MENIPU DIRI SENDIRI

>> Thursday, August 16, 2012


MENIPU DIRI SENDIRI MENGUNDANG BAHAYA



Bulan Ramadan al-Mubarak hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi akan melabuhkan tiri sucinya untuk tahun ini.



Sebagai umat Islam adakah kita telah menunaikan ibadat puasa sepanjang hari-hari bulan Ramadan yang yang berlalu itu?



Atau kita hanya berpura-pura puasa di hadapan keluarga, dengan bersahur dan berlapar ketika berada di rumah, tapi ketika keluar bekerja kita sental nasi dan melepas gian merokok secara sembunyi-sembunyi di waktu tengah hari?



Dan bila balik ke rumah kita tunjukkan muka kita yang letih dan lesu akibat bekerja dan berpuasa, lalu berihat dan tidur menunggu waktu berbuka?



Jika kita berbuat demikian, ertinya kita menipu. Tapi siapa yang sebenarnya yang hendak kita tipu itu?



Menipu Tuhan? Masya-Allah! Tuhan Allah tidak boleh ditipu.



Menipu keluarga kita, anak-anak kita dan isteri atau suami kita, dan mungkin ibu bapa atau mentua kita yang mungkin tinggal bersama kita?



Di samping itu berbuat demikian bererti kita menipu diri kita sendiri. Kita mengecek diri kita, membohongi diri kita sendiri?



Apa untung yang kita perolehi? Tidak ada, kecuali kerugian jua.



Perkara menipu diri sendiri ini memang sering berlaku terhadap kita manusia, kerana kita sering berlaku tidak jujur terhadap diri kita sendiri.



Kalau kita berpuasa pun, dengan menahan makan dan minum di siang hari, cubalah tanya diri sendiri, kenapa kita berpuasa? Kenapa?



Adakah kerana kebiasaan atau adat tradisi? Adakah kerana malukan anak-anak dan isteri? Atau adakah kerana malukan keluarga kita jika kita tidak berpuasa?



Atau kita berpuasa kerana benar-benar kerana bercambahnya kesedaran dalam sanubari kita, bahawa puasa itu sebahagian daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam.



Pergi lebih jauh sedikit lagi, setiap malam kita pergi solat Tarawih di masjid atau di surau. Cuba tanya diri kita, kenapa?



Adakah kerana malu kepada keluarga kita, malu kepada jiran-jiran kita? Atau malu kepada masyarakat setempat, jika kita tidak pergi solat Tarawih, kerana semua orang pergi ke masjid untuk bersolat? Justeru kita pun terpaksa ikut-ikut sama pergi ke masjid untuk mengelak daripada merasa canggung kerana tidak bersama dengan orang ramai pergi ke masjid.



Demikian juga dengan perbuatan-perbuatan kita yang lain, seperti bersedekah, menolong dan membantu orang, kenapa kita lakukan semunya itu, adakah kerana manusia, atau ingin mendapat pujiani?



Atau sebaliknya semuanya itu kita lakukan kerana Allah semata-mata, bukan sama sekali kerana sebab-sebab yang lain, bukan kerana manusia.



Itulah sebabnya kita dilarang menipu bukan sahaja orang lain, malah kita tidak patut menipu diri kita sendiri.



Malah kita dinasihatkan supaya berlaku jujur kepada diri kita sendiri. Malah menipu orang lain pun bererti kita menipu diri sendiri juga.



Berlaku jujurlah terhadap diri sendiri. Jujur dalam semua perkara. Jujur sepanjang masa. Jujur dalam semua sudut dan gelanggang dengan diri sendiri.



Kita semua sedar bahawa memanglah mudah kepada kita untuk menyukai apa yang kita sukai,untuk menyukai apa yang kita gemari, apa yang kita cintai. Itu adalah lumrahnya.



Kita juga sedar bahawa memang mudah kepada kita untuk mempercayai sesuatu yang dipercayai oleh keluarga kita, ibu bapa kita, saudara mara kita dan sebagainya. Itu pun lumrah juga.



Kita juga sedar, bahawa memanglah gampang kepada kita untuk melakukan sesuatu yang diharap-harapkan oleh orang lain kita melakukannya, seperti keluarga kita, dan bos-bos kita. Itu pun lumrah juga.



Tapi dari sudut psikologinya, perbuatan-perbuatan seperti itu menunjukkan kita seorang yang tidak matang, tidak masak fikiran, dan suka bergantung keapda orang lain serta memerlukan sokongan mereka untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya kita sendiri membuat pertimbangan, menetapkan keputusan dan mengambil tindakan yang wajar demi kenpentingan diri kita sendiri dan masa hadapan kita yang amat berharga itu.



Walau pun pengaruh keluarga, sahabat-handai, rakan tolan dan juga masyarakat itu tidak selalu menjadi kesalahan dan membahayakan kita, tapi kita hendaklah sentiasa awas dan waspada terhadap bahaya-bahaya yang timbul daripadanya jika kita tidak menyeliakawalkannya dengan baik dan wajar.



Secara sedar atau tidak sedar, kita mungkin menaruh pransangka buruk terhadap seseorang. Setiap kali timbul perasaan buruk sangka terhadap seseorang, kita seharusnya menanya diri kita sendiri, kenapa dan apakah sebabnya kita tidak menyukainya?



Lebih jauh lagi tanyalah diri kita sendiri dengan jujur, kenapa kita tidak sukakan orang itu, adakah kerana kita iri hatikan dia, atau kerana sahabat-sahabat kita memberiahu kita bahawa dia telah berlaku kasar dan tidak patut kepada seseorang atau orang-orang yang kita kenali itu?”.



Buat pertimbangan dan perhitungan yang wajar. Buat penilaiyan yang jujur supaya kita tidak mengkhianati orang lain dan juga diri kita sendiri yang dilarang menyimpan buruk sangka.



Pereksalah diri kita sendiri sebelum kita mempersalahkan orang lain, atau mempersalahkan keadaan keliling di luar kawalan kita menyebabkan kita tergendala, gagal atau membuat kesalahan atau kesilapan.



Meletak kesalahan ke atas sesuatu atau ke atas orang lain amatlah mudah, senipis kulit bawang. Tapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah, menambahkan lagi buruknya.



Lebih jauh tanyalah diri kita, kenapa kita gagal. Tanya-tanyalah diri kita adakah persediaan-persediaan yang kita laku memadai untuk meluluskan kita dalam pepereksaan itu? Adakah kita mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk diberikan kerja atau tugas tersebut? Atau adakah sebaliknya kerana ketidaklengkapan atau kecuaian kita sendiri menyebabkan kita melakukan kesilapan tersebut dan seterusnya menempuh kegagalan?.



Kemudian berilah jawapan jujur dan ikhlas. Ia jauh lebih baik daripada mempersalahkan orang lain, mengutuk orang lain kerana kegagalan-kegagalan kita daripada mendapat apa yang kita cita-cita dan harap-harapakan. Dalam hal ini tidak wajar kepada kita untuk menuduh orang lain korup, pilih kasih, pilih kroni dan sebagainya, tanpa bukti-bukti yang jelas.



Pereksa diri sendiri, teliti diri sendiri, cermin diri sendiri setiap kali kita dilanda oleh kegagalan atau kekecewaan, dan berilah kesimpulan yang jujur kepada diri kita sendiri. Dan ini lebih bermakna daripada melempar tuduhan kepada orang lain.



Kita hendaklah berlaku jujur dalam mencari dan menjalin persahabatan. Dalam menjalin persahabatan itu kita hendaklah pastikan kita tidak memilih seseorang untuk dijadikan teman kerana orang itu dapat memberikan sesuatu kepada kita, dapat memberi pertolongan kepada kita, dapat meningkatkan prestasi kita, dapat memajukan pekerjaan kita, memberi projek kepada kita, dapat memberikan kita peluang menambah rezeki.



Jika kita memilih persahabatan berdasarkan kepentingan diri kita dalam mencari keuntugan dunia, ertinya kita tidak berlaku jujur dengan diri kita sendiri, kita telah menipu diri kita, dan perbuatan ini tidak akan memberi natijah yang baik kepada kita untuk jangka panjangnya.



Bersedialah untuk mengaku, menerima hakikat, bahawa jika ada orang yang ragu-ragu terhadap kita, ataupun tidak menggemari kita, puncanya mungkin kerana kita sendiri, kerana kita tidaklah sebaik seperti mana yang kita sangka diri kita seorang yang amat baik selama ini.



Bolehkah kita mewujudkan keadaan yang lebih baik, dan suasana yang lebih ramah ceria, lebih mesra dan lebih hangat ketika menjalinkan perhubungan dengan orang lain di masa-masa akan datang?



Kita hendaklah bersedia mengakui jika kita berada dalam kekecewaan, kesedihan, kehampaan dan ketakutan. Tidak guna menafikannya, kerana itulah hakikat-hakikat yang nyata yang melengkari diri kita waktu itu.



Dan kita tidak patut menyoroknya, menyembunyikannya daripada diketahui oleh orang wajar mengetahuinya, seperti keluarga kita, sahabat-handai anda juga doktor-doktor kita.



Bersikap jujurlah kita pada diri kita sendiri, jangan menipu diri kita dan jangan membohongi orang lain dengan sikap berpura-pura dan menafikannya.



Ia tidak memberi sebarang faedah pun kepada kita.



Berlaku jujurlah terhadap diri kita sendiri dan juga terhadap orang lain mengenai diri kita sendiri dan kejujuran itu amat besar gunanya demi kepentingan diri kita.



Jangan menipu diri kita, jangan membohongi orang lain. Sebaliknya berlaku jujurah kepada diri kita sendiri dan berlaku jujurlah kepada orang lain.



Rasulullah s.a.w. melarang kita umatnya berbohong. Baginda s.a.w. ketika ditanya, “Adakah seorang yang Mukmin itu boleh menjadi pengecut?”. Baginda s.a.w. menjawab “Ya”. Tapi ketika ditanya, “Adakah seorang Mukmin itu juga berbohong?”. Dengan tegas Baginda s.a.w. menjawab, “Tidak! Orang Mukmin tidak berbohong”.



Oleh itu berlaku jujurlah terhadap diri sendiri, dan juga dengan orang lain. Jangan menipu diri sendiri dan jangan membohongi orang lain.



Ini adalah salah satu daripada cabang-cabang kemuilaan peribadi yang dihujungnya terdapat kunci kebahagian hidup yang diburu oleh setiap manusia yang waras.



Jujurlah dengan diri kita. Jujurlah dengan oang lain. Jujurlah di setiap masa. Dan jujurlah di setiap tempat. Ganjaran yang baik sentiasa menunggu kita di mana setiap langkah kita akan membuahkan ganjaran walau pun kita tidak mengharapkannya.



Amin!



END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP