Sebelah Selipar Di atas Jalan

>> Friday, August 24, 2012


SEBELAH SELIPAR DI ATAS JALAN



Tengah hari itu kami dalam perjalanan berkereta dari KB ke Besut untuk menghadiri majlis menyambut menantu adik saya yang diadakan pada hari raya ‘Aidilfitri ketiga tahun ini. Setelah tidak jauh keluar dari rumah di Pasir Tumbuh, kami terpandang sbelah selipar wanita terbaring di atas jalan raya.





"Selipar sipalah tu?", kata anak saya Ahma.d Faris Zaini yang sedang memandu kereta



Saya nampak, selipar itu masih baru dan cantik. Tapi hanya sebelah. Selipar itu mungkin selipar yang dibeli khusus untuk menyambut hari raya ‘Aidilfitri.



Bagaimana selipar itu boleh berada di tengah jalan raya itu?



Ia bukan akibat kemalangan jalan raya, kerana tidak ada sebarang kesan kemalangan yang berlaku di situ. Kalau berlaku kemalangan sudah itu sisa-sisa kemalangan, seperti kaca-kaca akan berselerak di sekitarnya.



Ia mungkin terjatuh dari pemboceng motosikal yang tidak sedar ketika motosikal berjalan. Sedar-sedar nanti kaki hanya mempunyai sebelah selipar bila hendak turun waktu sampai di tempat yang dituju.



Atau ia dibaling keluar tingkap ketika kereta sedang bergerak oleh kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa atau kerana marah tanpa disedari oleh penumpang-penumpang lain.



Tiba-tiba fikiran saya melayang jauh ke suatu masa yang lampau. Pada suatu hari, kami, saya dan isteri [Asiah Yaacob, semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] baru sampai ke rumah di PB dari KB. Waktu itu tengah hari. Bila isteri saya hendak turun dari kereta, dia baru menyedari hanya kaki kanannya sahaja yang berselipar, sedangkan kaki kiri berkaki ayam.



Kami tertanya-tanya begaimana sebelah selipar itu boleh hilang?



Tidak ada jawapan yang konkrit dan menasabah yang dapat diberikan waktu itu, selain dari ketawa. Maka kami pun membuat kesimpulan selipar isteri saya itu telah hilang, tanpa diketahui bagaimana cara kehilangannya?



Selipar yang hilang itu baru dibeli, dan baru sekali dua dipakai oleh isteri saya ketika keluar rumah.



Pada sebelah petangnya pula kami berdua keluar kerana ada urusan penting. Kami lalui jalan yang sama-KB-Binjai. Saya memandu kereta.



Bila sampai berhampiran dengan Kampung Wakaf Tok Paduka, nun di sana saya nampak terbaring sebelah selipar wanita di tepi jalan. Saya lantas memberitahu isteri saya yang duduk di sebelah.



Bila ternampak selipar itu, isteri saya lalu berseru, “Itu selipar Yah. Berhenti, berhenti!”, katanya kepada saya.



Saya terus memperlahankan kereta yang memang bergerak perlahan itu dan berhenti bila sampai di hadapan selipar terbaring lesu itu. Beliau turun dari kereta mengambil selipar itu. Sebelah kiri. Beliau pasti selipar itu memang kepunyaan beliau.



Setelah menaiki kereta semula dan duduk beliau pun meniliti selipar itu. Keadaannya masih baik. Tidak ada tanda-tanda telah dipijak atau dilanyak oleh sebarang kenderaan, walau pun ianya terletak di tepi jalan.



Katanya selipar itu telah terjatuh dari kakinya ketika hendak menaiki kereta pagi tadi bila kami berhenti kerana sesuatu urusan di situ. Selipar itu tertanggal dari kakinya tanpa disedari bila dia duduk dan menarik keuda kakinya masuk ke dalam kereta. Hanya selipar sebelah kanan sahaja yang terselamat dan masuk ke dalam kereta.



Kami bukan sahaja tersenyum, tapi juga ketawa. Sesungguhnya kalau memang sudah rezeki itu, ia tidak akan ke mana jua. Ketemu juga akhirnya.



Sesungguhnya kalau sesuatu itu memang ditentukan hak kita, ia tidak akan ke mana, kembali jua ia kepada kita.



Ini adalah salah satu daripada pengalaman-pengalaman yang mencuit hati dan mengamit perasaan untuk kami tersenyum lebar.Pengalaman seperti itu tidak pernah lagi kami alami selepas itu, dan kami juga tidak pernah lagi melihat kejadian yang seumpamaa itu menimpa orang lain, kecuali sekali dua di tempat kemalangan jalan raya yang baru sahaja berlaku.



Kami bukan sahaja tersenyum, tapi juga ketawa. Sesungguhnya memang kalau sudah rezeki itu, tidak akan ke mana jua. Ketemu juga akhirnya.



Sampai ke hari ini pun, kalau teringatkan peristiwa itu, saya masih tersenyum. Ianya merupakan sebahagian daripada kenangan manis kami semasa hidup bersama sebagai suami isteri.



END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP