Menoleh Ke Belakang Apa Perlunya?
>> Thursday, September 19, 2013
MENOLEH KE BELAKANG APA PERLUNYA??
Dalam kesibukan hari-harian, walau bagaima sibuknya sekalipun, kita perlu toleh ke belakang. Membuka tingkap masa lalu. Membaca apa yang telah tersirat, khusus hasil pintalan tangan kita sendiri dalam memahat sejarah. Meneliti dan mengkajinya. Memereksa. Menilainya. Maka dengan itu dapatlah kita mengatur dan menyusun dasar dan strategi perjuangan baru yang bakal menyusul, supaya kejayaan-kejayaan yang lebih besar dan efisen dapat diraih dan juga lebih banyak kerugian dan kerosakan dapat dihindari.
Ibarat
orang memandu kenderaan di atas jalan raya, perlu juga pandang ke belakang,
bukan dengan memalingkan kepala, tapi dengan melihat cermin sisi atau cermin
pandang belakang, untuk mempastikan keudukan kenderaannya berada dalam posisi yang
selamat daripada kenderaan yang mungkin membuntuti di belakangnya. Terutama
ketika dia hendak berhenti, membelok kanan atau kiri dan ketika hendak memotong supaya
kenderaannya tidak disundul oleh kedenderaan yang berada di belakangnya. Demikianlah
perlunya pandang belakang itu.
Andainya
kita tidak bersedia menoleh ke belakang, bererti kita tidak sukakan sejarah.
Justeru kita tidak dapat menilai sejarah. Sedangkan sejarah itu, merupakan ruas-ruas
hidup yang penting kepada manusia untuk dibaca dan diteliti, dikaji dan
direnung, dinilai buruk dan baiknya. Banyak rahsia akan terdedah,
perkara-perkara yang perlu kita jauhi dan perkara-perkara yang wajar kita
ulangi dalam perjuangan kita untuk memburu kejayaan sebagai individu atau
sebagai sebuah masyarakat atau bangsa yang dinamis.
Setiap
pemimpin, kecil atau besar, regional atau negara, wajar menoleh dan menilai
sejarah yang lampau, supaya dengan itu mereka tidak terikut-ikut dengan langkah-langkah
dan amalan-amalan mereka-mereka yang Allah telah laknat dan binasakan di
masa-masa yang lalu kerana derhakanya mereka kepada Allah.
Sejarah
mencatatkan bahawa pemerintah Mesir, Firaun adalah seorang penguasa yang keji,
kejam dan hina, bongkak dan sombong, hingga akhirnya menjadi meta mendakwa
dirinya adalah tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya yang hidup mereka telah
dilempar ke dalam neraka kesukaran, kehinaan dan kekejaman dan ketakutan yang
tidak terperi.
Tapi akhirnya
Firaun dan pengikut-pengikut setianya telah dihukum oleh Allah sebagaimana
diceritakan oleh al-Quran. Demikianlah nasib yang menimpa orang-orang yang
lalim dan kejam di sepanjang zaman yang menerima pembalasan dari Allah.
Allah
berfirman:
“Dan
sesungguhnya Kami telah menghukum [Firaun dan] kaumnya dengan [mendatangkan]
musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan supaya mereka mengambil
pengajaran”. Al-A’raf: 130
“Maka
Kami kirimkan kepada mereka angin taufan, belalang, kutu, katak dan darah
sebagai bukti yang jelas, tetapi mereka tetap sombong dan mereka adalah kaum
yang berdosa”. Al-A’raf: 133.
“Maka
Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air. Dan [dari]
perbendaharan dan kedudukan yang mulia”. Asy-Syuara 57-58.
“Kemudian
Kami menghukum mereka, maka Kami tenggelamkan mereka di laut disebabkan mereka
mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka adalah orang-orang yang melalaikan
ayat-ayat Kami itu”. al-A’raf: 136.
“Maka
Kami hukumkanlah Firaun dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke
dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim. Dan Kami
jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang
menyeru [manusia] ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong”.
Al-Qasas: 40-41.
“Maka
pada hari ini, Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pengajaran
bagi orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan daripada manusia
lalai akan tanda-tanda kekuasaan Kami”. Yunus 92.
Demikian
kalau kita menoleh ke belakang, kita dapat melihat dan menilai
peristiwa-peristiwa lampau yang akan memberi kesedaran dan keinsafan kepada
manusia yang mempunyai hati yang beriman dan bertakwa yang bersedia untuk melihat
dan menerimanya sebagai pengajaran-pengajaran yang amat tidak ternilai
harganya.
Kuaklah
pintu belakang. Tinjualah keluar. Perhatikan segala longgokan-longgokan
peristiwa lalu, yang buruk dan yang baik, yang perlu ditinggalkan dan yang
perlu dicontohi demi survival masa hadapan kita yang penuh dengan duri-duri dan
ranjau perjuangan yang akan membinasakan orang-orang yang alpa akan hakikat
dirinya sebagai hamba kepada Sang Yang Maha Pencipta.
Jangan
diratap. Jangan disedih. Segala yang telah berlaku telah beku dalam sejarah. Ia
tidak dapat diputarbalik untuk dihidupkan kembali. Masanya telah lalu, baik
atau buruk. Itulah hakikatnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah menerimanya
sebagai satu pengajaran. Butir-butir emas sejarah yang membina jambatan ke
zaman lampau. Jika tidak hati-hati menitinya kita akan jatuh ke dalam neraka
sejarah, menjadi seperti Firaun, umat Nabi Lut as dan sebagainya yang
ditunjukkan oleh sejarah.
Dengan menoleh ke belakang itu, kita dapat melihat segala kesalahan dan dosa-dosa yang mungkin telah ditaburkan oleh manusia di muka bumi ini dengan gerak laku menyanggah perintah Allah yang Maha Berkuasa. Segeralah berhenti membuat dosa. Bertaubatlah kepada Allah memohon keampunan-Nya. Taubat yang sesungguhnya. Taubah nasuha. Amatilah dan perhatikan sejarah orang lain untuk dijadikan panduan. Bukan untuk mengejek atau menghina, mencela atau mengumpat. Tapi sebagai pedoman untuk tidak mengulangi perkara sama yang telah membinasakan mereka. Yang baik buat teladan, dan yang tak baik buat sempadan.
Jangan
ketawakan sejarah. Jangan lalai dan lupakan sejarah. Segala apa yang berlaku
hari ini adalah merupakan rangkaian hari kelmarin, dan apa yang berlaku
kelmarin, ianya merupakan rangkaian peristiwa yang berlaku hari-hari-hari
sebelumnya. Apa yang berlaku minggu ini dan bulan ini, ianya adalah merupakan
rangkaian peristiwa minggu dan bulan lepas. Dan apa yang berlaku pada tahun
ini, ianya adalah mata rantai peristiwa yang berlaku pada tahun lepas. Hari
ini, minggu ini, bulan ini, dan tahun ini tidak pernah berdiri solo sendirian
terlepas dari masa-masa sebelumnya. Tidak ada hari ini, kalau tidak ada
kelmarin. Tidak ada minggu ini dan bulan ini, kalau tidak minggu lepas dan
bulan kepas. Dan tidak ada tahun ini, kalau tidak ada tahun lepas. Demikianlah
seterusnya berantai-rantai masa itu.
Tapi
jangan keliru. Jangan cari pintu belakang. Dan jangan main pintu belakang.
Jangan ghairah dengan pintu belakang. Itu tidak normal. Akan membawa kepada
kebinasan dan kemalapetakkan. Sejarah telah membuktikan, bahawa umat Nabi Lut
as telah dilebur dan dimusnahkan oleh Allah kerana gilakan pintu belakang.
Manusia yang yang hidup dalam kemungkaran telah dimusnahkan Allah.
Menoleh
ke belakang itu perlu kepada kebaikan kita, kebaikan masa depan kita, kebaikan kelanjutan
kehidupan kita, malah untuk kebaikan seluruh kehidupan kita dari golongan yang
waras menilai masa belakang itu. Masa belakang itu dapat dijadikan benteng penyelamat yang utuh kepada masa kita kini,
sekarang dan akan datang.
Awas dan
waspadalah!
0 comments:
Post a Comment