Perjalanan Lapan Syawal 1433 H

>> Monday, August 27, 2012


PERJALANAN LAPAN SYAWAL 1433 H



Kelmarin, hari Ahad, 8 Syawal 1433 H. Ertinya sudah lapan hari ‘Aidilfitri meninggalkan kita yang sbelum itu telah menunaikan ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan al-Mubarak. Insya-Allah kesanya masih berbekas di jiwa sebahagian besar dari kita.



Tapi jalan raya antara Kota Bharu ke Kuala Krai, menuju ke Gua Musang-Kuala Lumpur belum betul-betul pulih dari kesesakan hari raya sebagaimana berlaku setiap tahun, iaitu dengan kembalinya warga-warga Kelantan yang berada di luar ke negeri ini.



Kelmarin saya memandu kereta dengan ditemani oleh seorang cucu, Nik Noor Syafiqah Zaini [kakak] dari Kota Bharu ke Kuala Krai, sejauh kira-kira enam puluh kilometer sahaja, tapi mengambil masa lebih dari dua jam untuk sampai ke Kuala Krai.



Pada mula-mulanya dari Kota Bharu sampai ke sempadan Machang, walau pun kenderaan lebih banyak dari biasa bergerak di atas jalan raya menuju ke Kuala Krai, tapi trafik berjalan lancar. Tapi bila masuk sahaja Macang, kelancarannya mula terganggu, arus pergerakan kenderaan tidak lancar lagi.



Kenderaan berbaris panjang, sayup-sayup mata memandang, bergerak sebentar, berhenti sekejap, entah berapa puluh kali berhenti dalam perjalan kerana jalan tersumbat sebelum sampai ke Kuala Krai?




Biasanya pada hari raya ke lapan, jalan raya Kuala Krai- Gua Musang sudah lenang dari kenderaan, tapi kelmarin jalan raya masih juga berasak-asak menghala ke Kuala Lumpur. Namun jalan menuju ke Utara, ke arah Kota Bharu dan Tanah Merah-Grik tidak pula sibuk.



Seperti biasa juga, dalam kesesakan jalan seperti itu ada segolongan kecil pemandu-pemandu yang tidak sabar-sabar, dan tergesa-gesa lalu memotong ikut kiri, merempuh bahu jalan, atau pun memotong sebelah kanan di kawasan yang tidak boleh memotong, kerana ada bergaris dua.



Saya lihat selain daripada kereta-kereta tempatan melanggar peraturan jalan raya itu, ada juga kenderaan-kenderaan luar negara yang nombor platnya betulis tulisan Siam bertindak demikian.



Ini tidaklah pelik, andainya anak negeri sendiri tidak menghormati undang-undang negara sendiri sudah tentu ia akan menjadi contoh dan teladan kepada orang-orang asing untuk berani bertindak sesuka hati mereka pula.



Pemandu-pemandu yang tidak sopan seperti ini, yang tidak dapat menahan kesabaran, kalau dia orang Islam, bererti dia telah kehilangan semangat puasa yang mulia yang dijalaninya selama sebulan di bulan Ramadan yang baru lalu.



Sudah tentu, bila pemandu-pemandu yang memotong barisan sesuka hati ini ingin memasuki barisan semula di hadapan kerana jalan di hadapan kian menyempit, akan menganggu berapa banyak kenderaan-kenderaan di belakang.



Sudah tentu pula pemandu-pemandu yang dipotong kereta secara tidak beradab dan juga pemandu-pemandu yang di belakangnya akan terasa panas hendak marah, dan mungkin pula ada di antara mereka yang mengutuk dan mendoakan supaya pemandu-pemandu yang kurang ajar itu ditimpa musibah dalam perjalanan, walau pun kebanyakan mereka boleh menerimanya dengan sabar.



Walau bagaimana pun, sepanjang perjalanan kami dari Kota Bharu ke Kuala Krai kelmarin yang memakan masa dua jam lenbih itu, kami tidak melihat apa-apa kemalangan baru yang berlaku.



Cuma kami lihat di sekitar Machang ada sebuah kereta tebalik menyenggeng di atas rusuknya di tepi jalan, tapi ia mungkin telah berlaku beberapa jam sebelum kami sampai ke situ. Tidak seperti biasa, kalau kemalangan baru berlaku, ramai orang akan menghurungnya, termasuklah pemandu-pemandu yang kebetulan baru sampai di situ.



Sebagai rakyat Kelantan kami berdoa semoga lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang sedang dalam pembinaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang dikenali dengan nama Lebuh Raya Rakyat akan segera siap dan insya-Allah dapat mengatasi problam yang berlaku setiap tahun di hari perayaan seperti ini bila orang Kelantan dari luar negeri balik ke kampung halaman mereka.



Alhamdulillah! Syukur kepada Allah. kerana kami sampai ke rumah dengan selamat.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP