Toleh Ke Belakang: Kisah Cinta Di Negara Tembok Besar
>> Monday, September 2, 2013
Toleh Ke Belakang
KISAH CINTA DI NEGARA TEMBOK BESAR
CINTA adalah salah satu unsur yang penting untuk memupuk sebuah rumahtangga
yang bahagia raya dan aman damai. Tanpa cinta sejati sebuah rumahtangga itu
mungkin runtuh berkecai, persis sebuah bangunan dibina di atas pasir lembut di
gigi pantai tanpa berlapit dengan tapak yang kukuh.
Sepasang suami isteri yang dimeterai oleh pertalian cinta kasih yang luhur
akan merasa lebih nikmat dan bahagia dan tenteram walaupun mereka menetap di
gobok-gobok usang, daripada sepasang suami isteri yang tinggal di istana-istana
besar tanpa dijalin oleh cinta kasih. Malah istana itu mungkin bertukar menjadi
sebuah neraka yang menjadi timbunan tragedi dan kesedihan.
Sebenarnya cinta memain peranan yang penting dalam kehidupan manusia di
dunia ini dari sejak msnusia dilahirkan ke dunia sampai ke liang lahad. Manusia hidup dengan cinta, malah kerana
cintalah manusia hidup dan mati, dan kerana cinta dunia ini berlegar dan berputar.
Cintalah menjadi tenaga pendorong kepada manusia. Banyak karya-karya seni
yang agung adalah dilahirkan kerana dorongan cinta yang murni. Seseorang sasterawan
muda yang dilambung oleh ombak percintaan lumrah mendapat ilham untuk mencipta
karya-karya seni yang agung. Sebaliknya kerana cinta juga banyak anak-anak muda
jadi musnah, iaitu mengalami cinta yang tidak tercapai atau patah di tengah
jalan, kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Hakikatnya cinta akan binasa bila ada campurtangan dari luar. Umpamanya
sepasang muda-mudi yang sedang dilambung percintaan akan “rosak” bila ada
campurtangan keluarga dalam urusan percintaan mereka yang bertujuan untuk
menceraiberaikan kedua merpati yang sedang mabuk dilamun cinta itu.
Chinta Di Negara Tembok Besar
Mari kita toleh ke belakang sejenak. Bagaimanakah dengan dunia cinta di negara
Cina Komunis yang pernah diperintah oleh bapak komunis Mao Tze-tung [sebenarnya
Mao Zedong] pada suatu masa yang lalu.?
Di negara tersebut urusan cinta yang murni mendapat campurtangan dan paksaan
yang serius dari luaran. Perkara seperti ini telah berlaku sejak Sebelum Masihi
lagi dan berterusan sekian lama.
Mengikut riwayat, pada tahun 495 Sebelum Masihi, Seri Maharaja Yoh telah tewas
dalam peperangan dengan Maharaja Yew , lalu berundur ke suatu tempat
bernama Kelui Chee [sekarang Shau Syin]
di Chinkiang, yang pada masa itu penduduknya amatlah sedikit sekali. Dengan
tujuan untuk mempercepatkan pertambahan penduduknya, maka Seri Maharaja Yoh
memperbuat undang-undang, iaitu sesiapa sahaja yang tidak mengkahwinkan anak
gadis mereka ketika berusia 17 tahun, dan 20 tahun kepada anak lelaki, mereka
akan dihukum.
Tulisan tertua yang dijumpai mengenai perkara ini berasal dari Dinasti Chin [282 SM] berbunyi: “Bila
orang tua tidak boleh mengkahwinkan anak perempuannya ketika berusia 14 tahun,
pemerintah mesti mengambil tindakan dan mengkahwinkan anak perempuan itu.
Dengan siapa dia dijodohkan tidak menjadi soal, asalkan anak itu kahwin sahaja”.
Cuba lihat tingkatan umur itu kian menurun kepada 14 tahun.
Daripada catatan tersebut terbukti bahawa unsur cinta tidaklah sedikit pun termasuk
perhitungan dalam soal perkahwinan atau berumahtangga itu. Tambahan pula
pepatah kuno Cina ada mengatakan:
-Beras disimpan buat menghadapi masa sukar, anak-anak
dibesarkan untuk menghadapi masa tua.
-Cepat-cepat berbiak, akan ada kepastian tentang waris.
-Lebih banyak anak, lebih banyak
kebahagiaan.
-Manusia tanpa tunas adalah satu tindakan paling celaka.
Tapi lama kelamaan dalam masa berlalu, keadaan itu mengalami perubahan,
iaitu dengan meresapnya kebudayaan Barat di negara itu. Usia kahwin kian
meningkat dan mereka dapat menentukan jodoh mereka sendiri.
Dalam Zaman Mao Tze-tung?
Tapi bagaimana pula alam percintaan dalam zaman pemerintahan Mao Tze-tung
memegang tampuk kekuasaan tahun 1949 hingga beliau mati pada tahun 1976?
Mao Tze-tung dengan parti komunisnya menentukan soal perkahwinan dan kekeluargaan dengan istilah perjuangan kelasnya. Pada zaman Mao, cinta dan jantina bukan lagi menjadi soal peribadi, tapi dicampurtangan, diatur dan dikuasai oleh Parti Komunis. Pada masa itu perkahwinan di negara komunis itu bukanlah persatuan ruhani dan jasmani, tapi hanya sekadar untuk memenuhi desakan nafsu yang dibatasi oleh syarat-syarat sejarah dan kebendaan.
Sejak itulah secara sistimetis dilancarkan propaganda-propaganda anti cinta,
sedikit demi sedikit unsur-unsur cinta itu cuba dilenyapkan, menerusi
kempen-kempen yang dilancarkan.
Orang-orang muda yang ingin kahwin sebelum berusia 30 tahun dianggap
sebagai “kemunduran ideologis”. Bercinta ala barat, berpegang-pegang tangan di
pawagam-pawagam dianggap sebagai “sentimen borguis” dan “tidak menghargai proletar”.
Cinta dianggap sebagai penyakit jiwa, “psychosis”, menghabiskan masa dan tenaga
dengan sia-sia.
Ketika berucap di hadapan mahasiwa-mahasiwa Universiti Peking, isteri
Perdana Menteri Chao In Lai pernah menegaskan tuntutan parti tentang cinta
sebagai berikut:
“Pada masa-masa yang lampau ramai orang mengalami perpisahan yang lama demi
perjuangan revolusiner, dan hari ini pun banyak pasangan-pasangan yang terpaksa
berpisah demi pembangunan komunisme. Jadi revolusi menuntut pergorbanan dari
hidup kita. Sekarang revolusi masih meminta sekadar pengrobanan sementara dari
kepentingan-kepentingan peribadi anda sekalian. Apakah anda tidak boleh mempersembahkan
pengorbanan yang sekulimit itu?”.
Pada suatu masa sebuah pawagam di Shanghai menayangkan sebuah filem yang
berjodol “Musim Semi Awal Bulan Januari” yang menggambarkan kehidupan kaum
intelek sekitar tahun 1923-1927. Filem itu adalah sebuah kisah cinta. Beribu-ribu
orang berduyun-duyun menonton filem itu.
Akhbar-akhbar tempatan memaki hamun filem itu sebagai sebuah filem yang
merangsangkan orang-orang bercinta dan berkasih sayang seperti banyak berlaku
dalam masyarakat borjuis. Namun begitu, penuntun-penuntun tetap juga ramai
menuntun filem itu.
Ini membuktikan bahawa cinta itu bersifat demokratis, tidak mengenal
mana-mana pihak, golongan-golongan atau parti-parti sekali pun. Cinta adalah
sesuatu yang luhur, yang tidak mengenal sekatan dan undang-undang, yang tidak
mengenal darjat dan perkauman.
Dalam Majalah Gathry di Tokyo keluaran bulan Januari 1968, pernah
menceritakan Mao Tze-tung, Pengerusi Parti Komuns China, pada waktu itu berusia
75 tahun jatuh cinta kepada seorang gadis, puteri kepada Chow En-Lai, bekas
seorang jeneral Koumintang pada tahun 1949 yang kembali mengyokong Mao. Dan gadis
itu lulusan Universiti Peking.
Tidaklah diketahui bagaimanakah cerita itu berjalan selanjutnya.
0 comments:
Post a Comment