Rahsia Allah Di Celah-celah Kehidupan
>> Monday, September 16, 2013
Pada suatu pagi yang syahdu, seorang lelaki berdiri di di bernada rumah. Menghadapi ke
arah mata hari naik. Di kaki langit, di atas pucuk-pucuk pokok menghijau dan
merimbun, kelihatan awam-awan bergumpalan dan berkumpul dalam tumpukan-tumpukan warna-warni yang masih belum begitu jelas kelihatan di
ufuk Timur. Kesunyian alam masih belum terusik dalam keheningan pagi selepas
bermandi hujan semalaman walapun tidak lebat. Tidak seperti biasa, pada waktu
sepagi itu, beburung biasanya sudah ralik berkicau dari dahan ke dahan, dari
ranting ke ranting berdendang menyambut ketibaan pagi. Mungkin kerana suasana
pagi yang sejuk dan lembab selepas hujan berpanjangan semalam menyebabkan
mereka tidak ceria untuk menyambut ketibaan pagi seperti biasa.
Sang lelaki memandang rumah-rumah di hadapan pondoknya yang mulai hidup setelah
menyepi samalam bersama dengan penghuni-penghuninya yang menikmati rahmat
malam. Lampu-lampu telah menyala kembali, menembusi kaca-kaca tingkap dan
cermin-cermin berbingkai pada dinding-dinding rumah yang digunakan untuk
menangkap cahaya dari luar masuk ke dalam rumah supaya kelihatan lebih
benderang di waktu siang.
Pondok lelaki itu terletak di bahagian belakang sekali daripada sekumpulan
beberapa buah rumah dalam kawasan perumahan mini ini. Dari pondoknya hanya lima buah rumah sahaja yang kelihatan
dengan jelas, dan enam buah lagi terlindung di sebalik lima buah rumah
bertingkat tersebut. Itupun hanya tiga buah rumah sahaja yang kelihatan dengan
jelas, sedangkan dua buah lagi itu hanya nampak sebahagian daripada bentuk
rumahnya sahaja kerana dilindungi oleh ketiga-tiga buah rumah tersebut.
Kesepian mulai terasa merayap ke dalam hati sang lelaki. Kerinduan mulai
menjenguk jauh di dasar hatinya, tapi tidak diketahui di mana permulaannya dan di mana pengakhiraannya. Tiba-tiba ia
muncul mengocak perasaannya. Pondoknya itu sudah mulai diselimti kesepian,
kerana anak-anak dan cucu-cucunya telah berangkat ke sekolah yang jauh dari
rumah. Biasanya kerinduan dalam kesepian ini mengandungi tenaga magis yang
mengasyikkannya, menghayutkannya dalam arus kenangan yang bertali-arus,
membuai-buaikan perasaan.
Kepada mereka yang arif, jalur-jalur kenangan yang bertali-arus itu dan
perasaan yang brsimpang siur akan
membawa mereka terdampar ke suatu batas yang hakiki, yang tidak boleh
diabaikan, iaitu Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Bila sampai ke
perbatasan hakikat ini, semuanya secara automatik akan terhenti dan lampunya
akan padam diselubungi Zat Yang Maha Berkuasa. Tidak ada suatu apa pun lagi
dapat menembusinya. Itulah hakikatnya diri manusia sebagai insan di maya pada
ini.
Sang lelaki memandang rumah di sebelah kanan pondoknya. Dari luarnya
kelihatan tenang dan aman.Tapi keadaan persekitaran rumah yang muram. Halaman
rumah yang sempit tapi tidak terbelai. Pokok-pokok bunga dalam jambangan yang
melayu dan mengering. Rumput-rumput pedek tapi meliar. Suasana halaman yang
tidak ceria. Semuanya menggambarkan seuatu warna jiwa yang malap, yang
menggerhanakan hati dan perasaan penghuninya.
Rumah itu ditinggali oleh dua dua orang insan. Seorang wanita dan seorang
anaknya. Seorang wanita yang masih muda bersama dengan seorang anaknya yang masih
kecil, belum bersekolah. Suaminya baru meninggal dunia setahun dua yang lalu,
setelah mereka baru sebulan berpindah menduduki rumah yang baru mereka bina itu.
Bayangkanlah bagaimana luluhnya hati seorang isteri, yang sedang diulit
mimpi-mimpi yang indah, kasih dan sayang sedang semerbak memekar, waktu
aneka-aneka impian sedang dirangka untuk
dibina ke alam kenyataan untuk diharungi
bersama, dengan tiba-tiba orang yang dikasihi, yang menjadi belahan hati dan
tajuk jiwa, secara mendadak, hilang kerana dijemput oleh Ilahi ke pangkuan-Nya.
Sedangkan anaknya masih kecil telah kehilangan payung tonggak kasih sayang,
tempat meneduhakan seribu harapan, mencurahkan seribu perasaan, menjalinkan
kemesraan, sedangkan si ibu pula kehilangan tongkang harapan, yang akan diharap
membwanya menempuh ombak dan gelombang, dengan hati yang penuh kemesraan dan
berpilin dengan benang-benang sutera dan emas tempawan untuk mendarat di
pengkalan yang penuh dengan kebahagian dan pengharapan.
Walaupun ia merupakan ketentuan Ilahi dari sejak azali lagi, suratan takdir,
penentuan yang tidak boleh dimungkiri oleh setiap insan, tapi hati manusia walau
seteguh mana sekalipun, selagi dia memiliki sekeping hati kemanusiaan, dia tidak
akan terlepas dari kesan-kesannya, waemo sedih atau gembira. Dia gembira,
andainya takdir itu menyenangkannya, dan dia berduka kiranya takdir itu menghiriskan
hatinya. Hidup manusia merupakan tapak luas yang telah ditentukan jalur-jalurnya
antara suka dan duka. Walau bagaimanapun dia tidak harus melupakan bahawa
semuanya merupakan ketentuan Allah yang akan mendamparkannya ke batas kesedaran
kepada dirinya yang maha kerdil dan kekuasaan Allah Yang Maha Besar dan Maha
Perkasa. Kesedaran ini akan mebawa dia ker arah kewarasan hidup.
Lelaki itu mengalihkan pandangannya ke arah rumah yang betul-betul
bertentangan di hadapan pondoknya yang hanya dipisahkan oleh sebatang jalan
perumahan yang pendek. Rumah itu dihuni oleh dua keluarga, keluarga ibu dan anaknya.
Si anak tinggal bersama dengan dua orang
anaknya yang masih belum bersekolah, sementara si ibu tinggal bersama suaminya
dan dua anakya yang telah remaja. Suami si ibu balik setiap petang selepas
bekerja, tapi suami si anak?
Di khabarkan si anak itu, mempunyai suami, tapi perhubungan mereka tidak
lancar. Ada sengekta suami isteri yang serius. Ini menyebabkan suaminya sudah
berbulan-bulan tidak balik ke rumah, dan dia pun tidak pergi ke rumah suaminya
tempat mereka tinggal selama ini. Mereka membawa haluan masing-masing. Dua
orang anak mereka yang masih kecil itu tinggal bersama dengan isterinya itu.
Tentunya wanita muda itu tidak bahagia, dan anak-anaknya pun tidak merasa
bahagia kerana telah kehilangan kasih sayang seorang ayah tempat bermanja.
Dan teratak di mana lelaki itu berdiri di beranda itu pula sudah padam sebuah sumbu
pelitanya ketika pondoknya masih dalam proses pembinaan. Justeru itu tidak
sempat ianya menyala di pondok, kerana cahayanya terlebih dahulu padam dan
kembali kepada Ilahi Maha Pengasih dan Penyayang. Cahaya yang membahagiakan mereka
selama ini telah lupus sebagaimana padamnya pelita dihembuas angin. Dari Allah
kita datang kepada Allah kita kembali. Itulah suratan Ilahi. Walaupun dia
meredakan pemergiannya, tapi keping-keping hati mereka yang mengasihinya tetap
merasa telah kehilangan sesuatu yang tidak ternilai harganya, dan meninggalkan
kelompongan yang sukar untuk diisi.
Namun begitu, kepada yang masih hidup ini, mereka harus bersyukur kepada
Allah kerana dikurniakan usia yang lanjut untuk meniti lembaran-lembaran hidup
ini dengan harapan dikurniakan taufik, hidayah dan makrifat dalam mewarnai
lorong-lorong kehidupan yang memang hanya menuju ke satu hala sahaja, iaitu
keperbatasan hidup di mana semua yang bernafas akan terhenti untuk memasuki ke
alam baru yang kekal dan abadi.
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di
sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu”. Al-Hujurat: 13.
Demikianlah aneka ragamnya kehidupan manusia di muka dunia ini yang
diselimuti oleh berbagai-bagai rahsia yang nyata dan tidak nyata. Di sebalik
yang nyata ini, terdapat pula yang tidak nyata. Ada yang biasa, ada yang luar
biasa. Ada yang normal dan ada yang ganjil. Ada rahsia kehidupan dan ada rahsia
kematian. Berbaur-baur dalam dunia ini. Ini semuanya menunjukkan kebesaran dan
kemahakuasaan Allah SWT semata-mata. Itulah rahsia Allah.
Dalam perseketaran rumah lelaki itu yang hanya mengandungi beberapa buah rumah sahaja
itupun mengandungi berbagai-bagai kisah yang berbeza-beza, yang tersembunyi
yang nyata, yang gembira dan yang duka, yang diketahui dan tidak diketahui, apa
lagilah dalam dunia yang luas terbentang ini. Semuanya itu membuktikan
kebesaran dan kemahakuasaan Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Bijaksana mengaturkan
segala-galanya.
Ia juga jelas membuktikan, kekayaan dan harta benda, rumah-rumah yang
besar, kereta-kereta yang mewah dan hebat, pekerjaan yang berpangkat, jawatan yang mulia tidak
dapat mengubah nasib manusia yang menjadi ketentuan Allah SWT. Sebuah istana
besar, tidak dapat mengurniakan impian-impian kepada penghuninya. Sebuah kereta
mewah tidak dapat memanjangkan usia hidup pemiliknya. Sebuah jawatan tinggi
tidak dapat membahagiakan sebuah keluarga. Demikianlah pangkat, jawatan, harta
dan kekayaan tidak dapat menjadi sumber yang mutlak kepada kebahagian hidup
manusia. Hakikat hati manusia bukannya setongkol benda yang berjisim, tapi
sesuatu kejadian yang luhur yang memiliki rahsia-rahsia ketuhanan yang mampu
menentukan arah kehidupan manusia yang akan menentukan mereka menuju kepada
kebahagian abadai atau kecelakaan abadi. Hati manusia ini kalau tidak dikawal
selia dengan wajar, ia akan lebih cenderung untuk memilih kepada nafsu
kejahatan yang mendamparkan mereka ke lembah kebinasaan.
Rasulullah SAW bersabda, “Dari Ibnu Abbas dan Anas bin Malik [reda Allah
atas mereka semua] bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kalau kiranya adalah
pada anak Adam sebuah lembah dari emas, dia ingin supaya dapat dua lembah. Pada
hal tidaklah ada yang akan memenuhi mulut anak Adam itu selain dari tanah jua. Dan Allah akan memberi taubat
bagi barangsiapa yang bertaubat”. HR:Bukhari Muslim.
Justeru awaslah, berhati-hatilah, pandang dan renunglah kehidupan di
sekeliling, dengan mata jasmani, mata hati dan mata ruhani untuk mengambil
iktibar dari rahisa-rahsia Allah yang nyata dan yang tersembunyi, demi
kebahagian hidup kita di dunia dan juga di Akhirat. Banyak rahsia di sekeliling
akan membuka tabir rahsia Allah jika kita memiliki kunci untuk membuka pintu
makrifat-Nya.
Bila mata hari telah tersembul di kaki langit Timur, lelaki itu lalu
tersedar dari lamunan yang melara begitu jauh melepasi kaki langit dan
menembusi angkasa yang tidak akan berhujung andainya dibiarkan berkelana tanpa
kekangan. Dia pun lalu beredar dari itu dan masuk ke pondoknya untuk meneruskan
rutin hidupnya yang biasa tanpa berteman selain dari Allah.
Itulah rahsia Allah di celah-celah kehidupan ini.
0 comments:
Post a Comment