Berita Sedih Dan Gembira Di Hujung Ramadan

>> Saturday, August 18, 2012


BERITA GEMBIRA DAN DUKA DI HUJUNG RAMADAN




Ketawa



Semalam selepas berbuka dan solat Mghrib, tiba-tiba ada panggilan menerusi hand set untuk saya yang ketika itu sedang bersiap-siap untuk pergi solat Tarawih. Pada masa itu hand set saya telah kehabisan bateri, dan panggilan dibuat menerusi hand set anak saya.



Ianya panggilan dari anak saya di KL. Dia memberitahu, dia dan keluarganya pada masa itu baru selesai berbuka puasa dan solat Msghrib di sebuah hotel. Memanglah biasa kepada beliau pada masa-masa yang lalu untuk berbuka di luar, kerana memenuhi jemputan rakan-rakan, dan talian-talian bisnes. Biasanya sambi makan-makan itu mereka bercakap-cakap mengenai bisnes.



Tapi malam ini, katanya ada sedikit cerita lucu. Beliau pun terus menceritakan. Pada petang tadi beliau dan keluarga sedang membeli-belah untuk keluarga di sebuah pasar raya di KL. Katanya tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon dari seseorang ahli perniagaan yang ingin berjumpa dengan beliau, kerana ada sesuatu perkara penting yang hendak dibincangkan.



Masa yang dipilih ialah waktu berbuka puasa dan di sebuah hotel di ibu negara. Oleh sebab waktu itu telah dekat dengan waktu Maghrib, beliau tidak mempunyai masa lagi untuk pulang ke rumah menghantar keluarga kemudian keluar kembali untuk berbuka di hotel tersebut.



Justeru beliau terpaksa membawa keluarganya bersama- anak-anak dan isterinya berbuka di hotel yang menjadi pilihan itu. Itulah perkara biasa, tidak ada masalah kepadanya.



Tapi bila mereka sampai di kawasan hotel, waktu berbuka hampir benar akan tiba, tiba-tiba orang yang ingin berjumpa beliau itu menelefon memberitahu pertemuan itu terpaksa ditangguhkan, kerana ada perkara penting yang tidak dapat dielakkan menghalang beliau pergi.



Dan sebaik-baik mereka masuk ke dewan makan hotel, azan Maghrib pun berkumandang. Mereka tidak ada pilihan selain daripada berbuka di situ juga walaupun tanpa tetamu.



Katanya untuk menjadikan suasana lebih ceria, beliau mengambil persetujuan isterinya untuk menjadikan berbuka puasa itu sebagai majlis sambutan hari lahirnya yang jatuh pada hari itu, dan juga sambutan hari lahir isterinya yang akan tiba sehari dua lagi.



Itulah yang melucukan. Lain yang kita rancang, lain yang Allah berikan. Itulah hakikatnya. Katanya dengan ketawa.



“Tiada masalallah. Kita harus bersyukur dengan apa sahaja yang Allah kurniakan kepada kita”. Tambahnya lagi.




Saya pun turut ketawa juga. Lawak di hujung Ramadan.



Berita Sedih



Selepas itu kami pergi solat Tarawih. Tidak berapa lama berada di rumah selepas solat Tarawih, ada keluarga datang bertamu. Sambil membawa berita gembira tentang kejayaan bisnesnya sepanjang bulan Ramadan ini, ada jug khabar duka yang dibawanya bersama.


Wan Cik juga memberitahu berita gembira dia dikurniakan seorang cucu lelaki, dan itulah cucu yang kedua kepadanya daripada anak lelaki, sementara cucu pertama adalah perempuan.



Mereka memberitahu berita kematian salah seorang keluarga kami di kampung Salor yang meninggal petang kelmarin. Hamba Allah itu kami panggil dia “Mak Nik Minah”.



Katanya dia mati tanpa di duga, kerana pada hari itu dia masih berada dalam keadaan sihat sebagaimana biasa, dan dengan tiba-tiba sahaja dijemput ajal ketika berada di rumahnya.



Jenazahnya dikebumikan di selepas zohor di tanah perkuburan berhampiran dengan kediamannya.



Memanglah kematian itu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, baik dalam keadaan sakit atau pun sihat, kerana penentuannya adalah hak mutlak Allah semata.



Sakit pun mati, sihat pun mati, muda pun mati, tua pun mati, malam pun mati, siang pun mati, di rumah pun mati, di luar rumah pun mati, tiada siapa yang boleh campur tangan, mendahuluinya atau melambatkannya walau pun sedetik.



Justeru itulah kita disuruh supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan mematuhi dan menjunjung segala perintah-penrintah Allah sepanjang masa.



Saya teringat pada hari raya ‘Aidilfitri tahun lepas, Allahyarhmah bila mengetahui kami bermaksud untuk solat hari raya di kampung, berpesan kepada kakak saya, meminta kami singgah di rumahnya selepas soalt raya. Katanya, beliau ada menyedikan nasi dagang.



Tapi sedihnya, kami tidak berpeluang memenuhi jemputan itu, kerana acara hari raya pada tahun lepas terlalu ketatnya, termasuk menghadari beberapa majlis pekahwinan anggota keluarga yang diadakan sempena hari raya.



Seperti hari raya tahun lepas juga, hari raya kali ini juga ada beberapa jemputan kahwin telah sedia menunggu sehari selepas hari raya pertama, termasuk perkahwinan anak saudara dan anak sepupu.



Insya-Allah kami akan hadir, walau pun masa yang kami ada terbatas untuk menziarahi begitu ramai keluarga sebagaimana biasa setiap tahun. Namun begitu hari raya tahun ini lebih melegakan, kerana berlangsung dalam musim cuti persekolahan, kerana itu kami mempunyai masa yang agak lapang.



Anak Saudara



Pada tengah malam semalam pula, ketika melayari facebook, saya merasa gembira, kerana seorang anak saudara perempuan saya, yang telah berbelas-belas tahun tidak saya temui menghubungi saya di pondokrahmat.



Saya sering tertanya-tanya di mana dia berada. Dan biasanya sering menanya saudara-saudaranya bila kami berjumpa di mana dia sekarang dan bagaimana keadaannya.



Namanya Safadhilah, dan kami panggil “Fadhilah”, anak Allahyarham abang saya Ariffin yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2006 yang pusaranya berhampiran pusara ibu dan isteri saya.



Rupa-rupanya Fadhilah tinggal di Marang, Terengganu. Tidak jauh. Semoga hubungan ini akan berpanjangan.



Mimpi



Saya teringat beberapa hari yang lalu, cucu saya memberitahu bahawa dia bermimpi bertemu dengan neneknya yang dipanggil “Wan”. Dalam mimpi itu antara lain, neneknya memberitahu mereka sedang berada di bulan Ramadan dan berpesan supaya kami semua menunaikan ibadat puasa.



Dia juga berpesan supaya kami semua meyambut hari raya yang akan tiba nanti dengan syukur dan gembira.



Demikian pesan isteri saya menerusi mimpi cucu saya itu.



Saya juga bermimpi bertemu dengan isteri saya dalam bulan Ramadan. Dan masih jelas dalam ingatan saya ialah di akhir pertemuan itu sbelum beliau “hilang”, Allahyarhmah menunjukkan kepada saya sepasang selipar baru berwarna warni yang saya lambangkan sebagai peringatan kedatangan hari raya di hujung bulan Ramadan ini.



Demikianlah hidup ini, suka dan duka silih berganti, pahit dan manis ganti berganti, sekali senyum dan sekali sedih.... demikianlah pentas dunia ini bertabur dengan warna warni kehidupan yang tidak terduga sama sekali.



Walau bagaimana pun kalau tapak tempat kita berpijak itu utuh dan kuat dilapisi dengan batu-batu keimanan dan kesabaran, insya-Allah kita akan selamat mengharungi ombak dan gelumbang walau setinggi mana sekali pun.



Kita akan melepasi puasa yang akan berlalu, besok, dengan gembira bercampur sedih. Gembira untuk menyambut ketibaan ‘Aidilfitri bila Ramadan melabuhkan tirainya, tapi sedih kerana bulan Ramadan yang penuh keberkatan itu akan pergi meninggalkan kita.... dan itu adalah sebahagian daripada lambang kehidupan, yang silih berganti, datang dan pergi, bertukar ganti.



END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP