Langkah-langkah Menuju Ilahi Sempena Ramadan Dan Aidilfitri

>> Wednesday, August 22, 2012





LANGKAH-LANGKAH MENUJU ILAHI SEMPENA BULAN RAMADAN DAN ‘AIDILFITRI



Petang ‘Aidilfitri ini saya tinggal sendirian di rumah. Atas pilihan sendiri. Anak perempuan mengikut suami menziarahi keluarga, dan besok baru balik. Sementara anak lelaki saya lebih dahulu mengikut isteri menjenguk keluarga dan malam nanti baru balik.



Selepas solat ‘Aidilfitri pagi tadi, seperti biasa kami mulakan kembara raya menziarah pusara dan keluarga. Selepas di pusara kami pun mulai menziarahi keluarga.



Tapi oleh sebab badan terasa sedikit capet dan cuaca panas, pada tengah harinya saya minta rancangan ziarah dihentikan dahulu buat sementara dan akan disambung semula pada sebelah petang kalau mampu, atau pada hari raya yang kedua kalau pada petang itu keadaan tidak mengizinkan.



Sebaik-baik sahaja tinggal sendirian di rumah, maka kesepian pun mulai menerjah hati. Bebagai-bagai fikiran negatif cuba menyerang, terutama petaka buruk akibat tinggal sendirian.



Tapi saya segera menepisnya, membenteng perasaan dan hati dengan fikiran-fikiran yang positif, gambaran-gambaran yang membina.



Apa lagi hari raya perlu disambut dengan gembira. Gembira dan syukur. Baik di mana-mana sahaja kita berada dan ketika mana kita berada. Selama sebulan di bulan Ramadan, kita telah berjaya mematuhi perintah Allah dengan takzim dan penuh keikhlasan, maka sudah sewajarnya kita bersyukur dan bergembira dengan kunjungan hari raya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.



Suasana-suasana kegembiraan memang telah terasa sebelum hari raya itu tiba lagi, berbagai-bagai acara sambutan telah disusun untuk menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Suasana-suasana keliling telah dihiasai dengan wajah-wajah baru yang menceriakan yang mewarna-warnikan seluruh kehidupan kita.



Tegasnya seluruh suasana-suasana lahir, suasana-suanana materialistik mengalami perubahan yang menarik untuk menyambut ketibaan hari raya yang mengandungi erti yang besar kepada seluruh umat Islam. Tapi adakah suasana-suasana batin kita, jiwa kita turut berubah sejajar dengan perubahan keliling yang kita ciptakan itu? Atau ia masih berada di tahap lama penuh disarangi karat dan daki dunia yang membimbangkan?



Apakah suasana-suasana puasa sebulan bulan Ramadan itu telah memeberi bekas dan kesan kepada jiwa kita untuk menjadi seorang manusia Muslim yang lebih baik dan unggul daripada masa-masa yang lalu? Atau adakah puasa itu tidak memberi apa-apa makna dan kesan kepada hati dan jiwa kita yang telah keras membatu itu?



Sepatutnya kita memberi warna baru kepada hati kita yang berkarat dengan daki-daki sombong, bongkak, khianat, dengki, menghina, kedekut, bakhil, malas, pemarah dan bermacam-macam sifat tercela lagi, iaitu dengan warna-warna batin yang baru yang bercorak lebih keimanan dan ketakwaan yang akan membawa kita kepada kebahagian hidup di dunia dan akhirat.



Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa, kita menjaga batas-batas dan ketentuan dalam menyambut hari raya itu dengan sifat-sifat tawaduk dan kesederhanaan, dalam erti kata tidak melampau dalam semua jurusan, baik dalam berpakaian, perhiasan, makan dan minum dan berhibur. Kita masih bersifat sederhana, kerana kesederahan itulah yang dituntut oleh agama kita, sebuah agama fitrah.



Dengan bersikap sederhana itu, kita akan bebas daripada riak, sombong, ujub, kedekut, bakhil, gila dipuja dan dipuji, pemarah dan takabur, hasad dan dengki, yang merupakan sebahagian daripada sifat-sifat tercela yang membinasakan diri dan peribadi kita yang mulia, sebagai seorang insan Muslim yang kamil.



Sifat-sifat tercela itu merupakan parasit-parasit dan penyakit-penyakit batin yang sering bersarang di lubuk hati dan akal fikiran kita yang sepatutnya kita tidak memberi peluang langsung kepada parasit-parasit itu untuk bertapak dan bertunjang merosakkanbinasakan kehidupan kita.



Salah satu penawar yang dapat membasuh sifat-sifat tercela itu ialah dengan berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan puasa ikut-ikutan, bukan puasa tradisi, kerana orang berpuasa, maka kita pun berpusa, tapi puasa yang tulen dan murni, ikhlas kerana Allah semata-mata.



Andainya berpuasa masih belum cukup mampu untuk merawat segala penyakit hati yang melara dalam hati kita, maka kita hendaklah menyusulinya dengan rawatan-rawatan lain yang khusus dengan penyakit-penyakit tersebut. Pililhlah perawatan yang sejajar dengan penyakit tersebut.



Kalau kita merasa dalam diri kita masih ada sisa baki perasaan angkuh dan sombong, maka rawatan yang mungkin sesuai dengannya adalah meluaskan skop pergaulan kita, iaitu dengan bergaul dengan orang-orang biasa, orang-orang bawahan, orang miskin dan sebagainya.



Andai kita masih merasa pada diri kita, masih bersarang dengan sifat bakhil dan kedekut, maka rawatan mungkin dengan jalan kita selalu menghulurkan sedekah, memprbanyakkan sedekah; carilah orang-orang yang miskin dan susah, hulurkan bantuan kepada mereka.



Andai kata, kita merasa diri kita masih lagi diselimuti oleh sifat mazumah suka mencela, mengumpat dan megnhina orang, maka tahanlah lidah kita untuk melepaskan kata-kata keji terhadap sesiapa sahaja, sebaik-baik tercetus nafsu kita untuk berbuat demikain. Bayangkan keadaan diri kita kiranya kita dicela, diumpat dan dihina orang, seterusnya banyangkan juga bencana Allah yang menimpa orang-orang yang suka mencela dan mengumpat.



Kita harus sedar bahawa untuk melaksanakan semunya itu bukanlah semudah yang disangka, banyak benteng hadangan terpaksa ditempoh kerana kesukaan kita selama ini memperajakan nafsu, dan akhirnya berjaya menumpaskan kita dengan mentaati segala perintahnya yang keji dan hina sekali pun. Justeru itu, kita perlu berjuang dan berjihad untuk merobohkan tembok-tembok halangan yang yang dibina oleh syaitan musuh kekal manusia itu.



Tegasnya kita mesti berjuang dengan gigih menentang syaitan yang telah memperkudakan nafsu kita untuk mempegaryuhi diri kita supaya sentiasa membuat onar pencemaran untuk memusnahkan orang lain tapi diri kita sendiri juga.



Insya-Allah kita akan berjaya dalam jihad kita menentang syaitan yang sentiasa mempermain-mainkan nafsu kita itu. Ingatlah jihad menentang nafsu ini lebih besar daripada jihad di medan perang.



Menyedari hakikat itulah Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untk berhadapan dengan peperangan yang lebih besar. Bila sahabat-sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?”, Baginda berkata, “Peperangan melawan nafsu”.



Demikianlah kesan-kesan yang ditinggalkan oleh puasa dan bekas-bekas hari raya yang bersemarak wangi selama-lamanya di hati dan jiwa kita yang sentiasa berkembang mencari keampunan dan keredaan Ilahi, Allah yang Maha Besar. Sehinggalah kita merasa sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. “Orang Mukmin itu apabila berbuat sedikit dosa, terasa seperti gunung yang besar hendak menimpa mereka”.



Demikianlah langkah-langkah kita menuju Allah sempena dengan bulan Ramadan dan Hari Raya ‘Aidilfitri yan mulia.





Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa, kita menjaga batas-batas dan ketentuan dalam menyambut hari raya itu dengan sifat-sifat tawaduk dan kesederhanaan, dalam erti kata tidak melampau dalam semua jurusan, baik dalam berpakaian, perhiasan, makan dan minum dan berhibur. Kita masih bersifat sederhana, kerana kesederahan itulah yang dituntut oleh agama kita, sebuah agama fitrah.


0xt-align:justify">






























0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP