Menghantar Puasa
>> Sunday, August 12, 2012
MENGHANTAR PUASA
Kedatangan Ramadan disambut meriah dan penuh kesyukuran. Bukan sahaja dengan berpuasa di siang hari, tapi juga dengan menghidupkan roh puasa itu dengan ibadat-ibadat, khusunya solat Tarawih pada malam hari.
Semua masjid-masjid, surau-surau, musalla-musalla, khsusnya di kampung-kampung akan hidup segar di sepanjang bulan Ramadan, sekurang-kurangnya dengan pengisian solat Isa’ dan Tarawih yang hanya sekali dalam setahun, pada bulan Ramadan.
Sesetengah masjid pula akan menyediakan hidangan berbuka puasa untuk anak-anak mukimnya yang ingin berbuka di masjid, seterusnya solat Maghrib, menunggu solat Isa’ dan kemudian bertarawih. Para musafir juga dijemput untuk berbuka bersama, terutama bagi masjid-masjid dan surau-surau yang terletak di pinggir jalan raya.
Selain daripada menyediakan majlis berbuka pada bulan Ramadan, ada lagi sambutan istimewa untuk Ramadan, iaitu jamuan “Menghantar Puasa”. Bila bulan Ramadan telah melewati dua puluh hari, masjid-masjid, surau-surau dan madrasah-madrasah di kampung-kampung akan menentukan satu malam khas yang disediakan untuk “Menghantar Puasa”.
Pada malam itu diadakan jamuan khas utuk majlis berbuka atau bersahur, tapi kebanyakannya berbuka, bukan sahaja untuk orang-orang yang sembahayang di masjid tersebut, tapi juga untuk penduduk yang berhampiran walaupun mereka solat di masjid lain. Malah orang yang tidak bersolat Tarawih pun akan diundang juga untuk sama-sama menikmati majis berbuka “Menghantar Puasa”.
Dua malam yang lepas kami diundang menghadiri majlis berbuka Menghantar Puasa di sebuah madrasah di KB. Madarasahnya kecil, tapi Alhamduillah kira-kira seratus orang yang hadir. Tikar terpaksa dibentangkan di atas jalan di sebelah madrasah untuk majlis berbuka “Menghantar Puasa” hari itu.
Perbelanjaan untuk majlis berbuka itu diperolehi daripada sumbangan orang ramai, khususnya daripada orang-orang yang sembahayang di madrasah tersebut dan juga daripada penduduk-penduduk berdekatan. Mereka menghulurkan sumbangan secara ikhlas mengikut kesediaan dan kemampuan masing-masing.
Masakan disediakan secara gotong royong oleh ahli-ahli jemaah wanita madarasah dengan dibantu oleh jemaah lelaki. Ini menunjukkan semangat kerjasama dan bersatu padu masih hidup segar dalam masyarakat di kampung-kampung, walau masa terus berlalu membawa berbagai-bagai cabaran yang sengit terhadap budaya hidup kita umat Islam.
Bagaimana sibuknya mereka bekerja bermula daripada mencari bahan-bahan untuk dimasak, menyiap dan memasak, menghidang dan mengemaskannya bila majlis berbuka telah selesai. Semuannya ditanggung oleh orang-orang yang hanya bekerja secara sukarela dari pagi hingga ke malam, dan disambung pula hingga ke pagi besoknya untuk mengemas kembali.
Saya terkenangkan kampung saya, Kg. Salor ketika saya masih kanak dan muda-muda dahulu. Tidak begitu jauh daripada rumah kami ada sebuah madrasah kecil yang telah lama juga usianya. Madrasah itu masih ada sampai sekarang, Madrasah Pohon Sagu, yang kini dijadikan sebahagian dari Sekolah Tahfiz. Di madrasah inilah kami bertarawih, kerana kedudukannya jauh lebih dekat dari masjid untuk berjalan kaki.
Pada waktu itu setiap bulan Ramadan, para jemaahnya dan penduduk-penduk sekitar madrasah tidak ketinggalan mengadakan majlis “Menghantar Puasa” bila dua puluh Ramadan telah berlalu. Biasanya diadakan untuk majlis berbuka.
Masakan untuk berbuka itu tidak disediakan di madrasah. Ia disediakan oleh orang-orang kampung dari rumah masing-masing. Pehak madrasah hanya menyedia bekas untuk minuman dan pinggang untuk makan nasi sahaja. Malah kadang-kadang gelas dan pinggan kosong juga dibawa dari rumah oleh mereka yang menydiakan makanan berbuka itu.
Pada mula-mula pehak madrasah akan berbincang untuk menetapkan hari untuk mengadakan majlis Menghantar Puasa itu, kemudian tawaran dibuka kepada sesiapa yang bersedia untuk menyediakan satu hidangan berbuka pada hari itu mengikut kemampuan masing-masing.
Setiap satu keluarga akan menyediakan satu hidangan penuh untuk berbuka oleh biasanya lima orang yang diletak dalam satu bokor atau talam. Itulah dikatakan sebokor nasi yang lengkap akan dibawa ke madrasah menjelang waktu berbuka pada hari yang ditetapkan itu.
Selesai berbuka, bekas-bekas makanan itu akan dibawa pulang oleh tuan empunya, tanpa melibatkan pihak madarash untuk memberishkannya.
Inilah adalah satu cara yang baik dan menjimatkan masa pehak madarasah daripada terpaksa mengorbankan masa mereka lebih daripada sehari suntuk untuk menyiapkan jamuan berbuka di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Hari ini lebih simpel lagi, mana-mana orang yang mampu, boleh menempah makanan berbuka atau bersahur daripada mana-mana pembekal makanan untuk dihantar ke mana-mana masjid atau surau yang mereka pilih. Habis perkara!
Saya juga masih ingat, pernah membawa sebokor hidangan berbuka di madarasah tersebut, dan saya adalah salah seorang daripada lima orang yang menikmati hidangan yang disedikan ibu itu. Semogga Allah limpahi rahmat ke atas rohnya.
Tapi dengan cara seperti tempahan tidaklah terpancar semangat kerjasama dan gotong royong anak-anak tempatan, namun begitu terbayanglah kemurahan hati orang yang bersedia menghulurkan sumbangan tersebut dan boleh menggalakkan orang lain mencontohinya.
Sesungguhnya kita digalakkan memperbanyakkan sedekah sepanjang bulan Ramadan. Semoga kita merupakan sebahagian daripada mereka yang suka bersedekah itu.
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Daripada Anas telah ditanya Rasulullah s.a.w. Ya Rasulllah apakah jenis sedekah yang paling afdhal? Sabdanya: bersedekah pada bulan Ramadan”.
Dan Baginda s.a.w. juga besabda:
“Barang siapa memberi makan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, maka ia mendapat ganjaran sebanyak ganjaran orang yang berpuasa itu, tidak kurang sedikit pun”.
Semoga Allah menerima ibadat puasa kita yang telah lepas dan juga yang akan datang yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi. Semoga iman kita terus kuat dan untuh untuk terus menunaikan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, dan untuk hari-hari yang mendatang selagi usia kita masih ada di badan.
Kian dekat ke arah peghunjung Ramadan kian kencang debaran di hati kita dengan perasaan yang berbaur antara suka dan duka, sedih dan gembira. Kita gembira dan syukur kerana telah berjaya menunaikan sebahagian daripada ibadat puasa dan merasa sedih dan terharu, kerana puasa akan meninggalkan kita, Ramadan akan melabuhkan tirainya untuk menyambut kunjungan Idilfitri yang mulia. Demikian jiwa umat Islam bergoncang setiap tahun dalam bulan Ramadan.
Semoga kita termasuk orang-orang yang beriman dan bertakwa yang akan menyambut Iidilfitri dengan penuh kesyukuran.
ENDPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd
0 comments:
Post a Comment