni, GEMERSIK KALBU setebal 582 muka.
Cara penaympaiannya, lenggok bahasanya dan pengolahan Anis Ayuni memang membanggakanya. Ada kalanya ketika membca
novel itu terasa getaran-getaran mengocak perasaan dan hati bersama-sama dengan
watak-wataknya.
Novel ini kisah
mengenai seorang guru wanita yang masih gadis dalam mengharungi hidupnya
sebagai seorang perawan. Dia telah kehilangan tunangnya dalam satu kejadian
yang tidak diduga-duga, kerana ditelan ombak. Kemudian dia berkenalan pula
dengan seorang pemuda, yang pada mulanya amat dia benci, terutama sekali kerana
bayangan tunangannya dahulu yang lalu memayunginya, dan juga kerana lelaki itu
seorang yang tidak bermoral, tapi akhirnysa berkahwin dia dengan lelaki itu dan
melahirkan turunan.
Watak utamanya
seorang gadis yang bernama Raihana dan nama singkat dan manjanya Ana, tunang
pertamanya Cikgu Wan Ariffin, nama timang-timangannya Wan dan seorang jejaka
lagi ialah Sufian, nama singkat dan manjanya “Pian”. Mereka inilah merupakan
watak utama menghidupkan novel GEMERSIK KALBU, di samping beberapa watak sampingan yang lain.
Liku-liku hidup
yang dilalui oleh gadis Ana ini, sebagai seorang Islam amatlah menjengkelkan. Hidupnya
dilalui dengan penuh maksiat. Sebelum bertunang dengan Wan, semasa dalam pertunangan,
dan selepas berkenalan seorang lelaki bernama Sufian selepas tunangnya mati, hidup Ana
dikotori oleh maksiat.
Duduk
berdua-duan antara mereka, bergurau senda, berucit-cerapet, jamah hidung,
pegang pipi, ramas tangan adalah perkara yang biasa kepada Ana. Nampaknya Cikgu Ana merelakan dirinya diperlakukan demikian, tanpa
bantahan, walaupun kadang-kadang dia tidak bersetuju tindakan sang lelaki itu
di dalam hati, tapi tanpa alasan yang berpijak pada agama sudah tentu dia
tidak berani membantah.
Malah lelaki [Pian]
yang menikah dengannya itupun sebelum diijabkabulkan bukan sahaja setakat tidur
serumah, tapi pernah digambarkan tidur sebilik berdakapan-dakapan dengan Ana
dalam keadaan yang terdedah auratnya, yang menimbulkan kecurigaan kepadanya
bahawa dia telah dirogol oleh Pian, walaupun sebenarnya tidak, sebagaimana diketahui
kemudiannya daripada mulut lelaki itu sendiri selepas mereka menjadi suami
isteri yang sah.
Kenapa watak
wanita Muslimah yang bernama Cikgu Ana ini dijadikan begitu lemah, kerdil, pengecut, tidak beriman sehingga
sanggup merelakan dirinya di-permain-mainkan oleh lelaki yang dianggapnya baik
dan bertimbang rasa terhadapnya, tapi tidak sedar akan halal dan haram dalam Islam,
terutama dalam hubungan antara lelaki dan perempuan? Hingga sanggup membiarkan dirinya melanggar
hukum-hukum Allah dengan sewenang-wenangnya.
Bukan sahaja
watak-watak utamanya tidak memperdulikan hukum-hukum Islam, watak-watak
sampingan lain juga tidak digambarkan sebagai manusia yang cakna tentang Islam tapi sebagai manusia yang tidak
mengetahui atau jahil tentang
hukum-hukum Islam dalam hubungan lelaki dan perempuan. Mereka semua
nampaknya menggalakkan watak utamanya Ana melakukan kerja-kerja maksiat dengan
tidak menegur, malah semacam memberi galakan kepadanya.
Mereka semuanya
dicipta menjadi manusia yang tidak merasa malu kepada Allah, tidak bersedia
untuk menjunjung segala perintahnya, yang bukan sahaja setakat puasa,
sembahayang dan menutup aurat. Di manahkah nilainya menutup aurat kalau boleh
keluar berdua-duaan dengan lelaki yang halal dinikahinya, malam atau siang,
duduk berdua-duaan di tempat sunyi sepi, bersenda gurau seperti suami isteri tanpa
menghirau dosa dan pahala? Apa lagi membiarkan bahunya dipegang, pinggangnya
dipeluk, tubuhnya didakap, jari jemarinya diramas-ramas dan mukanya
dibelai-belai sedangkan mereka belum kahwin? Bukankah itu haram dalam Islam.
Saya sedar
senario ini mungkin merupakan realiti dalam sesetengah masyarakat muda mudi
kita hari ini, tapi kita orang Islam tidak boleh menjadi pemuka atau pejuang
untuk menghidup atau menghalalkannya dengan apa cara sekalipun. Guru dengan
perguruannya. Penulis dengan penulisannya. Pendakwah dengan dakwahannya. Novelis
dengan novelnya. Semuanya wajar berusaha untuk membetul ketempangan yang
berlaku dalam masyarakat Islam ini supaya kembali kepada kewarasanya sebagai
sebuah masyarakat Islam yang diredai Allah, dan bukan sebaliknya?.
Saya harap pembaca-pembaca
dari kalangan muda-mudi, tidak terpengaruh dan cuba meniru-niru atau mencontohi
gaya hidup watak-watak utama dalam novel ini dalam tindak tanduknya yang meminggirkan
Islam, kecuali tentang kesabaran Ana dalam melayan ibunya yang sakit yang menyebabkan
ibunya yang selama ini menyimpan sikap beku dingin terhadapnya berubah menjadi
seorang ibu yang bersedia dan rela menerimanya sebagai salah seorang puterinya
yang dikasihi dan disayangi.
Sebagai anggota
masyarakat, dan sebagai seorang pembaca, saya harap para penulis, para novelis
dan semuanya mestilah merealisasikan cita-cita dan hasrat mereka dalam berkarya
untuk menyampaikan mesej yang mulia demi pembangunan jiwa manusia yang
berlandaskan iman dan takwa. Bukannya menghidup dan memuja suasana atau
watak-watak yang bercanggah dengan Islam yang syumul.
Sekian selamat
berkarya di bawah panji-panji keIslaman dengan berpegang kepada amanat untuk
membangun jiwa manusia ke kemuncak kemuliaannya yang hakiki.
0 comments:
Post a Comment